Imbas suhu badan guna topi keledar pintar

 

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melangkah satu tapak ke hadapan apabila melengkapi polis bantuannya dengan 'smart helmet' atau topi keledar pintar yang mampu mengesan suhu orang ramai secara terus di kawasan platrform atau dalam tren.

Peranti pintar yang harganya dikatakan boleh mencecah RM50,000 seunit itu diperkenalkan sebagai tambahan kepada amalan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada KTMB bagi mengekang penularan COVID-19.

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad 'Asri Khalbi, berkata sebelum ini pihaknya menggunakan pengimbas suhu automatik yang disediakan di stesen, selain cecair pembasmi kuman dan amalan sanitasi tren.

"Penggunaan 'smart helmet' (topi keledar pintar) ini sebagai penambahbaikan kepada SOP sedia ada dan ia dipakai anggota polis bantuan KTMB yang akan meninjau penumpang di kawasan platform dan dalam tren secara rawak.

"Buat masa ini, ini hanya ada dua unit (topi keledar pintar) dan ia masih lagi dalam tempoh percubaan selama dua minggu bermula Isnin lalu.

"Ketepatan teknologi pengimbas suhu topi keledar ini adalah 99.99 peratus dan mampu mengesan suhu badan penumpang dari jarak dua hingga tiga meter," katanya.

Beliau berkata, 'visor' atau pelindung muka pada topi keledar pintar akan memberi amaran kepada pemakainya jika ada penumpang dikesan melebihi suhu normal badan iaitu melebihi 38 darjah celsius.

"Diharap dengan kaedah dilaksanakan itu akan dapat meningkatkan keyakinan penumpang untuk menggunakan perkhidmatan KTMB.

"Penggunaan topi keledar pintar ini masih di peringkat percubaan bagi menilai keberkesanan dan kesesuaiannya kepada anggota Polis Bantuan KTMB," katanya.

 Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url