Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Graduan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Graduan. Papar semua catatan

Malaysia laksanakan 5 inisiatif atasi penurunan kebolehpasaran graduan

by

 


Malaysia telah melaksanakan lima inisiatif intervensi bagi mengatasi penurunan kebolehpasaran graduan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika berucap pada Forum Pendidikan Sedunia (EWF) di London, Selasa lalu, berkata inisiatif itu meliputi Program Penjana Kemajuan Kerjaya KPT (Penjana KPT-CAP), Program 'Teaching Factory', Transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pendidikan fleksibel dan kursus 'microcredential' serta program mobiliti.

Noraini berkata, kajian pengesanan graduan atau 'Kajian Tracer' mendapati kebolehpasaran graduan Malaysia menurun kepada 84.4 peratus pada 2020 berbanding 86.2 peratus tahun sebelumnya, akibat penularan COVID-19.

Sebagai tindak balas strategik untuk mengelak kemerosotan selanjutnya, KPT melaksanakan beberapa inisiatif intervensi yang membolehkan kadar kebolehpasaran siswazah meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 85.5 peratus pada 2021.

Mengenai Penjana KPT-CAP, Noraini berkata, kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi program peningkatan kemahiran serta membentuk kemahiran semula selama empat hingga enam minggu yang membabitkan industri dan telah memanfaatkan 20,000 graduan.

Antara keunikan Penjana KPT-CAP ialah syarikat yang mengambil bahagian menandatangani 'Surat Akujanji' bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan sekurang-kurang 12 bulan selepas program selesai.

Selain itu, Noraini berkata, Malaysia turut melaksanakan program 'Teaching Factory' bagi memastikan graduan bersedia memenuhi permintaan semasa serta pasaran kerja.

Ia dilaksanakan empat universiti awam yang mengkhusus dalam program teknikal dan teknologi tinggi berorientasikan praktikal dengan kerjasama pemain industri untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), latihan serta perkhidmatan dalam bidang-bidang berkaitan.

Seterusnya, beliau berkata, Malaysia melaksanakan transformasi TVET bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, dengan penubuhan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Majlis itu berperanan menasihati kerajaan mengenai bakat diperlukan industri pada masa ini dan akan datang, serta teknologi yang perlu diberikan tumpuan di universiti," menurut kenyataan berkenaan.

Selain itu, program pendidikan fleksibel dan 'microcredential' serta program mobiliti turut membantu dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan ketika pandemik.

EWF merupakan forum antarabangsa peringkat menteri yang dianjurkan secara tahunan di London sejak 2002. Ia bertindak sebagai platform perbincangan serta perkongsian pandangan, pengalaman, dasar, strategi dan hala tuju pembangunan pendidikan, selain isu-isu utama serta terkini dalam bidang pendidikan pada peringkat global.

Sumber : BERNAMA

30% graduan bergaji lebih RM2,500

by
Graduan di negara ini harus mula mengubah minda daripada hanya menjadi pencari kerja kepada penjana pekerjaan dengan merebut peluang dalam bidang keusahawanan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Malaysia amat memerlukan lebih ramai usahawan daripada kalangan graduan untuk menjadi pemangkin transformasi ekonomi negara.

"Kita mahu graduan menjadi usahawan dan tidak hanya bergantung kepada mencari pekerjaan dengan syarikat-syarikat swasta kerana kita tahu golongan ini mempunyai daya saing yang kental dan mampu menjadi lebih kreatif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2013 anjuran Kementerian Pendidikan di PWTC Kuala Lumpur pada Sabtu.

Idris berkata, walaupun tahap kebolehpasaran graduan di negara ini amat baik, namun hanya 30 peratus daripada golongan ini menerima gaji melebihi RM2,500.

"Oleh kerana itu, bidang keusahawanan harus menjadi pilihan utama para graduan. Disebabkan itu, kementerian akan terus memberikan penekanan terhadap perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris ketika diminta mengulas desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerajaan agar melaksana satu sistem persekolahan berkata, kementerian kini lebih memfokuskan untuk meningkatkan kualiti sistem sekolah kebangsaan agar menjadi pilihan semua rakyat Malaysia.

"Kita fokus untuk memastikan sekolah dan universiti menjadi yang terbaik, apabila itu tercapai, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bersatupadu," katanya.

Beliau berkata, antara usaha utama dalam mencapai matlamat meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara adalah dengan membaiki tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru yang kini masih dianggap berada di tahap kurang memuaskan.

- UTUSAN


Modul latih graduan dilancar

by
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam melancarkan lapan 'Modul Kejurulatihan Kurikulum Berkredit' (KKB) bagi meningkatkan mutu pembelajaran, pengajaran, kemahiran tenaga pengajar dan kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata pelancaran lapan modul itu adalah antara usaha berterusan KPT untuk memastikan IPTA melahirkan pelajar yang mampu menguasai ilmu generik iaitu kemahiran insaniah atau ‘soft skill’.

Lapan modul itu dirangka menerusi Majlis Kukurikulum Unversiti-Universiti Malaysia (UniCC) yang diketuai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohammad Shatar Sabran.

Rujhan berkata, modul itu merangkumi teras kesukarelawan, khidmat masyarakat, daya usaha dan inovasi, pengucapan awam, kepemimpinan, sukan, keusahawanan serta kebudayaan.

Garis panduan

“Kita harap modul ini akan dijadikan garis panduan dan petunjuk seragam kepada fasilitator atau pensyarah di IPTA untuk melaksanakan program kurikulum berkredit bagi melahirkan pelajar memiliki kemahiran insaniah yang tinggi.

“Saya juga yakin penekanan terhadap KKB tidak akan membuatkan pensyarah atau fasilitator di IPTA terpesong jauh daripada sasaran asal ditetapkan pihak berkepentingan terbabit,” katanya berucap pada majlis pelancaran dan penyerahan buku KKB kepada wakil IPTA.

Dalam pada itu, Rujhan berkata KPT percaya penggunaan modul itu mampu meningkatkan keyakinan dalam kalangan majikan di Malaysia untuk mengambil lepasan IPTA sebagai kakitangan atau pekerja mereka pada masa depan.

- BERITA HARIAN


Kelab Usahawan Siswazah Tani (Myagrosis) dilancar

by
SUNGAI PETANI: Kelab Usahawan Siswazah Tani (Myagrosis) yang dilancarkan pada Sabtu mampu menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini sebagai nadi pengeluaran makanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancarkan Myagrosis di sini berkata, kelab itu juga akan membantu negara dalam menangani defisit import makanan yang ketika ini begitu besar berbanding eksport makanan negara.

"Ketika ini kita eksport RM18 bilion setahun tetapi import makanan kita RM30 bilion. Kita berdepan dengan defisit yang cukup besar. Jadi saya lihat Myagrosis akan membantu kita menampung defisit ini dengan kaedah-kaedah baru," katanya ketika melancarkan Myagrosis peringkat kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia dan Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini.

Katanya, jika pengeluaran makanan negara dapat ditingkatkan, rakyat tidak akan dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Punca kos sara hidup yang besar adalah kerana kos makanan. Jadi untuk mengelakkan rungutan rakyat, cara terbaik adalah supply pengeluaran negara ditingkatkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu program Myagrosis. Kata Najib, inisiatif Dana Pembiayaan Usahawan Siswazah Tani Agrobank dengan dana khas sebanyak RM10 juta telah diluluskan oleh Agrobank sebagai pinjaman mudah usahawan siswazah Myagrosis tanpa penjamin dengan had pinjaman maksimum RM30,000 untuk menjalankan perniagaan.

"Pada hari ini sebagai tanda sokongan penuh kerajaan kepada usahawan Myagrosis, saya ingin mengumumkan dana tambahan sebanyak RM10 juta lagi menjadikan RM20 juta keseluruhannya. Dana ini akan memudahkan usahawan siswazah Myagrosis yang berminat dan mempunyai daya usaha yang tinggi untuk memulakan projek agrobisnes mereka," kata perdana menteri. Najib berkata Inisiatif Dana Pembiayaan Myagrosis Tekun Nasional pula adalah dana khas dan istimewa untuk Pembiayaan Perniagaan Pelbagai bagi ahli-ahli Kelab Myagrosis dan Tekun Nasional.

"Saya dengan sukacita mengumumkan dana khas ini sebanyak RM10 juta khusus untuk usahawan siswazah yang menyertai Kelab Myagrosis," katanya.

Menurut Najib, peruntukan sebanyak RM10 juta pula diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membolehkannya menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi program Myagrosis seperti sistem hidroponik dan sistem bekalan air.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu, beliau berkata Program Myagrosis memenuhi beberapa perkara dengan yang pertama adalah kerjasama antara dua kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Selain itu, ia juga peluang untuk mendedahkan siswa dan siswi kepada bidang pertanian dengan paradigma baru iaitu pertanian sebagai 'business model' dan 'business concept'.

"Ia juga dapat menambah daya pengeluaran pertanian negara dan usaha menambah rangkaian agrobazar yang dapat menjual bahan makanan pada harga yang lebih berpatutan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, universiti-universiti mempunyai kawasan luas yang masih belum digunakan dan ia boleh dioptimumkan menerusi program seperti Myagrosis.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Datuk Badruddin Amiruldin dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Ir Sahol Hamid Abu Bakar.

- BERNAMA

Program Kebolehpekerjaan Graduan' untuk Siswazah

by
SEGAMAT 17 Julai - Kementerian Sumber Manusia hari ini melancarkan 'Program Kebolehpekerjaan Graduan' bagi membantu kira-kira 30,000 siswazah yang gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian.

Program kursus selama kira-kira enam bulan yang tertumpu kepada lepasan diploma dan ijazah itu akan melengkapkan mereka dengan kemahiran nilai tambah dan jaminan pekerjaan selepas tamat kursus.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam (gambar) berkata, program tersebut akan dilaksanakan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan ia akan diperluaskan di seluruh negara.

"Buat permulaan, kursus ini akan menempatkan kira-kira 1,000 siswazah yang masih menganggur untuk mendapat pengkhususan nilai tambah serta peluang pekerjaan.

"Yuran kursus ini akan ditanggung penuh kerajaan dan para pelatih akan turut mendapat elaun bulanan sebanyak RM500," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kebolehpekerjaan Graduan peringkat daerah di sini hari ini.

Jelas Subramaniam, kementeriannya yakin kemahiran nilai tambah yang dimiliki para siswazah akan dapat membantu golongan berkenaan mendapat kerja dan lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.

"Antara kemahiran baru yang kami tawarkan dalam program ini adalah ICT (teknologi komunikasi maklumat), rekaan web, rekaan grafik, sijil dalam pengurusan logistik, pengurusan pelancongan dan juga pengurusan eksekutif," katanya.

Menurut beliau, program latihan berkenaan akan membabitkan tiga komponen utama iaitu latihan dalam kelas, latihan di premis majikan dan penempatan pekerjaan.

Jelasnya, secara keseluruhan, kerajaan mengeluarkan peruntukan RM10 juta bagi membiayai program tersebut dan ia berbeza dengan program terdahulu kerana ia tidak tertumpu kepada kemahiran komunikasi semata-mata.

"Saya berharap siswazah yang menyertai program ini akan mengambil peluang tersebut secara serius. Kita tidak mahu apabila mereka ditempatkan kerja, hanya untuk kekal selama tiga bulan dan lompat ke tempat baru tanpa peluang meningkatkan lagi kerjaya," katanya.

Beliau memberitahu, program tersebut bermatlamat melahirkan tenaga kerja yang komited dan mampu meningkatkan produktiviti negara selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE).

Katanya, berdasarkan perangkaan terkini Kementerian Pengajian Tinggi, terdapat kira-kira 30,000 siswazah dalam pelbagai bidang di negara ini yang masih gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian.

- MINGGUAN MALAYSIA

Program FSTEP sasar 70 institusi kewangan

by
Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan (FSTEP) yang memasuki sesi pengambilan keempat, menyasarkan untuk menarik antara 50 hingga 70 institusi kewangan menyertainya pada pengambilan akan datang daripada kira-kira 15 menyertainya pada masa ini.

Ketua FSTEP, Lee Khee Joo, berkata mulai sesi pengambilan keempat itu, pihaknya menyemak semula program iaitu sebelum ini semua peserta dipilih dan diambil oleh FSTEP, dengan elaun mereka dibiayai oleh Dana Latihan Kakitangan yang diuruskan Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM).

Katanya, penyertaan institusi kewangan dalam program itu amat dialu-alukan kerana ia diwujudkan dengan matlamat meningkatkan bekalan tenaga kerja terlatih dan berkelayakan untuk industri perkhidmatan kewangan.

“Dengan pembabitan institusi kewangan, pihak terbabit dapat memilih sendiri peserta mereka untuk didaftarkan di FSTEP berbanding hanya kami yang memilih, mengambil dan kemudian menawarkan peserta yang sudah menamatkan program terbabit kepada institusi kewangan untuk diambil bekerja,” katanya selepas sesi taklimat pengambilan keempat program itu di Kuala Lumpur, semalam.

FSTEP yang bermula pada September 2007 ialah program latihan yang dipacu oleh industri perkhidmatan kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan diuruskan oleh IBBM, bertujuan meningkatkan bekalan tenaga kerja terlatih serta berkelayakan bagi industri perkhidmatan kewangan.

Ia disasarkan kepada graduan berkaliber tinggi daripada institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara serta mereka yang bekerja dalam sektor bukan kewangan, tetapi minat meneruskan karier dalam industri perkhidmatan kewangan.

Program setahun itu merangkumi empat teras aliran iaitu perbankan konvensional, perbankan pelaburan, perbankan Islam serta insurans dan takaful.

Kumpulan pertama seramai 290 peserta menamatkan program pada Disember 2008, kumpulan kedua seramai 206 peserta menamatkan program bulan lalu, manakala kumpulan ketiga 108 peserta dijangka menamatkan program hujung tahun ini.

Untuk pengambilan keempat itu, seramai 65 peserta mendaftar dan daripada jumlah itu, 36 ditaja oleh pelbagai institusi kewangan di bawah Skim PraPemilihan yang diumumkan pada 28 April lalu.

Lee berkata, peserta kumpulan keempat itu dijangka menamatkan program Julai tahun depan dan mereka akan menjalani kursus intensif Bahasa Inggeris selama sebulan serta latihan kelas enam bulan, diikuti latihan semasa kerja selama lima bulan di institusi kewangan.

Katanya, selain latihan teknikal di kelas dan latihan semasa kerja, pelatih akan menjalani pelbagai kursus pembentukan diri serta latihan bina semangat yang disasar untuk membentuk personaliti, kerja berpasukan dan kualiti kepimpinan.

“Peserta kumpulan keempat itu juga adalah yang pertama menjalani kursus intensif Bahasa Inggeris yang mana semua tenaga pengajarnya adalah daripada British Council.

“Kami mahu memastikan peserta mempunyai kefasihan tinggi dalam Bahasa Inggeris dan bersedia untuk bekerja dalam industri perkhidmatan kewangan,” katanya.

Selain kursus intensif Bahasa Inggeris selama sebulan, beliau berkata peserta juga akan menjalani kursus Bahasa Inggeris dalam kewangan dan perbankan sepanjang sesi latihan kelas selama enam bulan.

- BERITA HARIAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90