Generasi muda berita RTM
BARISAN penyampai muda dan baharu penyampai berita RTM (dari kiri) Syah Hairizal, Farhatul, Fathil, Hanim, Shahril, Hazel, Kamal dan Athikah
SELAMA ini penonton setia saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah mengetahui mengenai peranan saluran media elektronik tersebut yang membawa mesej kerajaan dan menyampaikan maklumat, misalnya menerusi rancangan berita yang disiarkan setiap hari.
Biarpun terpaksa bersaing dengan stesen televisyen swasta untuk menarik perhatian penonton, namun RTM tidak pernah ketinggalan untuk melakukan beberapa perubahan bagi meningkatkan lagi mutu rancangan yang disiarkan.
Contohnya pada tahun 2009, stesen berkenaan telah melakukan penstrukturan apabila TV1 dijadikan saluran berita beroperasi selama 24 jam sehari serta dimuatkan dengan program berita, dokumentari, bual bicara dan majalah, manakala TV2 sebagai saluran hiburan yang membuatkan program berbentuk hiburan atau muzikal drama.
Ketua Penyampai Berita TV RTM, Fathil Hidayat Ghazali berkata, buat masa ini program berita RTM terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Berita Nasional, Berita Wilayah dan Berita Semasa.
"Untuk program Berita Nasional, ia akan disiarkan pada pukul 7 pagi, 1 tengah hari, 8 malam dan 12.30 tengah malam, manakala Berita Wilayah akan disiarkan selama sejam setiap hari pada pukul 5 petang.
"Menariknya tentang Berita Wilayah ini, ia lebih fokus kepada berita-berita di Sabah dan Sarawak dan lintas langsung akan dibuat dari studio mini di kedua-dua negeri tersebut. Selain itu, ada juga lintas langsung dari sebuah negeri di Semenanjung mengikut giliran pada setiap hari," ujarnya.
Tambahnya, Berita Semasa pula akan disiarkan sebanyak tujuh kali sehari iaitu pada pukul 9 pagi, 10 pagi, 11 pagi, 12 tengah hari, 3 petang, 4 petang dan 10 malam selama lima minit.
Mengenai kerjaya sebagai penyampai berita pula, Fathil menceritakan, bagi sesiapa yang baru ditugaskan sebagai penyampai berita RTM, mereka akan ditugaskan untuk menjadi penyampai Berita Semasa terlebih dahulu.
"Setelah diberi tugas sebagai penyampai Berita Semasa dalam tempoh yang ditetapkan, kemudian barulah mereka akan diserapkan untuk Berita Wilayah. Bagi program Berita Nasional pula, tugas penyampai biasanya diberikan kepada mereka yang lebih berpengalaman," jelasnya.
Lebih menarik lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, program berita di RTM sebenarnya telah menampilkan ramai penyampai berita yang terdiri daripada generasi muda yang sangat berbakat.
Malah, ada antara penyampai yang bakat mereka dikesan menerusi program realiti Penyampai Ikon RTM 2009 yang pernah dianjurkan sebelum ini dalam usaha untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penyiaran.
Antara penyampai berita RTM pada masa ini yang merupakan finalis program tersebut adalah seperti Shahril Sarapudin, Hazel Desmond, Athikah Mohd. Naim dan Kamal Firmanshah Kamaluddin.
Menurut Shahril Sarapudin yang kini bertugas sebagai penyampai Berita Nasional, dia sendiri tidak menyangka akan menjadi seorang penyampai memandangkan bidang pengajiannya di universiti sebelum ini adalah pengurusan bank.
"Sebenarnya saya merupakan penyampai berita paling muda di RTM dan sangat berbangga kerana sudah diberikan tanggungjawab untuk menjadi penyampai Berita Nasional, meskipun tidak mempunyai pengalaman yang luas.
"Saya memulakan kerjaya di RTM pada tahun 2010 dan bermula sebagai penyampai Berita Wilayah. Namun, saya selepas tiga bulan, terus saya diserapkan pula untuk menjadi penyampai Berita Nasional, " ujar pemuda berusia 22 tahun itu.
Sementara itu, menjadi penyampai berita bukan Melayu di RTM yang menyampaikan berita berbahasa Melayu, Hazel Desmond menganggap ia bukanlah satu masalah yang besar buat dirinya apabila ditugaskan menjadi penyampai Berita Nasional.
Tekanan kuat
Sebagai seorang gadis berketurunan Iban, proses menguasai penggunaan bahasa Melayu dirasakan sesuatu yang cukup mencabar dan dengan bantuan rakan-rakan serta kerap membaca buku, telah banyak membantu dirinya untuk bertutur dengan fasih.
"Saya menganggap ini adalah satu penghargaan yang cukup besar apabila ditugaskan untuk menjadi penyampai Berita Nasional. Tidak dinafikan tekanan yang dirasa agak kuat, tetapi peluang diperoleh haruslah digunakan sebaik-baiknya," ujarnya.
Bagi Athikah Mohd. Naim pula, tanggungjawabnya sebagai seorang penyampai Berita Wilayah sememangnya cukup menarik dan cara penyampaiannya juga agak berbeza berbanding Berita Nasional dan Berita Semasa.
"Boleh dikatakan gaya penyampaian untuk Berita Wilayah agak lebih santai, cuma ia memerlukan penghayatan yang lebih mendalam supaya sesuatu maklumat yang disampaikan itu dapat diterima penonton.
"Pada mulanya, memang perasaan saya agak gementar juga apabila diberi tanggungjawab ini. Namun, disebabkan minat yang cukup mendalam, saya mencabar diri sendiri bagi memenuhi cita-cita untuk menjadi seorang penyampai berita," ujarnya.
Athikah mengakui mempunyai keinginan yang besar untuk tampil menjadi penyampai Berita Nasional. Bagaimanapun, buat masa ini dia merasakan lebih selesa sebagai seorang penyampai Berita Wilayah.
Kamal Firmanshah Kamaluddin dalam pada itu berkata, dia melalui perjalanan yang agak sukar dan mencabar untuk menjadi seorang penyampai berita.
Ujarnya, masalah paling utama yang dihadapi dan kerap menghantui jejaka kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ialah sebutan slanga Sabahnya yang susah untuk diatasi ketika mula-mula bergelar penyampai berita dahulu.
"Dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi itu menyebabkan saya perlu berusaha dengan lebih keras untuk memperbaiki slanga saya. Kini, saya bersyukur apabila masalah tersebut akhirnya sudah dapat diatasi terutamanya dengan bantuan rakan-rakan," ujarnya.
Bidan terjun
Berbeza dengan keempat-empat orang penyampai berita yang dilahirkan menerusi Penyampai Ikon RTM 2009, pembabitan Syah Hairizal Kamalul Arifin pula adalah sebagai bidang terjun.
Dia memulakan kerjayanya di RTM sejak tahun 2001 sebagai seorang penyampai pengacara rancangan Infopsikik (TV2) dan wartawan untuk rancangan Titik Sentuhan (TV1).
"Kerjaya saya sebagai seorang penyampai berita bermula pada tahun 2008 apabila seorang penyampai Berita Semasa telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sepatutnya penyampai tersebut perlu menyampai berita pada pukul 3 pagi.
"Sedangkan semasa penerbit mendapat tahu tentang kejadian kemalangan itu, masa yang ada tinggal lima minit sahaja lagi sebelum Berita Semasa disiarkan. Akhirnya, saya telah dipilih oleh penerbit kerana sudah kesuntukan masa untuk mencari pengganti," jelasnya.
Mengenai perasaannya apabila diberikan tanggungjawab memikul tugasan yang telah diberikan, katanya: "Tidak dapat dibayangkan perasaan saya ketika itu kerana tiada sebarang persediaan yang dilakukan, apatah lagi ia disiarkan secara langsung dan tempoh lima minit dirasakan cukup lama. Namun, selepas itu saya terus ditawarkan untuk menjadi penyampai berita."
Sementara itu, penyampai Berita Wilayah, Farhatul Aishati Othman atau Farah memberitahu, dia berminat untuk menjadi seorang penyampai kerana menggemari dua orang penyampai berita senior RTM iaitu Farid Ismeth Amir dan Harjit Singh Hullon.
Ujarnya, selepas menamatkan pengajian peringkat Diploma Pemasaran di Kolej Multimedia pada tahun 2009, dia terus ditawarkan untuk menjadi pengacara di RTM menerusi rancangan Panorama yang disiarkan di saluran TV1.
"Memandangkan saya tiada sebarang pengalaman dalam bidang pekerjaan, akhirnya saya bersetuju untuk berkhidmat dengan RTM sebagai pengacara. Namun, minat saya yang mendalam untuk menjadi penyampai berita tetap ada.
"Tidak lama kemudian saya telah dipindahkan ke bilik berita TV RTM dan diberi tanggungjawab untuk menjadi penyampai Berita Semasa. Biasanya saya akan ke udara pada pukul 3 atau 4 pagi, tetapi tidak kisah kerana menjadi penyampai berita merupakan impian saya," ujarnya.
- KOSMO!