Persoalan Agama: Muslimat kena jaga aurat ketika kerjakan solat

Soalan:

Saya ingin tahu apakah batal solat seorang Muslimat itu apabila selepas memberi salam terakhir dan ketika mahu menyapu mukanya, tiba-tiba tangannya terdedah.

Jawapan:

Apabila kita hendak mengerjakan sesuatu ibadat kepada Allah SWT, kita perlu berpandukan ilmu dan pengetahuan mengenainya. Terutama sekali apabila kita hendak mendirikan solat. Sekiranya kita mendirikan solat tanpa ilmu, dibimbangi solat berkenaan tidak akan diterima Allah SWT disebabkan kita melakukan solat tanpa mengetahui rukun solat, syarat sah solat, syarat wajib solat, perkara yang boleh membatalkan solat atau seumpamanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu wajib ke atas setiap Muslim (lelaki dan wanita).

Menuntut ilmu seperti yang dimaksudkan dalam hadis terbabit adalah Rasululah menyeru umat Islam supaya mempelajari ilmu fardu ain.

Contohnya, memberi salam dalam solat seperti yang terjadi dalam kes puan. Pertamanya kita perlu mengetahui adakah memberi salam termasuk rukun solat atau tidak.

Saya memetik buku Indahnya Hidup Bersyariat mengenai memberi salam, iaitu memberi salam pertama adalah termasuk rukun solat. Salam kedua adalah sunat. Apabila puan sudah melaksanakan salam pertama, maka puan mengakhiri solat. Justeru, tidaklah menjadi hal apabila puan terdedah aurat tangan selepas puan melaksanakan salam pertama.

Apabila menyebut mengenai aurat wanita dalam solat, keseluruhan badan adalah aurat, kecuali muka dan dua pergelangan tangan. Sekiranya terbuka aurat walaupun tidak sengaja seperti ditiup angin adalah batal. Namun jika dapat ditutup dengan cepat maka tidaklah batal. Wallahua’lam.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url