Semua Pejabat Kerajaan Wajib Buka Pendingin Hawa Bawah 24 Darjah Selsius

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengeluarkan satu pekeliling mengarahkan semua bangunan miliknya agar tidak membuka suhu pendingin hawa di bawah paras 24 darjah selsius.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, satu akta baru akan dibentangkan di Parlimen untuk membolehkan penguatkuasaan yang sama dilakukan ke atas pihak swasta.

Katanya sehingga akta baru itu dibentang, perdana menteri telah bersetuju dengan cadangan agar semua jabatan kerajaan menetapkan suhu pendingin hawa mereka pada paras 24 darjah selsius sahaja melainkan di tempat-tempat yang diklasifikasikan sebagai kritikal seperti di hospital dan sebagainya.

Katanya lagi, arahan baru ini akan dikuatkuasakan sebaik sahaja ketua setiausaha negara mengeluarkan pekeliling kepada semua jabatan dan pejabat kerajaan.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mesyuarat Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di sini, Khamis.

Menjustifikasikan keputusan terbaru ini, Peter Chin berkata, di setiap pejabat, sekurang-kurangnya 40% daripada tenaga elektrik disalurkan untuk menjana alat pendingin hawa.

Bagaimanapun, untuk setiap darjah selsius yang dikurang pada alat pendingin hawa boleh membantu menjimatkan bil tenaga elektrik sehingga empat hingga tujuh peratus.

“Dan 24 darjah selsius adalah tahap suhu yang memadai untuk membuatkan suasana selesa kerana ia tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk," ujarnya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Aziemah Gekozen Great Eastern Takaful
    Aziemah Gekozen Great Eastern Takaful Jumaat, 12 Ogos 2011 pada 5:01:00 PG SGT

    Satu usaha yang bagus untuk menjimatkan penggunaan tenaga dan memberi keselesaan bersama...^^,

Add Comment
comment url