AirAsia tawar 10,000 lagi tempat duduk percuma Integrasi (Penerbangan 1 - 30 April 2013)
Tempahan ke atas 10,000 lagi tempat duduk percuma itu boleh dibuat menerusi laman sesawang AirAsia, www.airasia.com bermula pukul 12 tengah malam 15 Februari 2013 (Jumaat) untuk tempoh 24 jam. Semua rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan yang sah boleh membuat tempahan.
Penerbangan adalah dari Semenanjung Malaysia (Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru) ke Sabah dan Sarawak (Kota Kinabalu, Kuching, Labuan, Sandakan, Miri, Tawau, Sibu dan Bintulu) dan sebaliknya.
Tarikh bagi penerbangan itu adalah dari 1 April hingga 30 April 2013.
Namun tawaran ini tidak dibuka untuk penerbangan setempat di dalam Semenanjung Malaysia atau Sabah dan Sarawak.
Selain itu, penumpang masih perlu membayar surcaj bahan api dan cukai lapangan terbang.
Malah peruntukan bagasi, makanan dalam pesawat, pemilihan tempat duduk dan nilai tambahan yang lain tidak termasuk di dalam pakej tempat duduk percuma yang ditawarkan.
Menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya, tawaran tempat duduk percuma itu adalah susulan daripada Program Integrasi 1Malaysia Bersama AirAsia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Januari lalu.
Ktika program itu dilancarkan, kesemua 10,000 tempat duduk percuma telah habis ditempah dalam tempoh tidak sampai 12 jam.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan sambutan di dalam program yang sama sebelum ini dan berharap semua rakyat Malaysia yang tidak berkesempatan memperolehi tempat duduk percuma sebelum ini berpeluang mendapatkannya.
"AirAsia juga berbangga untuk terlibat dalam menghubungkan penduduk di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak melalui program ini," katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.
Sumber : UTUSAN

