Soal Jawab Agama: Berhati-hati bila bernazar
SAYA ada kemusykilan tentang bernazar. Sebelum berkahwin, saya ada bercita-cita bila anak sulung saya lahir, saya ingin berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Atas alasan membantu ekonomi keluarga, suami ingin saya terus bekerja. Kemudian saya berhasrat untuk berhenti kerja apabila anak sulung saya masuk tahun satu, atas alasan yang sama, saya tidak berhenti kerja sehingga kini (anak saya telah berumur 10 tahun).
Saya musykil apakah hasrat atau cita-cita saya itu dikira sebagai nazar yang tidak saya laksanakan kerana saya dapati pencapaian akademik anak saya itu agak lemah berbanding adik-adiknya. Adakah tidak tertunainya nazar itu punca kelembapan anak saya? Apakah yang harus saya lakukan?
JAWAPAN
Mengikut apa yang saya faham bahawa puan pernah bercita-cita untuk berhenti kerja bila dikurniakan cahaya mata. Niat yang sebegini tidak dikira nazar, kerana ini adalah hajat puan jika keadaan mengizinkan puan akan berhenti kerja tapi puan tidak dapat berhenti kerana kekangan hidup.
Nazar hendaklah dalam perkara ta'abbudiy (Ketaatan dalam melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT), berhenti kerja bukan suatu ketaatan kepada Allah SWT. Nazar yang ta'abbudiy ialah melafazkan niat nazar dengan suara yang agak boleh didengari oleh telinga sendiri.
Nazar yang disunatkan dan disukai Allah SWT ialah Nazar tabarrur, nazar berbuat kebajikan atau ketaatan, dengan berniat "Demi Allah aku akan bersedekah tiga ekor kambing." Nazar sebegini juga dinamakan nazar taqarrub, nazar mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Manakala pencapaian anak yang tidak cemerlang tiada kaitannya dengan niat puan. Jangan sesekali puan anggap ini sebagai hukuman Allah SWT. Sedang Allah SWT sangat pengasih lagi penyayang. Pencapaian anak-anak pastinya tidak sama. Kadang-kadang kita sebagai ibu bapa sangat ghairah untuk melihat keputusan yang sangat cemerlang daripada anak-anak kita.
Saya kira kita salah, sebab terlalu awal kita menghukum anak-anak itu kerana tidak cemerlang, atau tidak sehebat anak-anak orang lain. Mungkin juga pencapaian yang tidak cemerlang berpunca daripada kaedah didikan yang salah. Usaha lagi puan, Insya-Allah akan ada jalan keluar.
Namun suka saya perjelaskan sedikit maklumat dan perincian nazar ini seperti berikut. Sabda Rasulullah SAW daripada Aisyah ra daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka taatilah, dan sesiapa yang bernazar untuk mengingkari perintah Allah (berbuat maksiat) maka janganlah menderhakai-Nya. (al-Bukhari, no:6565, Abu Daud, no:3265, al-Tarmidzi, no: 1564, Ibn Majah, no: 2126 ).
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ketahuilah), apa sahaja Yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja Yang kamu nazarkan maka Sesungguhnya Allah mengetahui-Nya dan (ingatlah), orang-orang Yang zalim itu tidak ada sesiapa pun Yang dapat menolongnya. (al-Baqarah: 270).
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi Yang Diwajibkan Tuhan kepada-Nya), serta mereka takutkan hari (akhirat) Yang azab seksa-Nya merebak di sana sini. (al-Insan:7)
Nazar mempunyai dua macam iaitu;
- Nazar mutlak
Mewajibkan diri dengan sesuatu ketaatan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas apa yang diperolehi dan yang telah berlaku, sama ada berbentuk nikmat atau terhindar dari bala. Contoh bernazar setelah Allah melepaskannya dari kesengsaraan dan kesedihan atau Allah mengurniakannya dengan rezeki.
Nazar ini lafazkan setelah memperoleh nikmat atau terhindar dari sesuatu bala'. Nazar begini hukumnya adalah diharuskan. Manakala menurut Maliki disunatkan.
- Nazar mu'allaq
Iaitu bernazar untuk mentaati Allah swt sekiranya dia dikurniakan sesuatu yang dihajatinya atau dengan ketaatan atas sesuatu yang akan datang (belum berlaku). Juga bermaksud jika impiannya terlaksana. Nazar yang bersyarat begini hukumnya adalah makruh menurut kebanyakan ulama Syafi'i, Hanbali dan Maliki.
Ini kerana perbuatan taat yang mahu dilakukan bergantung kepada tercapai atau tidaknya apa yang dimahukan. Ternyata di sini bahawa amalannya itu bukanlah untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi dengan niat sebagai barang ganti.
Seolah-olah, Jika Allah laksanakan kemahuan aku, aku akan mendekatkan diri kepada-Nya, jika tidak, maka aku tidak lakukan. Ia disebut sebagai orang yang bakhil dan berkira-kira dengan Allah SWT.
Sebenarnya bagi saya kebanyakan apa yang kita nazarkan dalam mencapai sesuatu hajat perlu berhati-hati supaya tidak mengundang kemurkaan Allah SWT. Ini kerana ada di antara kita yang suka bernazar kemudian memungkiri nazarnya selepas mendapat apa yang dia mahu. Dengan demikian kita telah menanggung hutang dengan Allah SWT.
Peliknya manusia ini masa minta dan mohon kepada Allah SWT memang bersungguh-sungguh, tapi apabila sudah dapat, mereka buat-buat terlupa. Saya sedari hal ini apabila ada yang bertanya bahawa dia pernah bernazar pada tahun 1990. Nazarnya telah diperkenankan oleh Allah SWT pada tahun 1991 tapi sampai sekarang belum menunaikan nazarnya.
Sebab itulah saya fikir bahawa walaupun bernazar ini suatu yang harus dalam Islam tetapi ia seolah-olah mensyaratkan perlakuan kebajikan itu dengan sesuatu pemberian daripada Allah SWT. Sedang Allah SWT sangat luas pemberiannya yang kalau manusia hitung pasti tidak dapat membalasnya.
Oleh itu seperkara kena ingat di sini, jika nazar yang diucapkan disertakan dengan iktikad bahawa nazar yang dibuat ini memestikan hasratnya tercapai, atau beriktikad bahawa Allah SWT memperkenankan hasratnya disebabkan oleh nazarnya itu, maka iktikad seperti ini adalah satu niat yang buruk, keji dan rosak. Ia hampir kepada kufur. Ia termasuk di dalam dosa besar.
- UTUSAN