COVID-19: Jangan tekan sekolah jika kehadiran murid kurang

 

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu bersikap lebih terbuka termasuk tidak menekan pengurusan sekolah jika peratusan kehadiran murid menurun sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata peratusan kehadiran murid ke sekolah tidak sewajarnya dijadikan isu kerana kebanyakan ibu bapa kini panik dan bimbang dengan keselamatan anak mereka.

"Isu sekarang adalah kesihatan dan keselamatan bukan lagi peratusan kehadiran ke sekolah. Sebab itu NUTP minta JPN atau PPD jangan lagi memberi tekanan kepada guru, guru besar mahupun pengetua jika peratusan kehadiran menurun ketika ini.

"Jangan juga ambil tindakan terhadap sekolah terbabit sebab kita tahu kebiasaannya PPD atau JPN akan melihat peratusan kehadiran murid dan apabila (peratusan) rendah, guru ditekan, guru besar ditekan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Aminuddin berkata, JPN atau PPD sepatutnya bekerjasama dengan pengurusan sekolah mencari alternatif membantu golongan ibu bapa yang bimbang menghantar anak mereka ke sekolah.

Jelasnya, antara kaedah yang boleh dilaksanakan adalah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan kawasan berisiko.

"Jangan lagi ada JPN atau PPD menekan sekolah mengenai isu kehadiran sebab sekarang semua tengah bimbang," katanya.

Ditanya sama ada pihak sekolah mengenakan tindakan terhadap murid yang tidak hadir kerana bimbang dijangkiti wabak itu, Aminuddin berkata, berdasarkan maklumat, kebanyakan sekolah memahami kebimbangan ibu bapa berkenaan.

"Buat masa ini tiada sebarang masalah sebab sekolah pun faham dan ramai ibu bapa juga memaklumkan kepada pengurusan sekolah terlebih dahulu sebab mereka tidak menghantar anak ke sekolah," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url