Temasya Sukma XIII labuh tirai


Sukan Malaysia (Sukma) XIII yang telah melabuhkan tirainya semalam pasti meninggalkan 1,001 kenangan buat tuan rumah, Melaka.

Meskipun gagal mencapai sasaran untuk bergelar juara pada Sukma kali ini, namun di bawah kepimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Melaka boleh berbangga dengan kejayaan mereka selaku tuan rumah pada temasya sukan terbesar negara yang diadakan dua tahun sekali itu.

Penganjuran Sukma edisi ke-13 ini menyaksikan Melaka melakar sejarah tersendiri apabila sebanyak 33 jenis acara sukan dipertandingkan iaitu yang terbanyak sepanjang penganjuran temasya tersebut diadakan.

Temasya kali ini dan membabitkan penyertaan lebih 15,000 peserta termasuk para atlet, pegawai teknikal, pengurus sukan, jurulatih, sukarelawan dan pasukan sorak.

Pada majlis penutup yang berlangsung di Stadium Hang Jebat semalam, Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak telah menyempurnakan upacara tersebut dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dengan disaksikan lebih daripada 30,000 penonton yang hadir.

Sukma XIII sekali lagi menyaksikan penguasaan daripada kontinjen Terengganu apabila muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa, sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakar mereka pada edisi ke-12 ketika mereka menjadi tuan rumah dua tahun lalu.

Tumpuan pada majlis penutup semalam sudah pastinya terarah kepada pengumuman Olahragawan dan Olahragawati Sukma XIII.

Segala-galanya terjawab setelah atlet olahraga tuan rumah, J. Karthik dan perenang Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Sukma edisi ke-13.

Karthik layak bergelar Olahragawan Sukma kali ini selepas kejayaannya menyumbangkan tiga pingat emas buat kontinjen Melaka apabila mengungguli acara 3,000 meter lari berhalangan, 5,000 meter dan 1,000 meter.

Lebih membanggakan, atlet muda berusia 21 tahun ini berjaya memperbaharui satu rekod kejohanan dalam acara 3,000 meter lari berhalangan selepas mencatatkan masa 9 minit 20.25 saat untuk memadam rekod lama milik S. Vikkram dari Perak (9 minit 24.06 saat).

Seperti diramal, kejayaan Kah Yan merangkul tujuh pingat emas serta dua pingat perak serta memecahkan dua rekod kejohanan sudah cukup buat perenang Wilayah Persekutuan itu diberi gelaran Olahragawati Sukma ke-13.

Kah Yan mengungguli saingan dalam acara 100 meter gaya bebas, 4x100 meter rampaian, 200 meter gaya bebas, 200 meter kuak lentang, 200 meter rampaian, 800 meter gaya bebas dan 100 meter kuak lentang.

Selain itu, dua catatan terpantas yang dilakukan Kah Yan juga berjaya memecahkan rekod kejohanan iaitu dalam acara 100 meter gaya bebas dengan catatan 58.10 saat untuk memperbaharui rekod lama milik Leung Chii Lin dari Sabah (58.14 saat).

Satu lagi rekod baru kejohanan Kah Yan adalah menerusi gandingannya bersama kuartet Wilayah Persekutuan apabila mendominasi saingan 4x100 rampaian selepas mencatatkan masa terpantas 4 minit 25. 82 saat untuk memadam rekod lama kuartet Sabah dengan catatan 4 minit 27. 12 saat.

Sukma XIII juga menjadi penanda aras terhadap kehebatan atlet-atlet muda negara apabila berjaya memperbaharui 10 rekod baru kebangsaan dan 94 rekod baru kejohanan.

Upacara penutup semalam diakhiri dengan penyerahan bendera kejohanan yang menyaksikan giliran Pahang menjadi tuan rumah kepada temasya Sukma yang akan berlangsung dua tahun daripada sekarang.

Penyerahan bendera temasya tersebut telah diserahkan oleh Ali Rustam kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url