Elak perangkap ekonomi pendapatan pertengahan
Pusat Ekonomi Islam dan Kajian Polisi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Bolehkah sesebuah negara terperangkap antara kemiskinan dan kemakmuran? Inilah dilema yang dihadapi kebanyakan negara berpendapatan pertengahan termasuk Malaysia.
Selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakan negara yang berpendapatan pertengahan pada masa kini adalah negara miskin yang bersandarkan industri tani. Negara-negara ini kemudian belajar daripada kejayaan negara-negara maju untuk keluar daripada kancah kemiskinan.
Dasar perindustrian telah diambil untuk melangkah negara keluar daripada kancah kemiskinan. Namun, dalam usaha untuk merapatkan antara jurang kaya dan miskin ini, tidak semua negara berjaya.
Kebanyakan negara Afrika misalnya, masih kekal berpendapatan rendah. Ini dipanggil sebagai perangkap kemiskinan (poverty trap).
Bagi negara-negara yang berjaya keluar daripada kemiskinan, perangkap pendapatan pertengahan pula menanti. Perangkap ini wujud apabila pertumbuhan kadar kenaikan upah (pendapatan) yang sekian waktunya dinikmati semakin perlahan.
Maka negara-negara berpendapatan pertengahan ini semakin hilang daya saing dengan negara-negara miskin yang menawarkan upah yang lebih murah. Kemunculan Vietnam sebagai contoh, menjadi cabaran baru kepada kebanyakan negara ASEAN seperti Malaysia dan Thailand.
Pada masa sama, negara-negara berpendapatan pertengahan ini turut mendapati bahawa ekonomi mereka masih tidak mampu menyaingi negara-negara berpendapatan tinggi.
Keadaan tersepit antara kaya dan miskin inilah yang dinamakan perangkap pendapatan pertengahan.
Sesebuah negara yang terperangkap dalam dilema pendapatan pertengahan akan mendapati wujud penurunan dalam kadar pelaburan berikutan kelembapan dalam pertumbuhan perindustrian, terhadnya diversifikasi ekonomi dan kelemahan dalam pasaran buruh.
Secara teorinya, negara-negara kaya punya teknologi canggih; negara-negara miskin punya kadar upah yang rendah; negara-negara berpendapatan tengah tidak punya kedua-duanya.
Mereka perlu mencari strategi untuk bersaing dengan negara yang sudah di hadapan dan yang sedang mengejar di belakang.
Untuk keluar daripada perangkap ini, transformasi mengikut cara Strategi Laut Biru perlu dicari.
Kecekapan dalam perlaksanaan kerja dan daya inovasi tinggi untuk menerobos dan membuka pasaran baru perlu dicari untuk memastikan daya pertumbuhan eksport terus dipertingkat.
Momentum permintaan domestik turut perlu dijana.
Dengan wujudnya golongan berpendapatan tengah yang semakin ramai, kuasa beli tinggi oleh golongan ini boleh membuka permintaan baru untuk barangan dan perkhidmatan berasaskan inovasi dan berteknologi tinggi. Kesemua ini mampu memacu ke arah pertumbuhan yang lebih tinggi.
Cabaran yang lebih berat adalah untuk berubah daripada sebuah ekonomi yang berasakan sumber-memacu-pertumbuhan kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti dan inovasi tinggi. Ini memerlukan pelaburan infrastruktur dan pendidikan.
- UTUSAN