Berhenti selepas puluhan tahun merokok

Mana boleh. Susahlah nak berhenti. Nanti berat badan naik." Itu antara alasan yang lazim digunakan perokok apabila dinasihatkan berhenti merokok.

Bak pepatah Melayu hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Hakikatnya memang payah berhenti merokok. Tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil.

Pengalaman itu dikongsi beberapa pelanggan Klinik Berhenti Merokok (QSC) Institut Jantung Negara (IJN) pada Sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan di IJN, Jalan Tun Razak baru-baru ini.

Lebih dua tahun berhenti merokok! Itu kejayaan perokok tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Kali yang lebih 45 tahun merokok.

Dia yang berumur dalam lingkungan 70-an mula merokok ketika berusia 25 tahun.

Daripada beberapa batang sehari sehinggalah antara 50 hingga 60 batang rokok sehari sebelum dia mengambil keputusan menghentikan tabiat buruk itu.

"Mula-mula merokok, harga murah. Harga satu paket rokok 10 batang pada tahun 60-an sekitar 30 hingga 40 sen sahaja. Sekarang harga satu paket 20 batang sudah naik jadi RM10," kata Kali yang kematian isteri akibat barah payu dara kira-kira 12 tahun lepas.

Kesunyian menjadikan pesara kerajaan itu, terus merokok sehinggalah dia terasa kesempitan wang.

Wang pencennya habis digunakan untuk membeli rokok. Sebulan dia membelanjakan antara RM500 dan RM600 untuk rokok sahaja.

Kesedaran untuk berhenti merokok timbul apabila Kali menyertai program Hari Tanpa Merokok Sedunia anjuran IJN dan kemudian menyertai Klinik Berhenti Merokok IJN.

Kali mengaku tempoh awal berhenti merokok bukanlah mudah. Dia menjadi mudah marah dan untuk menghilangkan keinginan merokok, dia makan hingga berat badannya naik berlipat kali ganda.

Seorang lagi perokok tegar, Mohamad Lofti, 62, yang mula merokok pada usia 12 tahun memberitahu ketagihan merokok membuatkan dia tidak lagi puas dengan rokok-rokok biasa. Dia beralih kepada menghisap paip atau setidak-tidaknya Gudang Garam.

Lofti berkata dia pernah cuba berhenti merokok dua tahun lepas dan mengambil sejenis ubat untuk merawat ketagihan.

Bagaimanapun dia yang berjaya mengawal ketagihannya sepanjang bulan puasa, terpaksa akur kepada keinginan merokok apabila menghadiri jamuan Hari Raya, dua minggu selepas berakhir bulan Ramadan.

Bulan Ramadan 2011, dia mencuba sekali lagi untuk berhenti merokok dan sehingga pada hari perjumpaan Sesi Sokongan Berhenti Merokok, dia berjaya menahan keinginan merokoknya.

"Sekarang sudah lima bulan saya berhenti. Bukan mudah, kecuali anda perokok biasa," katanya.

"Nak hisap rokok tak perlu sifu tapi kalau nak berhenti kena cari sifu," demikian kata perokok tegar Zulkiflee Mohd Ramlan, 47, yang baru dua bulan berhenti merokok.

Beliau yang mula merokok ketika berusia sekitar 14 tahun, menghisap rokok sehingga 40 batang sehari sebelum ini dan telah beberapa kali mencuba untuk berhenti merokok.

"Tiga tahun saya belajar untuk berhenti merokok. Setiap kali bulan puasa, saya juga cuba berhenti merokok tetapi tidak berjaya.

"Kira-kira dua bulan lepas saya berhenti, itu pun bila saya kena serangan sakit jantung dan kena buat pembedahan pintasan jantung. Doktor berani bedah kerana paru-paru saya okay.

"Cuma doktor kata, saya pesakit paling degil yang pernah dirawatnya. Kenapa?

"Semasa nak kena bedah, saya dibenar pulang seminggu, doktor kata jangan merokok tapi bila balik ke rumah, saya merokok balik," cerita Zulkiflee.

Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung pada 27 Sept 2011 di IJN setelah didapati tiga saluran darah ke jantung tersumbat.

Zulkiflee nekad berhenti merokok kerana beliau diberitahu peluang untuk berjaya tipis sekiranya beliau perlu lagi membuat pembedahan pintasan jantung.

"Saya ingat anak yang masih kecil, hendak tak nak saya mesti berhenti merokok," katanya.

— BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url