Keajaiban Piala Dunia 2010

JOHANNESBURG – Keajaiban, kejutan serta keputusan di luar jangkaan terus berlaku di bumi Afrika Selatan.

Ramalan penggiat, pengikut serta pemimpin sukan di serata dunia terhadap Piala Dunia 2010 semuanya meleset.

Sejak daripada aksi pembukaan 11 Jun lalu, sudah terlalu banyak keajaiban berlaku sehinggalah ke pusingan suku akhir.

Ia bermula dengan penyingkiran naib juara edisi 2006, Perancis seawal saingan peringkat kumpulan lagi dan selepas itu diikuti juara bertahan, Itali yang turut terkandas pada peringkat yang sama.

Apabila saingan memasuki pusingan kalah mati membabitkan 16 pasukan terbaik, kejutan terus berlaku.

Ghana, satu-satunya pasukan dari benua Afrika yang mara, mene- ruskan kejutan untuk melangkah sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Uruguay menerusi penentuan sepakan penalti.

Menariknya, tiada siapa meramalkan dua pasukan ini – Uruguay dan Ghana – akan mara ke pering- kat suku akhir tetapi kedua-dua negara telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka juga mampu mencabar pasukan yang bergelar gergasi.

Keajaiban di bumi Afrika Selatan tidak terhenti setakat itu.

Pasukan-pasukan pilihan terus mengalami kemusnahan dalam misi mereka memburu kejuaraan.

Selepas penyingkiran Perancis, Itali dan England – antara pasukan yang dianggap gergasi di muka bumi – giliran Brazil pula tumbang.

Tiada siapa menjangka perjuangan Brazil akan terhenti setakat pusingan suku akhir.

Juara dunia lima kali ini disebut-sebut sebagai pilihan untuk muncul juara pada kejohanan tahun ini, namun mereka tersungkur di kaki Belanda yang tampil dengan corak bola sepak yang menghiburkan.

Pada aksi suku akhir itu Brazil tewas 1-2 dan terpaksa meninggalkan bumi Afrika lebih awal.

Selepas Brazil, giliran Argentina pula ‘menikmati’ penyingkiran.

Penyingkiran Argentina memang sungguh memalukan dan satu dunia menyaksi- kan bagaimana anak-anak buah Diego Maradona itu diperbudakkan oleh barisan muda Jerman yang dibarisi sebahagian besarnya pemain berusia di bawah 24 tahun.

Jerman mudah membelasah Argentina 4-0 dan kekala- han itu turut menjejaskan reputasi Maradona sebagai pemain terhebat dunia suatu ketika dulu.

Untuk memburukkan lagi gaya kekalahan yang dialami Argentina itu, bintang mereka, Lionel Messi dilihat terkapai-kapai mencari rentak meskipun Jerman tidak terlalu memberi tumpuan untuk mengawal pergerakannya.

Apa yang berlaku dengan Argentina itu boleh disimpulkan bahawa pemain bertaraf bintang itu masih belum cukup untuk menjamin kemenangan seperti mana yang dialami Perancis mahupun Brazil.

Brazil contohnya, memiliki bintang terhebat seperti Kaka, Robinho mahupun Fabiano tetapi reputasi yang ada pada mereka itu tidak cukup untuk menjamin kemenangan.

Kaka hilang taringnya dan begitu juga yang dialami bintang England, Wayne Rooney.

Turut tenggelam ialah bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang tampil dengan aksi mengecewakan sepanjang kempen di Afrika Selatan.

Setakat ini, Jerman, Belanda, Uruguay dan Sepanyol membuktikan kepada dunia bahawa bola sepak itu tidak lagi bergantung kepada seorang pemain bintang, sebaliknya kemenangan itu bergantung dengan kerja berpasukan.

Jerman hebat beraksi sebagai satu pasukan dan begitu juga yang dibuktikan oleh tiga lagi pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir kali ini.

Boleh dikatakan bahawa Afrika Selatan bukan medan untuk pemain bintang dan juga bukan medan untuk pasukan yang bergelar gergasi menyerlah.

Bola sepak dunia kini menuntut aksi berpasukan dan kehebatan seorang bintang sudah tidak boleh dijadikan sandaran.

Ia mungkin membantu tetapi belum cukup untuk menjamin kemenangan.

Selain itu, aspek pembangunan juga dilihat penting seperti yang telah dibuktikan oleh Jerman.

Itali yang mengabaikan aspek pembangunan terus kecundang kerana pada saingan kali ini mereka terus memberi kepercayaan kepada ‘kuda tua’ untuk menggalas cabaran.

Selepas empat pasukan yang mara ke pusingan sepa- ruh akhir sudah diketahui, ramai yang tidak berani untuk membuat ramalan.

Keempat-empat pasukan – Uruguay, Belanda, Jerman dan Sepanyol – memiliki kekuatan tersendiri tetapi atas kertas, Jerman dan Belanda dilihat pilihan.

Namun, ramai yang kecewa kerana Jerman dan Sepanyol terpaksa membuat perhitungan terlalu awal pada pering- kat separuh akhir.

Dua pasukan ini seharusnya beraksi di pentas final yang memiliki corak permainan yang sungguh mempesonakan.

Apa pun, rumusan pada edisi di bumi Afrika Selatan ini boleh dikatakan sebagai medan melakar kejaiban serta kejutan.

– Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url