Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label CheDet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CheDet. Papar semua catatan

Buku : Doktor Umum (Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad)

by

Buku : Doktor Umum (Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad)

ISBN: 9789674150259
Pengarang: Tun Dr Mahathir Mohamad
Tarikh Terbit (Versi B.Melayu):30-APR-2012
Penerbit: MPH Group Publishing

Sinopsis:
Barat menyifatkannya sebagai seorang yang keras kepala, perkauman, anti-Yahudi dan angkuh. Negara membangun bagaimanapun, memandang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai juara wawasan dan pemimpin luar biasa yang menyuntik semangat kepada setiap individu Dunia Ketiga untuk berdiri megah. Bahkan pengkritik beliau yang paling lantang pun tidak dapat menafikan bahawa di sebalik semua ini, Tun Dr Mahathir memberikan negara-negara yang terpinggir keberanian dan menunjukkan jalan ke arah masa depan yang penuh harapan.

Sungguhpun demikian, beliau tidak terlepas daripada kontroversi. Selama 22 tahun memimpin negara, beliau digambarkan sebagai seorang diktator dan juga perangsang. Tidak ramai pemimpin yang berjaya mengubah keseluruhan negara daripada ekonomi agraria kepada kuasa perindustrian dalam tempoh singkat selama dua dekad.

Di sini, dengan ketepatan pembedahan, Dr Mahathir menjejaki susur galur sejarah dan menghalusi peranan beliau sendiri dalam membentuk Malaysia moden.

BIODATA PENULIS
Dalam masa 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad mengubah negaranya daripada sebuah negara pertanian yang mundur kepada sebuah kuasa perindustrian dan negara perdagangan ke-17 terbesar di dunia.

Pencapaian yang mengagumkan itu bagaimanapun, membawa bersamanya kontroversi. Wawasan Dr Mahathir yang luar biasa dan cengkaman kuat beliau ke atas pentadbiran melahirkan musuh dan peminat tegar di dalam dan luar Malaysia. Beliau dilabelkan, sama ada secara tipikal atau paradoksikal, sebagai diktator yang zalim dan ditakuti mahupun sebagai pembela yang memberi ilham, berani dan lantang kepada Dunia Ketiga, Muslim sederhana serta golongan tertindas.

Di setiap persimpangan yang dilaluinya, Dr Mahathir menulis semula hukum dan peraturan. Autobiografi ini menjadi jendela bagi mengintai cara luar biasa beliau berfikir dan bagaimana pemikiran beliau dipengaruhi oleh peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Malaysia, daripada Perang Dunia Kedua dan Perjanjian MacMichael kepada kemerdekaan, perindustrian serta pembentukan Malaysia moden, krisis politik dan kewangan pada akhir 1990-an, serta cabaran abad baru.

Buku ini mendedahkan ciri-ciri yang sebelum ini tidak diketahui mengenai seorang insan yang tidak suka menonjolkan diri, tetapi akhirnya menjadi negarawan yang berani. Buku ini menceritakan politik Malaysia moden melalui kaca mata salah seorang daripada pengukirnya yang agung. Ia bukan untuk meminta pengampunan atau percubaan mempertahankan diri, tetapi pengisahan yang tegas, menambat perhatian dan menarik mengenai bagaimana serta mengapa Dr Mahathir mencatat begitu banyak kejayaan dalam masa yang singkat.

Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat dari 1981 hingga 2003. Beliau kini menetap di Kuala Lumpur.

Buku ini boleh dibeli secara online di: http://www.lazada.com.my/Doktor-Umum-%28Memoir-Tun-Dr-Mahathir-Mohamad%29-73384.html

Surat Dr Mahathir kepada 3 Perdana Menteri Israel

by
KUALA LUMPUR 29 Feb. – Berikut ialah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel iaitu Yitzhak Rabin pada tahun 1993; Benjamin Netanyahu pada tahun 1997; dan Ehud Barak pada tahun 1999 seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia. – BERNAMA


Surat Dr Mahathir Kepada Yitzhak Rabin

KUALA LUMPUR: Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin pada 1993, seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar kepada Bernama di sini, pada Rabu.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

21 Disember 1993

Tuan Yang Terutama

Tuan Yitzhak Rabin

Perdana Menteri Israel

JERUSALEM

Saya ingin mengucapkan terima kasih atas surat tuan bertarikh 17 Oktober memaklumkan saya mengenai Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan Bersama antara Israel dan PLO.

Kerajaan saya menyokong perkembangan positif ini dan menganggapnya sebagai satu langkah awal ke arah merealisasikan satu penyelesaian yang komprehensif kepada masalah Timur Tengah.

Sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap perkembangan ini, negara saya telah diwakili pada Persidangan Penderma bagi menyokong proses damai Timur Tengah yang diadakan di Washington dan seterusnya berjanji untuk memberi sumbangan kewangan yang sederhana kepada rakyat Palestin bagi membantu dalam tugas-tugas baru mereka.

Kerajaan saya juga menawarkan bantuan teknikal kepada rakyat Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.

Demi prinsip umum, Malaysia bersedia untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai. Sementara itu, saya ingin melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan perjanjian damai.

Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap perjanjian baru-baru ini antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan di kawasan itu.

Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel (ayat yang terakhir ini bertulis tangan)

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD



Surat Dr Mahathir Kepada Benjamin Netanyahu

KUALA LUMPUR: Berikut adalah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel pada 1997, seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar kepada Bernama di sini, Rabu.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

14 Mac 1997

Tuan Yang Terutama

Tuan Benjamin Netanyahu

Perdana Menteri Israel

Jerusalem

Surat tuan bertarikh 23 Januari hanya sampai kepada saya semalam.

Saya amat menghargai susah payah tuan untuk memaklumkan kepada saya situasi di Palestin dan rantau berkenaan.

Malangnya sebahagian besar daripada perkara yang tuan nyatakan itu telahpun berubah dengan begitu pantas.

Malaysia percaya kepada keamanan dan penyelesaian masalah antara negara berjiran menerusi rundingan.

Sebagai jalan keluar terakhir, kami beralih kepada pihak ketiga. Dalam pertikaian berhubung wilayah antara Malaysia dan Singapura dan Malaysia dan Indonesia kami bersetuju menyerahkan kepada Mahkamah Dunia untuk memutuskannya.

Pertikaian antara Malaysia dan Thailand berhubung wilayah perairan diselesaikan dengan persetujuan untuk berkongsi sumber bukan marin dengan saksama.

Di dalam negara, ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan antara penduduk pribumi dan kalangan yang asalnya pendatang diselesaikan menerusi tindakan afirmatif di mana golongan miskin akan memperoleh perkongsian yang lebih besar daripada kek ekonomi yang semakin berkembang tetapi tidak ada tindakan merampas dan mengagihkan semula apa yang telahpun menjadi kepunyaan keturunan kalangan pendatang.

Setiap orang menikmati pembahagian yang agak adil sekarang dan setiap orang agak berpuas hati. Hubungan antara kaum yang berbeza di Malaysia adalah baik dan tidak porak-peranda.

Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah untuk tidak mengambil apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang lain sungguhpun daripada segi sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan.

Akhir-akhir ini Israel telah merobohkan penempatan Arab dalam usaha mendirikan rumah bagi rakyat Israel.

Seluruh dunia, termasuk sekutu tuan, Amerika Syarikat, mengutuk tindakan ini. Namun Israel tetap meneruskan juga.

Tuan mengutuk Syria kerana membuat ancaman. Bagaimanapun ancaman mereka adalah respons kepada tindakan tuan sendiri.

Jika tuan secara paksa merampas tanah dan harta benda kepunyaan penduduk Palestin, satu-satunya respons sekiranya mereka tidak bertindak secara ganas terhadap tuan, adalah dengan mengancam untuk bertindak menentang tuan.

Jika mereka tidak boleh bertinda balas dan mereka tidak boleh menyuarakan tindak balas yang dihasratkan itu, maka mereka terpaksa tunduk kepada semua tindakan tuan tidak kira bagaimana salah sekalipun.

Apa yang tuan lakukan sekarang bertentangan dengan semangat dan surat proses perdamaian yang dipersetujui oleh pendahulu tuan.

Bagaimanakah kami boleh mempercayai Israel jika sesuatu perubahan dalam kerajaan menyangkal jaminan yang diberi dengan rasminya oleh sebuah Kerajaan Israel.

Tolong pertimbangkan semula keputusan tuan untuk membina penempatan baru Yahudi di tanah Arab.

Belia-belia Israel ada di sini. Hasrat kami ialah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa umat Islam adalah manusia rasional biasa yang mahu hidup dalam keamanan dan kebebasan.

Kami berharap mereka akan mempunyai tanggapan baru terhadap umat Islam dan Islam. Akan berlaku penyimpangan dalam kalangan umat Islam tetapi penyimpangan turut berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian serta penganut setiap agama. Tiada agama yang seharusnya dihakimi berdasarkan penyimpangan ini.

Kami berharap kalangan belia ini akan memahami umat Islam dengan lebih baik dan akan mahu berbaik-baik dengan mereka.

Untuk mengecap keamanan tuan perlu melakukan pengorbanan. Penduduk Palestin tidak lagi mendesak penyingkiran Israel.

Mereka malah bersedia untuk berkongsi Jerusalem dengan tuan. Mereka telah melakukan pengorbanan.

Kita harus ingat apabila Yahudi diperlakukan dengan kejam di Eropah, mereka seringkali menemui perlindungan dalam kalangan umat Islam di negara-negara Islam.

Kami tidak menganggap rakyat Israel sebagai seteru abadi. Namun kami tidak boleh menahan rasa simpati terhadap penduduk Palestin kerana tanah air mereka dirampas daripada mereka sekarang.

Ia mungkin menjadi kepunyaan Yahudi tiga ribu tahun yang lalu. Banyak tanah tradisional Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada Thailand. Tetapi kami tidak menuntut Selatan Thailand untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Jika kita pergi terlalu jauh ke masa lampau, kita tidak boleh hidup bersama jiran-jiran kita.

Kami bersedia untuk mengadakan kerjasama ekonomi dan teknologi dengan Israel tetapi kami masih belum boleh berbuat demikian kerana tuan belum memenuhi komitmen yang dibuat oleh Kerajaan Israel yang sah.

Kami ingin memikirkan bahawa sebaik sahaja kami mewujudkan hubungan dengan tuan, ia akan hubungan yang menjadi tetap.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD



Surat Dr Mahathir Kepada Ehud Barak

KUALA LUMPUR: Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak yang baru dipilih pada 1999, seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar kepada Bernama di sini, Rabu.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

8 Jun 1999

Tuan Yang Terutama

Encik Ehud Barak

Perdana Menteri Israel

TEL AVIV

Tuan Yang Terutama,

Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan tuan dalam pilihan raya baru-baru ini.

Dengan mandat yang cukup meyakinkan, saya berharap tuan dan rakan gabungan tuan akan dapat memimpin masa depan rakyat Israel di ambang Abad baru.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengulangi pendirian Malaysia yang sentiasa memperjuangkan keamanan dan penyelesaian masalah antara jiran menerusi rundingan.

Oleh itu menjadi harapan kami untuk melihat pelaksanaan bersama perjanjian yang ditandatangani antara PLO dan Israel.

Kami juga percaya jika proses perdamaian hendak diselamatkan, langkah-langkah berkesan mesti diambil untuk memenuhi komitmen.

Sebagai rakan penting dalam proses damai adalah mustahak bagi Israel lebih bersedia bertolak ansur.

Rakyat Palestin telah membuat pengorbanan besar. Mereka tidak lagi menuntut penghapusan negara Israel.

Mereka malah sedia berkongsi Baitulmaqdis dengan anda. Oleh itu kini masanya bagi Israel memberi respons positif demi mempertahankan harapan rakyat di Palestin dan Israel.

Komitmen mulia yang dibuat oleh Kerajaan sebelumnya mesti dihormati. Jika tidak saya bimbang, akan wujud suasana konflik dan ketidakstabilan serantau yang berkekalan menjangkau ke Abad akan datang. Ini adalah prospek yang mesti dielakkan.

Pokok masalah ialah bahawa tiada pihak yang harus kembali kepada cara lama merundingkan apa yang dimiliki pihak lain, di satu nada dan menghasut kebencian dan keganasan, pada nada lain.

Malaysia tidak dapat membiarkan keganasan oleh mana-mana pihak, sama ada rakan atau musuh.

Mana-mana negara yang merampas tanah dan harta orang lain, atau menghapus tempat tinggal orang lain untuk mendirikan penempatan mereka sendiri tidak boleh dianggap bersikap jujur mahukan perdamaian.

Malaysia yakin penuh bahawa keselamatan semua negara di Asia Barat dapat dijamin dengan kewujudan perdamaian yang adil, berkekalan, dan komprehensif di rantau berkenaan.

Ini mestilah berdasarkan pada prinsip "pertukaran tanah untuk perdamaian" dan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Dunia berharap Israel di bawah kepimpinan tuan, mengetengahkan proses damai dengan iltizam yang tulen.

Saya sesungguhnya berharap pencapaian penyelesaian komprehensif di rantau tersebut akan membolehkan Malaysia melihat dengan realistik langkah positif ke arah penubuhan hubungan biasa dengan Israel.

Yang Ikhlas

Dr Mahathir Bin Mohamad

PRU Tidak Sepatutnya Diadakan Sehingga 2012 - Tun Mahathir

by
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pilihan raya umum tidak patut diadakan sehinggalah sekurang-kurangnya tahun 2012.

"Kerajaan mempunyai masa. Saya fikir ia boleh berlanjutan sehingga 2012," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai spekulasi pilihan raya umum ke-13 diadakan November tahun ini.

Dr Mahathir berkata ramai orang masih tidak memahami akan "keadaan Malaysia".

"Kita mesti menjelaskan kepada mereka akan keadaan unik ini supaya mereka boleh memilih calon yang baik. Tetapi kita masih mendapati puak pelampau yang masih tidak memahami demokrasi dan mengajukan permintaan yang bukan-bukan.

"Pada masa ini, mereka yang bersikap perkauman sedang memainkan isu-isu yang menjurus kepada perpecahan rakyat. Anda perlu mengurangkan peranan mereka yang bersifat perkauman dan ekstremis ini," katanya.

Dr Mahathir berkata terdapat sesetangah orang yang begitu fanatik dan membuta tuli menyokong pemimpin yang kurang baik.

"Orang ramai mestilah berupaya untuk melihat pemimpin yang kurang baik dan pemimpin yang baik. Itu sebabnya kenapa kita perlukan masa," katanya.

Namun begitu, kata beliau, jika keadaan sangat baik dan Barisan Nasional (BN) yakin menang, ketika itulah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum.

Dr Mahathir berkata beliau berpandangan sedemikian berikutan keputusan pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April lepas.

Beliau berkata adalah wajar bagi kerajaan untuk tidak menamatkan tempoh mandatnya sehingga ke saat akhir sebagaimana yang dilakukan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Apabila kerajaan mengadakan pilihan raya setelah tempoh mandatnya, elemen kejutan pastinya hilang, kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir kemudian menyampaikan syarahan sempena mesyuarat tahunan kelapan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia.

- BERNAMA

Memoir Dr. M dapat sambutan hangat

by

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bersedia menghadapi sebarang litigasi ekoran beberapa pendedahan yang beliau coretkan dalam memoirnya bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilancarkan pada Selasa oleh MPH Group.

Bekas perdana menteri itu berkata, setakat ini, beliau tidak menerima apa-apa litigasi daripada pihak terbabit yang mungkin terkilan dengan hasil penanya.

"Itu bukan merupakan sebabnya. Kami merahsiakan pelancaran buku tersebut pada awalnya kerana bimbang seseorang itu akan menghalang buku tersebut daripada dijual dan mengambil injuksi terhadapnya (pelancaran buku tersebut).

"Jadi terdapat kebimbangan ketara (absolute fear). Saya sebenarnya gementar. Tetapi nasib baiklah sehingga sekarang, tiada tindakan litigasi diambil. Sekiranya ada, saya akan menghadapinya," katanya dalam sesi soal jawab bersama orang ramai dan media selepas pelancaran buku tersebut.

Terdapat bahagian dalam memoir tersebut yang menyentuh tentang sensitiviti tertentu khususnya berkaitan dengan sebab-sebab mengapa beliau menyingkirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalannya dan selepas itu daripada Umno.

Memoir setebal 843 halaman itu dilancarkan di pusat membeli-belah Mid-Valley.

Kenyataan MPH menyebut, memoir tersebut menyentuh tentang perjalanan kehidupan Dr Mahathir daripada zaman kanak-kanak sehinggalah beliau melibatkan diri dalam politik dan kemudian menjadi perdana menteri yang keempat.

Dalam acara yang sama, bekas perdana menteri itu turut menandatangani 50 naskhah pertama yang dijual sejak jam 10 pagi.

Ditanya mengenai bab yang paling sukar ditulis, Dr Mahathir memberitahu, adalah sukar untuk beliau mengenalpastikan bab-bab tersebut tetapi mengakui cabaran paling besar adalah sedaya upaya untuk mengelak daripada mengagung-agungkan diri sendiri.

"Saya dapati sukar untuk menulis kerana ia berkisar kepada diri saya. Apa-apa berkaitan tentang diri, saya berasa kurang selesa kerana pembaca ingat saya mempromosi dan memuaskan diri sendiri. Itu adalah bahagian yang paling sukar," katanya.

Ditanya mengapa beliau mengambil tempoh masa selama lapan tahun untuk menghasilkan buku tersebut, Dr Mahathir berkata: "Bagi mereka yang mengenali saya, apabila saya menulis, saya biasanya buang draf pertama, kedua, tulis draf ketiga.

"Dan sekiranya masih tidak berpuas hati, saya akan tulis draf keempat. Mungkin draf kelima adalah draf terakhir," katanya sambil mengundang hilai ketawa daripada para hadirin.

Tambahnya, beliau tidak menaip tetapi menulis dengan tangan dan ini menjelaskan mengapa ia mengambil masa yang agak lama.

Mengenai tajuk buku tersebut, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Mahathir memberitahu, beliau tidak ingin tajuk tersebut terlalu mengagung-agungkan dirinya.

Memandangkan asal-usul dirinya berlatarbelakangkan seorang doktor, beliau berkata, adalah lebih sesuai untuk memilih tajuk tersebut.

"Hakikatnya, saya seorang doktor yang memastikan kesihatan sesebuah negara... Saya selalunya seorang doktor," jelas beliau.

Menjawab satu soalan daripada seorang warga asing dari India, Dr Mahathir berkata, mesej utama buku tersebut kepada dunia secara keseluruhannya ialah "di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya."

"Sekiranya terdapat mesej utama, ia semestinya saya sebagai orang kebiasaan yang tidak dilatih dalam bidang pentadbiran, ekonomi, kewangan, tetapi sekiranya kita komited untuk belajar, tidak ada masalah.

"Ganjaran paling baik adalah bukan merupakan wang ringgit, tetapi hasil daripada kerja kita," katanya lagi dengan diiringi tepukan gemuruh daripada hadirin.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPH, Datuk Ng Tieh Chuan berkata, kira-kira 5,000 naskhah memoir tersebut telah dijual di seluruh negara sejak pagi hingga berakhirnya pelancaran buku tersebut di MPH Mid-Valley.

Di Mid-Valley sahaja, sejumlah 500 naskhah memoir berkenaan telah habis dijual hari ini.

Katanya lagi, cetakan pertama memoir Dr Mahathir ini adalah sebanyak 50,000 naskhah untuk diedarkan di seluruh negara, Singapura dan Asia Tenggara.

Orang ramai juga boleh membeli memoir ini secara talian dengan melayari www.mphonline.com.my

- MSTAR

'Dilema Melayu belum berakhir' - Tun Mahathir

by
Orang Melayu kini berada dalam dilema apabila mereka tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan dan hak Melayu kerana boleh dianggap sebagai rasis.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi, orang Melayu pula tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan berundur demi keamanan.
“Kita selalunya berdiam diri dan malu alah pada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar. Ini merugikan kerana kita bukan merampas hak orang lain.

“Jika kita terus berpegang kepada nilai itu, maka semakin lama kedudukan kita akan terhakis. Selalunya hendak cakap malu, tidak cakap kalah.

“Akan tiba pada satu tahap nanti kita juga tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu dan seolah-olah adalah pendatang sama seperti pendatang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (ASPIRASI) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dr Mahathir turut mengingatkan, masa depan orang Melayu di negara ini boleh menjadi buruk sekiranya masalah perpecahan berikutan perbezaan fahaman politik tidak dapat diselesaikan.

“Hakikatnya perpecahan orang Melayu kepada tiga kumpulan hanya akan menjadikan kaum itu kian lemah sehinggakan ada pada satu peringkat kaum Melayu sanggup memberi apa saja sama ada hak atau tidak kepada pihak lain bagi meraih sokongan.

“Lebih malang lagi, orang Melayu terpaksa berhadapan dengan risiko kehilangan kuasa mereka kerana pada masa itu pihak lain akan menguasai negara walaupun jawatan Perdana Menteri serta menteri masih berada di tangan kaum itu,” katanya.

Dr Mahathir turut mengakui ada orang Melayu yang sengaja menyalahgunakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mendapatkan kekayaan dan kemewahan segera tetapi mahu supaya dasar itu tetap diteruskan.

Beliau berkata, tindak tanduk golongan itu menyebabkan sasaran Bumiputera mendapat 30 peratus daripada hasil kekayaan negara tidak akan tercapai sebaliknya memusnahkan segala usaha kerajaan memajukan Melayu.

“Saya malu...saya sering mempertahankan DEB tetapi jika Melayu menggunakan segala peluang yang diwujudkan dalam DEB, hari ini kita bukan saja mendapat 30 peratus kekayaan negara, malah, lebih dari itu.

“Masalahnya bukan polisi tetapi pelaksanaan. Sepatutnya jika mereka salah guna, mereka tidak boleh mendapatkan bantuan lagi,” katanya.

- BERITA MINGGU

Diktator pun boleh buat baik - Mahathir

by

Pemerintahan secara diktator boleh juga memberikan kebaikan kepada rakyat, kata bekas perdana menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad yang pernah dituduh memperkenalkan kepimpinan autokratik di negara ini.

Menjawab tuduhan itu, Dr Mahathir semasa berucap dalam sebuah forum antarabangsa di PWTC Kuala Lumpur hari ini secara nakal berkata:

"Malaysia dikatakan pernah diperintah oleh seorang diktator selama 22 tahun. Saya menikmatinya (gelaran itu)."

"Tetapi sekurang-kurangnya kita semakin maju. Bangunan ini (PWTC) dulu tidak pernah ada di sini," katanya.

Beliau memberikan contoh negara China yang menurutnya pemerintahan autokratik lebih berjaya daripada negara demokrasi yang dipilih oleh rakyat.

"Tiada demokrasi di China tetapi sistem kerajaannya boleh memberikan banyak manfaat kepada rakyatnya," katanya sambil menambah bahawa pertukaran tampuk kepimpinan di negara itu lebih aman berbanding negara demokrasi lain.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr Mahathir menyentuh tentang peranan media yang didakwanya telah menjadi hampir di luar kawalan berikutan kemajuan teknologi masih boleh ditangani dengan cara tertentu.

Pilihan raya untuk editor

"Sudah tentu, ia semakin sukar tapi ia tidaklah terlalu teruk kerana kerajaan perlu bersiap sedia bagi memastikan mereka melakukan perkara yang betul. Jika tidak, media boleh menjadi kritikal.

"Jika media membuat tuduhan palsu, kerajaan perlu menjawab," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata kerajaan perlu berhati-hati kerana ada orang lain yang mengawal media untuk kepentingan mereka bukan untuk kepentingan negara ini.

"Kerajaan boleh ditukar tetapi kita tidak boleh mengadakan pilihan raya bagi mana-mana pegawai yang mengendalikan media. Siapa yang memilih pemilik surat khabar, penyunting, editor dan wartawan? Adakah kita mengadakan pilihan raya untuk para editor?" soalnya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mendedahkan penyalahgunaan media secara terang-terangan oleh mereka yang mempunyai agendanya yang tersendiri.

"Ada seseorang yang mengawal media, ia tidak mungkin kerajaan tetapi apabila kamu mempunyai kerajaan yang mengawal media, sekurang-kurangnya kerajaan dalam sebuah negara demokrasi, (media itu) akan dikendalikan oleh mereka yang dipilih rakyat," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional.

- MALAYSIAKINI

Dr M dimasuk ke hospital di Melbourne

by

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Hospital Epworth di Melbourne sejak jam 9 pagi hari ini bagi rawatan jangkitan kuman di dada.

Beliau kini dirawat di wad biasa dan diberikan antibiotik dan menjalani fisioterapi.

"Keadaan Dr Mahathir adalah stabil dan beliau dinasihatkan supaya berehat. Beliau dijangka berada di hospital selama beberapa hari untuk pemantauan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya di Kuala Lumpur.

Diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Dr Mahathir tiba di Melbourne pada hari Khamis untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di Universiti Melbourne pada hari Sabtu.

Beliau dijadual berkongsi pandangan dan pendapatnya mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Adakah Kita Bersedia Bagi 1Malaysia: Adakah Bangsa Masih Memainkan Peranan).

(1Malaysia ialah prinsip yang digariskan untuk membina sebuah negara yang bersatu dan progresif pada Abad ke-21 melalui pemupukan semangat dan nilai kekitaan tanpa mengira bangsa dan agama.)

Sejurus sebelum seminar itu bermula, juruacara majlis mengumumkan Dr Mahathir tidak dapat hadir di majlis itu yang beliau (Dr Mahathir)
nanti-nantikan dan sedih kerana tidak dapat berbuat demikian.

Beliau telah meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed untuk berucap di seminar itu bagi mewakilinya.

Mustapa, semasa ditemui pada seminar itu berkata keadaan Dr Mahathir adalah baik dan sedang berehat. "Tun perlukan rehat dan keadaan beliau adalah baik," katanya.

Anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dijangka tiba di sini esok untuk menemani bapanya, katanya.

Dr Mahathir, 85, menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur pada Januari 1989 dan menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara pada September 2007.

Walaupun sudah berusia, Dr Mahathir, yang merupakan penasihat syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton dan perbadanan minyak negara Petronas, sering ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa berikutan beliau terus menjadi pilihan pihak penganjur untuk menyampaikan syarahan di majlis tempatan dan antarabangsa.

- Bernama

Dr Mahathir sedih Melayu berpecah 3 puak

by
PASIR MAS: Tun Dr Mahathir Mohamad sedih kerana orang Melayu seolah tidak sedar mengenai ancaman dihadapi ketika ada pemimpin tertentu begitu ghairah untuk menguasai kerajaan.

Bekas Perdana Menteri juga sedih kerana orang Melayu sudah berpecah kepada tiga puak, tetapi tiada satu pun boleh memberikan kelebihan atau mempunyai jumlah peratusan yang boleh memberi kemenangan kepada bangsa itu.

“Sebab orang Melayu berpecah sekarang adalah kerana ada orang yang gila-gila nak jadi Perdana Menteri, tak peduli apa pun... dia sokong semua, semua yang bercorak perkauman,” katanya pada majlis Jemputan Terbuka Perhimpunan Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Kelantan dekat Stesen Kereta api Pasir Mas, di sini, semalam.

Hadir sama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali. Ia kunjungan pertama Dr Mahathir selepas insiden disembur cecair di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, empat tahun lalu.

Dr Mahathir juga tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila ada orang Melayu malu mengaku sebagai Melayu, selain sikap PAS yang menghalalkan semua perkara dilakukan rakan dalam pakatan pembangkang semata-mata mahu mendapat sokongan politik dan sanggup membuat peraturan baru semata-mata sehingga sanggup mengetepikan agama dan bangsa.

"Pemimpin mereka (rakan PAS dalam pakatan pembangkang) berkata 'langkah mayat mereka dulu', barulah Nik Aziz (Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat) boleh jadikan Malaysia sebagai negara Islam. Nampaknya sekarang Nik Aziz halalkan segala.

“Kalau nak ternak babi di tepi rumah orang Melayu pun boleh, tak mengapa sebab al-Quran tak pernah menghalang kita untuk tidak ternak babi, yang tak boleh hanya tak makan babi. Kerana nak halalkan juga perkara dibuat (rakan pakatan pembangkang), Nik Aziz sanggup buat peraturan baru berkenaan pantang larang orang Melayu dan orang Islam," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mahu supaya semua pemimpin parti politik, UMNO, PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta badan bukan kerajaan (NGO), termasuk PERKASA insaf mengenai bahaya dihadapi orang Melayu dan bangsa itu perlu sedar, tidak berpecah belah serta tamak untuk mendapat jawatan sehingga menggadai kepentingan Melayu.

“Sepatutnya orang Melayu bersatu padu dan sokong apa yang baik bagi kaum mereka, bukan nak tolak kaum lain, bukan nak rampas (hak) kaum lain, hak kaum lain adalah hak mereka, tetapi hak orang Melayu mesti kekal sebagai hak orang Melayu... ini saja yang kita minta," katanya.

- BERITA MINGGU

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90