Muzium guna Internet tarik pengunjung

LONDON - Semakin banyak muzium terkemuka di dunia kini menggunakan Internet dan laman rangkaian sosial untuk menarik minat mereka yang tidak terfikir untuk ke pameran seni.

Melalui satu klik, sesetengah galeri terkenal di dunia boleh dilawati seperti di alam nyata, walaupun sebelum ini ia tidak mungkin berlaku.

Melalui projek Google Art, baru-baru ini, sebanyak 17 muzium terkemuka termasuk MoMA di New York dan Galeri Negara di London dapat dilawati melalui penggunaan teknik 'Pandangan Jalan' memasuki pintu galeri tersebut.

Antara galeri seni yang kerja seninya dapat ditonton secara terperinci di dalam Internet ialah The State Hermitage di Saint Petersburg, Rijksmuseum di Amsterdam dan Tate Britain di London.

Walaupun, setiap muzium tersebut mempunyai laman webnya sendiri, namun mereka mempunyai alasan kukuh untuk bekerjasama dengan Google.

"Kami perlu mencari semua lapisan pengguna Internet di mana saja mereka berada dan Google mampu menawarkan teknologi kepada kami.

"Penggunaan gigapixel iaitu sistem resolusi tinggi untuk mengambil gambar lukisan adalah sesuatu yang sangat baru," ujar wakil Palace Of Versailles, Laurent Gaveau, satu-satunya muzium Perancis yang turut serta dalam projek Google itu.

Apabila menekan butang fokus, pelawat boleh menyaksikan hasil seni seperti karya Pieter Bruegel yang terkenal, The Harvester secara terperinci.

Inovasi lain ialah kesenangan melakukan lawatan maya menerusi laman web www.googleartproject.com sekitar muzium terlibat, sama ada melihat secara terperinci setiap lukisan ataupun berjalan-jalan di sekitar bangunan itu.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url