Namun, ada juga cakap-cakap nakal berpandangan kononnya mereka hanya bersandarkan penampilan dan rupa paras cantik untuk dikenali pengundi.
Bagi Nur Fathiah Syazwana, 28, tanggapan negatif sedemikian adalah stigma biasa yang sering diulang-ulang.
"Ini stigma umum, namun saya berpendapat, tidak semestinya wajah boleh menambah nilai dalam apa jua sekali pun. Apa yang penting adalah kebijaksanaan, akhlak dan juga prinsip yang dibawa," katanya.
Pengarah Syarikat Raffles Force (Malaysia) Sdn Bhd itu menegaskan, apa yang paling penting selain kecantikan, adalah misi dan visi yang dibawa dalam usaha menawan pengundi muda.
"Ramai ingin tahu dan mungkin tak tahu saya berulang-alik ke Parlimen Batu setiap hari kerana saya ada pejabat di sini. Sudah tentu saya perasan dan ada idea yang hebat apa yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki keadaan di sini.
"Saya ingin melihat Parlimen Batu jadi bandar contoh dilengkapi kecerdasan buatan atau 'artificial intelligence' (AI) terbaik dan moden. Saya akan memastikannya dan bekerja keras untuk memperbaiki keadaan hidup dan menjadikan Parlimen Batu sebagai Kuala Lumpur mini.
"Perancangan segera saya adalah untuk tangani isu komuniti, peniaga tempatan, meningkatkan kesalinghubungan bas pengantara ke kawasan terpencil, isu tempat letak kereta dan kesesakan di sekitar rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta banyak lagi," katanya.
Jika diberikan mandat oleh pengundi Parlimen Batu, tumpuan beliau seterusnya adalah untuk meningkatkan ekonomi, memberi sokongan pendidikan kepada generasi muda serta penjagaan sewajarnya untuk warga emas.
"Sejujurnya, saya tidak mempunyai ketakutan atau perasaan gementar. Fokus saya jelas, visi saya pandang ke depan. Jadi, tidak ada keraguan dalam hati saya untuk mempunyai rasa takut. Saya berhasrat untuk berjaya dengan izin Allah SWT," katanya.
Bagi Dr Nurul Ashikin, 33, lulusan Shibaura Institute of Technology di Jepun, setiap calon mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.
"Jika ada kata rupa paras menjadi modal nilai tambah dalam menarik undi, apa boleh dicakap adalah syukur, Alhamdulillah. Tapi bagi saya, setiap calon mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.
"Oleh itu, pengundi harus bijak menilai setiap calon bertanding, tidak kira dari segi pendidikan, latar belakang mahupun daya tarikan fizikal," katanya.
Sumber : Berita Harian