Top Ad 728x90

,

Persempadanan Semula Tidak Langgar Prinsip Perlembagaan - SPR

Setelah lima kali urusan persempadanan bahagian pilihan raya Parlimen atau negeri dijalankan, ia tidak pernah melanggar Prinsip-prinsip Persempadanan yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

SPR menjelaskan jika dilihat kepada persempadanan yang diwujudkan, tidak ada satu pun sempadan bahagian pilihan raya yang melanggar sempadan negeri atau sempadan Dewan Undangan Negeri yang melanggar sempadan Parlimen.

Tindakan persempadanan semula itu selaras dengan Peruntukan yang ditetapkan di bawah Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan mematuhi Prinsip-prinsip Persempadanan yang digariskan mengikut Bahagian 1 Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

SPR membuat penjelasan itu dalam buku terbitannya bertajuk Penjelasan Terhadap Isu-isu Yang Dibangkitkan Mengenai Pilihan Raya.

SPR menjelaskan apa yang dilakukannya ialah seboleh-bolehnya sesuatu bahagian pilihan raya itu, sama ada bahagian Parlimen atau Negeri, diletakkan dalam satu daerah pentadbiran yang sama.

"Kecuali bagi beberapa bahagian pilihan raya tertentu di mana jumlah pemilih yang berkurangan, terpaksa diwujudkan satu bahagian pilihan raya Parlimen dari dua daerah pentadbiran yang berlainan seperti Kulim/Bandar Baru, Tanjung karang/ Kuala Selangor dan banyak lagi bahagian-bahagian pilihan raya parlimen di negeri Sabah dan Sarawak," kata SPR.

Menurut SPR tindakan pengwujudan satu bahagian pilihan raya dari dua daerah pentadbiran ini juga dianggap tidak melanggar prinsip-prinsip persempadanan yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

"Cuma dari segi pentadbiran, mungkin ada sedikit gangguan kepada wakil rakyat kerana mereka perlu menghadiri mesyuarat di lebih dari satu daerah pentadbiran.

"Berdasarkan pengalaman, tidak ada masalah besar yang dihadapi oleh wakil rakyat atau pihak berkuasa pentadbiran daerah kerana masing-masing memahami serta faham tugas yang telah dipertanggungjawab kepada mereka," kata SPR.

Mengenai isu pembersihan daftar pemilih, SPR menjelaskan ia tidak boleh mengeluarkan nama seseorang pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia dari senarai daftar pemilih tanpa mendapatkan maklumat sahih mengenainya dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Untuk itu, waris si mati perlu melaporkan kematian kepada JPN dengan segera bagi membolehkan JPN mengeluarkan Sijil Kematian dan mengemaskini pangkalan data mereka.

"Selepas JPN mengeluarkan Sijil Kematian dan mengemaskini pangkalan data, barulah SPR boleh mengambil tindakan susulan untuk mengeluarkan nama pemilih tersebut daripada daftar pemilih," kata SPR.

Berhubung isu tempoh berkempen, SPR berkata tempoh tujuh hingga sembilan hari yang ditetapkan suruhanjaya itu pada masa ini adalah bersesuaian bagi semua parti politik atau calon bebas untuk berkempen memandangkan ia tidak memerlukan setiap parti membelanjakan kos yang tinggi bagi pengeluaran bahan-bahan kempen.

Bagaimanapun, SPR akan terus mengkaji semua langkah pembaikan, termasuk memperuntukkan tempoh kempen yang lebih panjang sekiranya langkah itu boleh membawa kebaikan kepada semua pihak dan tidak menimbulkan isu keselamatan dan ketenteraman awam.

Mengenai isu akses media yang bebas dan adil pula, SPR menjelaskan parti pembangkang masih mendapat ruang kebebasan media untuk menghebahkan manifesto dan menjana propaganda mereka menerusi akhbar parti masing-masing selain mendapat keuntungan daripada kemunculan arus media baru.

"Namun begitu, perlu diingatkan bahawa kebebasan media bukanlah mutlak walaupun golongan pemainnya beranggapan bahawa kebebasan individu, kebebasan bersuara dan media adalah hak asasi. Ini kerana ia masih terikat dan tertakluk kepada had yang ditetapkan oleh undang-undang," kata SPR.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90