Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Indonesia. Papar semua catatan

Prabowo menang jawatan presiden Indonesia

by


Prabowo Subianto dipilih sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) sekali gus menewaskan dua pesaingnya yang kini berikrar untuk memfailkan aduan undang-undang mengenai undian itu.

Pengerusi KPU, Hasyim Asy'ari berkata Prabowo yang juga Menteri Pertahanan dan gandingannya selaku naib presiden, Gibran Rakabuming Raka menerima lebih 96 juta undi atau kira-kira 58.6 peratus daripada jumlah keseluruhan dan cukup untuk memperoleh majoriti pusingan pertama.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Dua pencabarnya iaitu Anies Baswedan pula memperoleh hampir 41 juta undi atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala Ganjar Pranowo menerima 27 juta undi atau lebih 16 peratus.

Prabowo dan Gibran yang juga anak sulung kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo sudah diisytihar menang bulan lalu selepas kiraan tidak rasmi menunjukkan mereka memenangi majoriti.

Sebelum ini, Prabowo, 72, diramalkan secara meluas akan memenangi jawatan presiden dan beliau akan mengambil alih kepimpinan pada Oktober selepas tempoh peralihan.

Menurut pakar, popularitinya melonjak kerana semangat nasionalisnya dalam ucapan populis selain kelayakannya sebagai Menteri Pertahanan dan sokongan daripada Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi.

Sebelum ini, Prabowo, 72, diramalkan secara meluas akan memenangi jawatan presiden dan beliau akan mengambil alih kepimpinan pada Oktober selepas tempoh peralihan.

Menurut pakar, popularitinya melonjak kerana semangat nasionalisnya dalam ucapan populis selain kelayakannya sebagai Menteri Pertahanan dan sokongan daripada Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi.

Dalam pada itu, Anies dan Ganjar berikrar untuk mengemukakan aduan kepada Mahkamah Perlembagaan mengenai penyelewengan dan dakwaan penipuan ketika pilihan raya.

Tetapi pasukan peguam Prabowo yakin keputusan itu tidak akan berjaya dicabar kerana majoriti dan margin kemenangannya yang besar.

Sumber : AFP

Warna latar plat kenderaan Indonesia bertukar

by

 

Warna latar belakang plat kenderaan di Indonesia diumumkan akan bertukar daripada warna asal iaitu hitam kepada putih bermula Mac ini, lapor laman berita Tribunnews, kelmarin.

Pengarah Unit Polis Trafik, Brigedier Jeneral Yusri Yunus memaklumkan bahawa penukaran itu dibuat berikutan pelbagai manfaat yang diperoleh terutama supaya seiring dengan teknologi terkini.

Salah satunya adalah menyokong sistem tiket Penguatkuasaan Undang-undang Trafik Elektronik (ETLE) berasaskan kamera dan juga pengaktifan pembayaran tempat letak kenderaan elektronik.

Ini juga selaras dengan Peraturan Polis (Perpol) Nombor 07 Tahun 2021.

“Penggunaan latar belakang plat warna putih dilaksanakan supaya Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR) dalam ETLE boleh berfungsi tanpa ralat.

“Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, ANPR lebih sesuai dikuatkuasakan dengan penggunaan penuh latar belakang plat berwarna putih berbanding hitam,” jelas Yusri. 

– Agensi

Indonesia komited bangunkan ibu negara baru di Kalimantan Timur

by

 


Indonesia kekal komited untuk membangunkan ibu negara baru di wilayah Kalimantan Timur, yang akan bermula selepas program vaksinasi COVID-19 selesai pada Mac 2022.

Negara itu memulakan program vaksinasi secara besar-besaran 14 Januari lalu, didahului dengan pekerja kesihatan di seluruh kepulauan itu, selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) menerima suntikan pertama vaksin pada 13 Januari lalu.

Menteri Perancangan Pembangunan Nasional, Suharso Monoarfa, baru-baru ini berkata, selepas program vaksinasi itu kerajaan akan memulakan pembangunan ibu kota baru Indonesia, yang dijangka mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau berkata, rang undang-undang mengenainya sudah dimasukkan dalam program perundangan nasional dan peraturan presiden bagi penubuhan lembaga pihak berkuasa untuk ibu kota baru itu sudah pun diwujudkan.

Tambah beliau, pembangunan ibu kota baru itu kini sedang menunggu arahan Jokowi, sementara Indonesia giat memberi tumpuan menyelesaikan program vaksinasi.

Timbalan agensi bagi pembangunan wilayah, Rudy Soeprihadi Prawiradinata, berkata jangka masa pembangunan ibu negara baharu itu masih mengikut jadual walaupun negara itu kini sedang berdepan wabak COVID-19.

Jelas beliau, majlis pecah tanah yang sebelum ini dijadualkan pada Ogos 2020, ditunda sehingga program vaksinasi nasional selesai dan berharap ketua negara itu akan memasuki pejabat di ibu negara baru pada 2024.

Sementara itu, timbalan kepada ketua daerah Penajam Paser Utara, yang menjadi sebahagian tempat bagi ibu negara baru itu, Hamdam, berkata usaha memindahkan ibu negara ke wilayah Kalimantan Timur sudah pada peringkat akhir.

Katanya, rancangan terperinci bagi ibu negara baru itu sudah dimuktamadkan Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional dan pemindahannya hanya menunggu keputusan politik presiden dan kelulusan peraturan Parlimen.

Pemindahan ibu negara Indonesia terkandung dalam Rancangan Pembangunan Jangka Menengah Nasional 2020-2024.

Pada 26 Ogos 2019, Jokowi mengumumkan sebuah ibu negara baru akan dibina antara daerah pentadbiran Penajam Paser Utara dan daerah Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.

Kalimantan Timur dengan keluasan kira-kira 125.337 kilometer persegi adalah wilayah Indonesia di timur pulau Kalimantan, yang juga dikenali sebagai Borneo dengan jumlah penduduk lebih sejuta orang. 

Sumber : AGENSI

 

Gaji Minimum RM900 Pembantu Rumah Indonesia

by


Indonesia menetapkan gaji bulanan minimum untuk pembantu rumah di Malaysia pada RM900 dan merancang untuk menaikkan ia kepada sekurang-kurangnya RM1,000.

Timbalan Duta Besar Indonesia Ke Malaysia, Hermono berkata gaji minimum RM900 akan berkuatkuasa pada 20 Oktober ini dan melibatkan semua pembantu rumah Indonesia yang baharu datang ke Malaysia selepas tarikh itu.

"Ia mungkin naik lagi berdasarkan gaji minimum di Malaysia yang ditetapkan pada RM1,000," katanya kepada The Star.

Beliau tidak menyatakan tempoh untuk kenaikan tersebut tetapi mengesahkan sebuah agensi kerajaan Indonesia telah menulis surat kepada kedutaan meminta gaji dinaikkan kepada RM1,000.

Surat daripada Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia Di Luar Negeri - salinan yang turut dilihat The Star - meminta agar kedutaan melaksanakan gaji minimum RM1,000.

Surat bertarikh 15 Oktober itu turut meminta kedutaan untuk tidak membenarkan majikan membuat potongan dari gaji pembantu rumah mereka.

Buat masa ini, majikan dibenarkan membuat potongan RM1,800 daripada gaji pembantu rumah dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Jumlah tersebut adalah wang pendahuluan yang dibayar oleh majikan untuk menampung sebahagian kos yang perlu ditanggung pembantu rumah mereka termasuk latihan.

Ketika ditanya mengenai surat tersebut, Hermono berkata perkara itu dan beberapa butiran lain sedang diperingkat perbincangan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata pegawai kanan dari kedua-dua negara masih belum membuat keputusan mengenai gaji minimum pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) kali ke-11 di Jakarta pada 15 Oktober lalu.

"Ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada mesyuarat JWG kali ke-12 yang akan diadakan di Putrajaya dalam masa terdekat," katanya.

Pada minggu lalu, Richard berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menaikkan sedikit gaji pembantu rumah dan beliau akan membuat pengumuman mengenai kadar baharu itu apabila keputusan dicapai.

Pada Mei lalu, Indonesia menghantar satu memorandum kepada kerajaan meminta agar gaji minimum pembantu rumah dari negara itu dinaikkan kepada RM1,200.

Walaupun mendapat bantahan di kalangan rakyat Malaysia, cadangan itu juga dikritik pakar ekonomi tempatan yang berkata Malaysia sudah berdepan aliran keluar tahunan sebanyak RM5 bilion ke Indonesia berdasarkan gaji minimum itu.

Daripada 320,000 pembantu rumah warga asing di negara ini, seramai 230,000 merupakan warga Indonesia.

Memorandum Persefahaman mengenai pengambilan rumah warga Indonesia yang ditandatangani pada Mei 2011 meliputi tempoh lima tahun dan membenarkan gaji minimum ditentukan kuasa pasaran.

Pada masa lalu, majikan di Malaysia biasanya membayar gaji sebanyak RM800.

Sumber : mStar

Lelaki bernama 'Tuhan'

by


Penguat kuasa agama di Jawa Timur menggesa seorang lelaki yang bernama 'Tuhan' supaya mengubah namanya.

Menurut Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bahagian Jawa Timur, manusia tidak layak menjadikan perkataan 'Tuhan' sebagai sebahagian daripada nama mereka.

"Jangan sampai manusia menyembah (manusia) bernama 'Tuhan' nanti," kata Abdussomad Bukhor kepada detiknews.com.

Abdussomad juga menerangkan bahawa penggunaan nama 'Tuhan' pada nama manusia adalah tidak sesuai dan tepat.

"'Tuhan' memang nama yang baik, tapi tidak sesuai, kerana ia mensyirikkan Tuhan (sebenar). Tuhan adalah zat yang disembah," katanya lagi.

Beliau mencadangkan supaya lelaki tersebut mengubah namanya atau menambah apa-apa nama di hadapan 'Tuhan'.

Sementara itu, kad pengenalan lelaki berkenaan telah diambil sehinggalah beliau mengubah namanya.

- Surabaya, Indonesia.

Indonesia 'berpesta'

by

JAKARTA - Bagai satu pesta.Itu gambaran yang dapat diperkatakan tentang kebanjiran ribuan penyokong Indonesia beberapa jam sebelum aksi final acara bola sepak Sukan SEA 2011 yang menemukan Harimau Muda dengan Garuda Muda di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi.

Seawal jam 7 pagi (waktu tempatan), penyokong Indonesia mula berkampung di stadium tersebut. Ada yang mahu membeli tiket dan ada yang sudah berlegar-legar di sekitar stadium.

Tidak ketinggalan, peniaga-peniaga kecil yang mula menjual pelbagai aneka barangan seperti jersi, topi, bendera dan alatan bunyian.

Situasi itu hampir sama dengan apa yang berlaku ketika Indonesia menentang Harimau Muda dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan A pada 17 November lalu.

Rata-rata penyokong Indonesia yang ditemui terlalu ghairah untuk menyaksikan Harimau Muda tumbang di gelanggang keramat itu.

Kekalahan 0-1 di peringkat kumpulan sebelum ini, selain kegagalan skuad senior Indonesia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 selepas tumbang kepada Malaysia, makin membangkitkan keghairahan mereka.

Bagi mereka, aksi final malam ini bukan sahaja medan mengembalikan maruah mereka yang tercalar, malah menjadi pentas terbaik buat skuad Garuda Muda membalas dendam kekalahan yang dialami mereka dan skuad senior Indonesia.

Biarpun pihak penganjur telah menaikkan harga tiket dua kali ganda daripada harga asal, para penyokong Indonesia mula menyerbu kaunter tiket di stadium tersebut sejak semalam bagi mengelak daripada terlepas menyaksikan aksi yang dijangka penuh dramatik itu.

Difahamkan, harga tiket kelas VVIP, VIP Barat, dan VIP Timur naik 100 peratus. Bagi kelas VVIP, harga tiket baharu ialah Rp1,000,000 (sebelumnya Rp500,000), VIP Barat Rp750,000 (sebelumnya Rp350,000), VIP Timur Rp500,000 (sebelumnya Rp250,000).

Bagi kategori 1, harga tiket kini dijual dengan Rp200,000 (sebelumnya Rp150,000), manakala kategori 2, 3 dan 4 kekal dengan harga asal iaitu masing-masing Rp100,000, Rp50,000 dan Rp25,000.

Di sebalik harga tiket yang naik mendadak, penyokong Indonesia tetap menyerbu setiap lokasi penjualan tiket - Stadium Gelora Bung Karno dan pejabat Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Namun sesuatu yang mengejutkan apabila ada segelintir penyokong fanatik Indonesia yang sanggup membakar kaunter tiket di stadium kelmarin kerana kecewa tidak dapat membeli tiket final.

Ketika diminta mengulas insiden tersebut, pengurus jualan tiket Inasoc, Agus Mauro berkata, kejadian itu berlaku kerana tiket yang dijual kelmarin sudah habis.

"Kejadian ini berlaku mungkin kerana skuad Indonesia telah lama tidak memenangi pingat emas (acara bola sepak Sukan SEA). Jadi penyokong terlalu ghairah untuk hadir memberi sokongan kepada pasukan.

"Lebih-lebih lagi Indonesia akan beraksi di final menentang Malaysia, ini sudah pasti memberikan impak yang luas biasa," jelas Agus semalam.

Agus menjelaskan, pada awalnya pihaknya menyediakan 70,000 keping tiket bagi aksi final tersebut. Namun, disebabkan kejadian membakar kaunter tiket kelmarin, pihaknya telah menambah 1,000 keping tiket lagi.

"Kami telah berusaha untuk memuaskan hati semua pihak dan tidak mahu kejadian buruk berlaku. Kami tidak mampu menghalang hajat penyokong untuk hadir ke stadium, tetapi kapasiti stadium juga harus diambil kira," jelasnya.

- KOSMO!

Pelajar Malaysia Di Indonesia Dinasihat Berhati-hati

by
Pelajar Malaysia di Indonesia telah dinasihatkan supaya berdiam diri dan tidak termakan provokasi yang ditunjukkan oleh rakyat negara itu dalam isu persempadanan di sempadan Kalimatan-Malaysia.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, mereka hendaklah sentiasa berwaspada dan menghubungi wakil kedutaan mahupun pegawai kementerian di sana dari semasa ke semasa.

Saifuddin menegaskan, jika tidak berhati-hati para pelajar Malaysia di Indonesia akan dengan mudah terheret sama dalam perbalahan isu tersebut.

"Oleh yang demikian, adalah lebih selamat untuk para pelajar kita tidak melibatkan diri dalam apa jua bentuk provokasi dan memperlihatkan sikap berprofil rendah," kata Saifuddin selepas melancarkan kejohanan bola keranjang antara varsiti di Universiti Malaysia Pahang dekat Gambang di sini.

Saifuddin berkata para pelajar Malaysia yang tinggal di luar Jakarta misalnya perlu sentiasa berkomunikasi dengan pejabat kedutaan atau wakil kementerian di Jakarta untuk tujuan keselamatan.

Isu antara Malaysia dan Indonesia kembali hangat apabila sekumpulan rakyat Indonesia yang tidak berpuashati telah mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta kerana kononnya mendakwa Malaysia telah mengubah batu sempadan di Kalimantan.

Bagaimanapun Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laksamana Agus Suhartono pada Jumaat memberitahu Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia bahawa tidak ada wilayah Indonesia di Camar Bulan dan Tanjung Datu, Kalimantan Barat, yang diambil oleh Malaysia sebagaimana yang didakwa.

Katanya, para anggota TNI mengawal wilayah perbatasan di Kalimantan Barat sesuai dengan perjanjian Indonesia-Malaysia dan kesemua pos penjagaan di perbatasan dilengkapi data koordinat untuk setiap penanda sempadan.

“Kalau pada masa rondaan ditemui penanda pada kedudukan berbeza, secara bersama ia akan dikembalikan ke koordinatnya,” kata beliau pada satu sesi perjumpaan dengar pendapat dengan Suruhanjaya I DPR di Jakarta.

- MSTAR

Mencari makna serumpun Malaysia - Indonesia

by
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Hakikat bahawa pihak ketiga turut mempengaruhi dalam citra hubungan antara Malaysia dan Indonesia barangkali sudah dipersetujui secara meluas oleh pemerhati hubungan antara kedua-dua negara berjiran ini.

Pihak ketiga itu boleh menjadi sebuah negara, seorang individu, pertubuhan-pertubuhan di sebalik pelbagai nama, atau pihak tidak kelihatan yang bergerak di alam maya.

Siapa pun mereka, pihak ketiga ini boleh dianggap berjaya mengeruhkan ikatan 'adik- beradik' yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia seperti yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini.

Kehadiran pihak ketiga itu sekali lagi disebut pada Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia anjuran Gapena dan Utusan Malaysia yang diadakan di rumah Gapena, Sabtu lalu.

Forum yang julung-julung kali diadakan itu membariskan dua tokoh yang tidak asing lagi dalam kajian sosial dan kebudayaan Malaysia-Indonesia.

Mereka ialah Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Pensyarah Pelawat Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Amri Marzali.

Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling pula bertindak sebagai pengerusi.

Memperkukuhkan teori kehadiran pihak ketiga itu seperti yang ditegaskan oleh Zainal Abidin ialah kerana rasa bimbang dan cemburu dengan keakraban Malaysia-Indoensia yang sudah terikat secara sejarah panjangnya.

Kebimbangan itu berasaskan kepada dua faktor utama iaitu kebangkitan Islam dan pengukuhan kuasa ekonomi di rantau ini yang disumbangkan menerusi jalinan hubungan Malaysia-Indonesia.

Sebagai sebuah negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia, Indonesia sering menjadi rujukan dalam banyak perkara berkaitan perkembangan Islam.

Dalam masa yang sama, kesederhanaan Islam di Malaysia pula telah melonjak negara ini sebagai sebuah negara Islam moden yang cukup disegani.

Acap kali juga disebut, kebangkitan Islam dalam dekad mendatang tidak mustahil boleh terjadi dari sebelah rantau ini.

Dengan kekuatan Islam di Malaysia dan Indonesia, kebangkitan itu mungkin menjadi lebih cepat menerusi keakraban dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara ini.

Kemungkinan inilah yang tidak disenangi oleh pihak ketiga yang boleh jadi sebuah negara di rantau Asia Tenggara ini.

Kebimbangan lain ialah dari sudut kekuasaan ekonomi. Perlu diketahui Indonesia merupakan antara negara yang sedang mengalami pertubuhan ekonomi yang luar biasa ketika ini.

Negara ini merupakan antara sebuah daripada lima buah negara yang dikelompokkan sebagai BRIIC iaitu negara-negara yang bakal menguasai ekonomi dunia. Negara lain ialah Brazil, Rusia, India dan China.

Malaysia pula meskipun tidak termasuk dalam kelompok itu tetapi pertumbuhan pesat ekonomi kita sememangnya dicemburui negara-negara membangun lain sejak sekian lama.

Kerjasama ekonomi yang erat antara Malaysia dan Indonesia dalam situasi ekonomi kedua-dua buah negara ketika ini dengan mudah boleh menenggelamkan kekuatan ekonomi negara-negara lain.

Selain sebuah negara, pihak ketiga yang dirujuk sebagai individu juga banyak menyumbang dalam keretakan hubungan Malaysia dan Indonesia.

Dengan pengaruh yang ada, individu ini sengaja mencetuskan ketegangan untuk meraih sokongan luar dan mengalihkan isu yang sedang dihadapi dalam negara.

Begitu pun pengaruh individu ini bukanlah sesuatu yang serius kerana seperti mana di Malaysia, sokongan terhadap individu itu di Indonesia juga sudah semakin pudar.

Namun dalam menuding jari kepada pihak ketiga di sebalik keretakan hubungan Malaysia-Indonesia, faktor masalah dalaman antara kedua-dua negara juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

Hakikatnya dalam sejarah hubungan antara kedua-dua negara, terdapat beberapa isu yang telah mewujudkan suasana tidak harmoni dan sangat ketara sejak 2003.

Antaranya isu perselisihan pulau Sipadan-Ligatan yang akhirnya menjadi milik Malaysia serta kes perebutan wilayah di sekitar Ambalat yang masih lagi berpanjangan.

Begitu juga dengan isu tarian tradisional pendet yang didakwa dicuri Malaysia sehingga mencetuskan gelombang kemarahan di Indonesia tahun lalu.

Isu-isu lain seperti penderaan ke atas pembantu rumah dan provokasi menerusi alam siber menerusi laman web seperti 'I hate Indon' dan Malingsia.

Kemuncaknya ialah pada perlawanan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF bulan lepas yang tidak lagi dilihat dari sudut semangat kesukanan.

Sebaliknya satu pertarungan mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa serta negara.

Dari sudut hubungan antara pemerintah, isu-isu ini mungkin tidak menimbulkan masalah kerana ia boleh diselesaikan di meja rundingan dan menerusi semangat diplomatik.

Tetapi di kalangan rakyat, mereka tidak melihat isu ini dari sudut yang rasional, sebaliknya lebih kepada emosional.

Ini jugalah faktor yang menyebabkan mengapa kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) sanggup memenuhi jalan raya di Jakarta dengan buluh runcing memburu rakyat Malaysia seperti yang berlaku baru-baru ini.

Apa yang berlaku itu membayangkan kelemahan kedua-dua negara dalam menerapkan semangat setiakawan di kalangan rakyat.

Kita sering menyebut bahawa orang Melayu Malaysia dan Indonesia itu adalah serumpun dan saudara sebangsa.

Tetapi apa pula usaha kita dalam menyemai semangat bersaudara itu? Kerana pada hakikatnya di kalangan rakyat kedua-dua negara terutama di kalangan generasi muda, semangat itu boleh dikatakan langsung tiada.

Forum sebegini mungkin boleh menjadi salah satu usaha memupuk kembali semangat seperti itu.

Tetapi kelompok sasarannya sangat terhad dan kehadirannya pula lebih banyak dari kalangan ahli akademik yang sudah sedia maklum mengenai sejarah perkongsian budaya antara dua negara.

Perlu ada usaha yang lebih besar seperti memperkayakan hubungan kebudayaan antara negeri dan provinsi yang mempunyai kaitan sejarah secara langsung.

Kerjasama antara badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu diperhebat kerana pergerakan seumpama itu lebih dekat dengan rakyat.

Begitu pun ada sesuatu yang menarik disentuh oleh Amri yang juga merupakan ahli sosiologi Indonesia.

Katanya, perbincangan mengenai hubungan antara orang Melayu Indonesia dan orang Melayu Malaysia tidak dapat dituntas dengan mendalam kerana kedua-dua belah pihak mentakrifkan Melayu secara berbeza.

Di Malaysia katanya, Melayu itu didefinisikan sebagai ras, etnik dan agama. Seperti yang disebut oleh Perlembagaan, orang Melayu di Malaysia ialah seorang Islam, lazim bercakap Melayu dan mengamalkan adat Melayu.

Sedangkan di Indonesia, seluruh bangsa Indonesia itu adalah ras Melayu tanpa mengira agama, adat dan bahasa lazimnya.

Maka Melayu di Malaysia itu tidak sama seperti Melayu di Indonesia. Kerana itu juga, semangat serumpun tidak begitu terasa di kalangan rakyat apabila mereka tidak lagi melihat Melayu Malaysia dan Melayu Indonesia itu adalah bersaudara.

Perkara ini perlu diperhalusi oleh ahli sejarah kerana pemahaman sebegini sebenarnya sangat berbahaya lebih-lebih lagi dalam suasana perhubungan antara rakyat kedua- dua negara yang keruh ketika ini.

Sekiranya pemahaman ini dibiarkan berkembang dalam pemikiran generasi muda kedua-dua negara, maka perkataan serumpun yang sering digunakan untuk menggambarkan ikatan saudara antara kita tidak lagi mempunyai makna.

- UTUSAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90