Top Ad 728x90

,

Tip Panduan Menghadapi peperiksaan


MUSIM peperiksaan datang lagi. Hampir semua pelajar mula stres apabila menjelangnya peperiksaan. Sedikit stres itu bagus sebab ia membolehkan pelajar berada pada puncak prestasi bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Tetapi jika stres itu keterlaluan ia menjadi sesuatu yang negatif pula. Tanda-tanda stres pada anak boleh dikenalpasti melalui perubahan tingkahlaku dan tahap kesihatan mereka. Jika tidak dikawal ia boleh membawa kepada panik dan bimbang yang melampau.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil oleh para pelajar agar mereka lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan.

1) Berfikir secara positif.

Sama ada anda bersedia atau tidak bagi menduduki peperiksaan, anda perlu berfikir secara positif. Jika berfikir yang anda tidak boleh menjawab soalan-soalan, anda tetap perlu menghadapi peperiksaan tersebut. Begitu juga, jika anda fikir anda boleh menjawab dengan baik, anda juga perlu menghadapinya. Sebagai pelajar, anda tidak boleh lari daripada peperiksaan itu. Oleh itu elakkan daripada berfikir yang anda belum bersedia, tidak layak, gagal, bimbang apa yang dibaca tidak keluar dan seumpamanya. Sebaliknya, fikirkan anda boleh lakukan yang terbaik mengikut kemampuan dan persediaan yang ada, kerana sedikit pencapaian lebih baik daripada tiada pencapaian langsung.

2) Jaga pemakanan.

Pastikan bersarapan sebelum ke dewan peperiksaan. Sarapan memberikan tenaga kepada tubuh badan dan terutamanya otak. Amalkan pemakanan sunah seperti susu, bijirin, kurma dan madu. Penting bagi ibu bapa memastikan rezeki yang diberikan kepada anak-anak adalah halal dari segi sumber pendapatan dan kandungannya. Rezeki yang haram menggelapkan hati dan membuatkan anak lambat faham, susah ingat dan cepat lupa.

3) Tidak perlu menyemak kertas jawapan.

Sudah menjadi tabiat segelintir pelajar iaitu apabila pulang ke rumah selepas peperiksaan mereka terus menyemak jawapan yang telah diberikan. Kalau jawapannya betul, memanglah seronok. Tetapi bagaimana pula kalau jawapannya salah? Sedikit sebanyak ia pasti mengganggu dan memberi kesan terhadap prestasi dalam menghadapi kertas peperiksaan untuk subjek-subjek yang lain selepas itu.

4) Banyakkan pembelajaran output.

Sekiranya pelajar mahu cemerlang dalam peperiksaan dia semestinya perlu melatih diri menjawab soalan-soalan sama soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya atau pun soalan-soalan ramalan. Membiasakan diri dengan pelbagai bentuk dan helah soalan membina keyakinan dalam diri pelajar. Lebih banyak latihan dan latih tubi yang dilakukan lebih tinggi keyakinannya.

5) Minta restu ibu bapa dan guru-guru.

Sebelum peperiksaan mintalah ibu bapa dan guru-guru menghalalkan makan minum dan ilmu yang telah mereka berikan kepada kita. Apabila ilmu itu berkat, membaca akan cepat faham, menghafal pula cepat ingat dan menjawab soalan menjadi mudah.

6) Meminta maaf dan memaafkan semua orang.

Ada waktunya kita melakukan kesalahan pada orang lain sama ada secara sengaja atau pun tidak. Oleh itu, bersihkan hati agar ia bukan menjadi sebab pada pencapaian yang kurang cemerlang kelak. Maafkan dengan hati yang ikhlas bukan hanya kerana akan berhadapan dengan peperiksaan.

7) Banyakkan berdoa.

Allah memakbulkan doa sesuai dengan kesungguhan kita meminta setiap sesuatu itu. Kalau kita berdoa tidak sepenuh hati maka hasilnya juga tidak sepenuhnya.

8) Latih minda menuju kejayaan.

Setiap tingkahlaku ada kaitannya dengan cara fikir atau program yang ada dalam minda. Sebelum ini, minda telah diprogramkan oleh ibu bapa, guru, rakan, media, pengalaman, sangkaan dan sebagainya. Jika program ini negatif maka negatiflah kita. Kalau positif maka positiflah kita. Apa yang perlu dibuat ialah gambarkan secara positif dalam minda seolah-olah anda berada dalam dewan peperiksaan dan dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang. Dengarkan suara hati yang positif bahawa anda boleh melakukannya. Rasakan sekarang perasaan yakin diri yang tinggi. Lakukan semua ini dalam masa lima hingga 10 minit setiap hari dan ia dapat membantu meningkatkan keyakinan bagi menghadapi peperiksaan.

- UTUSAN
 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90