Pelan baru premium mulai 2012

Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan pelan insurans kenderaan bermotor yang baru bermula tahun depan bagi menangani isu premium tinggi yang menjadi rungutan orang ramai.

Menurut kenyataan BNM yang dikeluarkan hari ini, pelarasan premium secara beransur-ansur itu bertujuan meningkatkan kecekapan dalam penyediaan perlindungan kenderaan selain memudahkan orang ramai membeli insurans pada harga berpatutan

Berikutan itu, premium insurans pihak ketiga bagi motosikal berkapasiti sehingga 110cc akan dinaikkan antara RM1 hingga RM3.50 setiap tahun dalam tempoh empat tahun berkuat kuasa 1 Januari 2012.

Bagi kereta persendirian berkapasiti di bawah 1,400cc pula, akan dinaikkan antara RM6 hingga RM34 setiap tahun dalam tempoh sama.

Menurut BNM, pelarasan tersebut akan menangani isu kadar premium yang tinggi dan kesukaran orang ramai untuk mendapatkan perlindungan kenderaan.

“Tarif kenderaan yang tidak pernah dikaji sejak 30 tahun menjadi punca utama kesukaran orang ramai ketika ini.

‘‘Walaupun kadar premium tidak pernah dinaikkan, bilangan pemilik kenderaan, kadar kemalangan dan tuntutan insurans telah meningkat dengan nyata,’’ kata BNM.

Bagi kenderaan perdagangan seperti teksi luar bandar dan bas, BNM menjelaskan kesan pelarasan tersebut kepada penumpang adalah kecil iaitu kurang 10 sen bagi setiap orang.

Kategori teksi sewa dan pandu yang jarang sekali membuat tuntutan insurans pula akan mendapat manfaat daripada premium yang lebih rendah atau kadar kenaikan yang kecil.

Sementara itu, pelarasan tersebut juga melibatkan pelaksanaan beberapa langkah bagi menyelesaikan tuntutan insurans kenderaan yang lebih cekap.

Antaranya penubuhan pusat panggilan 24 jam di seluruh negara untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa kemalangan termasuk mengeluarkan notis tuntutan dalam masa singkat serta membantu orang ramai membuat tuntutan insurans dengan cepat.

“Kesemua langkah itu itu akan mengurangkan tempoh menyelesaikan tuntutan daripada setahun hingga lima tahun kepada enam hingga 18 bulan,” menurut kenyataan BNM.

Kesemua langkah itu akan dipantau oleh Jawatankuasa Kerja Bersama (JWC) yang dipengerusikan oleh BNM dan disertai oleh agensi kerajaan, industri insurans dan persatuan pengguna.

Peraturan Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) yang mengenakan premium lebih tinggi kepada kenderaan berusia lebih daripada 10 tahun juga sedang dikaji supaya memastikan pemiliknya boleh mendapatkan premium lebih rendah atau sepadan dengan risiko kenderaan itu.

Dalam pada itu, BNM menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas syarikat insurans yang mewajibkan pemegang polisi membeli perlindungan tambahan yang bukan berkaitan kenderaan seperti polisi kemalangan diri.

Menurut kenyataan itu, sejak 2009, sebanyak 37 aduan jualan secara paksa dilaporkan dan diambil tindakan dengan wang bayaran premium dikembalikan kepada pemegang polisi.

‘‘Orang ramai yang menghadapi masalah untuk mendapatkan perlindungan kenderaan atau dipaksa membeli perlindungan lain boleh menghubungi BNM di Telelink 1300885465,’’ ujar kenyataan itu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url