Kemahiran insaniah mantapkan graduan harung dunia pekerjaan

Oleh Mariana Yusoff
Dekan Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Sejak 2006, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mula memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi dan bersahsiah murni, selaras Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Tumpuan ini bersandar kepada matlamat teras iaitu untuk menghasilkan insan seimbang dan holistik dalam konteks jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Aspek keseimbangan dalam diri pelajar tidak berfokus kepada kecemerlangan akademik semata-mata, malah pembangunan sahsiah dan moral juga dititikberatkan. Justeru, KPT menghasilkan Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah untuk semua institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Objektif utama penghasilan modul ini untuk menerapkan kemahiran insaniah (KI) dalam kalangan graduan. Tujuh elemen cuba diterapkan untuk memastikan keseimbangan seseorang graduan ialah seperti kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawan, etika dan moral profesional dan kemahiran kepemimpinan.


Pada masa kini, wujudnya budaya persaingan yang begitu tinggi dan cukup ketara dalam konteks pekerjaan. Segulung ijazah tidak menjamin graduan akan memperoleh pekerjaan setimpal dengan kelayakan dimiliki. Banyak elemen atau kriteria lain dinilai majikan. Antara elemen yang menjadi perhatian utama ialah KI.

Dua isu yang sering diperkatakan ialah mengenai penguasaan kemahiran berkomunikasi terutama penguasaan dalam bahasa Inggeris dan graduan tidak berkemahiran dalam pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah. Bagi isu pertama, graduan dikatakan tidak menguasai kemahiran bertutur bahasa Inggeris dengan baik. Sebenarnya, mereka mempunyai idea bernas dan pengetahuan teknikal yang cukup mantap.

Masalah timbul ialah apabila mereka tidak berupaya melontarkan idea dan pengetahuan disebabkan tidak mempunyai kemahiran berbahasa serta perbendaharaan kata yang terhad. Keadaan menjadi bertambah rumit apabila mereka tidak memiliki daya keyakinan tinggi terhadap perkara yang ingin dibicarakan.

Isu kedua yang menjadi kebimbangan majikan ialah graduan dikatakan tidak berupaya memberikan pandangan dan idea yang kritis. Jika ada pun pandangan diberikan, kemahiran menyelesaikan masalah tidak dikuasai. Mereka masih belum berupaya mencari jalan keluar terhadap kritikan dilontarkan.
Persoalan yang timbul sekarang ialah bagaimanakah cara untuk menerapkan KI di kalangan pelajar? Sebenarnya, kejayaan dalam usaha menerapkan KI dalam diri pelajar perlu dilaksanakan secara bersepadu dan bersistematik. Langkah ini wajar dimulakan dari rumah.

Dalam konteks globalisasi pada masa kini, kegagalan ibu bapa menerapkan KI terhadap anak mereka akan dianggap sebagai suatu kekurangan. Menyedari hakikat ini, asuhan dan didikan ditanam oleh ibu bapa amat penting supaya anak terdedah dengan KI dalam konteks kehidupan seharian mereka.

Apabila anak melangkah ke institusi pendidikan secara formal, mereka akan melalui fasa pengembangan atau pembudayaaan awal. Dalam konteks ini, guru memainkan peranan dalam memberikan pendidikan secara formal dan tidak formal terhadap penerapan KI. Bakat dan kemahiran pelajar perlu digilap supaya pelajar dapat menghayati dan mempraktikkan KI yang dipelajari.

Kini, sudah tiba masanya kita menilai semula kaedah berorientasikan peperiksaan yang masih diamalkan sekarang. Kaedah ‘Outcome-Based Education’ (OBE) berfokuskan ‘Student-Centred Learning’ (SCL) sepatutnya diguna pakai kerana didapati lebih sesuai dengan arus pendidikan semasa.

Pada peringkat universiti, tumpuan perlu diberikan kepada usaha memantap dan mengukuhkan lagi kemahiran insaniah melalui program yang dirancang serta melalui aktiviti kokurikulum tambahan.

Bagi UTeM, pelajar senantiasa diberi ruang dan peluang untuk meningkatkan penguasaan mereka terhadap KI melalui pengalaman pembelajaran dalam industri. Dalam hal ini, pihak industri melalui program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’ menaja murid sekolah agar mereka berpeluang melalui pengalaman pembelajaran yang sama dengan graduan di universiti.

Saranan yang ingin diajukan ialah agar modul pembangunan KI dilancarkan pada peringkat sekolah rendah lagi. Matlamatnya supaya ada kesinambungan hingga ke peringkat tinggi. Penerapan KI akan lebih mudah dilaksanakan apabila semua pihak memahami aspirasi dan sasaran ingin dituju.

Harapan kita ialah ingin melihat kejayaan anak kita dalam bidang akademik dan juga KI.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url