Obsesi pengguna terhadap iPad
Selepas telefon pintar seperti iPhone dan Blackberry menjadi salah satu lambang gaya hidup masa kini, komputer tablet pula menjengah pasaran dan menjadi gajet yang mengujakan para penggemar teknologi.
Apple sebagai peneraju telah memperkenalkan iPad bagi melengkapi senarai gajet pintarnya yang menjadi koleksi penting penggemar jenama itu yang selama ini ’taksub’ pada iPhone dan iPod Touch.
Dikenali sebagai komputer tablet dalam kalangan pengguna secara umum, jenama Samsung pula tampil dengan Galaxy Tab diikuti Playbook oleh Blackberry yang memberikan tawaran hampir sama.
Bagaimanapun, bagi dua orang penggemar jenama Apple, Izaati Abdul Ghafur, 22, dan Ayu Roslan, 28, mereka mempunyai jawapan tersendiri apabila memilih iPad sebagai pelengkap gaya hidup.
Izzati baru sahaja membeli iPad sebulan yang lalu kerana tertarik dengan aplikasi permainan yang ditawarkan terutama Angry Birds yang dapat dimuat turun secara percuma melalui iTunes.
“Tetapi, sebab utama yang menarik perhatian saya dengan iPad adalah kerana jenamanya yang menjadi antara yang paling popular ketika ini. Memiliki gajet keluaran Apple merupakan satu kebanggaan buat pemiliknya,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Menurut Izzati, dalam masa sebulan menggunakan iPad, dia sudah memuat turun sebanyak 14 permainan secara percuma dan membeli sebanyak empat permainan lain yang berharga sekitar RM3.10 setiap satu.
Antara permainan lain yang dimuat turun adalah Restaurant City, Fruit Ninja, Monopoli, Simcity DLX dan Texas Poker.
“Walaupun iPad yang saya beli merupakan versi pertama dan tidak dapat digunakan untuk membuat panggilan telefon, saya masih membelinya walaupun ketika itu jenama Galaxy Tab menawarkan kelebihan itu.
“Tujuan utama saya memiliki iPad adalah untuk hiburan. Selain permainan saya dapat berhubung dengan rakan-rakan melalui rangkaian Internet dan perhubungan sosial seperti Facebook,” katanya.
Sehubungan itu katanya, selain kelebihan WiFi, dia memilih iPad yang menawarkan aplikasi Internet bina dalam melalui penyedia perkhidmatan Maxis yang mengenakan bayaran RM90 sebulan.
“Internet penting untuk sentiasa kekal berhubung. Selain itu dengan kelebihan navigasi, ia memudahkan pergerakan saya menerusi laman peta yang antaranya menyediakan maklumat mengenai restoran-restoran menarik di lokasi terdekat.
“Walaupun harganya agak mahal, tetapi secara keseluruhan perkhidmatan yang ditawarkan amat memuaskan,” katanya.
Aplikasi perniagaan
Bagi Ayu yang merupakan Pengarah Urusan Jari Spa di Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur, dia membeli iPad selepas dua bulan produk itu memasuki pasaran. Jika Izzati aktif menjadikannya sebuah gajet hiburan, Ayu pula menjadikan iPad sebuah peranti yang membantunya dalam perniagaan.
“iPad merupakan gajet yang berguna sekiranya kita tahu kegunaannya secara menyeluruh. Saya melengkapi iPad dengan aplikasi Microsoft yang membantu saya menyimpan dokumen penting yang saya gunakan untuk tujuan pembentangan bersama klien perniagaan.
“Oleh itu, penting untuk seseorang yang membeli iPad untuk mengetahui tujuan membeli gajet ini serta mengetahui kebolehannya secara optimum. Jika tidak, ia merupakan satu kerugian,” katanya.
Sebab utama yang menarik perhatian Ayu terhadap iPad adalah saiznya yang muat di dalam beg tangan. Bagaimanapun, pengaruh jenama Apple merupakan elemen penting sebelum dia membuat keputusan membelinya.
“Apple adalah jenama peneraju. Walaupun ada produk komputer tablet pesaing di pasaran kini, saya menganggap iPad adalah keluaran terbaik dan tidak boleh ditandingi jenama-jenama lain.
“Saya menggunakannya setiap masa kerana ia adalah sebahagian kehidupan dan perniagaan spa yang saya jalankan,” katanya.
Pantau bisnes
Menurut Ayu, melalui iPad dia dapat memantau perkembangan spa menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dari mana-mana sahaja kerana ia tampil dengan kelebihan konsep mobiliti.
“Tidak seperti komputer riba, iPad amat ringan oleh itu ia tidak membebankan sekiranya perlu dibawa selain kemas dimuatkan di dalam beg tangan.
“Selain itu, iPad penting bagi saya sebagai pengguna Internet kerana selain dapat berhubung dengan rangkaian perhubungan sosial, saya perlu kekal berhubung dengan rakan-rakan, klien dan pelanggan melalui e-mel,” katanya.
Katanya lagi, tidak terhad kepada fungsi perniagaan, Ayu juga tidak ketinggalan memanfaatkan aplikasi hiburan yang ditawarkan iPad. kelebihan iTunes yang boleh dimuat turun secara percuma menjadikan pengalaman menggunakan iPad lebih menghiburkan.
“Selain memuat turun fail-fail permainan dan lagu-lagu, saya juga berkongsi fail-fail hiburan dengan rakan-rakan yang menggunakan iPad, iPhone atau iPod.
“Permainan yang disediakan juga sentiasa hadir dengan versi terkini, sama ada boleh dimuat turun secara percuma atau boleh dibeli dengan harga AS$0.99 (RM3.10) sahaja,” katanya.
Tambahnya, aksesori iPad banyak di pasaran, oleh itu penggunanya dapat tampil bergaya mengikut cita rasa masing-masing.
“Untuk tampil berbeza dengan pengguna iPad lain ialah dengan menggunakan aksesori seperti sarung iPad yang boleh dibeli di kedai aksesori Apple berdekatan,” katanya.
Menurut laporan dari Apple, beberapa aplikasi iPad berbayar berasaskan produktiviti muncul dalam senarai sepuluh tertinggi di seluruh dunia.
Antaranya adalah perisian yang menyimpan data halaman, pengiraan dan nota. Ada di antara program tersebut, termasuk aplikasi suit Microsoft Office berharga AS$10 (RM31) untuk dimuat turun.
Aplikasi GoodReader dan WolframAlpha adalah yang teratas dalam senarai muat turun tersebut.
Senarai aplikasi percuma yang dimuat turun pula kebanyakannya bersifat pengumpulan data dan hiburan. Google Earth, Amazon's Kindle, Pandora Radio dan Netflix adalah natara yang muncul dalam kategori tersebut.
- KOSMO!
Samsung Galaxy Note 8.0, 10.1 atau Samsung Tab 10.1 memang lebih berkualiti dan lebih banyak faedah berbanding iPad yang orang tak berapa tahu...