Top Ad 728x90

,

Formula kejayaan Dr Tengku Asmadi


AIR MUKANYA tenang, bersifat kebapaan dan mempunyai intonasi suara yang lembut - membuatkan hati mudah terusik ketika mendengar ceramah motivasinya.

Inilah kelebihan Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad, 48.

Kepayahan waktu kecil banyak mengajar Pengarah Urusan dan Perunding Motivasi MAP Trading & Consultancy Sdn. Bhd. (MAP) ini erti kehidupan yang sedikit sebanyak mempengaruhi personalitinya.

Beliau bertekad melakukan perubahan taraf hidup dan akhirnya berjaya!

Ketika dalam tahun dua pengajian ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan di Universiti Sains Malaysia (USM), beliau bertanya dekan cara melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di bawah pembiayaan universiti.

"Saya diberitahu untuk mendapat tawaran tersebut, seseorang itu mestilah pelajar terbaik dalam jurusan yang diambil.

"Justeru, saya bekerja keras untuk mendapat keputusan baik dan selepas meraih ijazah, memohon menjadi felo di USM dan melanjutkan pelajaran ke Australia. Disebabkan keputusan cemerlang, saya tidak perlu menjalani program itu, sebaliknya terus membuat PhD," katanya.

BerubahSelesai menamatkan PhD pada 1993, Tengku Asmadi bertugas sebagai pensyarah USM di kampus kejuruteraan di Tronoh, Perak. Waktu itu, beliau mula menjalankan bisnes kecil-kecilan menerusi perniagaan jualan langsung (MLM) bagi menambah pendapatan.

"MLM lah yang banyak mengasah bakat saya bercakap di depan orang ramai. Selepas itu, saya mula memenuhi permintaan untuk berceramah dan menyedari bakat bidang itu.

"Saya sebenarnya seorang yang pemalu tetapi berusaha memperbaiki kelemahan itu," ujarnya.

Pada 1995, beliau nekad berhenti sebagai pensyarah dan mula menganjurkan program motivasi pelajar pada tahun berikutnya.

" Saya diberi peluang muncul di kaca televisyen membicarakan mengenai anak pada tahun 2000. Saya bersyukur kerana selepas itu peluang semakin terbuka luas dan muncul memberikan motivasi pelajar di hampir semua rangkaian televisyen tempatan," katanya

PoligamiPada masa lapang, beliau lebih suka menghabiskan masa bersama keluarga.

Bagi lelaki yang mempunyai dua keluarga, cabaran paling sukar adalah membahagikan masa secara adil. Namun, tidak bagi Tengku Asmadi.

Beliau menggunakan sistem giliran dua hari bagi setiap isterinya.

"Ada yang menggunakan sehari untuk setiap hari bagi setiap keluarga. Bagi saya, masa itu tidak mencukupi. Maklumlah saya mempunyai anak-anak yang juga mahukan kualiti masa bersama saya. Kadang-kadang ada urusan yang perlu saya lakukan bersama keluarga yang mungkin mengambil sedikit masa. Faktor-faktor inilah yang menyebabkan saya memperuntukkan masa dua hari.

"Jika ada kecemasan yang berlaku, saya akan mengutamakan hal tersebut. Jadi, tiada masalah kerana isteri-isteri saya sangat memahami," ujarnya yang sudah 10 tahun berpoligami.

Sayangnya, isteri pertama beliau, Norsarina Zakaria tidak sempat bersama untuk sesi fotografi Pancawarna lantas dia mencadangkan ia dilakukan di kediaman Tun Nurul Huda Abdul Rahim, 29.

Bagi Tengku Asmadi, itulah yang dikatakan muafakat kerana setiap kali mahu menyelesaikan masalah, beliau akan bertanyakan pendapat kedua-dua isterinya.

"Untuk berpoligami sebenarnya bukan mudah. Yang paling utama, si suami perlu mempunyai kekuatan mental. Jika tiada kekuatan, mudahlah bagi seorang lelaki melafazkan cerai.

"Selain itu, lelaki juga perlu mempunyai kesabaran tinggi dan ilmu untuk membina hubungan keluarga yang baik selain kebijaksanaan untuk melaksanakan poligami," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90