Remaja Nepal jadi lelaki paling pendek
POKHARA, Nepal - Seorang remaja Nepal, Khagendra Thapa Magar diisytiharkan sebagai lelaki paling pendek di dunia oleh seorang pegawai Guinness Book of World Records, Marco Frigatti semalam.
Magar yang setinggi 67 sentimeter (sm) dan berat 5.5 kilogram (kg) mengambil alih gelaran itu daripada Edward Nino Hernandez dari Colombia yang setinggi 70sm.
Dia diumumkan sebagai lelaki paling pendek di dunia selepas umurnya genap 18 tahun sekali gus menepati syarat Guinness Book of World Records yang hanya menyenaraikan individu berumur 18 tahun ke atas sebagai pemegang rekod dunia.
Majlis pengisytiharan itu diadakan di sebuah hotel di Pokhara barat Kathmandu, Nepal.
Semasa dilahirkan, beratnya cuma 600 gram.
Pada tahun depan, dia menjadi duta muhibah yang dilantik pemerintah sempena Tahun Melawat Nepal.
"Saya sangat gembira dan teruja," kata Magar yang merupakan anak seorang penjual buah-buahan.
Dia mempunyai adik lelaki berusia 13 tahun yang mempunyai ketinggian normal.
Doktor-doktor tempatan gagal menjelaskan punca yang menyebabkan tubuh Magar tidak membesar.
Dr. Hum Prasad Newpane yang menjadi doktor Magar sejak lima tahun lalu berkata, struktur tubuh remaja itu seperti budak tiga tahun dan dia berfikir serta berkelakuan seperti kanak-kanak.
- AP