Keadilan dan kesaksamaan ekonomi Islam
AKHLAK memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Ini kerana, manusia hidup secara sosial, iaitu bermasyarakat antara satu sama lain.
Akhlak dalam segi bahasa adalah perangai, kelakuan, kebiasaan dan tingkah laku. Seorang ahli falsafah Islam terkenal Ibn Miskawaih mentakrifkan akhlak sebagai keadaan jiwa yang dapat mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.
Imam Ghazali pula menyatakan akhlak adalah suatu keadaan yang tertanam dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.
Jelas, melalui takrifan kedua-dua tokoh Islam itu, akhlak adalah suatu perbuatan yang menjadi kebiasaan. Ia berlaku secara spontan tanpa memerlukan justifikasi terlebih dahulu.
Maka, jika perbuatan itu menghasilkan natijah yang baik, maka ia dikira sebagai akhlak yang baik. Sekiranya ia boleh mendatangkan natijah yang buruk, maka ia akan dianggap sebagai akhlak yang buruk.
Perlu difahami bahawa baik atau buruk natijah sesuatu perbuatan itu ditentukan mengikut neraca pertimbangan syariah, bukannya pada persepsi manusia.
Tanda aras kepada akhlak yang paling tinggi kualitinya adalah akhlak yang dimiliki oleh Rasulullah SAW. Ini dibuktikan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (al-Qalam: 4)
Aspek akhlak itu mendasari semua perkara dalam syariat Islam. Bermula daripada perkara sekecil memotong kuku sehinggalah yang melibatkan pentadbiran semua negara.
Islam sangat menitikberatkan aspek akhlak kerana ia adalah agama fitrah yang diturunkan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia.
Begitulah dengan aspek ekonomi. Dalam Islam yang berbeza dengan sistem ekonomi kufur buatan manusia. Sistem ekonomi Islam adalah sempurna kerana bersumberkan kepada wahyu. Justeru, aspek akhlak merupakan teras yang tidak terpisah daripada semua aktivitinya.
Antara prinsip akhlaqiah dalam sistem ekonomi Islam adalah berpaksi di atas keadilan dan kesaksamaan. Prinsip ini dapat dilihat melalui keseragaman nilai yang mewarnai seluruh elemen dalam sistem ekonomi Islam. Ia bukanlah reka cipta minda manusia yang dipenuhi hawa nafsu dan perasaan tamak.
Ia tumbuh daripada benih yang diambil dari wahyu Allah SWT yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya, dunia dan akhirat. Maka, sistem ekonomi Islam bukan sahaja mementingkan hubungan dengan Allah SWT, tetapi mengambil kira hubungan manusia dengan manusia serta manusia dengan alam.
Dalam kerangka ini, nilai adil dan saksama diterapkan oleh Islam dalam pelaksanaan ekonomi.
Ini bermakna, mereka yang terlibat dalam kegiatan ekonomi tidak dipinggirkan oleh Islam dari terikat dengan adab serta akhlak (ta'dib wa tarbiah) yang dicernakan melalui aturan wahyu.
Prinsip ini mengajar manusia berlaku adil kepada manusia yang lain ketika berurusan. Jika seseorang itu menjadi penjual, maka dia perlu meletakkan dirinya sebagai seorang pembeli ketika berurusan. Apa yang diharapkan oleh seorang pembeli perlu dipenuhi dengan sewajarnya walaupun tidak dipinta oleh pembeli berkenaan.
Sebarang penipuan dalam urusan ekonomi khususnya yang melibatkan transaksi seperti jual-beli dianggap sesuatu yang zalim.
Dengan kata yang lain, mereka sebenarnya memakan harta saudara mereka secara batil. Hal ini dilarang oleh Allah (rujuk ayat 188 surah al-Baqarah).
Islam juga mengharamkan judi kerana ia bercanggah dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Apabila seseorang mendapat keuntungan dalam perjudian, dia sebenarnya telah memakan harta orang-orang lain secara batil walaupun mereka yang terlibat dengan perjudian itu meletakkan harta sebagai taruhan mereka secara sukarela.
- UTUSAN