Amanah Mutual (AMB) lancar Dana Nabeel


KUALA LUMPUR 6 Julai - Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya, Amanah Mutual Bhd. (AMB), hari ini melancarkan produk terbaharunya AMB Dana Nabeel, sebuah dana pelaburan Islam jangka pendek dengan saiz dana bernilai RM200 juta.

AMB Dana Nabeel menerbitkan 400 juta unit amanah pada nilai setara 50 sen seunit dan boleh dilanggan mulai hari ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, AMB Dana Nabeel adalah dana pelaburan jangka pendek bagi individu dan korporat.

''AMB Dana Nabeel merupakan alternatif pelaburan bagi simpanan di bank dan dijangkakan memberi pulangan setiap bulan bergantung kepada keuntungan pelaburan.

''Terlalu awal untuk menjangkakan pulangannya, tetapi saya yakin ia lebih tinggi berbanding pelanggan menyimpan wang di bank,'' kata beliau selepas majlis pelancaran dana itu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Turut hadir, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Hamad Kama Piah berkata, antara keunikan AMB Dana Nabeel adalah tiada sebarang bayaran dikenakan untuk pembelian dan pembayaran semula unit dan keuntungannya dikecualikan cukai.

Pelabur individu disyaratkan membuat pelaburan sekurang-kurangnya RM5,000 dengan pilihan tambahan sekurang-kurangnya RM1,000 manakala pelaburan minimum bagi korporat pula adalah RM50,000 dengan pilihan tambahan RM10,000.

Sebanyak 90 peratus daripada dana tersebut akan dilaburkan dalam deposit patuh syariah jangka pendek dan instrumen pasaran kewangan dengan tempoh matang tidak lebih daripada setahun manakala 10 peratus lagi dilaburkan dalam pelaburan patuh syariah tidak lebih daripada dua tahun.

Sementara itu, Ahmad Sarji berkata, AMB kini menguruskan dana bernilai RM3.56 bilion manakala jumlah keseluruhan unit amanah yang diuruskan oleh PNB adalah 133.88 bilion unit.

''PNB mengusai lebih 44 peratus pasaran unit amanah berdasarkan bilangan unit dan 54 peratus pasaran berdasarkan nilai aset bersih.

''Kami berjaya mengekalkan status sebagai pengurus unit amanah terbesar untuk tempoh 30 tahun,'' tambah beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url