Kekalkan kehangatan rumahtangga
Dunia rumah tangga boleh diibaratkan seperti lautan yang ada pasang surutnya. Ada masanya pula ia bergelora dan ombak akan mengganas menghempas pantai. Begitulah juga dengan kehidupan berumah tangga ada masanya gembira dan bahagia, kadangkala dirasakanbegitu membosankan sehingga berlaku pergaduhan.
Walau bagaimana rapatnya hubungan suami isteri, tetap akan berlaku pertelingkahan kecil atau terbit rasa tidak puas hati. Perkara seperti ini mudah berlaku, ibarat lidah dan gigi pasti akan tergigit juga.
Adakah situasi begini sememangnya lumrah dalam rumah tangga? Atau ia boleh diatasi?
Tetapi cuba renung kembali kenapa semasa dilamun cinta, semuanya terlalu indah dan membahagiakan? Mengapa kehangatan cinta itu tidak kekal lama?
Keterujaan cinta hanya sementara dan selepas itu kehangatan dan keterujaan cinta menjadi pudar. Jika cinta masih kekal pun, ia tidak sehangat dulu. Tetapi lebih menyedihkan lagi, ikatan cinta berakhir dengan perpisahan.
Selain tiada persefahaman, ramai juga yang menyatakan mereka mudah bosan selepas tempoh masa tertentu perhubungan.
Benarkan keghairahan hubungan cinta tidak dapat dikekalkan? Atau menjadi lumrah kehangatan cinta hanya berlangsung dalam tempoh tertentu?
Apatah lagi selepas menjengah ke alam rumah tangga, kehangatan cinta akan semakin pudar.
Bagi kebanyakan pakar psikologi, keterujaan dan kehangatan hubungan percintaan bergantung kepada pasangan terbabit.
Keghairahan semasa menempuh alam percintaan terjadi kerana ketika itu masing-masing sering mengungkap kata cinta, merungkai isi hati dan saling menghargai.
Apabila hubungan sudah terpatri, ramai yang mengabaikan kata-kata cinta dan perasaan. Apatah lagi mengambil tahu isi hati pasangan masing-masing.
Seolah-olah, sudah ketahui bahawa mereka menyanyangi pasangan masing-masing. Sedang perasaan cinta harus dibelai setiap masa.
Tatkala itu, kehambaran cinta akan menerpa dan banyak yang tidak dapat menyelamatkan hubungan.
Pada ketika itu cinta mulai memudar dan perlahan. kasih sayang terhadap pasangan mulai surut menghilang.
Seharusnya kita harus menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi setiap masa.
Semua orang suka dibelai dan dikasihi apatah lagi pasangan suami dan isteri. Mengapa selepas berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Kenapa cinta boleh hilang di kalangan mereka yang sudah kahwin? Lagi menggerunkan apabila sudah lama kahwin.
Percayalah cinta tidak hilang begitu saja dengan sekelip mata, tetapi mungkin cinta mula pudar apabila salah seorang mula hilang fokus.
Maka kerenggangan pun datang yang membawa mudarat kepada perhubungan.
Keadaan diburukka lagi oleh komitmen yang semakin menipis di samping kejujuran turut pudar.
Lama-kelamaan mahu pandang pun malas dan masing-masing mula membuat hal sendiri.
Ketika itu, timbul perasaan jelak dan benci kepada pasangan. Pasangan mula sudah bosan hanya perpisahan sahaja yang boleh membahagiakan.
Kalau kita mahu pastikan cinta terus kekal hingga ke akhir hayat, pastikan cinta sentiasa segar dan tidak pudar.
Komitmen dan kejujuran adalah sesuatu yang penting dan perlu dibajai setiap masa. Yang paling penting hormat-menghormati pasangan kita.
Dalam situasi ini lakukan aktiviti bersama. Tidak salah jika si suami mengikuti isteri belajar memasak.
Mungkin dari situ timbul perasaan kasih seorang isteri kerana dirinya dihargai suami.
Situasi ini sering diabaikan oleh banyak pasangan. Sebenarnya, tahukah kita bahawa pasangan kita adalah cerminan diri kita sendiri.
Tunjukkan sayang anda dan jadikanlah hubungan anda sesuatu yang realistik bukan 'plastik'.
- UTUSAN