Top Ad 728x90

Kad Nama Hanya Dibenarkan Kepada Pihak Pengurusan Tertinggi & Golongan Profesional Sahaja

Perbendaharaan Malaysia telah mengarahkan ketua-ketua jabatan kerajaan untuk mengawal percetakan kad nama dengan mengingatkan mereka bahawa keistimewaan tersebut hanya diberikan kepada pihak pengurusan tertinggi dan golongan profesional sahaja.

Mereka juga akan menetapkan jumlah kad nama yang dibenarkan untuk dicetak oleh para pegawai.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah berkata arahan tersebut telah dipersetujui dalam satu perbincangan meja bulat yang diadakan baru-baru ini dan harga yang ditetapkan untuk sekeping kad tidak melebihi RM1.

"Ketua jabatan perlu membuat keputusan mengenai reka bentuk kad nama dan mereka juga perlu membuat pesanan dalam bentuk pukal kerana harganya lebih murah," katanya.

Beliau berkata kad nama tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan rasmi termasuklah ketika berurusan dengan pegawai sektor swasta dan delegasi daripada luar negara.

Jelasnya, selain daripada nama dan pangkat seorang pegawai, maklumat lain seperti alamat dan emel rasmi perlu disertakan dalam kad nama berkenaan.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman ketika dihubungi berkata arahan tersebut perlu dikaji semula kerana semua kakitangan awam mempunyai hak untuk memiliki kad nama mereka sendiri. "Kita mempunyai ramai kakitangan awam yang berjawatan rendah seperti ketua-ketua unit dan penyelia dan mereka ini perlu berinteraksi dengan orang awam dan pegawai daripada sektor swasta.

"Golongan ini seharusnya dibenarkan memiliki kad nama sendiri supaya pelanggan mudah berhubung dengan mereka apabila mereka tidak ada di pejabat,” katanya sambil menambah bahawa memiliki kad nama sendiri dapat meningkatkan kenyakinan diri seorang pekerja.

Jelasnya dengan memiliki kad nama, ia juga memudahkan orang awam untuk membuat aduan secara terus kepada pegawai yang berkenaan.

Justeru, Omar menggesa kerajaan menimbangkan semula langkah tersebut kerana menurutnya kos untuk mencetak kad nama tidak banyak.

“Kami tidak mahu mereka yang berjawatan rendah berada sedih dan membesarkan hal ini.

"Kami tidak nampak ia satu masalah yang besar untuk membenarkan setiap kakitangan kerajaan mempunyai kad nama mereka sendiri,” katanya.

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90