Pengajaran : Dipukau kenalan usahawan
Kewujudan ilmu hitam di kalangan masyarakat hari ini yang mahu memenuhi impian mereka seolah-olah menjadi satu budaya permainan.
Biarpun ada yang menyatakan perkara seumpama itu di ruang lingkup kebenaran dan tidak mempercayainya, namun selagi manusia berdamping dengan syaitan bagi mendapatkan sesuatu semua perkara seperti ini sebenarnya tidak mustahil.
Ini yang terjadi terhadap Syidah (bukan nama sebenar). Biarpun sudah beberapa minggu berlalu, namun wanita ini masih dihantui trauma ditipu oleh kenalannya yang didakwa mengikis duitnya secara kuasa pukau.
Tidak pernah menjangka dirinya pada suatu hari akan menjadi mangsa kepada mereka yang menggunakan ilmu hitam, Syidah mahu mereka yang membaca kisah nasibnya ini agar sentiasa berhati-hati kerana ada sesetengah daripada kita suka menangguk di air keruh.
Syidah merupakan seorang wanita yang membina kerjaya sebagai seorang peniaga yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan penampilan.
Justeru, dalam mencari pengalaman dalam bidang ini sudah tentu memerlukan ramai kenalan serta modal yang bukan sedikit.
Sebagai orang baru Syidah berkenalan dengan seorang wanita separuh usia yang memperkenalkan dirinya sebagai usahawan yang berjaya dari pantai timur dalam sebuah konvensyen keusahawanan di ibu negara.
Pada mulanya hubungan Syidah dengan wanita ini terjalin ibarat mentor dan mentee serta Syidah menganggap wanita ini sebagai ibu angkat.
Syidah sanggup turun mendapatkan segala pengalaman dan tunjuk ajar yang diperlukan untuk menguruskan perniagaannya.
Lambat laun, wanita ini meminta Syidah memasukkan duit ke dalam akuannya kononnya untuk membantunya membayar produk yang dikeluarkannya.
Tanpa banyak soal, Syidah mengikut sahaja apa yang diarahkan. Fikir Syidah, jumlahnya pun tidak banyak hanya beberapa ratus sahaja.
Masuk minggu yang seterusnya, rupa-rupanya sudah lebih tiga kali Syidah membuat pengeluaran untuk dimasukkan ke dalam akaun wanita ini yang mendakwa perniagaanya sekarang berada dalam kerugian.
''Saya pun tidak faham. Kenapa saya menurut sahaja apa yang disuruh. Setiap kali dia perlukan duit biarpun pada tengah malam pasti saya akan bergegas bangun dari tidur memandu ke ATM berdekatan dan mengeluarkan duit yang ada seterusnya memasukkannya ke dalam akaun wanita ini.
''Malah apa yang peliknya, suami saya pun merelakan apa yang saya lakukan. Sedangkan selama ini dia yang menjaga kewangan akaun perniagaan saya. Dia juga akan turut membantu memandu kereta ke mesin ATM berdekatan untuk proses pengeluaran wang," jelasnya.
Apabila ditanya sama ada terdapat orang lain perasan dengan perubahan tingkah lakunya itu, Syidah berkata, pembantunya ada beberapa kali bertanyakan mengenai jumlah wang perniagaan yang merosot.
Namun Syidah sendiri tidak dapat memberikan jawapan.
Tambahan pula Syidah dan suami sudah tidak peduli pasal perniagaan lagi. Rumah tangga dan anak-anak juga semakin terbiar.
Rakan-rakan juga kehairanan dengan keadaan Syidah dan suaminya. Setiap hari apa yang dia lakukan ialah menunggu panggilan daripada wanita ini untuk diarahkan melakukan apa sahaja.
Dalam masa itu juga wanita itu menurut Syidah mengambil kesempatan membuka cawangan baru di sebuah kawasan di hulu Selangor.
Syidah memberitahu, dia dan suaminya juga yang turun padang membuka cawangan perniagaan wanita itu sedangkan wanita itu hanya mengarahkan dari rumahnya sahaja.
Sudah hampir empat bulan Syidah berkenalan dengan wanita itu dia dan keluarganya tidak pernah balik kampung bertemu dengan ibu dan bapanya.
Tuhan itu maha adil. Pada satu hari rakan Syidah memintanya berkunjung ke rumah. Kebetulan suaminya yang mempunyai kelebihan ilmu agama berada di rumah ketika itu.
''Dia menyatakan kami berdua ini sakit dan sentiasa di bawah pengawasan 'orang'. Selama tiga hari kami berulang-alik ke rumah kawan saya itu untuk dipulihkan.
''Alhamdulillah setelah pulih, saya dan suami seolah-olah tersedar kembali apa yang berlaku. Perlahan-lahan ingatan demi ingatan kembali ke benak saya semula.
''Sejurus selepas tersedar saya menjangkakan lebih RM50,000 telah diberikan kepada wanita ini tanpa kerelaan kami. Ketika memberikan wang itu sedikit pun tidak pernah terlintas di fikiran untuk menolak permintaan itu. Kami berdua seolah-olah berada dalam kuasa pukau," katanya.
Bagi membebaskan diri daripada wanita itu selamanya, Syidah mengambil keputusan berpindah rumah dan menukar nombor telefon dan semua barangan pemberian wanita itu telah dibuang dan berharap tidak berjumpa lagi dengan wanita itu.
Apabila ditanya mengapa tidak dilaporkan kepada polis mengenai kejadian itu, Syidah menjelaskan bagaimana kes itu akan dijadikan sebagai kes polis sebab ia berkaitan dengan kuasa pukau yang sukar untuk dibuktikan tambahan pula dia sendiri yang mengeluarkan wang dari akaunnya sendiri.
- UTUSAN