Jerebu Dijangka Berlanjutan Hingga Ogos
Walhi atau Wahana Lingkungan Hidup Indonesia memberitahu punca jerebu masih sama, tiga dekad selepas ia menjadi masalah merentasi sempadan.
Aktivis Walhi Nasional, Zenzi Suhadi berkata, masalah tahunan itu menunjukkan pemantauan dan cara untuk membanteras pembakaran secara terbuka di negara ini masih lemah.
Menurut Zenzi, kerajaan Indonesia hanya bertindak untuk mengawal situasi selepas Singapura bertegas untuk memberi tumpuan bagi menyelesaikan masalah jerebu yang melanda negara itu.
"Adalah jelas masalah itu masih sama. Apa yang lebih penting sekarang adalah kerajaan Indonesia perlu bertindak pantas dan tegas dalam menangani krisis itu," katanya.
Asap jerebu itu buat pertama kalinya melanda Malaysia pada 1982 dan semakin meruncing pada 1997 apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak berada pada bacaan 839 sehingga memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat selama 10 hari.
Ia merupakan masalah tahunan sejak dari itu dengan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu melebihi 500 pada 2005.
Jerebu yang kini menjadi masalah serius di Asia Tenggara adalah disebabkan oleh pembakaran secara terbuka di Indonesia untuk kegiatan pembersihan hutan secara besar-besaran dan kekurangan tadbir urus alam sekitar oleh industri pulpa dan kertas.
Pengarah Eksekutif Walhi Sumatera Selatan, Hadi Jadmiko berkata usaha untuk menghentikan pembakaran secara terbuka perlu bermula dari kerajaan Indonesia.
Katanya, jerebu hanya boleh ditangani sekiranya kerajaan serius menyelesaikan isu tersebut dengan mengambil tindakan tegas terhadap pembakaran secara terbuka sepanjang tahun.
"Kami mendapati tiada tindakan diambil terhadap syarikat di sini yang terus melakukan pembakaran secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan media.
- mSTAR