Memaparkan catatan dengan label Bantuan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bantuan. Papar semua catatan

Ahad, September 04, 2022

Kerajaan salur RM7.15 bilion bantuan pulih PKS

 


Kerajaan menyalurkan RM7.15 bilion kepada sebanyak 26,119 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) setakat 6 Julai 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sejumlah 41,978 permohonan diterima setakat tempoh itu dan kemudahan pinjaman bernilai RM6 bilion ini telah ditambah menjadi RM8 bilion bagi membantu kalangan PKS yang terjejas dalam sektor perkhidmatan.

Jelas beliau, di bawah TRRF yang dipertingkat, PKS boleh menggunakan sehingga 30 peratus daripada pembiayaan yang diluluskan untuk membayar balik pembiayaan perniagaan (pembiayaan semula) sedia ada.

"Saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM500,000 bagi setiap PKS manakala RM75,000 bagi perusahaan mikro dengan kadar faedah sehingga 3.5 peratus setahun termasuk fi jaminan.

"Tempoh bayaran balik pembiayaan ini adalah sehingga tujuh tahun berserta moratorium sekurang-kurangnya selama enam bulan," katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kemudahan yang ditawarkan pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun ini tersedia melalui institusi kewangan peserta dengan perlindungan jaminan oleh pihak Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Kemudahan berkenaan tersedia hingga 30 Jun 2022 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi menyokong matlamat kerajaan dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050, PKS juga digalakkan untuk menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan masing-masing.

"Kemudahan Peralihan Rendah Karbon adalah satu kemudahan pembiayaan yang diperuntukkan bermula dari 3 Februari 2022 dan boleh dipohon sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya iaitu sebanyak RM1 bilion di bawah strategi inisiatif 1, Amalan Rendah Karbon dalam Bajet 2022.

"Setakat 6 Julai, 2022, sebanyak 26 syarikat PKS telah memohon bagi kemudahan ini dengan sejumlah RM11.713 juta telah diluluskan bagi 12 PKS," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pemohonan PKS itu mewakili semua sektor yang komited untuk beralih ke arah operasi perniagaan rendah karbon dan lestari.

Beliau berkata, amalan kelestarian ini termasuk namun tidak terhad kepada aktiviti seperti mendapatkan pensijilan kelestarian, meningkatkan penggunaan bahan yang diakui lestari dalam aktiviti pengeluaran, menambah baik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan selain memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu di premis masing-masing.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh di laman sesawang https://www.bnm.gov.my/documents/20124/2294076/lctf2022_bm_faq.pdf.

Sumber : BERNAMA

Selasa, Januari 18, 2022

Pahang lancar kad kesihatan warga emas

 

Kerajaan Pahang buat julung kalinya melancarkan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang yang membabitkan 18,000 penerima bersasar dengan peruntukan keseluruhan RM10 juta setahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, pelaksanaan kad itu yang bernilai RM500 setiap penerima, dibahagikan kepada dua peringkat iaitu fasa pertama membabitkan 9,009 penerima Bantuan Orang Tua Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang bermula, hari ini.

Beliau berkata, bakinya ialah penerima fasa kedua bermula Mac ini, membabitkan warga emas yang dikenal pasti oleh pejabat daerah sebagai mereka yang memerlukan bantuan berkenaan.

"Penerima kad kesihatan ini boleh mendapatkan rawatan prosedur am atau urusan perubatan di 50 klinik swasta yang telah dilantik sebagai panel. Ini memberikan mereka alternatif dalam mendapatkan rawatan selain daripada fasiliti kesihatan kerajaan," katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kad kesihatan itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahamd Shah di sini hari ini, dan majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.  

Berdasarkan data penerima fasa satu, daerah Kuantan merekodkan jumlah paling ramai iaitu 1,829 orang diikuti Temerloh (1,408 orang), Pekan (1,347 orang), Lipis (996 orang) dan Bentong (762 orang).

Ditanya jika jumlah klinik swasta terbabit akan ditambah, Wan Rosdy berkata ia bergantung kepada permintaan dan penambahbaikan berdasarkan situasi semasa, dengan keutamaan adalah memastikan keselesaan dan kebajikan warga emas yang menerima manfaat itu.

"Bantuan ini akan diteruskan pada masa hadapan dan kita berharap jumlah peruntukan terbabit boleh ditambah bagi membolehkan lebih ramai menikmati kemudahan ini," katanya.

Wan Rosdy berkata, pemberian kad kesihatan itu juga sebagai tanda komitmen kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan asas rakyat daripada segenap usia yang menjadi antara asas Belanjawan Pahang 2022 yang dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri pada 6 Disember lepas.

Selain kad kesihatan kepada warga emas, Wan Rosdy turut merujuk kepada pemberian insentif Anak Kebanggaan Pahang kepada 25,000 bayi yang lahir tahun ini membabitkan peruntukan RM5 juta dan insentif Kad Diskaun Pelajar Kebanggaan Pahang berjumlah RM4.87 juta kepada 48,711 pelajar golongan miskin. – BERNAMA

Isnin, September 06, 2021

Bantuan Khas Covid-19 Fasa 1 dikreditkan 6 September 2021

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi kenyataannya berkenaan Bantuan Khas Covid-19 Fasa 1 yang akan dikreditkan pada esok.

“Saya berharap, pemberian bantuan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan kini melaksanakan rangsangan ekonomi rakyat dan negara melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

“Besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

1 September lalu, Ismail Sabri memaklumkan, sejumlah RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan berkaitan bagi bayaran BKC dengan proses pengkreditan Fasa 1 bermula 6 hingga 10 September ini.

Bantuan itu sekali gus memanfaatkan seramai 10 juta penerima daripada  kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang  berkelayakan.

Kelayakan penerima BKC dalam golongan miskin tegar dan B40 ialah berdasarkan kriteria kelayakan BPR 2021 dengan jumlah pendapatan isi rumah atau warga emas (RM5,000 dan ke bawah), manakala individu bujang (RM2,500 dan ke bawah).

Bagi kelayakan penerima M40 pula, golongan ini perlu melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah  pendapatan isi rumah (RM5,001 hingga RM9,000), manakala bujang (RM2,501 hingga RM5,000).

Bagi miskin tegar, isi rumah yang berkelayakan menerima jumlah bantuan sebanyak RM1,300, ia melibatkan tiga fasa pembayaran iaitu RM500, RM500 dan RM300; warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM500 melibatkan dua fasa pembayaran (RM200 dan RM300).

Penerima golongan B40 pula, isi rumah dengan kelayakan bantuan sebanyak RM800 adalah melibatkan dua fasa pembayaran iaitu RM500 dan RM300 manakala warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM200 akan menerima sekali pembayaran.

Seterusnya, bagi penerima M40, isi rumah dengan kelayakan bantuan RM250, warga emas sebatang kara dan individu bujang (RM100) juga menerima sekali pembayaran. 

 

Ahad, Jun 27, 2021

Suami meninggal dan anak lahir pada hari yang sama

 

Siapa sangka dalam sehari dia menerima khabar duka dan gembira serentak namun perancangan Allah mengatasi segala-galanya.

Namun, Siti Azimah Tajudin, 31, reda ketentuan Ilahi apabila suaminya, Shahrol Amri Sanusi, 31, meninggal dunia jam 8 pagi, 18 Jun lalu dipercayai akibat serangan jantung.

Namun terselit sedikit pengubat dukanya apabila anak ketujuh Siti Nur Aisyatull Humaira lahir beberapa jam selepas suami disahkan meninggal di rumah mereka di Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Lebih pilu, nama anak perempuannya itu adalah pilihan arwah dan 'hadiah' terakhir untuk Siti Azimah.

"Saya sebenarnya masih terkejut dengan pemergian suami secara tiba-tiba.

"Sebelum ini suami tidak pernah mengadu sakit dan sekali-sekala memberitahu hanya penat, malah ketika kejadian arwah sempat menunaikan solat Subuh seperti kebiasaan.

"Pada jam 8 pagi, arwah bangun daripada tidur dan seperti sesak nafas sebelum saya segera menghubungi ambulans," kata ibu kepada tujuh anak ini.

Dia yang berasal dari Kelantan berkata, setibanya ambulans di rumah mereka, pegawai perubatan mengesahkan suami sudah tidak bernyawa jam 8.30 pagi.

"Saya terkejut dan terpinga-pinga dengan kematian suami secara tiba-tiba.

"Selepas menghantar jenazah suami ke Hospital Kajang untuk bedah siasat pada jam 6 petang saya sudah rasa sakit untuk bersalin.

"Sepatutnya saya dijangka bersalin pada 28 Jun ini, tapi takdir Allah saya melahirkan anak beberapa jam selepas kematian suami iaitu 12.09 tengah malam di Hospital Serdang," katanya.

Siti Azimah mengakui suami tidak menunjukkan sebarang petanda untuk meninggalkannya.

"Saya tak perasan sangat, cuma arwah suami ada kata dua tiga hari sebelum ini saya ada sakit-sakit (nak bersalin).

"Arwah cakaplah mungkin baby kami nak keluar hari Jumaat, tetapi saya tak sangka hari sama dia (suami) yang pergi," katanya yang juga seorang suri rumah.

Akuinya, pemergian suami dan kelahiran anaknya ibarat Allah menarik satu nyawa dan menggantikan anaknya dengan nyawa baru.

"Mungkin boleh mengubat kelukaan saya, tetapi saya tetap merindui suami yang baik untuk saya dan anak-anak," katanya.

Katanya, arwah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah mahkamah syariah.

"Jenazah suami dikebumikan pada jam 2 petang, 19 Jun lalu di tanah perkuburan Kampung Sungai Ramal Dalam.

"Saya tidak sempat melihat jenazah suami dan menguruskan pengebumian kerana baru melahirkan anak," katanya.

Siti Azimah berkata, tujuh anaknya berusia 12, 10, 8, 5, 2, setahun dan enam hari akan dijaga sebaiknya.

"Ada pihak menghubungi saya untuk mengambil anak namun tidak sesekali saya menyerahkan mereka.

"Saya nekad jaga mereka walaupun tiada punca pendapatan, saya akan cuba berniaga secara atas talian demi kelangsungan hidup," katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Siti Azimah boleh menyalurkan ke akaun CIMB 7065548933 (Siti Azimah Tajudin).

Sumber : Harian Metro

 

 

Ahad, September 07, 2014

Rayu bantuan dana bedah anak penyakit hati


Sepasang suami isteri memerlukan kira-kira RM150,000 untuk membiayai kos pembedahan anak mereka yang menderita menghidap penyakit biliary atresia.

Putra Muhammad Ilyas yang baru berusia dua tahun dikesan menghidap penyakit tersebut dan mengalami masalah kegagalan hati pada hujung Mac lalu, setelah dikejarkan ke wad kecemasan selepas mengalami pendarahan di bahagian hidung dan dalam badannya.

Ibunya, Sazariah Abdul Aziz, 32, berkata, keadaan Putra Muhammad lesu dan anaknya perlu segera menjalani pembedahan.

“Kedua-dua belah matanya kekuningan, kulitnya juga mudah luka. Keadaan ini terjadi disebabkan kegagalan hati anak kami berfungsi secara normal.

“Pembedahan perlu disegerakan kerana rata-rata doktor yang ditemui khuatir dengan keadaan tubuh anak kami selain penyakit tersebut boleh membawa maut pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika ditemui di Ipoh.

Sazariah berkata, sekiranya dana yang diperlukan mencukupi, dia dan suaminya akan membawa Putra Muhammad menjalani pembedahan di Hospital Sir Gangga Ram, India.

Katanya, keputusan untuk membawa Putra Muhammad menjalani pembedahan di negara itu diambil setelah mendapatkan pandangan daripada mereka yang pernah dirawat di sana di samping kosnya lebih murah.

Sementara itu, bapa kanak-kanak malang tersebut, Rahizal Rahim, 39, pula berkata, kos rawatan untuk anaknya di negara ini sangat tinggi iaitu sekitar RM300,000 bagi hospital swasta.

"Untuk hospital kerajaan, hanya Hospital Selayang boleh dijalankan pembedahan ini namun walaupun kosnya murah iaitu hanya RM500 namun kena tunggu giliran dan berkemungkinan memakan masa bertahun-tahun,” katanya.

Rahizal yang juga pesara tentera turut mengharapkan masyarakat mendoakan kesejahteraan kesihatan anak bongsunya itu.

Katanya, setakat ini, sebanyak RM20,000 berjaya dikumpulkan hasil inisiatif dia dan isterinya menerusi media sosial dan bantuan rakan-rakan terdekat.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 558435103162 atau CIMB 7031187009 atas nama Sazariah Abd Aziz.

Sumber : SINAR HARIAN



Isnin, April 01, 2013

Saluran pernafasan sempit, Harish perlu RM9,000



Ketika orang lain menyambut kelahiran bayi dengan gembira dan bahagia, pasangan suami isteri Hasril Abu Hassan, 35, dan Nor Fariza Daud, 29, hanya mampu menahan air mata apabila bayi mereka, Harish Ar Rizqin, disahkan menghidap saluran pernafasan sempit, tiga bulan lalu.

Sungguhpun ujian besar itu mampu mereka hadapi dengan tabah dan sabar, pasangan itu mengakui ada ketikanya mereka tidak mampu melihat penderitaan ditanggung Harish.

Harish.

“Harish tak banyak ragam, tapi saya tak sampai hati tengok dia.

“Kalau tanpa bantuan mesin oksigen dia tak boleh bernafas sendiri,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, baru-baru ini.

Harish dilahirkan pada 31 Oktober 2012, ketika usia kandungan Nor Fariza melewati tarikh jangkaan, iaitu 41 minggu.

 Bacaan denyutan jantung yang merosot dan lemah memaksa doktor melakukan pembedahan ke atas Nor Fariza.

“Waktu dikeluarkan, Harish langsung tak menangis tapi dia nampak normal macam bayi lain.

"Dia tak tunjuk kelainan cuma bila dah balik rumah dia kerap batuk dan selesema. Suara dia pun perlahan.

“Saya kena bagi susu guna sudu sebab Harish mudah tersedak sampai susu keluar ikut hidung,” sambung Nor Fariza.

Jantung berhenti

Mengimbas peristiwa kira-kira tiga bulan lalu, Nor Fariza berkata, wajah Harish tiba-tiba bertukar biru kehitam hitaman kira-kira jam 5 petang, 9 Disember tahun lalu.

Harish kelihatan sukar bernafas sehingga jam 7 malam. Ketika itulah nafas Harish tiba-tiba berhenti dan mata bayi itu terbeliak ke atas.

Nor Fariza panik. Dia dan suami membawa Haris ke HTAR. Alangkah tersentak jantung Nor Fariza dan Hasril apabila doktor memaklumkan jantung dan nadi Harish sudah berhenti.

Doktor melakukan rawatan kecemasan mengepam jantung untuk membolehkannya berfungsi semula.

Nasib mereka baik bila rawatan itu berkesan dan Harish segera ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Doktor turut menjalankan ujian imbasan MRI untuk  pastikan tiada kecederaan otak sewaktu nafasnya terhenti termasuk membuat pemeriksaan organ penting seperti paru-paru dan hati.

“Air tulang sum sum turut diambil untuk ujian. Masa tu doktor jangka Harish menghidap jangkitan paru-paru sebab dalam paru-paru dia ada kahak dan lendir.

“Lebih tiga minggu di ICU Harish dibenarkan pindah ke wad biasa namun masih memerlukan mesin oksigen untuk pernafasan. Dia tidak betah bernafas sendiri,” katanya.

Alami bengkak hati

Kini, setelah tiga bulan setengah bertarung nyawa dengan kehidupannya, Harish disahkan mempunyai saluran pernafasan sempit; mengakibatkan organnya gagal mengepam oksigen dengan baik.

Harish turut disahkan mengalami bengkak hati dan memerlukan pemerhatian rapi.

“Buat masa ini, Harish menggunakan mesin oksigen milik hospital. Kami difahamkan kos mesin adalah RM9,000.

"Mesin yang dimaksudkan (Oxygen Concentrator Machine dan Suction Machine) lebih selamat dan sesuai digunakan di rumah.

“Kalau guna mesin yang ada tangki gas macam di hospital, ia mungkin murah tapi tidak sesuai untuk kegunaan di rumah,” katanya.

Selain Harish, dua abangnya; Harish Ar Rayyan, 3, dan Harish Al Darwish, 2, turut memerlukan perhatian di rumah.

Justeru, dengan adanya mesin oksigen sendiri harish tidak perlu berkampung di hospital setiap hari.

Ketika kunjungan Sinar Harian ke HTAR, Harish difahamkan ada melalui proses ujian membuka mesin oksigennya untuk melihat keupayaan bayi itu bernafas sendiri.

Bagaimanapun, Harish sering muntah dan tidak dapat bernafas dengan baik, sehingga menyebabkan wajahnya bertukar kebiru-biruan. Dia terpaksa dimasukkan ke hospital semula.

Dalam pemantauan dan ujian pakar ENT (Hidung, mulut dan telinga), Harish perlu diberi perhatian lanjut memandangkan jantungnya pernah berhenti sebelum ini. Ia bagi memastikan tiada masalah lain lanjutan daripada jantung terhenti itu.

Harish turut menjalani ujian kromosom dan sawan.

“Mata Harish tak respons pada pergerakan. Dekat macam mana pun tangan kita pada mata dia, dia buat tak tahu saja.

"Biasanya umur 14 hari bayi dah boleh nampak atau sekurang-kurangnya berkedip bila diagah.

“Buat masa ini doktor maklumkan untuk selesaikan satu-satu dulu. Lepas masalah paru-paru Harish diketahui, doktor akan buat pemeriksaan berkaitan matanya pula,” luah Nor Fariza.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban adik Harish serta membantunya mendapatkan mesin oksigen boleh hubungi Hasril Abu Hassan di 019-2079047 dan melalui akaun Maybank - 162058014436.

- SINAR HARIAN


Rabu, Mac 06, 2013

Sumbangan untuk keluarga polis yang terkorban di Sabah



Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan tabung kebajikan kepada keluarga anggota polis yang terkorban atau cedera dalam serangan penceroboh bersenjata di Sabah.

Dalam satu kenyataan, tabung itu diwujudkan selepas menerima pertanyaan daripada masyarakat prihatin yang menyuarakan hasrat untuk menghulurkan bantuan kepada balu dan anak mangsa yang terkorban dan cedera.

"PDRM mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan warga Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan kewangan untuk meringankan beban keluarga perwira-perwira yang terkorban," kata kenyataan itu.

Kenyataan yang disiarkan laman sosial facebook PDRM menyebut, segala bentuk bantuan boleh disalurkan kepada Tabung Kebajikan PDRM melalui akaun Maybank bernombor 564100004646.

Manakala sumbangan cek dan slip bank boleh dihantar terus kepada Pegawai kebajikan Pasukan Bukit Aman di alamat Tingkat 26, Menara 2, 50560, Kuala Lumpur.

Alamat emel ialah kebajikan_ba@rmp.gov.my atau nombor faks 03-26912501. Sementara sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 03-22668036/8038.
 


Selasa, Januari 01, 2013

SUMBANGAN DANA KEPADA BLOG MY ADHA

 


MY ADHA adalah web blog maklumat yang memaparkan berita, politik, pendidikan, kerjaya, isu semasa, dunia, ekonomi, hiburan dan sebagainya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sebarang sumbangan dana untuk kos mengendalikan blog ini adalah sangat-sangat dialu-alukan.

Sumbangan boleh dibuat ke salah satu akaun bank berikut:

Jika bayaran melalui Perbankan Internet, masukkan e-mail penerima : mdadha(at)gmail.com
* Gantikan (at) dengan @







MAYBANK ISLAMIC BANK
ADHA ZAIN NETWORK
563064147551







CIMB ISLAMIC BANK

ADHA ZAIN NETWORK

8603573079





TERIMA KASIH KERANA MEMBERI SUMBANGAN DAN MENYOKONG BLOG MY ADHA


Recent Posts