Pendidikan prasekolah asas penting
Ia satu petanda baik kerana membuktikan ibu bapa khususnya pasangan muda hari ini mementingkan pendidikan anak mereka. Sikap itu sepatutnya berkekalan dan bukan hanya bersemangat pada awal persekolahan saja, kemudian menyerahkan bulat-bulat kepada sekolah dan guru untuk mendidik anak mereka menjadi insan berilmu.
Murid Tahun Satu sekarang jauh berbeza berbanding pada zaman dulu. Kalau dulu pada hari pertama persekolahan, kita akan lihat ramai murid yang menangis, malah ada yang meronta-ronta tidak mahu ke sekolah. Ada ibu bapa yang terpaksa menunggu lama di luar bilik darjah, sesetengahnya sampai berhari-hari untuk memastikan anak mereka itu duduk di dalam kelas mengikuti pembelajaran.
Berbeza dengan kanak-kanak sekarang yang lebih ceria, berani, tidak malu, yakin dan bijak bercakap. Sudah tidak ramai lagi yang menangis atau meronta apabila ditinggalkan. Inilah satu daripada kebaikan sistem pendidikan awal kanak-kanak, khususnya prasekolah di negara kita. Malaysia diiktiraf mempunyai sistem pendidikan awal kanak-kanak yang lebih terancang berbanding banyak negara lain. Kita membuka peluang seluas-luasnya kepada semua kanak-kanak mendapat hak pendidikan awal dengan sempurna.
Sebelum melangkah ke Tahun Satu, mereka diberi pendedahan awal pembelajaran menerusi pendidikan prasekolah, sekurang-kurangnya selama setahun. Pendidikan prasekolah adalah program membabitkan perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun. Pembelajaran mereka lebih tertumpu kepada proses menyuburkan potensi diri dalam semua aspek termasuk perkembangan dan menguasai kemahiran asas serta memupuk sikap positif sebagai persediaan memasuki alam persekolahan.
Pendidikan prasekolah juga memberi pendedahan asas kanak-kanak kepada suasana pergaulan dan pengenalan asas mengenali huruf dan angka. Seterusnya mengembangkan potensi diri kepada kebolehan membaca, menulis dan mengira (3M). Selain itu, mereka juga diberi pendedahan asas jawi dan agama. Bagi kanak-kanak yang cepat belajar, selain kemahiran 3M, ada di kalangan mereka yang sudah boleh membaca doa.
Walaupun prasekolah bukan pendidikan wajib, amat penting bagi ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pendidikan prasekolah, sama ada di taman didikan kanak-kanak (TADIKA) atau taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA), seawal usia empat tahun. Malangnya masih ramai ibu bapa yang mengabaikan pendidikan prasekolah. Sebab itulah masih ada segelintir murid yang takut dan menangis apabila melangkah ke alam persekolahan. Bagi mereka suasana itu adalah persekitaran baru dan mengambil masa lama menyesuaikan diri untuk mengenali rakan baru di sekeliling mereka serta guru masing-masing.
Apa yang lebih merugikan lagi ialah murid ini akan ketinggalan berbanding rakan mereka yang pernah mengikuti pendidikan prasekolah yang sudah mampu menguasai kemahiran asas 3M. Kita dapat melihat perbezaan ketara dari segi kemampuan dan kebolehan pelajar ini dengan murid yang pernah mengikuti pendidikan prasekolah. Ada sekolah terpaksa mengambil langkah mengasingkan murid ini dengan murid yang belum menguasai kemahiran asas 3M untuk tempoh masa tertentu.
Sesetengah ibu bapa tidak dapat menerima langkah pengasingan murid yang dilakukan pihak sekolah, sehingga ada yang melenting kerana mendakwa guru bersikap pilih kasih. Tetapi langkah itu dilakukan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, supaya guru dapat mengendalikan latihan intensif agar murid ini dapat menguasai kemahiran asas 3M, yang sepatutnya dikuasai ketika mereka berada pada peringkat prasekolah.
Hantar anak ke TADIKA kenalah ikut kemampuan. Ibu bapa juga perlu bijak memilih TADIKA yang benar-benar baik dan sesuai untuk anak mereka. Ia bukan saja berdasarkan kepada reputasi TADIKA itu tetapi juga bagaimana ia mampu memberikan didikan positif dan pembelajaran yang membina kepada anak kita. Di negara ini terdapat banyak jenis pendidikan prasekolah kerana kita tidak mempunyai dasar menyeragamkan pendidikan prasekolah, sama ada dari segi sukatan pelajaran mahupun yuran. Ada yang mengenakan yuran bulanan agak tinggi terutama TADIKA milik swasta dan ada juga yang rendah serta berpatutan. Bahasa pengantarnya juga berbeza-beza.
Misalnya kelas prasekolah TABIKA KEMAS yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat. Walaupun tempat dan kemudahan Tabika ini tidaklah setanding dengan milik swasta, tetapi dari segi keselesaannya tidak banyak beza. Sehingga hujung tahun lalu terdapat seramai 200,417 kanak-kanak yang mengikuti kelas di 8,816 TABIKA KEMAS.
Sukatan pelajarannya juga sesuai dengan pembesaran dan perkembangan minda kanak-kanak. Kini terdapat 9,541 tenaga pengajar di TABIKA KEMAS dan daripada jumlah itu seramai 726 orang memiliki diploma. Selebihnya pula memiliki sijil asas pendidikan awal kanak-kanak. Mengikut perancangan jabatan itu kini sedang menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk meningkatkan kemahiran guru TABIKA KEMAS.
- BERITA HARIAN