Perkeso buru majikan tak mencarum
Ketua Eksekutif Perkeso, K. Selvarajah (gambar) berkata, operasi yang dikenali Ops Kesan Perkeso itu berjalan serentak seluruh negara melibatkan 1,500 anggota penguat kuasa.
"Operasi ini akan berjalan selama sebulan bagi mengesan semua majikan yang masih gagal mencarum untuk pekerja masing-masing di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 di bawah Seksyen 3 (1)," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Jelasnya, sepanjang tahun lepas, sebanyak 4,452 majikan diambil tindakan undang-undang kerana gagal mendaftarkan pekerja dan lewat melaporkan kemalangan.
"Sebanyak 3,939 majikan telah dikompaun membabitkan jumlah keseluruhan RM2,342,350 dan 513 majikan telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda RM346,730 manakala 669 majikan sedang diambil tindakan," jelasnya.
Ditanya anggaran majikan yang masih belum mencarum untuk tahun ini, Selvarajah berkata, anggaran majikan terlibat mungkin melebihi 4,000.
Beliau menegaskan, jika majikan terlibat tampil mendaftar sebelum tarikh operasi bermula, pihak Perkeso tidak akan mengenakan sebarang kompaun.
Ujarnya, sehingga kini, terdapat lebih 700,000 majikan berdaftar dengan Perkeso dan sebanyak 340,000 majikan masih aktif mencarum pekerja masing-masing.
"Jumlah pekerja yang dicarum oleh majikan kini mencecah 5.5 juta orang," ujarnya.
- KOSMO!