Panduan Kesihatan menghadapi musim banjir
Selain kerugian harta benda, penduduk di kawasan yang terlibat atau berisiko akan banjir dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memelihara kesihatan dan mengelakkan kecederaan semasa banjir .
Begitu juga penyakit berjangkit seperti kencing tikus dan campak, orang ramai perlu bersedia berhadapan dengan kes ringan seperti batuk, selesema, demam dan jangkitan penyakit kulit.
Justeru itu, mereka yang mengalami tanda-tanda penyakit berkenaan perlu mendapatkan rawatan segera.
Ibu hamil dan pesakit
Bagi ibu hamil yang hampir bersalin, sediakan dan simpan kelengkapan bersalin dan untuk anak yang bakal lahir di tempat yang mudah dicapai. Adalah lebih baik jika tempat tinggal semasa banjir berada berdekatan dengan hospital atau di luar kawasan banjir , sama ada di rumah saudara, hotel dan seumpamanya.
Pastikan juga dokumen penting seperti mykad, kad antenatal dan lain-lain dokumen penting dibawa bersama untuk kegunaan dan rujukan semasa bersalin. Dapatkan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika berlaku kecemasan.
Ibu hamil yang jauh lagi tempoh untuk bersalin perlu memasti tempat tinggal, pusat pemindahan atau rumah saudara yang selamat dan sehampir mungkin dengan bantuan jika berlaku kecemasan.
Pesakit kronik yang sedang mendapatkan rawatan pula, pastikan bekalan ubat mencukupi dan juga pastikan kad rawatan dan dokumen penting lain tidak hilang.
Jika berada di pusat penempatan sementara banjir, hubungi mana-mana pegawai kesihatan atau perubatan untuk bantuan jika bekalan ubat habis atau hilang, dan jika mempunyai tanda-tanda penyakit tertentu.
Mereka yang memerlukan rawatan penyakit berkala seperti hemodialisis, maklumkan kepada pegawai berkenaan untuk bantuan atau dipindahkan ke pusat yang mempunyai peralatan bersesuaian.
Ahli keluarga bagi pesakit yang terlantar juga dinasihatkan mendapatkan bekalan ubat secukupnya lebih awal untuk pesakit. Kenderaan yang sesuai perlu untuk memindahkan pesakit jika keadaan banjir semakin teruk atau diarahkan oleh pihak berkuasa.
Elak kecederaan dan jangkitan penyakit
Jangkitan penyakit, terutamanya bawaan air adalah suatu kebiasaan semasa dan selepas musim banjir. Air banjir mengandungi banyak jenis kuman (virus, bakteria, fungus) dan parasit (seperti cacing) akibat bercampur dengan air kotor dan air kumbahan.
Air banjir juga berkemungkinan mengandungi serpihan berbahaya seperti kayu, kaca dan bahan kimia yang boleh menyebabkan kecederaan. Pastikan anda berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan memandangkan bantuan mungkin sukar diperoleh sementara kuman pula mudah memasuki luka kecederaan, walaupun kecil.
Tahap kebersihan perlu diutamakan dan dijaga dengan baik bagi mengelakkan jangkitan kuman, terutamanya dari melalui salur penghadaman. Ini paling utama bagi golongan kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung dan juga pesakit yang lebih terancam jika dijangkiti kuman melalui makanan (dan air) tercemar atau dari luka kecederaan.
Amalan penjagaan kebersihan dengan membasuh tangan menggunakan sabun dan air yang bersih amat perlu ketika:
* Sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan
* Selepas ke tandas
* Selepas membuat aktiviti pembersihan
* Selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau air kumbahan
Jika anda berpindah atau ditempatkan di pusat pemindahan sementara, ikut arahan pihak berwajib bagi mengelakkan masalah dan ketidakselesaan kepada mangsa banjir lain. Pastikan anda tidak mengabaikan kebersihan diri dan juga pusat pemindahan tersebut untuk keselesaan dan menjaga kesihatan bersama mangsa banjir lain.
Jangan membuang sampah di merata tempat (jelaskan kepada anak-anak) dan gunakan tong-tong sampah yang disediakan. Pembuangan sampah di merata tempat akan meningkatkan risiko penyakit, pembiakan haiwan pembawa penyakit dan mengganggu keselesaan orang lain.
Hubungan silaturahim yang baik perlu diwujudkan sesama mangsa banjir untuk menghadapi bencana alam ini. Selain itu, amalkan kesihatan mental yang baik dan jangan membuat pergolakan sesama mangsa banjir .
Penghuni pusat pemindahan perlu pastikan bekalan makanan dan minuman yang digunakan di pusat pemindahan bersih dan dimasak dengan sempurna. Segera maklumkan pihak berwajib jika berasa kurang sihat (cirit, muntah, demam) dan dapatkan rawatan dari pasukan perubatan di sana.
Selepas banjir
Walaupun banjir telah surut, masih terdapat ancaman tertentu yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan diri. Anda dinasihatkan supaya tidak kembali ke rumah sebelum dibenarkan dan disahkan selamat oleh pihak berkuasa.
Selepas kembali ke kediaman masing-masing, jangan terus memasuki rumah. Periksa dahulu kerosakan dinding, lantai, siling, pintu dan tingkap dan perhatikan tanda-tanda rekahan atau mendapan yang mungkin melemahkan struktur rumah.
Periksa paip saluran gas, wayar elektrik, peralatan elektrik dan bahan-bahan mudah terbakar di samping kerosakan pada tangki septik bagi memastikan jika berlaku pencemaran bahan kumbahan atau bahan kimia, serta kebocoran gas, air dan elektrik sekitar kediaman.
Gunakan kayu jika anda ingin mengalihkan sebarang halangan di sekitar kawasan rumah bagi mengelakkan serpihan tajam dan ancaman binatang berbisa. Periksa juga jika terdapat binatang seperti serangga berbisa yang berbahaya di luar dan dalam rumah.
Kerja-kerja pembersihan perlu dimulakan secepat mungkin di dalam dan luar rumah dan bersihkan juga semua peralatan yang bersentuh dengan air banjir menggunakan air bersih, sabun dan klorin. Ini dapat mengelakkan penularan penyakit dari takungan air banjir atau bawaan nyamuk yang membiak dalam air banjir .
Anda juga perlu menggunakan alat pelindung keselamatan semasa membersihkan rumah bagi mengelakkan luka dan kecederaan lain. Berhati-hati semasa mengalih atau membersihkan barangan elektrik dan bahan-bahan kimia berbahaya. Dapatkan rawatan segera jika berlaku kecederaan semasa kerja-kerja pembersihan.
- MINGGUAN MALAYSIA