Tan Sri Muhammad Ali Hashim - Bisnes sebagai satu budaya
Tan Sri Muhammad Ali Hashim merupakan tokoh yang tidak perlu diperkenalkan. Jangan sesiapa berani menafikan kredibiliti dan keupayaan anak kelahiran Johor itu di pentas bisnes. Mantan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) itu telah melakukan satu pencapaian yang sangat luar biasa.
Sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada entiti korporat yang dikendalikannya selama hampit tiga dekad, beliau meninggalkan satu nama dan legasi perniagaan yang cukup hebat. JCorp kini mempunyai lebih daripada 280 anak syarikat dan membuka pintu rezeki kepada lebih 65,000 pekerja. Terlalu banyak kejayaan yang dilakar hingga boleh dijadikan satu buku bersiri.
Syarikat konglomerat semasa pentadbirannya juga mencipta satu sejarah dunia. JCorp dilabel syarikat pertama yang mentransformasikan JCorp kepada Perbadanan Wakaf pertama di dunia. Akhbar melaporkan, JCorp mewaqafkan saham bernilai RM200 juta (nilai aset bersih) kepada Waqaf An-Nur Corporation Bhd. Seterusnya, pada tahun 2007, syarikat itu sekali lagi mewaqafkan saham miliknya di dalam TPM Management Sdn. Bhd. yang memiliki premis membeli-belah Larkin Sentral di Johor Bahru bernilai RM50.3 juta.
Katanya : “Bisnes bukan sekadar mencari keuntungan, tetapi bisnes itu adalah jihad.”
Muhammad Ali masih sibuk seperti dulu. Beliau masih merupakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). Terkini, beliau adalah seorang penulis buku.
“Saya ingin berkongsi pengalaman saya bersama J-Corp dengan pembaca, justeru saya menulis buku yang bertajuk Bisnes Satu Cabang Jihad.
“Karya ini bukannya menumpukan kepada strategi atau teknik pengurusan tetapi mahu mengajak masyarakat Islam menghayati dan membudayakan bisnes secara serius,” katanya yang juga menulis buku bertajuk Membujur Lalu : Suatu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan.
Buku setebal 240 muka surat itu mengandungi pecahan empat bab utama iaitu Mengenggam Pedoman, Membisneskan Budaya, Membudayakan Bisnes dan Mendaki Ombak yang antara lain mengupas tentang krisis ekonomi Asia dan cabaran serta ancaman korporat Barat.
Bisnes sebagai pekerjaan
Buku itu mengajak orang Melayu menjadikan perniagaan atau bisnes satu kerjaya serius supaya tidak ketinggalan, melonjakkan pendapatan semua, langsung meningkatkan taraf hidup menjadi bangsa maju.
Sebagai seorang Muslim yang arif dalam selok-belok perniagaan, Muhammad Ali melihat, orang asing sering melontarkan persepsi bahawa Islam adalah sebuah masyarakat yang kecundang dan antibisnes.
“Justeru, saya ingin membangkitkan semangat orang kita agar segera menjadikan bisnes sebagai teras kekuatan dan ketahanan Islam.
“Pada masa sama, saya menyeru agar mereka menyuntik nur Islam dalam amalan dan gerak kerja perniagaan yang dijalankan, jangan terpedaya dengan budaya kapitalisme Barat,” tegasnya yang turut mengadakan ceramah-ceramah bisnes berlandaskan prinsip jihad di seluruh negara.
Secara kesimpulannya, buku itu menyeru masyarakat Islam memahami peranan dan mengiktiraf potensi bisnes dalam mengatasi krisis dan ancaman sekali gus membina kekuatan dan kekebalan ekonomi dalam mempertahankan hak dan kedudukan.
Buku yang akan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris ini kata Muhammad Ali, bukan saja sesuai dirujuk kepada usahawan malah kepada pelajar sekolah menengah dan mahasiswa. “Sesungguhnya, budaya perniagaan harus diterap sejak kecil, tambahan, seruan agama menyatakan sembilan per sepuluh punca rezeki adalah melalui bisnes,” ujarnya yang akan mengeluarkan sebuah buku lagi pada April ini.
Hasil karyanya begitu menarik kerana Muhammad Ali turut menyelitkan beberapa peribahasa dan pantun yang mempunyai perkaitan secara langsung dengan dunia perniagaan.
Untuk keterangan lanjut mengenai jihad dan buku-buku terdahulu, layari www.businessjihad.com
- KOSMO!
adakah beliau seorng usahwan? dan bagaimana dia ceburkan diri dalam bidang perniagaan?