Sarapan bantu fokus belajar
Dalam mengejar rentak kehidupan masa kini, tanpa disedari, kita mengabaikan waktu makan baik untuk diri sendiri mahupun anak-anak terutamanya pengambilan sarapan.
Hal ini tidak mengejutkan kerana kajian menunjukkan seorang daripada tiga orang kanak-kanak tidak mengambil sarapan hampir dua hingga tiga kali seminggu.
Setiap hari, badan kita berpuasa untuk tempoh waktu selama empat hingga lapan jam (tempoh yang lebih lama bagi kanak-kanak) semasa kita tidur.
Badan kita akan terus membakar kalori sepanjang malam walaupun kita tidak membuat pergerakan yang banyak.
Oleh yang demikian, selepas bangun tidur, badan memerlukan penggantian nutrien yang hilang ketika tidur supaya mempunyai tenaga mencukupi untuk memulakan hari yang sempurna.
Sejajar dengan usaha untuk mendidik kanak-kanak mengenai pengambilan makanan bernutrisi sempena Bulan Nutrisi Malaysia, Milo telah melaksanakan beberapa lawatan ke sekolah-sekolah bagi mendapatkan testimoni daripada kanak-kanak mengenai sarapan.
Testimoni pelajar
"Kebiasaannya saya tidak mengambil sarapan setiap hari kerana saya mengambil makanan yang banyak pada waktu makan malam.
"Oleh itu, saya tidak rasa bahawa sarapan pada waktu pagi itu perlu kerana tidak berasa lapar," kata S. Kiandra yang berumur enam tahun.
Seorang pelajar tingkatan tiga, Lim Jean Jin turut berkongsi pendapat yang sama. Dia hanya mengambil hidangan pertama pada waktu rehat bersama-sama rakan-rakan lain yang tidak mengambil sarapan pagi.
Selain anak-anak di sekolah, ibu bapa juga mempunyai pandangan mereka sendiri mengenai sarapan pagi.
Ibu kepada dua orang anak yang merupakan seorang suri rumah, R. Deepa, 33, bagaimanapun mempunyai perspektif yang berbeza mengenai pengambilan sarapan.
"Sejak saya masih kecil, pengambilan sarapan sangat penting dan sentiasa dititikberatkan oleh kedua ibu bapa saya.
"Kini, saya juga menerapkan budaya sarapan pagi kepada anak-anak saya. Walaupun mereka bangun lambat, saya akan pastikan mereka minum secawan Milo sebelum pergi ke sekolah," katanya yang menyediakan pilihan sarapan sama ada bijirin, oat atau roti bagi mendidik anak-anaknya mengenai pengambilan sarapan sihat.
Dalam pada itu, bapa kepada dua orang anak, Damien Seo Chee Leong, 36, memberitahu bahawa dia dan isteri akan bergilir-gilir menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak.
"Saya akui, kadangkala kami berdua tidak mempunyai masa untuk menyediakan sarapan untuk mereka sebelum ke tempat kerja terutamanya apabila terlewat bangun.
"Jika tidak sempat buat sarapan, saya akan memberikan wang saku lebih supaya mereka membeli makanan di kantin sebelum kelas bermula," ujarnya.
Tumpuan lebih baik
Kanak-kanak bersetuju bahawa mereka dapat memberi tumpuan yang lebih baik terhadap pembelajaran tanpa diganggu bunyi perut yang berkeroncong dan mata yang layu kerana mengantuk.
"Apabila saya mengambil sarapan, saya dapat merasai perbezaannya kerana dapat memberikan tumpuan yang lebih baik dan menyerap pembelajaran dengan lebih pantas.
"Saya tidak akan mengantuk sewaktu kelas berlangsung dan mempunyai tenaga yang lebih untuk melaksanakan aktiviti pendidikan jasmani," kata Mohamad Shafrie Yusri, 15, yang sentiasa tertunggu-tunggu loceng waktu rehat kerana tidak mengambil sarapan.
Selama bertahun-tahun, kajian telah membuktikan secara konsisten bahawa sarapan sememangnya dapat membantu pembangunan minda dan tubuh seseorang dengan lebih baik
Hasil kajian David Benton dan Pearl Y. Parker dari Jabatan Psikologi Universiti Wales-Swansea, United Kingdom pada tahun 1998 membuktikan bahawa pengambilan sarapan sebenarnya membantu mempertingkatkan daya penyerapan dan penyimpanan maklumat bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Bagi membolehkan anak anda memulakan harinya dengan penuh bertenaga, bekalan sumber tenaga yang mencukupi amat diperlukan dan sarapan berkhasiat amat penting.
Minuman nutrisi
Gandingan baik bagi sarapan yang sihat dan berkhasiat ialah minuman Milo panas kerana ia mengandungi Actigen-E dan Protomalt, kombinasi lapan jenis vitamin, empat jenis mineral dan sumber tenaga yang banyak untuk menjana keperluan tenaga anak anda di pagi hari.
"Ibu bapa perlu ingat bahawa membekalkan diet yang pelbagai dan seimbang merupakan kunci kepada perancangan pengambilan nutrisi untuk anak-anak anda setiap hari.
"Walaupun karbohidrat merupakan sumber tenaga yang penting, lemak ialah satu sumber tenaga dan menjadi bahan asas yang membina tisu-tisu tubuh kita," kata Pengurus Kesihatan Korporat di Nestle Products Sdn. Bhd., Cher Siew Wei.
Sebagai contoh, roti mil penuh lebih sihat dan mewakili sumber karbohidrat yang lebih baik berbanding sekeping roti putih biasa.
Jumlah atau bahagian makanan yang diambil juga memainkan peranan penting di dalam sesuatu sarapan kerana menurut Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Ketiga 2006, terdapat kedua-dua kes kekurangan nutrisi dan terlebih nutrisi di dalam negara kita.
Masalah kekurangan nutrisi disebabkan oleh kanak-kanak yang mengambil terlalu sedikit atau tidak mengambil sarapan yang betul.
"Bagi seorang pelajar yang normal, dua keping roti setiap pagi sudah cukup untuk bertahan sehingga waktu rehat apabila sumber tenaga perlu ditambah semula.
"Bagaimanapun, bagi pelajar aktif bersukan, dua keping roti tidak mencukupi kerana pengunaan tenaga yang berbeza dalam aktiviti masing-masing," katanya.
- KOSMO!