Top Ad 728x90

Yayasan Terengganu henti hantar pelajar ke Mesir

KUALA TERENGGANU 18 Dis. - Kerajaan negeri menghentikan program penghantaran pelajar tajaan Yayasan Terengganu (YT) ke Mesir bagi bidang pengajian Islam kerana sebahagian sistem pengajian di negara itu didapati agak ketinggalan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sistem pendidikan di sesetengah pusat pengajian negara itu menyebabkan ada pelajar dari negeri ini yang terkandas pengajian mereka.

Katanya, ia juga berikutan kekecewaan kerajaan negeri dengan prestasi akademik dan masalah disiplin sebahagian pelajar, ditambah dengan faktor keselamatan di negara berkenaan.

"Sistem pengajian di negara itu agak 'kucar-kacir' manakala sebilangan pelajar turut terheret dalam agenda politik tertentu sehingga meminggirkan pelajaran mereka,'' katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Yayasan Terengganu (YT) kali ke-32 di Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Sehubungan itu, katanya, Terengganu memilih beberapa universiti di Jordan dan Maghribi untuk tajaan pelajar dalam bidang pengajian Islam seperti syariah, usuluddin, al-Quran dan perundangan.

"Saya sendiri pernah berjumpa dengan tiga naib canselor universiti terkemuka dari Jordan, mereka turut bersetuju dengan gambaran sistem pendidikan di Mesir," ujarnya.

Pada masa ini, kata Ahmad, terdapat kira-kira 700 pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir iaitu di Universiti Iskandariah, Universiti Mansurah, Universiti Tanta dan Universiti Al-Azhar.

Daripada jumlah itu, 247 pelajar di bawah tajaan YT adalah pelajar lama, manakala selebihnya ditaja pihak lain termasuk swasta dan persendirian.

Tambah Ahmad, walaupun kos pengajian di Jordan lebih mahal berbanding Mesir, Yayasan Terengganu yang memberi tajaan kepada pelajar terbabit sedia menaikkan jumlah pinjaman sekiranya diperlukan.

"Namun, tajaan pelajar bidang perubatan di Universiti Mansurah akan diteruskan kerana kita mendapati sistem pembelajarannya masih baik di samping kos pengajian yang rendah," jelasnya.

Pada majlis itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Petronas, Kemaman, Raja Akif Raja Zahiruddin diumumkan sebagai penerima Pingat Emas Yayasan Terengganu 2011 yang disampaikan Menteri Besar.

Anak jurutera Petronas Carigali itu memperoleh keputusan 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 dan membawa pulang wang tunai RM5,000, komputer riba serta sijil penghargaan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Bioteknologi dari Imperial College of London, United Kingdom, Mohd. Fridaus Samsudin pula menerima Anugerah Khas 2011 dan 44 lagi graduan menerima Anugerah Sarjana Terengganu 2011.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90