Sasar 30 Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia
Pasar raya yang menggunakan konsep itu mendapatkan bekalan bahan mentah secara terus dari jeti nelayan, selain mengimport barangan seperti sayur-sayuran tanpa kos ‘orang tengah’.
Inisiatif swasta yang diterajui Restoran Ikan Bakar Sekinchan (RIBS) selaku pemilik kedai ikan rakyat itu mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi inisiatif kumpulan berskala besar (pasar raya) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA).
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kedai ikan itu mampu menawarkan harga bahan mentah yang jauh lebih murah dari harga pasaran kerana bekalannya diperoleh secara terus dari sumber tanpa pembabitan orang tengah.
Katanya, pengurangan kebergantungan orang tengah membolehkan kedai itu menjual barangan basah purata 10 hingga 15 peratus lebih murah dari harga pasaran.
“Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia ini berbeza dengan Kedai Rakyat 1Malaysia yang menjual barangan tanpa jenama (menggunakan jenama 1Malaysia), kedai ini turut menjual produk harian berjenama dengan pengkhususan kepada bahan basah seperti ikan dan sayur-sayuran yang diperoleh secara terus daripada jeti nelayan atau diimport secara terus,” katanya selepas meninjau premis kedai ikan rakyat itu di Plaza Centrum Setiawangsa, di sini semalam.
Turut hadir pemilik RIBS dan Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos.
Jamal berkata, pihaknya mendapatkan bekalan terus dari Pantai Remis, Hutan Melintang dan Sekinchan selain turut membuat perbandingan harga harian di empat pasar basah utama di ibu negara iaitu Pasar Pudu, Chow Kit, Keramat dan Sentul bagi menetapkan harga.
“Kita juga buat promosi jualan setiap Isnin, misalnya semalam (kelmarin) kita jual ikan cencaru RM1.80 sekilogram berbanding RM6 harga pasaran... Semalam saja kita jual hingga lima tan ikan cencaru,” katanya.
Difahamkan antara bantuan kerajaan kepada pasar raya itu ialah dengan membekalkan bekalan bahan pada harga berpatutan melalui agensi kerajaan berkaitan.
Tinjauan mendapati harga ikan kembung dijual RM8.90 sekilogram (kg) berbanding RM14.50 harga pasaran, manakala cencaru, selar, pelaling, talapia dan keli dijual antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah.
Pembeli dari Hulu Klang, Abdul Mutalib Abdul Manan, 60, menyambut baik pembukaan kedai ikan rakyat yang memudahkannya mendapat bekalan barangan harian rumah pada harga rendah.
Sementara itu, Ismail Sabri ketika ditanya mengenai penjualan petrol subsidi kepada warga asing di kawasan sempadan berkata penempatan anggota RELA di 45 stesen minyak di Kelantan, Kedah dan Perlis berjaya menurunkan 30 peratus penyeludupan bahan bakar itu, dengan pemantauan berterusan dijalankan dari semasa ke semasa.
- BERITA HARIAN