ETS mula operasi hujung bulan Julai 2010


Setelah hampir dua tahun menunggu, orang ramai akhirnya berpeluang menggunakan perkhidmatan tren terpantas negara, Set Tren Elektrik (ETS) yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada penghujung bulan ini.

Menurut Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan, keputusan itu dicapai setelah lima set ETS dengan enam gerabak setiap satu menggunakan teknologi Jepun sampai ke tanah air pada Februari lalu. Gerabak-gerabak itu dibuat di Korea Selatan.

Aminuddin berkata, ETS merupakan tren paling canggih dan terpantas pernah dimiliki KTMB yang mampu bergerak pada kelajuan 160 kilometer sejam (km/j).

Sebagai permulaan, katanya, perkhidmatan ETS akan menghubungkan laluan Ipoh-Seremban-Ipoh dan menjimatkan kira-kira sejam waktu perjalanan.

Sementara perjalanan sehala menghubungkan Ipoh-Seremban-Ipoh pula dijangkakan kurang dari tiga jam. Ia boleh membawa 350 penumpang pada satu-satu perjalanan.

Dengan wujudnya alternatif terbaru itu, KTMB menganggarkan jumlah penumpang dalam tempoh sebulan bagi laluan pergi balik antara Seremban-Kuala Lumpur-Ipoh bakal mencecah kira-kira 80,000 penumpang.

"Hasil penelitian KTMB, sektor perjalanan ke Ipoh mempunyai permintaan yang sangat tinggi hingga mengatasi kemampuan KTMB menyediakan koc.

"Kita berharap dengan adanya tren ETS, ia dapat menampung kapasiti yang tinggi di samping menarik perhatian pengguna yang naik bas atau teksi untuk beralih ke ETS,'' katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam pertemuan dengan para pengarang akhbar Kosmo! di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismai.

Ditanya mengenai kelebihan ETS yang akan mencetuskan revolusi dalam industri pengangkutan negara, Aminuddin berkata, prasarana yang disediakan itu berkonsepkan mesra pengguna.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url