ICT kurang tenaga mahir

"Sepanjang tempoh tahun lalu saja, bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merekodkan antara 2,000 hingga 3,500 peluang pekerjaan setiap bulan,” kata Ketua Pegawai Teknologi laman web carian pekerjaan popular jobstreet.com Dr Albert Wong.

Beliau berkata, walaupun kekosongan ditawarkan dari semasa ke semasa oleh syarikat berkaitan, industri mengalami kekurangan tenaga kerja selain berhadapan masalah sumber manusia yang kurang menepati kriteria ditetapkan majikan.

Katanya, majikan memerlukan pekerja mahir dengan penggunaan perisian sumber terbuka (OSS) dan memprogram data dalam bidang teknologi maklumat.

“Faktor ini antara sebab sektor ini berada pada kategori paling sukar menemui calon sesuai. Bidang ini juga tidak banyak menerima permohonan daripada graduan.

“Keadaan berpunca daripada calon yang tidak yakin dengan saingan atau kehendak industri memerlukan tenaga mahir dengan OSS.

“Sedangkan perisian ini menjadi trend dalam industri ICT kerana aplikasinya tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dibangunkan,” katanya pada sesi perbincangan bersama media, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Kanan Perkhidmatan dan e-Pemasaran Red Hat Asia Pasifik, Alan Ho; Dekan Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan Management & Science University, Prof Dr Md Gapar Md Johar dan Sekretariat Open Source Developers Club Malaysia, Mohd Fazli Azran Malek.

Sementara itu, Md Gapar berkata, kemahiran OSS dalam kalangan pelajar perlu dipertingkatkan kerana sektor ICT mengutamakan berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, andaian mengatakan ICT kurang menyeronokkan juga menyebabkan pelajar kurang minat mendalami ilmu dan teknologi berkenaan.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya pendedahan mengenainya perlu diterapkan pada peringkat awal terutama membabitkan pelajar sekolah menengah.

“Golongan ini perlu mendapat gambaran umum mengenai ICT dan OSS. Usaha ini sekali gus menggalakkan mereka meminati mata pelajaran matematik.

“Ramai pelajar kurang sedar ICT bukan saja menyeronokkan malah banyak memberi manfaat. Contohnya melalui OSS kita bebas menggunakan, mengembangkan atau mengendali aplikasi tanpa membayar sebarang lesen kepada pencipta asal,” katanya.

Mohd Fazli pula berkata, pihaknya giat mempromosikan OSS sebagai teknologi perisian ke seluruh negara dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Multimedia dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia menerusi jelajah dan pameran pendidikan.

Katanya, kerjasama itu diharap dapat mencungkil lebih ramai bakat baru di peringkat sekolah dalam pembangunan perisian OSS.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url