Persoalan Agama: Hukum guna barang milik orang lain
SOALAN:
SAYA tinggal di asrama. Kawan-kawan saya sudah pindah dari asrama dan ada meninggalkan barang-barang termasuk makanan dan serbuk pencuci.
Bolehkah saya mengambil dan menggunakan barang-barang itu kerana jika tidak digunakan, apabila sampai waktu pembersihan bangunan, ia bakal dibuang pihak asrama.
Saya rasa sayang kerana ia masih boleh digunakan lagi. Apa hukumnya jika saya makan makanan itu? Saya tidak pasti sama ada mereka akan mengambil makanan itu semula atau sebaliknya.
JAWAPAN:
MENJUMPAI barang orang lain termasuk dalam hukum luqatah dalam fiqah Islam.
Terdapat beberapa hukum berkaitan antaranya pertama, harus menggunakan dan mengambil faedah termasuk memakannya sekiranya ia dianggap remeh dan kecil oleh masyarakat setempat seperti barang yang anda temui di asrama itu.
Ia adalah rukhsah yang diberikan Rasulullah s.a.w untuk diambil faedah.
Bagaimanapun, sekiranya anda pasti tuannya, hendaklah berhubung dan meminta izin. Lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan sistem pesanan ringkas (SMS) sekarang.
Kedua, haram menggunakannya apabila ia membabitkan benda besar dan berharga seperti kereta dan haiwan yang mampu hidup sendiri.
Ia hendaklah dibiarkan atau dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ini kerana tuannya dapat mencari benda yang hilang berkenaan. Umar pernah berkata: “Barang siapa yang mengambil haiwan yang sesat sesungguhnya ia bersalah.”
Ketiga, sekiranya ia antara benda yang dijumpai adalah pertengahan antara kedua-dua di atas seperti ikan, ayam dan barang-barang yang mudah rosak, seseorang boleh menilai dengan mengambil tindakan yang lebih baik sama ada menggunakannya sebagai hutang yang perlu dibayar apabila empunyanya ditemui, menjual dan menyimpan hasil jualan untuk diserahkan kepada empunya apabila ditemui.
Sekiranya barangan itu tidak mudah rosak seperti jam dan gelang, ia hendaklah dihebahkan di tempat orang ramai seperti masjid dan pusat masyarakat.
Selepas setahun, ia boleh dimiliki atau dijual dengan hasilnya dikira sebagai simpanan. Tetapi ia tetap hak milik orang lain dan perlu dipulangkan apabila ada tuan yang menuntut dan terbukti pemiliknya selepas siasatan. (Lihat juga ‘Hukum Luqatah (jumpa barang orang lain,’ http://muis.ismaweb.net/2010/03/e-g-hukum-luqotah-jumpa-barang-org-lain/)
- HARIAN METRO