Maybank2u.com dipertingkatkan
Timbalan Presiden dan Ketua Komuniti Perkhidmatan Kewangannya, Lim Hong Tat berkata, ciri-ciri baru itu mula diperkenalkan pada 27 Mac lalu dan ia berkaitan dengan proses log masuk serta transaksi-transaksi terpilih.
"Ciri-ciri terbaru ini akan melindungi para pengguna daripada tertipu oleh aktiviti-aktiviti penipuan yang membabitkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel 'phishing'.
"Melaluinya, ia akan menampilkan satu ciri unik ketika log masuk dengan paparan imej dengan frasanya sekali yang dipilih oleh pelanggan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Menurutnya, para pelanggan perkhidmatan tersebut perlu mendaftar hanya untuk sekali dan mereka akan dibantu untuk memilih imej serta frasa di samping menjawab beberapa soalan berkaitan peribadi yang sekali gus akan memberi satu maklumat lanjut sekiranya diperlukan pada masa depan.
Tambah beliau, ciri-ciri tambahan itu adalah sebahagian daripada program berterusan bank berkenaan untuk meningkatkan lagi penawaran perbankan internet serta melindungi para pengguna daripada terjebak dalam penipuan.
- KOSMO!