Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Automotif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Automotif. Papar semua catatan

Kereta terbang pertama di dunia dibuka untuk tempahan

by

 


Alef Model A, kereta terbang yang dibangunkan oleh syarikat penerbangan dan automotif berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Alef Aeronautics mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) baru-baru ini.

Bermula pada 2015, Alef Aeronautics ditubuh untuk membangunkan kereta terbang pertama di dunia.

Menurut laman web rasmi syarikat itu, kereta terbang Alef boleh dipandu di semua jenis permukaan jalan.

Ia boleh disesuaikan dengan lorong pemanduan standard dan mengikuti semua undang-undang trafik, sekali gus menjamin keselamatan serta keselesaan pemanduan pengguna.

"FAA secara aktif mempersiapkan dasar bagi kenderaan berlepas dan mendarat elektronik menegak (eVTOL), selain mentadbir interaksi antara eVTOL dengan infrastruktur di darat.

"Sijil Kebolehpenerbangan Khas bagaimanapun mengehadkan lokasi dan tujuan Alef dibenarkan untuk terbang," kata syarikat itu menerusi satu kenyataan.

Kenderaan inovatif itu dikendalikan sepenuhnya oleh elektrik dan menghasilkan pelepasan sifar semasa ia beroperasi.

Alef Model A juga menunjukkan keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak, dan ia boleh memuatkan dua pengguna.

Kenderaan ini juga boleh diletakkan di ruang parkir biasa dan muat dalam garaj bersaiz standard.

Alef Model boleh terbang sejauh 177 kilometer dan selain boleh dipandu sejauh 322 kilometer.

Ia juga boleh diterbangkan ke mana-mana arah, termasuk ke depan, belakang, kanan, kiri, atas, bawah dan pada setiap sudut.

Harga kereta terbang Alef Model A bermula AS$300,000 (RM1.4 juta) dan dengan token AS$150, pratempahan kenderaan elektrik ini boleh dibuat di laman web Alef.

Sumber : Berita Harian

Tempahan Mazda CX-30 CKD dibuka

by

 


Bermaz Motor Sdn. Bhd. mengumumkan bahawa tempahan model Mazda CX-30 dengan pemasangan tempatan (CKD) kini dibuka kepada para peminatnya.

Menurut kenyataan syarikat itu, model yang dipasang di kilang di Kulim, Kedah itu menawarkan empat varian sebagai pilihan dengan harga bermula RM128,109.

Katanya, hanya enjin 2.0 liter Skyactiv-G ditawarkan dengan dipadankan  transmisi automatik Skyactiv-Drive enam kelajuan.

“Kombinasi ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 162 hp pada 6,000 rpm dan jumlah tork tertinggi 213 Nm,” jelasnya.

Kenyataan itu menerangkan, untuk varian asas Mazda CX-30 2023 ini ditawarkan dengan rim aloi bersaiz 16 inci manakala untuk varian lain ditawarkan dengan saiz 18 inci sebagai standard.

“Selain itu tiga varian teratas menerima ciri lampu LED dengan iluminasi yang spesifik pada bahagian hadapan dan juga belakang, sertal lampu nyalaan siang DRL jenis LED,” jelasnya. 

Sumber : Kosmo!

Ford Ranger baharu diperkenal, harga bermula RM108,888

by

 


Ford Motor Company dan rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) melancarkan model pikap generasi baharu, Ford Ranger ke pasaran tempatan yang ditawarkan pada harga bermula RM108,888.

Model Ranger generasi baharu di Malaysia ditawarkan dengan tujuh varian berbeza, termasuk dua varian XL yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM108,888, XLT (dua varian) dari RM124,888, XLT Plus (RM142,888) dan WildTrak (RM168,888).

Varian berprestasi tinggi, Ranger Raptor akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

Presiden Pengedaran Pasaran bagi ASEAN dan Asia Pasifik Ford Motor Company, Yukontorn Wisadkosin, berkata Ranger sentiasa menjadi kenderaan yang selalu boleh diharapkan untuk peniaga kecil, keluarga, peminat kembara, kegunaan komersial dan banyak lagi di lebih 180 pasaran seluruh dunia.

"Dengan ciri baharu yang menawarkan lebih kebolehan dan kepelbagaian ciri, kami percaya Ranger generasi baharu akan terus membawa revolusi dalam segmen trak pikap dan mempertingkatkan lagi daya tarikannya yang sedia hebat dalam pasaran," katanya.

Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion-Ford, Turse Zuhair pula berkata, corak penggunaan trak pikap yang lebih daripada sekadar untuk kerja telah berkembang di Malaysia, terutama dalam golongan berpendapatan tinggi.

"Mereka sebelumnya lebih memilih menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV), tetapi kini semakin cenderung terhadap Ranger, terutama WildTrak, disebabkan kebolehannya untuk tujuan kerja, teknologi terbaru dan ruang dalaman seakan kereta premium.

"Kami yakin Ranger generasi baharu akan memenuhi keperluan dan kemahuan khalayak yang lebih luas sebagai kenderaan serba boleh untuk kerja, keluarga dan riadah," katanya.

Sebagai Ranger paling pintar, penuh kepelbagaian dan banyak fungsi, model generasi baharu ini menawarkan trak pikap idaman pelanggan untuk tujuan kerja, keluarga dan riadah.

Dari aspek visual, Ranger generasi baru tampil penuh berani dan yakin, dengan reka bentuk luar tegap dan penuh tekad yang berkongsi DNA dengan rekaan trak global Ford.

Rekaannya menampilkan gril baharu, lampu depan bentuk C yang sinonim dengannya, serta garis pintu halus bersama lengkung tayar yang lebih ketara, menampilkan Ranger yang lebih kukuh.

Buat pertama kali juga, Ford Ranger menawarkan lampu depan LED matriks (bagi WildTrak dan XLT Plus) dengan lampu tinggi automatic, manakala lampu belakang pula direka secara harmoni dengan imej wajah hadapannya.

Aspek utama dalam pengalaman penghubung Ranger adalah skrin sentuh besar 10.1-inci atau 12-inci yang terbaik di tengah papan pemuka.

Ia melengkapi panel instrumen digital dan mengandungi sistem informasi, hiburan dan komunikasi SYNC 4A pengaktifan suara terbaru oleh Ford.

Ranger generasi baharu hadir dengan pilihan dua warna iaitu Sedona Orange dan Luxe Yellow untuk Wildtrak, selain warna sedia ada iaitu Arctic White, Meteor Grey, Aluminium Metallic, Lightning Blue dan Absolute Black (bergantung kepada varian).

Sumber : Berita Harian

PROTON perkenal Saga 2022

by

 


Pengeluar kereta nasional, PROTON hari ini melancarkan Proton Saga 2022 baharu, versi terkini model klasik jenama itu dalam satu acara eksklusif media.

Disediakan dalam empat varian iaitu Standard MT, Standard AT, Premium AT dan Premium S AT, Proton Saga 2022 menggunakan enjin 1.3 liter empat silinder 16-injap DOHC VVT yang terbukti dengan kuasa maksima 95 PS pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau transmisi automatik empat kelajuan.

Harga atas jalan tanpa insurans bermula daripada RM34,400 hingga RM44,300 di Semenanjung Malaysia dan RM36,400 hingga RM46,300 di Sabah dan Sarawak.

Harga yang ditawarkan itu sah sehingga 30 Jun ini dengan pengecualian cukai jualan.

Ia turut menawarkan ciri yang dinaik taraf dari segi dalaman dan luaran serta penjimatan bahan api yang dipertingkatkan dengan bantuan ciri seperti penunjuk ECO Drive Assist.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata Proton Saga menjadi kenderaan pilihan ramai rakyat Malaysia dan pembeli di luar negara selama hampir empat dekad dan syarikat berbangga untuk meneruskan legasi itu dengan Proton Saga 2022.

"Dengan adanya kemas kini terbaharu ini, ia memperluaskan lagi warisan model terlaris PROTON untuk pemandu dari semua peringkat umur dan latar belakang.

"Dengan lebih daripada 1.9 juta unit dijual di lebih 28 pasaran seluruh dunia, kami yakin nama Saga akan terus berkembang maju untuk tahun-tahun akan datang," katanya dalam kenyataan.

Proton Saga 2022 menawarkan gaya 'supreme' dengan peningkatan ketara yang meningkatkan tahap dalam kelasnya yang pasti menarik minat pembeli kereta kali pertama yang lebih muda dan juga bagi mereka yang mencari sedan segmen-A.

Bagi menambah kesegaran pada reka bentuk Saga, ia dilengkapi dengan 'skirt' depan dan sisi baharu yang menawarkan rasa 'sporty' yang diserasikan dengan roda aloi 15-inci baharu dan lampu siang LED.

Pada bahagian dalaman, varian Premium S baharu menampilkan skema warna gelap yang sporty, tempat duduk separa kulit yang direka bentuk semula untuk sentuhan keanggunan, dan tikar permaidani tepi merah yang baharu.

Stereng pula boleh dilaraskan sudut kecenderongan dan dibaluti dengan kulit untuk keselesaan, selain kemasan merah pada suis stereng.

Ini ditambah dengan sentuhan warna merah pada gelang gabungan meter dan saluran udara, manakala sentuhan terakhir pula pada suis kawalan iklim yang direka bentuk semula dan dipasangkan dengan Penapis Kabin N95 untuk menapis zarah asap, habuk, bakteria serta bahan pencemar.

Proton Saga 2022 kini dibuka untuk tempahan atas talian dan di bilik pameran PROTON yang sah.

Ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red.

Sumber dari Berita Harian

Honda perkenal Civic generasi ke-11

by

 

Honda memperkenalkan reka bentuk baharu model Civic generasi ke-11 yang lebih matang dan eksklusif minggu lalu melalui video pratonton di saluran Youtube rasminya.

Model yang digelar sebagai Honda Civic 2022 itu menampilkan reka bentuk yang moden dan berteknologi tinggi selain rekaan dalaman yang berpusatkan manusia dan sistem keselamatan canggih.

Model tersebut pertama kali didedahkan kepada umum pada November lalu dalam versi prototaip dan rupa baharunya ternyata tidak banyak berbeza dengan versi tersebut.

Portal Overdrive memuji peningkatan tumpuan terhadap ciri minimalis dalam reka bentuk baharu tersebut.

Menurut portal tersebut, papan pemuka model itu dilihat kalis cap jari, mempunyai kawalan iklim fizikal baharu, set didik hibur 9 inci, paparan pemandu digital 10.2 inci, pengecasan tanpa wayar, tempat duduk baharu dan lohong pendingin udara yang tersorok di belakang jejaring di sepanjang papan pemuka.

Honda berkata, model terbaharu tersebut akan mengandungi ciri-ciri termasuk enjin bercas turbo 180-hp; sistem pemanduan tiga mod dengan mod sport; penanjak pedal; dan sistem bunyi Bose Premium.

Menambahkan keistimewaan model tersebut, ia turut mempunyai Apple CarPlay tanpa wayar; integrasi Android Auto; penggayaan potongan sport dan sistem maklumat titil buta dengan pengawasan lintas trafik.

Model itu turut dilengkapi teknologi Standard Honda Sensing yang dilengkapi Sistem Brek Cegah Langgar (CMBS) dan Sistem Cegah Keluar Lorong (RDM).

“Piawaian untuk semua sedan Civic, suit Honda Sensing bagi keselamatan dan teknologi bantuan pemandu direka untuk memberi amaran tentang perkara yang mungkin anda terleka ketika memandu.

“CMBS boleh menghentikan kenderaan anda dengan mengenakan tekanan brek secara automatik apabila sistem menentukan bahawa pelanggaran hadapan tidak dapat dielakkan.

“RDM boleh menentukan jika akan melintasi laluan yang dikenal pasti tanpa memberi isyarat, memberikan bantuan kemudi untuk mengembalikan anda ke laluan asal atau memberikan bantuan brek bagi mengelakkan anda terkeluar dari lorong sepenuhnya,” katanya.

Model tersebut dijangka berada di pasaran Malaysia pada tahun hadapan.

Tempahan Proton X50 dibuka

by

 

PROTON Holdings Bhd (PROTON) akhirnya memperkenalkan secara rasmi model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharunya, PROTON X50 kepada media hari ini.

Ia sekali gus mengakhiri penantian rakyat Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat SUV kedua PROTON itu yang mana ia akan dipamerkan di bilik pameran terpilih bermula Sabtu ini.

Pelanggan yang berminat boleh segera membuat tempahan dengan bayaran tempahan hanya RM500 bermula esok di mana-mana cawangan pengedar PROTON di seluruh negara.

PROTON X50 dipercayai mampu memberikan saingan sengit kepada SUV lain dalam kategori segmen B terutamanya tawaran harga jualan yang dijangkakan amat kompetitif.

Biarpun harga rasminya masih belum didedahkan kepada umum, namun telah tular dimedia sosial bahawa SUV itu mungkin ditawarkan pada harga bermula kurang daripada RM80,000.

Proton X50 didatangkan dengan empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship dan mempunyai enam warna pilihan iaitu snow white, armour silver, jet grey, ocean blue, passion red dan citric orange.

Bagi tiga varian pertama,setiap model dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo manakala varian flagship dikuasakan enjin 1.5 liter TGDI dan digandingkan bersama transmisi 7-kelajuan DCT.

Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi sehingga enam beg udara, kamera undur, kamera 360 darjah untuk varian premium dan flagship serta advanced driver assistance system yang ditawarkan untuk varian flagship sahaja.

Model berkenaan juga didatangkan dengan paparan skrin sentuh bersaiz antara lapan hingga 10.25 inci mengikut varian dan boleh dihubungkan dengan internet menggunakan eSim.

Antara ciri baharu menarik lain yang ditawarkan ialah pengguna boleh menghidupkan enjin dan penyaman udara di telefon pintar mereka menggunakan aplikasi PROTON Link.

Sumber : Berita Harian

Perodua Keluar Model Baru Berharga Rendah Tahun Depan

by
RAWANG: Perodua akan mengeluar model baharu pada harga paling rendah dalam pasaran tempatan tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pengeluaran model baharu itu kelak akan membolehkan pengguna memiliki kereta mampu milik canggih serta dilengkapi ciri keselamatan yang diperkukuh.

Najib berkata Perodua telah membuat pelaburan mencecah RM1.3 bilion untuk kilang baharunya yang bakal siap Oktober tahun depan, dengan tahap kecanggihan yang tinggi, sekali gus dapat mengeluarkan model baharu yang lebih kompetitif.

"Saya harap melalui kilang ini, Perodua dapat mengeksport lebih banyak lagi unitnya, terutama ke negara jiran. "Perodua kini mengeksport 10,000 unit setahun, dan saya harap jumlah ini dapat ditingkatkan lagi, katanya ketika berucap pada majlis sambutan Gala Raya Perodua sempena ulang tahun ke-20, di sini Sabtu.

Najib berkata strategi Perodua selanjutnya ialah mengekalkan kelebihan pasarannya iaitu mengeluarkan kereta kompak berkualiti serta mencari jalan untuk meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos pembinaan kereta.

Pada masa ini, ekosistem Perodua yang terdiri daripada vendor-vendor dan rangkaian pengedar di seluruh negara, melebihi 130,000, katanya.

"Dengan mengambil kira ekosistem yang besar ini, sudah tentu kejayaan Perodua akan memberi kesan kepada bukan sahaja 130,000 rakyat Malaysia terbabit, malah pengguna di negara kita akan mendapat kesan menerusi kejayaan Perodua," kata Najib.

Perdana Menteri turut menggesa syarikat-syarikat kereta supaya mengkaji kos struktur dan model perniagaan mereka supaya lebih efisien, memandangkan keadaan pasaran kini semakin kompetitif selain pelaksanaan dasar liberalisasi di Asean dan global.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menggalakkan syarikat pengeluar kereta supaya secara sukarela mengurangkan secara beransur-ansur kos kereta yang dijual.

"Langkah seperti ini sangat tepat sekali, kita boleh tawar harga kereta yang begitu kompetitif kepada rakyat Malaysia, malah pengurangannya dapat kita berikan kepada rakyat," katanya.

Pada majlis yang dihadiri 20,000 orang itu, Najib turut melancarkan buku khas "Coffee Table Book" yang mencatatkan perjalanan Perodua sejak 20 tahun lepas dan harapan syarikat itu untuk masa hadapan.

- BERNAMA


Proton Suprima S dilancar

by


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Proton Suprima S, model kereta terbaharu yang dilancarkan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton) dilihat sebagai kereta keluaran negara terbaik yang bertaraf dunia pada harga mampu milik.

Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, model 'hatchback' terbaharu itu yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk dari segi keselamatan terkini dilihat mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk memiliki Proton Suprima S.

Malah beliau memberitahu, model kereta itu yang akan dieksport dalam tempoh terdekat dilihat mampu menembusi pasaran antarabangsa dan seterusnya dapat melonjakkan syarikat automotif negara itu ke satu tahap baharu.

"Model terbaharu ini memenuhi cita rasa pelanggan tempatan dan global yang seterusnya akan menjadikan Proton sebagai pengeluar kereta berkualiti antarabangsa pada harga berpatutan.

"Saya juga berharap orang ramai akan terus menyokong kereta keluaran Proton dengan membeli model Suprima S ini yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini pada harga mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan model kereta terbaharu keluaran Proton, Suprima S 'hatchback' di dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman.

Harga jualan atas jalan bagi varian Suprima S Eksekutif diumumkan RM76,338 seunit manakala varian Premium pula pada harga RM79,638 seunit.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir melahirkan melahirkan rasa bangga dengan kelengkapan canggih serta kejuruteraan Suprima S yang semakin menunjukkan peningkatan ketara.

Kata beliau, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh pakar-pakar dalam kalangan anak tempatan itu menjadikan model Suprima S itu sebagai kereta terbaik keluaran Proton yang dapat memenuhi kehendak pasaran termasuk antarabangsa.

"Saya harap persepsi Proton merupakan pengeluar kereta murah dengan berkualiti rendah dapat ditamatkan kerana syarikat ini telah berjaya mengeluarkan kereta setanding dengan pengeluar kereta berjenama terkenal lain," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Khamil pula memberitahu, model Suprima S itu akan mula dieksport dalam tempoh terdekat bermula di ASEAN dan seterusnya ke negara lain seperti Australia.

Menurutnya, Proton telah memberi perhatian dalam meningkatkan semua aspek Suprima S khususnya ciri-ciri keselamatan.

"Proton Suprima S ini merupakan model yang didatangkan dengan standard keselamatan terbaik termasuk Australian New Car Assesment Program (ANCAP).

"Ini adalah masa depan kita membayangkan untuk semua produk dan perkhidmatan kami serta tanda aras kepada standard kualiti yang ingin diberikan kepada pelanggan," katanya.

Proton Suprima S 'hatchback' serba lengkap, penuhi kehendak pengguna

Proton Suprima S berenjin 1.6 liter berharga antara RM76,338 seunit hingga RM79,638 seunit.

Nama Suprima yang dipinjam daripada kata asal Inggeris supreme yang membawa maksud tertinggi dilihat sesuai kerana model itu memiliki semua kehendak serta keperluan semasa lebih moden sekarang.

Kereta terbaharu ini merupakan model dilengkapkan dengan produk terkini yang tidak pernah dimiliki model Proton terdahulu seperti lampu siang (DRL), Android-based Operating System, lampu LED di belakang dan Hill-hold Assist serta Park Assist bagi varian premium.

Proton Suprima S merupakan sebuah model lima pintu yang dinamik serta memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang sporty lagi premium dengan prestasi enjin yang unggul.

Kereta model tersebut menggunakan enjin 1.6 liter dengan ProTonic Continuous Variable Transmission (CVT), tujuh kelajuan automatik yang menawarkan kuasa maksimum 140 PS pada 5,000 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 205 Newton meter (Nm) pada 2,000 hingga 4,000 rpm, berkuasa sama seperti enjin 2.0 liter lain.

Malah, Suprima S juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaik dengan enam beg udara, tingkap kuasa anti-perangkap, Sistem Anti Kekunci Membrek (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta bagi model premium disertakan Park Assist dan kamera undur.

Selain itu, Proton turut menawarkan program lima bintang kepada pembeli Suprima iaitu jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer dan bantuan jalan raya secara percuma selama lima tahun.

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, model itu terhasil daripada pelbagai kajian dari dalam dan luar negara bagi memastikan Suprima S dapat memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Sekali lagi, Proton telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia kami komited untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menghasilkan pelbagai produk yang seronok di pandu lagi selamat," katanya.

- UTUSAN

 

MODENAS lancar model 118EFI motor enjin 120cc

by

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyasar purata jualan keseluruhan bagi motosikal keluarannya yang terkini, MODENAS 118EFI sehingga 7,000 unit setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Ismail, berkata sasaran berkenaan membolehkan MODENAS memperbaiki penguasaan pasaran motosikal di negara ini sebanyak 15 peratus pada akhir tahun ini.
Memiliki motosikal adalah satu pelaburan yang penting untuk kegunaan seharian dan MODENAS memang berhasrat untuk menjadi peneraju dalam menyediakan produk yang dijamin berkualiti.


Model motosikal baru ini dilengkapi dengan tayar tanpa tiub, brek cakera hadapan dwipiston untuk kuasa brek yang lebih cekap dan tangki minyak berukuran 4.3 liter yang mampu mencatat perjalanan sehingga 250 kilometer, katanya dalam satu kenyataan di Georgetown.

Kenyataan Abdul Halim itu dikeluarkan sempena pelancaran MODENAS 118EFI, yang disempurnakan Pengarah Urusan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil pada DRB-Hicom Autofest 2013 di Pusat Arena Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) semalam.

Ciri istimewa

Abdul Halim berkata, MODENAS 118EFI dijual pada harga RM4,755 seunit tidak termasuk insurans serta cukai jalan dan dikuasakan dengan enjin 120cc teknologi Kawasaki serta dilengkapi sistem pancutan bahan api yang dibekalkan firma automotif antarabangsa, Synerject.
Katanya, model baru itu mempunyai ciri istimewa seperti transmisi empat kelajuan dengan sistem gear berputar dan didatangkan dengan dua warna iaitu hijau alam dan biru semesta, menepati cita rasa semua golongan pengguna.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, bersempena dengan pelancaran model baru itu, MODENAS melanjutkan jaminan untuk motosikal itu kepada dua tahun atau 25,000 kilometer membabitkan beberapa variasi model berkenaan.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, DRB-Hicom Autofest 2013 adalah acara kedua tahun ini yang bertujuan meningkatkan imej kumpulan itu sebagai peneraju automotif menerusi jenama yang pelbagai dan disegani di negara ini.

Katanya, acara itu disambut selama tiga hari, bermula Jumaat lalu dan menarik lebih 15,000 pelawat, dengan tawaran dan promosi yang menarik terhadap kenderaan, pacuan empat roda dan motosikal serta cabutan bertuah.

- BERITA HARIAN

Proton adakan peraduan namakan model kereta terbaru

by
PROTON Holdings Bhd akan melancarkan kenderaan jenis kompak serba baru, yang juga kereta mampu milik tanpa kompromi dari segi kualiti, pada awal tahun depan.

Pengenalan model itu disasarkan kepada semua lapisan masyarakat yang gemarkan gaya hidup aktif dengan peningkatan dari aspek pemanduan serta ciri keselamatan.

Model dari jenis kompak ini, hasil usaha bahagian penyelidikan dan pembangunan PROTON selama kira-kira tiga tahun lalu, kata Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Eksekutif PROTON

Pengerusi Eksekutif PROTON, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, berkata model kompak itu menjadi titik permulaan kepada pelancaran beberapa lagi barisan model baru lain di bawah jenama Proton.

Ia katanya, bakal membantu meningkatkan semula prestasi pengeluar kereta nasional itu untuk merampas kembali kedudukan sebagai peneraju pasaran kenderaan tempatan daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), menjelang 2015.

“Kini, syarikat sedang dalam proses untuk melancarkan sebuah model serba baru dalam pasaran awal tahun depan.

“Model dari jenis kompak ini, iaitu hasil usaha bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) PROTON selama kira-kira tiga tahun lalu, akan menjadi titik permulaan kepada pengenalan beberapa lagi model baru lain di masa depan.
“Kami yakin bersandarkan kepada kerja keras warga kerja serta peningkatan kembali sokongan rakyat Malaysia khususnya bagi model Saga SV, PROTON mampu merampas kembali kedudukan peneraju pasaran kenderaan tempatan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada media selepas melancarkan peraduan ‘Nama Siapa Hebat’ di Shah Alam, semalam.

Semua kategori

Mohd Khamil berkata, pengenalan beberapa lagi model baru PROTON nanti akan mewakili semua kategori kenderaan, bermula dari segmen A,B,C dan D.

Segmen A mewakili kenderaan jenis kompak; segmen B adalah kereta sedan bersaiz kecil (seperti Proton Saga); segmen C adalah jenis sedan yang sederhana besar, iaitu sesuai untuk yang berkeluarga seperti Persona dan Waja; manakala segmen D merujuk kepada kereta jenis sedan mewah.

Terdahulu, Mohd Khamil berkata, peraduan ‘Nama Siapa Hebat’ diperkenalkan bagi memberi peluang kepada semua warga negara yang berumur 12 tahun ke atas untuk menamakan kereta kompak baru yang bakal diperkenalkan PROTON awal tahun depan.

“Kami adalah syarikat automotif negara. Justeru kami ingin berkongsi hak ‘sebagai syarikat automotif negara’ ini bersama seluruh rakyat Malaysia. Adalah menjadi kebanggaan kami untuk membabitkan semua lapisan rakyat dalam menamakan kereta PROTON yang baru ini,” katanya sambil menambah model kompak serba baru itu bakal dikeluarkan di kilangnya di Tanjung Malim, Perak.

Pemenang utama peraduan yang bermula semalam dan berakhir pada 25 Julai itu akan memenangi versi premium model kompak berkenaan, manakala hadiah menarik lain termasuk pakej percutian, hadiah wang tunai dan alat elektrik bernilai lebih daripada RM120,000.

Orang ramai yang berminat menyertai peraduan tersebut boleh melayari laman sesawang namasiapahebat.proton.com

- BERITA HARIAN



PROTON lancar Saga SV 1.3 dengan harga rendah

by

KUALA LUMPUR 15 Jun - Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini melancarkan kereta rakyat baharu, Saga SV 1.3L dengan penurunan harga sebanyak 12 peratus berbanding model sebelum ini tanpa mengurangkan sebarang spesifikasi malah lebih baik.

Saga SV dijual pada harga serendah RM33,438 untuk jenis manual dan RM36,438 untuk automatik, penurunan sebanyak hampir RM5,000 hasil perancangan penstrukturan vendor dan menyokong usaha kerajaan dalam menawarkan kereta mampu milik kepada rakyat.

Kereta berkenaan dilengkapi kerangka lebih kukuh dengan pengiktirafan tiga bintang daripada ASEAN NCAP, stereng elektrik, empat tingkap elektrik, dua beg udara, cermin sisi dengan lampu LED, tali pinggang keledar dengan sistem pratekanan, ciri-ciri keselamatan kanak-kanak dan kunci immobiliser.

Pengguna boleh memiliki kereta rakyat itu dengan ansuran bulanan serendah RM250 dengan sasaran penghantaran sebelum musim perayaan jika membuat tempahan awal bermula hari ini.

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, pelancaran kereta mampu milik itu merupakan langkah berterusan syarikat kereta nasional tersebut menawarkan kereta berbaloi tanpa berkompromi dalam aspek kualiti.

"Kami tidak mengurangkan spesifikasi Saga untuk mengurangkan harganya, tetapi kami menggunakan pendekatan sendiri untuk merealisasikan penawaran harga rendah bagi memenuhi hasrat kerajaan.

"Proton menyasarkan menjual sebanyak 2,000 buah Saga SV sebulan dalam usaha mencapai sasaran menjual kira-kira 80,000 buah model Saga tahun ini sekali gus mencapai penguasaan pasaran sebanyak 30 peratus untuk segmen B," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kereta berkenaan di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim.

Saga SV didatangkan dalam enam warna pilihan iaitu putih, perang, hitam, perak, merah dan biru dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 kilometer perbatuan manakala servis pertama bagi model tersebut kurang daripada RM100.

Mengulas cadangan menyelaraskan harga kereta untuk pasaran Sabah dan Sarawak, beliau berkata, perkara itu sedang dikaji namun seperti yang diketahui umum kos logistik merupakan faktor utama perbezaan harga tersebut.

"Tetapi kami akan mengusahakannya sama ada menyerap kos berkenaan atau menerusi cara lain," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Khamil berkata, pengurangan harga tersebut tidak akan menjejaskan prestasi kewangan Proton malah akan menambah perolehan syarikat berkenaan melalui pertambahan jualan serta keuntungan.

Sementara itu, ditanya sama ada penurunan harga itu hasil usaha Proton sendiri atau kerajaan, Lukman berkata, perkara tersebut adalah usaha bersama antara kedua-dua pihak.

"Proton menyokong hasrat kerajaan menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus secara berperingkat dan Saga SV adalah hasil yang berjaya dilaksana Proton," katanya.

Beliau menambah, pendekatan dan strategi yang digunakan sehingga mampu mengurangkan harga Saga itu akan diguna pakai kepada model lain selepas ini.

- UTUSAN

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130616/dn_01/Saga-SV-baharu-lebih-murah
 

Proton perkenal TEKS1M

by


Pemandu teksi kini boleh memiliki Teksi 1 Malaysia (TEKS1M) yang dikeluarkan syarikat kereta nasional Proton Holdings Bhd lengkap dengan semua keperluan dan alatan untuk operasi teksi.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Proton Exora terpilih dijadikan TEKS1M kerana kenderaan itu mempunyai kualiti, daya saing dan harga yang berpadanan dengan keupayaannya.

"TEKS1M adalah inisiatif yang dilaksanakan melalui kerjasama antara SPAD dan Proton di bawah program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA)," katanya pada majlis pelancaran TEKS1M di Shah Alam, kelmarin.

Syed Hamid berkata, TEKS1M adalah teksi bajet yang diwujudkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan industri teksi negara sekali gus dapat menyumbang kepada industri pelancongan tempatan.

“Untuk permulaan, sejumlah 1,000 unit Exora akan dikeluarkan dalam tempoh dua bulan akan datang dengan kawasan tumpuan di sekitar bandar raya seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru,” katanya.

TEKS1M ditawarkan dalam dua pilihan transmisi iaitu manual dan automatik serta dua pilihan bahan api enjin iaitu petrol dan gas asli (NPV) di samping mempunyai kapasiti empat tempat duduk dan ruang bagasi yang luas.

Kenderaan itu juga dilengkapi meter caj perjalanan dan sistem kedudukan global (GPS) selain memiliki sistem yang membolehkan penumpang menggunakan kad kredit dan kad debit untuk membayar tambang yang dikenakan kepada mereka.

TEKS1M ditampilkan dalam warna coklat elegan bagi melambangkan keunggulan berbanding warna teksi sedia ada sekali gus mewujudkan satu standard baru dalam industri teksi tanah air.

Proton Exora itu akan dijual RM64,000 seunit bermula Jun ini namun pemandu teksi yang berminat boleh mendapatkannya pada harga RM59,000 kerana Yayasan Rakyat 1MDB akan memberi bantuan geran sebanyak RM5,000 untuk meringankan beban golongan itu.

Selain bantuan itu, pemandu teksi juga boleh membuat pinjaman sehingga sembilan tahun bagi pembelian TEKS1M.

- SINAR HARIAN

 

Honda City Versi Baru

by

Oleh ERYWAN NORSHAL

Jentera itu sudah lebih tiga tahun mewarnai jalan raya di negara ini selepas generasi Honda City bertapak di rantau Asia pada 1996.

Rekaan luarannya di-tingkatkan menerusi pembaharuan jeriji disaluti krom dan bamper belakang serta depan bentuk baru yang tampil lebih aerodinamik.

Jeriji krom dengan perumah lampu depan hitam memberi penampilan eks­klusif untuk membezakan varian sebelum ini.

Penulis yang memandu uji kenderaan itu tertarik dengan rekaan futuristik di setiap sudut dan mendapati ia lebih cantik berbanding versi lama.

Ia menerapkan bentuk ‘arrowshot’ dengan menggunakan konsep anak panah supaya kelihatan agresif ketika meluncur di jalan raya atau berhenti di persimpangan lampu isyarat.


Garis badannya lebih dinamik membuatkan wajah bahagian depan tampak garang membuatkan ia sesuai untuk semua golongan di bandar atau kampung.

Jentera ini antara kereta sedan saiz sederhana yang menawarkan perspektif rekaan terbaru dan segar berbanding pesaing dalam kelas sama.

Di bahagian dalaman, ruang kabin sangat menakjubkan kerana ia lebih besar dari apa yang digambarkan dari luar.

Ini kerana tiga penumpang dewasa mampu duduk dengan selesa di belakang, tanpa masalah ruang lega kaki atau kepala.

Warna hitam di seluruh ruang kabinnya memberi perasaan unik kepada penulis kerana memenuhi cita rasa dan gaya golongan muda.

Papan pemuka dengan rekaan terkini menampil­kan warna baru selain menerima sentuhan rekaan meter metalik yang kelihatan ‘sporty’.

Panel meter yang di­nyalakan lampu biru turut menawarkan tahap penglihatan lebih jelas untuk pemandu menikmati prestasinya.

Ia juga memaparkan pel­bagai maklumat, termasuk odometer, meter perjalanan, penggunaan bahan api dan jang­kaan jarak untuk memudahkan pemandu.

Selain itu, konsol te­ngahnya tampil menarik dengan padanan warna baru untuk tampak eksklusif.

Di bawah tempat duduk belakang ada ruang pe­nyimpanan barang boleh memuatkan payung atau beg kecil.

Malah, tempat letak barang itu boleh mengisi ba­nyak barang dan sesuai bagi yang ingin pulang ke kampung.

Ketika memandu jentera ini, penulis mendapati ia lebih stabil, malah memberi daya pecutan serta menawarkan kestabilan mengagumkan kerana boleh meratah selekoh de­ngan baik berbanding model lama.

Mungkin reka bentuk­nya tegap dan stabil melawan angin serta penambah baik berhubung suspensinya membuatkan jentera ini mampu melayan selekoh dengan baik sekali.

Suspensi yang keras sedikit mungkin kurang keselesaan, tetapi bagi penulis ia tidak memberi masalah kerana ia mampu me­ngawal kenderaan daripada membuai, terutama melalui jalan tidak rata.

Di bawah bonetnya, enjin 1.5 liter i-VTEC lebih mantap dengan menjanakan kuasa maksimum sehing­ga 120 PS pada 6,600 rpm dan cukup untuk memberi ‘kuasa’ di jalan raya.

Enjin ini juga menepati standard pengeluaran asap Euro 4 dan ia sama dengan dipadankan pada Honda Jazz.

Selain itu, transmisi automatik lima kelajuannya boleh ditukar kepada manual dengan hanya menarik pedal belakang stereng.


SPESIFIKASI:

ENJIN: Empat silinder 16 injap SOHC i-VTEC
KUASA MAKSIMUM: 120ps pada 6,600rpm
TORK MAKSIMUM: 145Nm pada 4,800rpm
TRANSMISI: Lima kelajuan automatik
CIRI KESELAMATAN: Beg udara berkembar SRS, ABS, EBD, BA
HARGA: Bermula RM85,980

- METRO AHAD

 

Malaysia pusat keluar bateri kereta elektrik

by

Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd sedang berunding dengan syarikat induknya, Mitsubishi Motor Corporation (MMC) untuk menjadikan negara ini sebagai antara pusat bagi pengeluaran bateri lithium-ion untuk kereta elektrik (EV).

Ketua Projek Kanan di Pejabat Ketua Eksekutifnya, Hoffen Teh, berkata rancangan menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran bateri lithium-ion itu bertujuan menurunkan lagi harga kereta yang dijana kuasa elektrik.

Guna komponen tempatan

"Kereta Mitsubishi i-MiEV yang dilancarkan semalam yang dijual pada harga RM136,118 seunit adalah kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Baterinya, iaitu antara komponen kos terbesar dalam penghasilan EV itu turut dipasang dan dikeluarkan di negara matahari terbit itu.

“Kami melihat wujud kemungkinan untuk menurunkan lagi kosnya, yang mana salah satu daripadanya ialah menerusi penggunaan komponen tempatan.

“Justeru, kami kini sedang berunding dengan MMC bagi mencari jalan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran bateri lithium-ion,” katanya kepada media selepas pelancaran Mitsubishi i-Miev di Kuala Lumpur semalam.

Dengan pelancaran itu, Mitsubishi i-MiEV, kereta empat tempat duduk yang dijana 100 peratus tenaga elektrik itu kini muncul sebagai EV pertama yang dijual secara komersial di Malaysia.
i-Miev, kenderaan mesra alam dengan gabungan pemanduan yang lebih menjimatkan itu dijana oleh pek bateri lithium-ion yang memacu sebuah motor elektrik bermagnet kekal.

    "Kami sedang berunding dengan MMC bagi mencari jalan untuk menjadikan Malaysia pusat pengeluaran bateri lithium-ion" - Hoffen Teh, Ketua Projek Kanan di Pejabat Ketua Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia

Bateri berkuasa 330 volt dan boleh dicaj semula dengan cara iaitu biasa atau cepat itu disimpan dalam pek bateri kalis air yang diletakkan di bawah lantai kenderaan, manakala motornya pula berada di bawah ruang simpanan barangan di belakang.

Bagi pengecas biasa, ia hanya menggunakan tenaga elektrik rumah dengan mengambil masa lapan jam, manakala bagi pengecas cepat pula ia hanya mengambil masa 30 minit untuk kapasiti bateri sehingga 80 peratus.

Kenderaan kecil yang sesuai bagi pemanduan bandar itu mampu menghamburkan kuasa output 49 kiloWatt (kW), manakala tork mencapai sehingga 180 Nm.

Jentera yang diperkenalkan untuk pasaran dunia empat tahun lalu itu mampu dipandu sejauh 150 kilometer (km) bagi setiap cas penuh dan boleh memecut sehingga 150 kilometer sejam (km/j).

Sempena pelancaran rasminya semalam, pelanggan bakal menikmati pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000 kilometer, meliputi kos buruh bagi pemeriksaan kenderaan berkala, penghawa dingin dan cecair brek.

Antara ciri dalaman menarik yang ada pada i-Miev, termasuk sistem hiburan skrin sesentuh dengan navigasi GPS, kawalan penghawa dingin dan cahaya lampu secara automatik, lampu LED depan dan belakang berkembar, stereng kawalan elektrik dan penukar tombol gear dengan kemasan kulit serta kabel pengecas dengan peti kawalan.

- BERITA HARIAN

 


Minyak BHPetrol Infiniti Advanced2X beri kuasa tambahan terbaik

by

Bahan tambahan berprestasi tinggi terbaru dari Jerman yang digunakan dalam Infiniti Advanced 2X RON95 dan RON97 mampu memberi jarak dan kuasa tambahan kepada kenderaan.

Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) menawarkan petrol terbaik kepada pelanggannya sejak 16 Oktober 2012.

Kehadiran petrol itu turut mencatat sejarah apabila menjadi yang pertama di dunia menggunakan bahan tambahan itu daripada syarikat kimia terkemuka Jerman.

Pengarah urusan BHPetrol Tan Kim Thiam berkata, pengenalan pakej tambahan baru itu adalah selaras dengan komitmen syarikat untuk meningkatkan portfolio produk.

BHPetrol sentiasa di hadapan dalam menggunakan teknologi bahan api baru dan kami sentiasa meningkatkan prestasi produk dari semasa ke semasa supaya pengguna mendapatkan yang terbaik.

Kami juga berbangga menawarkan bahan tambahan ke dalam bahan api yang maju dalam pelbagai petrol ini tanpa kos tambahan kepada pelanggan.

Pakej tambahan terbaru Jerman itu memberi petrol baru BHPetrol RON95 dan RON97 dioptimumkan untuk mencapai kecekapan pembakaran penuh dan mengekstrak tenaga daripada setiap titisan bahan api yang dibakar.

Selain itu, ia memberi penjimatan terbaik kerana bahan api tidak dibazirkan melalui paip ekzos, selain pelepasan dikurangkan dan lebih mesra alam.

Pemandu juga akan berasa kuasa pecutan berikutan Ejen Pembersihan Deposit dalam bahan tambahan itu dirumus untuk membuang karbon dalam kebuk pembakaran, injap dan muncung penyuntik.

Ejen Mengurangkan Geseran dalam bahan tambahan itu turut mampu mengurangkan geseran antara gelang omboh dan dinding silinder untuk meminimumkan kehilangan tenaga.

Laman Web BHPetrol : http://www.bhpetrol.com.my/



Perodua perkenal model S-Series untuk Viva, Myvi, Alza

by

Perusahaan Automobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dijangka memperkenalkan kereta daripada segmen S- Series bagi model Viva, Myvi dan Alza.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, model- model tersebut dikeluarkan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 jenama kereta terkemuka itu di pasaran.

"Kelainan yang ada pada model baharu S- Series ini boleh dilihat daripada beberapa prospek seperti reka bentuk yang lebih menarik, kepelbagaian aksesori-aksesori tambahan dan juga stereng berkuasa tinggi yang dijual pada harga berpatutan.

"Selain daripada warna-warna model Perodua yang sedia ada di pasaran, model S-Series ini turut didatangkan dengan warna eksklusif iaitu Ozzy Orange," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran batu asas kilang baharu Perodua di Sungai Choh, Rawang yang telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Rawang, Selangor.

Aminar Rashid menerangkan, ketiga-tiga model Viva S 1.0L, Myvi 1.3 SE dan Alza S 1.5L itu ditawarkan pada harga antara RM34,774.30 sehingga RM56,517.00 seunit di seluruh rangkaian Perodua.

Dalam pada itu, Perodua turut menawarkan pemberian servis kereta secara percuma selama tiga tahun kepada mana- mana pemilik Perodua yang mendaftar kenderaan mereka bermula 15 Mac.

Tambah Aminar, khidmat lapan kali servis kenderaan secara percuma yang bernilai kira-kira RM1,000 hingga RM1,200 itu merangkumi kos buruh, alat ganti upah dan enam peratus cukai.

- KOSMO!

 

Kereta mini elektrik mewah dijual RM211,607

by


ZAGREB, Croatia - Seorang ahli perniagaan, Vjekoslav Majetic mengendalikan sebuah syarikat Dok-Ing di sini yang mengeluarkan kereta elektrik mini yang mewah.

Majetic yang berusia 57 tahun sebelum ini bercita-cita untuk menghasilkan kereta berkuasa elektrik semasa dia masih kecil.

Beliau yang merupakan bekas jurutera pengangkutan mula menjadikan ideanya itu sebagai realiti lima tahun lalu apabila sebuah kereta prototaip yang dihasilkannya, Loox dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Geneva di Switzerland pada tahun 2010.

Kebanyakan komponen kereta elektrik tiga tempat duduk itu dibuat di Croatia.

Komponen-komponen yang digunakan untuk menghasilkan kereta tersebut berkualiti tinggi seperti badannya diperbuat daripada karbon kevlar.

Bahan-bahan berkualiti tinggi itu menyebabkan harga kereta itu mahal iaitu AS$68,000 (RM211,607) berbanding kereta elektrik lain.

Kereta sepanjang 2.9 meter itu boleh mencecah kelajuan sehingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 7.5 saat berdasarkan meter laju.

Masa untuk mengecaj kereta itu ialah tiga hingga lapan jam.

Syarikat itu merancang untuk menghasilkan lima buah kereta tersebut menjelang tahun ini.

- AFP
 

Perodua Perkenal Pakej 'Salam 1Felda'

by
Perodua memperkenalkan satu skim promosi khas bagi peneroka Felda sebagai sebahagian daripada pakej khusus kereta nasional yang direka bentuk bagi keperluan permotoran peneroka.

Pakej 'Salam 1Felda' itu termasuk rebat minimum RM1,000, baucar servis 50 peratus bagi tempoh dua tahun dan satu insurans kemalangan peribadi bernilai RM20,000 (bergantung kepada terma dan syarat).

Bagi melayakkan untuk mendapat skim promosi itu, yang bermula hari ini hingga 30 April, 2013, seseorang peneroka Felda perlu menunjukkan kad pengenalannya, slip pembayaran Felda dan surat pengesahan.

"Skim ini juga terbuka kepada pasangan, adik beradik, anak dan anak angkat peneroka, asalkan mereka boleh menunjukkan dokumen yang diperlukan," kata Pengarah Urusan Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh dalam satu kenyataan pada Sabtu.

"Kami percaya bahawa promosi ini akan mendapat sambutan yang baik oleh para peneroka kerana tawaran skim itu akan mengurangkan lagi kos pemilikan kenderaan kami yang sememangnya rendah," kata Aminar.

Tambahan kepada pakej itu, Perodua akan turut menggembleng pasukan servis bergerak bagi menawarkan penyelenggaraan asas bagi kenderaan Perodua terhadap peneroka Felda terpilih tidak lama lagi.

"Perkhidmatan tambah nilai itu yang kami tawarkan adalah satu cara kami menemui para pelanggan kami," kata Aminar.

Untuk meningkatkan sambutan promosi itu, Perodua akan menggerakkan satu promosi jualan dan selepas jualan ke 14 tanah rancangan dalam tempoh tiga bulan akan datang bagi meningkatkan lagi kesedaran mengenai program itu.

Terdapat sejumlah 304 tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Promosi selepas jualan semasa lawatan itu akan termasuk diskaun bagi minyak enjin dan alat ganti serta pemeriksaan percuma 30 perkara bagi peneroka yang memiliki kereta Perodua di tanah rancangan Felda terpilih.

Berasaskan kemas kini lama web Felda terakhir pada 21 Mac, 2012, terdapat kira-kira 113,000 peneroka Felda di seluruh negara.

- BERNAMA

Kereta Elektrik Nissan Leaf diperkenalkan

by

PETALING JAYA 3 Mei - Kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di jalan raya dijangka mampu menguasai 10 peratus daripada jualan keseluruhan industri (TIV) pada 2020, walaupun permintaannya perlahan ketika ini.

Walaupun insentif cukai untuk kenderaan hibrid dan EV telah dilanjutkan sehingga Disember 2013, namun jualannya masih kurang memberangsangkan berbanding di negara lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lebih 80,000 buah EV dan tiga bilion buah kereta hibrid telah terjual di pasaran global.

"Di Malaysia hanya 8,000 buah kenderaan hibrid terjual setakat ini dan 21 buah EV berada di jalan raya untuk program uji pandu. Daripada 21 buah EV tersebut, 10 buah adalah Nissan Leaf, dua Mitsubishi Miev dan sembilan Proton.

"Kami yakin pasaran kenderaan berkenaan akan berkembang pada 2020, selari dengan perkembangan teknologi dan infrastruktur sokongan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan Nissan Leaf oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM), di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Ang Bon Beng.

Mustapa berkata, kerajaan juga memberi lebih tumpuan terhadap pembangunan EV dan hibrid dalam proses kajian semula Dasar Automotif Negara yang dijangka dibentangkan di kabinet tidak lama lagi.

"Lebih banyak insentif cukai dan fiskal dicadangkan bagi membangunkan industri berkenaan. Kerajaan juga sedang merangka pelan pembangunan infrastruktur seperti stesen pengecas untuk EV.

"Ketika ini hanya Proton menawarkan stesen pengecas EV iaitu Putrajaya. Untuk kegunaan individu, sistem pengecas bateri berharga RM400 manakala untuk kegunaan awam masih belum diketahui lagi," jelasnya.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 10 buah Nissan Leaf akan digunakan dalam program pandu uji selama setahun dengan tujuan menyampaikan maklumat dan menerima maklum balas daripada orang ramai.

Kenderaan EV berkenaan mungkin akan dipasarkan di pasaran tempatan dua atau tiga tahun lagi bergantung kepada permintaan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi jualan Nissan pada tahun ini, Bon Beng berkata, syarikat menyasarkan pertumbuhan yang lebih baik daripada pertumbuhan TIV iaitu 2.5 peratus.

"Tahun lalu Nissan menjual lebih 30,000 kenderaan dan dijangka meningkat tahun ini, iaitu lebih daripada 2.5 peratus hasil pengenalan produk baru," ujarnya.

Tambahnya, Nissan sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi menyediakan stesen pengecas kenderaan EV yang dilihat menjadi penentu pembangunan industri berkenaan.

- UTUSAN

Proton Preve dilancarkan dengan harga RM59,990 hingga RM72,990

by


PROTON Preve, kereta global pertama keluaran PROTON Holdings Bhd (PROTON), akan menjadi model perintis untuk mengukuhkan kembali penguasaan pasaran pengeluar kereta nasional itu, baik di pasaran tempatan mahupun di luar negara.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata model itu juga akan menjadi perintis kepada perubahan dalam penghasilan setiap model baru PROTON di masa depan.

“PROTON Preve adalah bukti akan kemampuan PROTON setakat ini dalam usahanya bersaing pada pelbagai peringkat pasaran global.

“Dengan model ini, apa yang PROTON cuba nyatakan adalah model ini akan menjadi permulaan baru bagi kami, iaitu antara lain memperkenalkan arah baru reka bentuk produk dari segi kualiti dan keselamatan yang mampu bersaing di pelbagai pasaran dunia,” katanya pada majlis pelancaran model itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Kembangan, semalam.

Hadir sama Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor: Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Pengerusi Eksekutif PROTON, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Syed Zainal berkata, sebagai permulaan, pihaknya memperuntukkan 20 peratus daripada jumlah pengeluaran Preve untuk pasaran eksport.
“Selain pasaran domestik, Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat,” katanya.

Syed Zainal berkata, Preve dijangka mampu dijual sekitar 4,000 hingga 4,200 unit sebulan dan kini sudah menerima lebih 1,000 unit tempahan sejak mula ditampilkan secara teaser pada Pameran PROTON Power of 1 di Bukit Jalil, bulan lalu.

Sementara itu, Najib berkata, keupayaan untuk mengeluarkan sebuah kereta yang global adalah suatu mercu tanda kejayaan yang amat penting kepada PROTON kerana untuk mencapai tahap piawaian dan standard antarabangsa terbabit, ketelitian dan fokus kepada aspek kualiti tidak boleh dipandang ringan.

“Semuanya harus berada pada tahap global standard. Saya sendiri sangat berbangga dengan keupayaan PROTON dan ini membuktikan bahawa kereta kita juga setaraf atau lebih baik dari kereta berjenama antarabangsa yang lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kereta berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata untuk memastikan PROTON dan semua syarikat automotif tempatan dapat bersaing dengan kereta terkemuka dunia, kerajaan menerusi Dasar Automotif Negara (DAN) sudah menggariskan pelbagai insentif bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif tempatan bagi jangka panjang.

Katanya, ini termasuk penyediaan pelbagai insentif dan pakej geran dan dana automotif yang komprehensif serta pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan usaha sama strategik dengan rakan dagang utama negara.

“Kerajaan juga sedang mengkaji semula DAN yang akan merangkumi skop yang lebih luas dengan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk syarikat kereta, vendor, institusi kewangan dan pengguna.

“Pembentangan cadangan akhir ini, akan dibentangkan di mesyuarat Kabinet tidak lama lagi,” katanya.

Preve, yang kini boleh didapati di semua bilik pameran Proton Holdings di seluruh negara, ditawarkan dalam tiga varian, iaitu standard eksekutif transmisi manual, standard eksekutif transmisi automatik dan spesifikasi premium transmisi automatik.

Versi standard eksekutif transmisi manual menggunakan enjin 1.6 liter IAFM Continuous Variable Transmission (CVT) lima kelajuan, dan tujuh kelajuan untuk versi automatik, sementara versi spesifikasi premium pula menggunakan enjin 1.6 liter Caj Keberkesanan Minyak (CFE) turbo dengan CVT Protonic tujuh kelajuan.

Model baru itu ditawarkan pada harga RM59,990 seunit bagi versi standard eksekutif transmisi manual, RM62,990 bagi automatik standard eksekutif CVT, dan RM72,990 seunit bagi versi premium.

Semua varian berkenaan ditawarkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer, atau yang mana terdahulu.

Menurut Mohd Khamil berkata, Preve, model bercirikan teknologi paling canggih pertama yang ditawarkan kepada pasaran secara besar-besaran itu, akan membuka lembaran baru buat syarikat kereta nasional itu dalam memasarkan produknya yang menepati semua cita rasa pasaran.

“Produk PROTON memang sudah diterima di peringkat antarabangsa ketika ini. Namun begitu, kita tidak harus berpuas hati. Kita mesti bertindak lebih agresif lagi dalam mengembangkan aktiviti eksport ke luar negara dan menjadi lebih berteknologi maju, terus mampu menawarkan pelanggan kenderaan yang sewajarnya, mampu memperkukuh jualan dan khidmat selepas jualan di peringkat antarabangsa, dan mampu berkembang lebih kukuh sebagai jenama yang memiliki reputasi yang baik, yang dipercayai, diutamakan dan mampu menjadi pengeluar kereta yang kompetitif,” tegasnya.

Preve turut mendapat sentuhan anak syarikat milik penuh PROTON, iaitu Lotus Engineering, khususnya dari segi kawalan pemanduan dan pengendalian, yang mampu bertindak balas dengan baik di selekoh pada kelajuan tinggi.

SPESIFIKASI: Proton Preve

Enjin 1.6 liter turbo ringan menghasilkan kuasa sama 2.0 liter enjin biasa

138 kuasa kuda, kilasan 205Nm

Sistem butang penghidup enjin untuk Premium

Stering kuasa hidrolik

Brek ABS dengan EBD

Dwi beg udara SRS untuk semua varian dan beg udara sisi untuk Premium saja

Dilengkapi dengan sambungan 4G WiFi dan sistem navigasi GPS

Sistem audio dengan pemain CD MP3 dengan Bluetooth, USB dan sambung iPod

Warna pilihan Blue lagoon, Fire red, Genetic silver, Solid white, Tranquility black, Elegant brown

Kesemua varian didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km

Tiga varian : Premium (harga dari RM72,990), Eksekutif CVT (harga dari RM62,990), Eksekutif (harga dari RM59,990)

- BERITA HARIAN
 

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90