Masalah lemah kawalan kencing wanita

Masalah lemah kawalan kencing atau light urinary leakage (LUL) dialami oleh satu daripada empat wanita berusia 35 tahun ke atas sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

Malangnya, kebanyakan wanita yang mengalaminyadiselubungi dengan salah tanggapan, perasaan malu dan cara rawatan yang salah.

Tanpa pengetahuan dan maklumat yang tepat, ramai wanita akan terus bergantung kepada penyelesaian jangka pendek dan tidak berkesan bagi menyembunyikan masalah itu.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Prince Court, Dr. Seri Suniza Sufian mengakui masalah LUL jarang diperkatakan secara terbuka kerana faktor malu dan rendah diri.

"Bagi individu normal yang sihat, kebiasaannya kencing boleh dikawal. Tetapi mereka yang mengalami masalah LUL, air keluar pada masa yang salah.

"Ini disebabkan lemah pundi kencing, pangkal rahim lemah, pemakaian korset yang ketat dan sebagainya," katanya

Menurut Dr. Seri Suniza, kebanyakan wanita menganggap kebocoran kecil adalah sesuatu yang normal dan bukan masalah serius.

Katanya, mereka mencuba kaedah sendiri untuk mengatasinya seperti kurang minum air, membawa bersama salinan pakaian jika basah atau memakai tuala wanita biasa secara berterusan.

"Cara ini sebenarnya tidak berkesan, malah memburukkan lagi kesihatan. Kaedah yang betul dalam menangani LUL adalah mudah.

"Mereka hanya memerlukan sedikit penyesuaian dalam kehidupan seharian seperti kerap melakukan senaman Kegel (kemut) dan mengelakkan makanan serta minuman yang boleh merangsang pundi kencing,'' kata Dr. Seri Suniza.

Beliau berkata demikian pada kempen Menghadapi Realiti Kewanitaan dan Masalah Lemah Kawalan Kencing anjuran Poise sempena Minggu Kontinens Sedunia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kempen tersebut bertujuan menyebarkan mesej bahawa perubahan emosi dan keperluan fizikal seseorang wanita termasuk mengalami LUL perlu ditangani dengan pendekatan yang praktikal dan sederhana.

Sementara itu, Fisioterapis Kesihatan Wanita Hospital Prince Court, Neng Shahidah Sabullah pula berkata, menginjak ke usia 40-an wanita perlu melakukan banyak penyesuaian dalam hidup yang boleh memberi kesan emosi dan psikologi secara positif.

Ini termasuk katanya, ketika berdepan dengan masalah seperti LUL yang sedikit sebanyak akan menganggu dari segi emosi.

Sebagai pakar fisioterapi, beliau akan mengajar wanita yang mengalami LUL ini mengenai senaman Kegel (kemut) dan 60 peratus daripada mereka berjaya dirawat.

"Senaman Kegel sesuai dengan wanita dan mereka harus belajar bagaimana hendak mengawal kencing dengan melakukan kemut.

"Pemakaian bengkung turut menjadi salah satu punca LUL. Jangan pakai ketat sangat kerana akan memberikan tekanan dari bahagian atas abdomen hingga ke bawah dan membuatkan seseorang itu terasa seperti hendak kencing,'' tambah Neng Shahidah.

Dalam pada itu, Poise bersama dutanya, pelakon dan pengacara terkenal, Raja Azura, memulakan misi untuk menjelaskan kepada kaum wanita bahawa perubahan fizikal seperti LUL adalah lumrah dalam kehidupan mereka.

Raja Azura berkata, LUL memang menimbulkan rasa tidak selesa dan menjejaskan rutin harian.

"LUL adalah satu cabaran dan realiti yang perlu dihadapi secara bijak oleh kebanyakan wanita," katanya.

Sebagai sambutan menjelang Minggu Kontinens Sedunia 2013, satu program pertukaran istimewa Poise akan dijalankan sepanjang Jun dan Julai.

Melalui program ini pengguna boleh membawa sebarang pembungkus tuala wanita biasa dan menukarkannya dengan pek baru Poise.

- UTUSAN


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url