Niat, amalan betul jadi ukuran ikhlas

Oleh Hashim Ahmad

Bagaimana perasaan jika amalan dilaksanakan dengan harapan mendapat keredaan Allah dan sebagai tabungan di akhirat ternyata ‘kosong’ atau sia-sia, tidak tertulis sebagai amalan baik menghasilkan pahala.

Walaupun lisan mengatakan ‘aku ikhlas’, ia tidak semudah ucapan kerana keikhlasan melakukan ibadat perlu meliputi semua aspek bukan hanya niat tetapi juga cara amalan itu dilaksanakan.

Menyedari hakikat itu, maka berusahalah untuk mengetahui kaedah beramal supaya amalan tidak sia-sia. Tidak ada detik yang berakhir dengan sia-sia atau penyesalan jika amalan dilakukan mengikut cara sebenarnya.

Amalan tidak lepas daripada dua perkara iaitu ikhlas yang menjadi roh amalan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya amal itu tergantung dengan niat dan sesungguhnya setiap orang itu mendapatkan balasan sesuai dengan yang diniatkannya.” (Muttafaqun’alaihi)

Kedua, amalan dilakukan sesuai dengan yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, ayat 31)

Jika niat dan cara yang betul tidak diikuti, amalan dilakukan tidak akan diterima. Inilah yang dikatakan amalan sia-sia dan paling malang, pelaku meyakini pahala diterima sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabb-nya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadah kepada Rabb-nya.” (Surah al-Kahfi, ayat 110)
Solat dilakukan mengikut rukun seperti ditunjukkan Rasulullah SAW tetapi diperkemaskan kerana ada orang yang melihat seperti melambatkan pergerakan supaya tidak nampak gopoh boleh menimbulkan pertanyaan sejauh mana solat itu ikhlas dilaksanakan kerana Allah.

Pada keadaan lain, ibadat dilakukan dengan ikhlas malangnya tidak mengikut kaedah ditetapkan juga menjadikan amalan dilakukan tidak mendatangkan pahala diharapkan. Oleh itu, niat ikhlas dan mengikut peraturan sebenar penting memastikan ibadat tidak sia-sia.

Ada beberapa cara untuk mewujudkan keikhlasan dalam beramal antaranya:

* Berdoa supaya setiap amalan ikhlas kerana Allah kerana manusia tidak lepas daripada perasaan riak, menunjuk-nunjuk dan suka dipuji. Khalifah Umar al-Khattab adalah sahabat Rasulullah SAW yang sudah dijanjikan syurga kepadanya pun masih berdoa supaya dirinya ikhlas dalam beramal.

Doa Umar: “Ya Allah jadikanlah amalku soleh semuanya dan jadikanlah ia ikhlas kerana-Mu dan janganlah Engkau jadikan untuk seseorang daripada amal itu sedikitpun.”

* Kita juga digalakkan menyembunyikan amal seperti menyembunyikan keburukan. Bisyr Ibnul Harits berkata: “Jangan kau beramal supaya dikenang. Sembunyikanlah kebaikanmu seperti kamu menyembunyikan keburukkanmu.”

* Memerhatikan amalan mereka yang lebih baik. Bacalah biografi sahabat, tabi’in serta orang terdahulu sebagai teladan dalam beramal supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

* Memandang remeh apa yang diamalkan. Terkadang manusia terjebak godaan syaitan iaitu melakukan sedikit amal dan merasa kagum dengan amalan yang sedikit itu. Akibatnya adalah buruk kerana boleh terjadi satu amal kebaikan dapat memasukkan manusia ke neraka.

Sa’d bin Jubair pernah berkata: “Ada seseorang yang masuk syurga kerana kemaksiatan dilakukannya dan ada masuk neraka kerana kebaikan dilakukannya. Seseorang yang melakukan maksiat, setelah itu ia takut dan cemas terhadap seksa Allah kerana dosanya, kemudian menghadap Allah dan Allah mengampuninya kerana rasa takutnya kepada-Nya. Seseorang berbuat kebaikan lalu ia sentiasa mengaguminya kemudian ia menghadap Allah dengan sikapnya itu maka Allah pun mencampakkannya ke dalam neraka.”

* Khuatir jika amalnya tidak diterima. Cara ini ada kaitan dengan cara sebelumnya iaitu lebih baik menganggap remeh amal yang diperbuat supaya dapat menjaga hati ini daripada rasa kagum terhadap amal itu.

* Tidak terpengaruh dengan ucapan orang. Orang yang mendapat taufik adalah mereka yang tidak terpengaruh dengan pujian. Ibnul Jauzy berkata: “Bersikap acuh terhadap orang lain serta menghapuskan pengaruh daripada hati mereka dengan tetap beramal soleh disertai niat ikhlas dengan berusaha untuk menutupinya adalah sebab utama yang mengangkat kedudukan orang yang mulia.”

* Sentiasa ingat bahawa syurga dan neraka bukan milik manusia. Manusia tidak dapat memberikan manfaat mahupun menimpakan bencana kepada manusia. Begitu pula manusia bukanlah pemilik syurga mahupun neraka.

Manusia tidak boleh memasukkan manusia lain ke syurga dan mengeluarkan manusia lain keluar dari neraka. Lantas untuk apalagi beramal demi manusia kerana hanya kepada Allah tujuan semua amalan itu.

Ingatlah bahawa kita akan berada dalam kubur sendirian. Jiwa akan menjadi lebih baik apabila ingat kepada tempat kita kembali. Ketika itulah kita yakin bahawa tidak ada yang dapat menyelamatkan kecuali dengan mengikhlaskan seluruh amalan hanya kepada Allah Yang Maha Pencipta.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url