Islam Agama Yang Mudah
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Jikalau tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku menyuruh mereka bersugi ketika setiap kali sembahyang.”
Riwayat at-Tirmidzi
Huraian :
1. Al-sunnah merupakan sumber penting di samping al-Quran dalam pengambilan dasar undang-undang dan petunjuk dalam beribadat.
2. Rasulullah SAW memilih perkara yang lebih mudah untuk umatnya selagi tidak menjadi suatu dosa di sisi Allah sesuai dengan sifat agama Islam itu sendiri yang berpegang pada prinsip ringan, mudah dan kurang membebankan.
3. Dalam masalah ibadat terdapat berbagai kelonggaran yang diberikan (rukhsah) bagi memberi kemudahan untuk orang yang di dalam musafir, sakit atau menghadapi kepayahan (darurat) bergantung pada situasi yang dialami. Hal ini berlaku kerana dengan kemudahan dan keringanan yang diberikan, diharapkan manusia akan terdorong ke arah kebaikan dan akhirnya dapat berpegang teguh dengan ajaran Islam.
4. Setiap hukum dan perundangan yang digariskan di dalam Islam bukanlah untuk menyulitkan manusia tetapi untuk mengawal keselamatan dan menjamin kesempurnaan hidup mereka seluruhnya.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia