Soal Jawab Agama : Zakat emas dan barang perhiasan
SAYA amat suka mengumpul barang kemas, sama ada diperbuat daripada emas mahupun intan dan berlian. Soalan saya, apakah yang dimaksudkan dengan barang-barang kemas atau perhiasan itu?
Adakah semua barang yang dijadikan perhiasan perlu dizakatkan? Adakah harta perhiasan selain emas dan perak, seperti intan, berlian, mutiara dan sebagainya, wajib ditaksirkan nilainya dan dikeluarkan zakat ke atasnya?
JAWAPAN:
Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran pada surah Ali Imran ayat 14: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak.
Sesungguhnya, emas dan segala macam perhiasan dunia hari ini, bukan sahaja disukai oleh wanita; bahkan sudah ramai lelaki Islam yang memakainya. Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah memberikan ingatan: "Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki (daripada kalangan) umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka." (riwayat at-Termizi)
Bahkan, jika ditinjau pada kebiasaan manusia pun, sesungguhnya kedudukan wanita dan perhiasan amatlah rapat. Allah SWT memang menjadikan wanita itu indah dan sesuailah jika wanita menggemari keindahan dan mengenakan perhiasan pada dirinya. Bahkan, dengan barangan perhiasan yang dipakai oleh wanita, akan bertambah indahlah diri dan dapat melunakkan hati para suami hingga lahirlah mawaddah wa rahmah di antara mereka.
Nabi Muhammad SAW menyatakan: "Tiga perkara yang disukai olehku daripada dunia, iaitu wanita yang halal, wangi-wangian dan rasa seronok dalam solat." (riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)
Merujuk kepada soalan puan di atas, iaitu apakah yang dimaksudkan dengan barangan kemas atau perhiasan? Dalam hal ini, ittifaq dalam kalangan fuqaha bahawa yang dimaksudkan dengan barangan perhiasan yang dikenakan zakat itu adalah segala item yang disandarkan kepada emas dan perak. Ia bermakna, semua barangan yang diperbuat daripada emas dan perak, sama ada dipakaikan di badan ataupun dijadikan perhiasan di rumah atau bangunan, ia adalah emas perhiasan.
Namun begitu, Rasulullah SAW telah menegah umat Islam daripada menggunakan perhiasan rumah daripada emas dan perak, seperti mana sabda Nabi SAW yang dilaporkan Huzaifah bin Yaman r.a: Janganlah kalian minum dalam bekas (yang diperbuat) daripada emas dan perak, dan janganlah mengenakan pakaian sutera, kerana pakaian sutera itu untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia dan untuk kalian di akhirat kelak. (riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun, fuqaha telah bersilang pendapat sama ada emas yang dijadikan perhiasan ini wajib dikeluarkan zakat ke atasnya atau tidak. Namun begitu, pandangan yang sederhana dan diterima pakai di negara ini ialah, semua emas perhiasan adalah tunduk kepada zakat seandainya ia berlebihan daripada uruf. Manakala, emas yang tidak dijadikan perhiasan (simpanan), wajib ke atasnya apabila beratnya mencapai nisab, yakni 85 gram.
Ini jelas, apabila emas perhiasan itu sudah berlebihan daripada uruf maka ia bermakna, emas yang dipakai itu sudah melebihi daripada kebiasaan dan termasuklah ia dalam kondisi bermewah-mewahan, maka wajarlah ia dizakatkan.
Manakala, segala perhiasan yang dihasilkan daripada bahan selain emas dan perak, seperti batu permata, intan, mutiara dan sebagainya, maka telah ittifaq para ulama fiqh bahawa tidaklah dikenakan apa-apa zakat ke atasnya. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya: "Tidak terjadi perselisihan pendapat di antara para ulama mengenai perhiasan wanita selain emas dan perak, bahawa barang-barang tersebut tidak perlu dikeluarkan zakat; kecuali apabila untuk diperdagangkan." (Ensaiklopedia Fiqh Wanita, hal. 38).
Ini bermakna, seandainya barangan perhiasan daripada selain emas dan perak itu dijana hingga mendatangkan pendapatan atau penghasilan (seperti disewakan atau dijual), maka pada saat itulah ia menjadi takluk atau tunduk kepada zakat, iaitu dikenakan ke atas hasil yang dijana daripadanya sebagai zakat pendapatan atau zakat perniagaan.
Pandangan ini turut dilontar oleh seorang ulama Hambali, iaitu Abu Wafa' Ibn Akil seperti mana yang telah diterakan di dalam kitab Ibnu Qayyim dan kemudiannya dicuplik oleh al-Qaradawi di dalam kitabnya Hukum Zakat (hal. 442).
Suka juga ditambahkan di sini, biarpun Islam mengharamkan para lelaki Muslim memakai emas sebagai perhiasan; namun jika mereka masih memakainya sebagai perhiasan diri, hakikatnya ia masih wajib dizakatkan. Hukum memakainya adalah haram; namun kewajipannya tetap tidak terlepas dan masih juga wajib dizakatkan jika ia melebihi uruf.
Kesimpulannya, harta-harta perhiasan seperti emas dan perak adalah wajib dizakatkan, manakala perhiasan daripada batu-batu permata, intan, mutiara, ambar (sejenis batu dari perut ikan) dan sebagainya tidaklah wajib dizakatkan, kecuali ia dijadikan sewaan atau jualan hingga mendatangkan hasil. Wallahua'lam.
- UTUSAN