Top Ad 728x90

Puziah - Dulu guru, kini usahawan


Senyuman yang sentiasa terukir pada wajah wanita berusia 46 tahun saat pertama kali bertentang mata, penulis tidak menyangka banyak cerita suka duka di sebalik kejayaan yang dikecapinya.

Ramah, mudah mesra dan tutur kata yang meyakinkan mungkin merupakan aset yang dieksploitasi bagi menempa kejayaan demi kejayaan. Namun, apa yang dimiliki pada hari ini bukan hasil yang digapai dalam sekelip mata.

Banyak babak jatuh bangun dalam drama kehidupannya bergelar ahli perniagaan. Bermula dengan kerjaya sebagai pendidik sehinggalah memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat menjadi ahli perniagaan sepertinya.

Kini, Puziah Saad, 46, anak kelima daripada lapan beradik yang dilahirkan pada 3 Januari 1965 itu menjadi tekong menguruskan syarikat Bella-Z Mutiara Marketing (M) Sdn. Bhd. dengan memegang jawatan sebagai pengarah urusan.

Apa yang dicapai pada hari ini merupakan kesinambungan minat berniaga yang mengalir dalam darahnya sejak kecil. Habis dijajah satu kampung menjual jagung, jambu dan barangan lain bagi membantu kehidupan keluarganya yang susah.

Selepas tamat persekolahan di Sekolah Menengah Teknik Melaka, Puziah melanjutkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dalam jurusan Sains Politik diikuti dengan mengambil Diploma Pendidikan Geografi.

“Oleh kerana keadaan ekonomi tidak bagus, peluang kerja tiada dan pada masa itu saya mengambil keputusan menjadi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane Kuala Lumpur dari tahun 1991 hingga tahun 1997.

“Walaupun ketika itu menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru, namun jiwa saya tidak sepenuhnya di situ kerana naluri ingin berniaga lebih kuat dan saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan jualan langsung,” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Puziah menceburkan diri dalam perniagaan jualan langsung secara sambilan supaya ia tidak mengganggu tugasannya untuk mendidik. Ketika mula-mula mengajar, Puziah mengadakan kelas tuisyen tetapi apabila menyedari ia tidak mampu memberikan pendapatan yang lumayan dalam masa singkat, ibu kepada tiga cahaya mata itu berhenti mengadakan kelas tuisyen selepas setahun.

Secara sambilan

“Perniagaan mula-mula saya ceburi ialah barangan keperluan rumah, Tupperware pada tahun 1991. Kerjanya tidak susah mana pun kerana barangan seperti ini mempunyai permintaan yang bagus.

“Walaupun buat secara sambilan, saya mampu memperoleh RM2,000 sebulan dan apabila saya lihat ada peluang yang lebih bagus saya terus mengorak langkah menjual produk kesihatan yang jualannya lebih memberangsangkan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Maluri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Telahannya tepat kerana jualan produk kesihatan sangat bagus. Dalam masa tiga tahun Puziah melakukannya secara sambilan, dia mendapat pendapatan sebanyak RM20,000 sebulan berbanding gaji guru pada ketika itu, RM1,119 sebulan.

Setelah beberapa ketika, syarikat tempat Puziah bernaung mengalami masalah dan dia kemudian beralih kepada syarikat lain yang menjual produk barangan kemas.

Permintaan produk yang sangat bagus membolehkannya mencipta kejayaan dalam tempoh tiga bulan sekali gus melayakkan menerima sebuah kereta mewah.

“Kekuatan saya adalah dalam bidang pemasaran. Tidak seperti produk kesihatan, produk barangan kemas sukar dijual dan ia memerlukan daya pujuk serta mempengaruhi pelanggan yang tinggi.

“Menjelang tahun 1997, negara dilanda kegawatan ekonomi dan ia memberi kesan kepada perniagaan yang saya ceburi sehingga terpaksa gulung tikar. Sudah tiga kali gagal, saya tidak sanggup nak buat perniagaan dengan orang,” katanya.

Minatnya lebih bertumpu dalam bidang perniagaan. Walaupun mengajar, pada masa yang sama, Puziah menjalankan jualan langsung.

Selepas tujuh tahun mengajar, Puziah tidak mengharapkan rezekinya di dalam bidang pendidikan. Akhirnya beliau nekad memberikan notis 24 jam sebagai guru pada tahun 1998.

“Saya perlu bayar sebulan gaji dan keadaan ketika itu kritikal. Tetapi saya tidak putus asa kerana bagi saya selagi ada akal, keberanian dan semangat, kita masih boleh berfikir untuk berjaya.

“Dengan pengalaman yang ada, tanpa menoleh ke belakang lagi, saya mengorak langkah melahirkan jenama De Bella dengan menggunakan segala kepakaran yang ada dan melancarkan produk ini pada bulan Julai 1998,” katanya yang bermodalkan RM250,000 dengan mencagar rumah dan menjual kereta.

Ternyata usahanya berhasil apabila bulan pertama jualan, Puziah memperoleh RM60,000 dengan permulaan tujuh jenis produk. Beliau dibantu oleh tiga orang staf yang terdiri daripada penjaga kaunter, bahagian pengurusan dan mengurus akaun.

Ia semakin berkembang dan mencatatkan perolehan RM150,000 pada bulan kedua dan akhirnya mendapat pulangan modal dalam masa enam bulan sahaja diikuti dengan keuntungan pada bulan-bulan seterusnya.

Dalam masa setahun iaitu antara tahun 1999 hingga tahun 2000 hasil jualan mencecah jutaan ringgit. Tidak menafikan bahawa di pasaran mempunyai lambakan produk yang sama, namun De Bella tidak gusar kerana punya pelanggan setia.

Lebih berani

“Sudah menjadi lumrah, dunia perniagaan ada pasang surutnya. Keadaan paling bagus ialah pada tahun 2003 dan tahun 2004 keadaan masih stabil lagi tetapi, pada tahun 2005 hingga tahun 2008 banyak yang berkecimpung dalam bidang perniagaan gagal.

“Sebab itulah pentingnya berjimat dan menyimpan ketika senang kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu yang gemar membaca buku-buku motivasi.

Saat ditanya siapakah idolanya, Puziah memberitahu, dia menjadikan seorang budak sekampungnya sebagai idola.

“Sungguhpun tidak lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP), kini dia telah bergelar jutawan walaupun hanya bermula sebagai penghantar surat.

“Kejayaan-kejayaan individu seperti inilah yang memangkin semangat saya untuk terus berjaya dan pada masa yang sama saya mahu orang lain juga jadi seperti saya dengan melahirkan usahawan,” katanya.

Puziah sempat menitipkan pesan buat wanita supaya lebih berani dan jangan terlalu bergantung kepada suami.

“Wanita kini perlu lebih berdikari. Andai kata berlaku sesuatu dalam rumah tangga, kita sudah ada sumber pendapatan sendiri,” tegasnya sambil memberitahu 95 peratus daripada pengedar De Bella ialah wanita.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90