Top Ad 728x90

Motivasi santai gaya Bahruddin

Motivasi santai gaya Bahruddin



Santai namun penuh dengan motivasi. Itu kesimpulan yang boleh dibuat apabila membaca karya-karya yang dihasilkan oleh penulis kelahiran Samarahan, Sarawak, Bahruddin Bekri.

Mula bergiat dalam bidang penulisan novel secara serius pada tahun 2007, kini nama Bahruddin, 32, semakin meniti di bibir para penggemarnya.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, minat menulis sudah tertanam dalam dirinya ketika masih di alam persekolahan lagi. Dia mengakui sentiasa seronok dan gembira untuk menyiapkan karangan iaitu kerja rumah bagi subjek Bahasa Melayu yang diberi oleh guru.

“Waktu sekolah rendah, saya memang suka menulis, tetapi tidak terlalu serius. Biasalah kanak-kanak. Namun, minat tersebut semakin berkembang apabila memasuki tingkatan empat.

“Saya rajin menyiapkan cerpen-cerpen pendek untuk bacaan sendiri. Biasanya bentuk penulisan saya cenderung kepada golongan remaja. Maklumlah ketika itu saya baru berusia 16 tahun,” ujar Bahruddin kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Rentetan daripada itu, pada tahun 2004, Bahruddin mula berjinak-jinak dalam dunia blog dengan tujuan mendokumenkan hasil penulisannya secara sistematik. Selain itu, dia juga menjadikan blog sebagai platform untuknya bereksperimen dengan pelbagai bentuk penulisan.

Melalui blog juga, Bahruddin tetap meneruskan penulisan bergenre remaja yang disuntik dengan elemen motivasi. Selepas menyiapkan puluhan karya cerpen-cerpen remaja, pada 2007 Bahruddin berjaya menghasilkan sebuah novel bertajuk Adi Gempa.

Bagaimanapun, novel Dunia Ini Sederhana Kecil yang diterbitkan pada Mac 2008 merupakan karya pertamanya ekoran novel Adi Gempa diterbitkan lewat empat bulan.

“Novel ini mengisahkan tentang Syamil, seorang graduan lepasan ijazah yang menganggur kerana sukar mendapatkan sebarang pekerjaan. Dalam pencariannya, banyak pengalaman yang diperoleh dan akhirnya dia berjaya sebagai seorang manusia yang berjiwa besar,” terang Bahruddin mengenai novel tersebut.

Sejak itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) tersebut langsung tidak menoleh ke belakang lagi.

Selain Adi Gempa dan Dunia Ini Sederhana Kecil, Bahruddin sudah menghasilkan lebih 20 buah buku sejak melibatkan diri dalam dunia penulisan.

Antaranya Doa Untuk Aku, Detektif Bertudung Hitam, Puisi Untuk Nadina, Perang Kucing, Naluri dan siri Diari Mat Despatch.

Ditanya mengenai masa yang diperuntukkan untuk menulis, pemuda yang dilahirkan pada 11 Januari 1981 itu memberitahu, setiap hari dia menyasarkan untuk menulis sebanyak 10 muka surat.

“Kadang-kadang pada sebelah malam atau awal pagi, bergantung pada ilham yang terdetik di fikiran. Apa yang pasti, saya mahu berkongsi kisah-kisah ‘orang kecil’ seperti mat despatch yang sering dipandang rendah oleh masyarakat.

“Hakikatnya, mereka juga seperti manusia lain, punyai hati dan perasaan serta cita-cita untuk digapai. Moga melalui penulisan saya, ia mampu menjadi motivasi untuk golongan ini menggapai kejayaan dalam hidup,” jujur luahan Bahruddin yang meminati penulis Indonesia, Andrea Hirata yang terkenal dengan karya agung, Laskar Pelangi.

Untuk sebarang pertanyaan, Bahruddin boleh dihubungi melalui e-mel di bahruddin.bekri@gmail.com

- KOSMO!


 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90