Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Internet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Internet. Papar semua catatan

X putih ganti logo burung biru Twitter

by

 


Twitter hari ini melancarkan logo baharu, iaitu X putih dengan latar belakang berwarna hitam, bagi menggantikan logo burung biru.

Ia sejajar penjenamaan semula syarikat milik Elon Musk itu sebagai X.

Laman sesawang rangkaian media sosial itu menunjukkan logo baharu syarikat berkenaan, namun pautan URL masih menunjukkannya sebagai twitter.com dan butang 'Tweet' berwarna biru turut kelihatan.

Penjenamaan semula itu diumumkan Musk dan Ketua Eksekutif baharu syarikat berkenaan, Linda Yaccarino

Mereka memaklumkan, syarikat itu dinamakan semula sebagai X dan kemudian akan beralih kepada pembayaran, perbankan serta perdagangan.

Diasaskan pada 2006, nama Twitter diambil sempena bunyi ciapan burung. Menurut laman sesawang Creative Bloq, syarikat itu membeli simbol saham burung berwarna biru muda itu pada harga AS$15.

Lewat semalam, Musk menukar gambar profilnya kepada logo baharu syarikat itu, yang beliau sifatkan sebagai 'art deco' minimalis, selain mengemas kini bio Twitter beliau kepada 'X.com'. 

Sumber dari AFP

Astro dijangka mula tawar khidmat jalur lebar pada 2023

by

 

Astro Malaysia Holdings Bhd dijangka boleh mula menawarkan perkhidmatan jalur lebar baharu kepada pelanggannya menerusi kerjasamanya dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) seawal tahun kewangan 2023.

Menurut penganalisis HLIB Research, Tan Kai Shuen, kerjasama itu membolehkan Astro untuk menawarkan khidmat jalur lebar kepada pelanggan yang berada dalam liputan TM, iaitu membabitkan 5.0 juta kediaman dan perniagaan.

Katanya, pengumuman kerjasama Astro dengan TM baru-baru ini adalah amat positif kerana pertamanya, ia mencipta sumber pendapatan baharu kepada Astro dengan penawaran khidmat baharu tanpa perlu mengeluarkan pelaburan besar bagi membina infrastruktur.

"Ia juga dapat bersinergi dengan segmen TV berbayarnya di mana Astro dapat menggabungkan perkhidmatan jalur lebar baharu ini dengan pakej TV berbayarnya.

"Selain itu, ia juga dapat meningkatkan pengalaman pelanggan kerana penggabungan akan menghasilkan cadangan nilai yang lebih menarik termasuk kemudahan (pembayaran di bawah satu bil), menghilangkan masalah siaran ketika hujan dari satelit, kandungan mengikut permintaan di TV dan juga penjimatan kos berbanding melanggan perkhidmatan TV dan jalur lebar secara berasingan," katanya dalam nota kajian baru-baru ini.

Saham Astro di Bursa Malaysia meningkat pada dagangan baru-baru ini susulan berita kerjasama antara anak syarikat milik penuh kumpulan, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd dan TM.

Menerusi kerjasama strategik ini, TM menerusi TM WHOLESALE akan menyediakan himpunan lengkap penyelesaian infrastruktur dan sambungan yang merangkumi kesemua peringkat perkhidmatan borong termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), 'bandwidth', 'backhaul' dan akses Internet kepada Astro.

Infrastruktur rangkaian fiber yang meluas dan mantap ini akan membolehkan TM serta Astro menyediakan sambungan berkualiti tinggi yang diyakini kepada pengguna akhir masing-masing.

Sementara itu AmBank Research dalam nota kajiannya, berkata kerjasama itu menawarkan Astro peluang untuk melancarkan perkhidmatan jalur lebar fiber sendiri dengan kompetitif berbanding unifi dan fiber rumah Maxis.

"Bagi TM, tawaran kandungan Astro, yang menawarkan rancangan tempatan dan pilihan penyedia 'over-the-top' seperti saluran Netflix, Disney+Hotstar serta Fox berupaya memacu permintaan data borong kumpulan selain menyokong peningkatan trajektori pendapatan segmen itu," katanya.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap Astro dan TM dengan nilai wajar berdasarkan aliran tunai terdiskaun (DCF) tidak berubah masing-masing pada RM1.83 dan RM7.10.

Sumber : Berita Harian

 

 

Kelajuan internet Malaysia berada di tangga ke-3 di ASEAN

by

 

Malaysia berada di ranking ke-3 dalam kala­ngan negara-negara ASEAN daripada segi kelajuan purata muat turun jalur lebar talian tetap de­­ngan 86.82 megabit sesaat (Mbps) pada Julai lalu, peningkatan sebanyak 5.36 Mbps berbanding Jun.

Negara berada di belakang Si­ngapura yang memiliki kelajuan purata 213.18 Mbps dan Thailand (171.45 Mbps), yang ma­sing-ma­sing berada di ranking pertama dan ketiga global.

Untuk peringkat global, Malaysia berada di kedudukan ke-41, turun satu anak tangga berban­ding di tangga 40 pada bulan Jun lalu, demikian menurut buletin bulanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Bagi jalur lebar mudah alih, Malaysia berada di kedudukan ke-6 dalam negara ASEAN de­ngan kelajuan 24.44 Mbps pada Julai dan tangga ke-85 pada pe­ringkat global.

“Untuk internet mudah alih, Malaysia berada di belakang Si­ngapura, Thailand, Vietnam, Laos dan Myanmar,” katanya.

Selain itu, SKMM menjelaskan, permodalan pasaran bagi sektor komunikasi dan multime­dia di Bursa Malaysia kepada RM127.34 bilion pada hujung Ogos berban­ding Julai.

Sumber : Kosmo!

 

Durian catat carian tertinggi pengguna China menerusi Alibaba.com

by




Buah durian dan produk berasaskan durian merupakan antara carian tertinggi di dalam laman e-dagang Alibaba.com oleh pengguna negara China ketika ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan sedang meneliti langkah mengeksport durian dalam bentuk buah kerana ketika ini durian yang dieksport sudah dikupas dan dalam produk berasaskan ''cookies'' dan kuih yang mempunyai perisa buah itu.

"Kalau dilihat dalam carian yang tertinggi dalam Alibaba.com oleh pengguna dari negara China, segala perkara tentang durian adalah carian nombor satu dalam portal itu.

"Kementerian Asas Tani sebenarnya sedang mengadakan perbincangan dan tidak lama lagi kita akan tahu bagaimana kita boleh eskport durian dengan lebih mudah," katanya dalam sesi Pertanyaan- Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) yang ingin tahu sejauh manakah kerajaan menyediakan sistem eskport secara besar-besaran buah durian bagi memudahkan mereka menanam secara ladang.

Terdahulu menjawab soalan asal Datuk Othman Abdul (BN-Pendang), Ahmad berkata dagangan dua hala antara Malaysia dan China pada sembilan bulan pertama tahun ini mencecah RM212.94 bilion, berbanding RM170.64 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga September tahun ini meningkat sebanyak 35.3 peratus kepada RM91.87 bilion manakala jumlah import meningkat sebanyak 19.7 peratus kepada RM121.08 bilion.

Dalam pada itu, Ahmad berkata pada 31 Dis tahun lepas, sejumlah 220 projek perkilangan dengan penyertaan dari negara China telah dilaksanakan dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.2 bilion dan projek-projek ini mewujudkan 33,020 peluang pekerjaan. 

- Bernama

AirAsia rancang lengkapi 20 pesawatnya dengan Wi-Fi

by


AirAsia Bhd akan melengkapi 20 pesawatnya dengan kemudahan wi-fi menjelang hujung tahun ini, daripada empat sekarang.
 
Ketua Kumpulan Pendapatan Sampingan AirAsia, Kenny Wong berkata, syarikat itu merancang melengkapi semua 80 pesawatnya dengan perkhidmatan wi-fi menjelang suku kedua 2015.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran perkhidmatan wi-fi dalam pesawat yang dilakukan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar.

AirAsia juga mencipta sejarah apabila dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai 'Syarikat Penerbangan Pertama Menyediakan Wi-Fi Dalam Pesawat' di Malaysia dan sijil disampaikan oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi.

Perkhidmatan wi-fi dikenali 'roKKi Chats' itu disediakan dalam penerbangan AirAsia terpilih membolehkan penumpang menggunakan aplikasi pesanan teks semasa dalam penerbangan.

Setiap token roKKi Chats berharga RM8 untuk penggunaan data 3MB bagi aplikasi WeChat, WhatsApp dan LINE. Bersempena pelancaran itu, AirAsia menawarkan promosi masa terhad iaitu RM5 untuk setiap token. Token terbabit serasi dengan kebanyakan peranti tablet dan telefon pintar.

Sumber : mSTAR


Kos sambungan internet Malaysia masih rendah - TM

by


Penembusan jalur lebar Malaysia sebanyak 67.2 peratus pada suku pertama tahun ini secara relatifnya adalah tinggi manakala kos sambungan internet masih rendah berbanding negara jiran.

Oleh itu, kaji selidik dalam talian yang meletakkan Malaysia di tangga ke-126 daripada 192 negara daripada segi purata kelajuan muat turun, adalah tidak tepat dan boleh dipertikai kerana ia mengetepikan faktor penting seperti kadar penembusan jalur lebar, pelan jalur lebar pengguna serta dinamik pasaran.

Kaji selidik oleh Ookla, ujian kelajuan jalur lebar berasaskan laman sesawang dan aplikasi diagnostik rangkaian itu turut meletakkan Malaysia di belakang Kemboja dan Vietnam dalam senarai berkenaan.

Telekom Malaysia Bhd, dalam satu kenyataan kepada BERNAMA berkata, walaupun Malaysia dilapor mempunyai purata kelajuan 5.4Mbps, penembusan dan liputan jalur lebarnya mengatasi kebanyakan negara jirannya.

 Oleh itu, kelajuan purata mungkin lebih rendah jika kita mengambil kira capaian di seluruh negara dan jenis pakej kelajuan jalur lebar yang diambil, kata TM.

Contohnya, kelajuan purata di sebuah bandar yang mempunyai sambungan baik tetapi tiada akses di kawasan luar bandar mungkin memberi gambaran berbeza, berbanding gambaran di Malaysia yang mempunyai liputan di seluruh negara.

Sementara itu, mengenai dakwaan kos sambungan internet yang tinggi di Malaysia, TM berkata, ia tidak boleh dilihat sebagai perbandingan yang tepat kerana kos penempatan kemudahan asas rangkaian dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk geografi dan saiz negara.

Malaysia, dengan kawasan pedalaman yang jauh dan keadaan topografi di mana banjaran gunung meliputi sebahagian besar negara, menjadikan aspirasi mewujudkan negara yang disambung sepenuhnya, adalah tugas yang sangat mencabar.

Bagaimanapun, kaji selidik oleh BT Teleconsult membuktikan perbelanjaan modal TM adalah antara yang paling kos efektif di dunia berdasarkan ciri-ciri utama jalur lebar berkelajuan tinggi yang diguna dan tempoh pelancaran paling cepat dengan skop paling besar.

Indeks Kemampuan 2013 yang diterbitkan Perikatan Untuk Internet Mampu Milik pada Disember 2013 meletakkan Malaysia di tempat teratas keseluruhan dalam kalangan negara berstatus pendapatan dan pembangunan sederhana, berdasarkan penilaian merangkumi komposit kemudahan asas komunikasi, akses dan kemampuan.

TM berkata, usaha berterusan bagi meningkatkan kelajuan, liputan dan penembusan di Malaysia serta komitmen kerajaan adalah jelas dengan sokongan berterusan untuk melancar fasa kedua jalur lebar berkelajuan tinggi dan evolusi jangka panjang.

TM menyumbang lebih 40 peratus ke arah mencapai kadar penembusan jalur lebar negara.

Sumber : BERITA HARIAN


Ello laman sosial anti-Facebook semakin popular

by

WASHINGTON - Dalam masa beberapa hari sahaja, laman jaringan sosial baharu, Ello yang disifatkan sebagai anti-Facebook kerana mengutamakan privasi dan menolak iklan, menjadi viral di internet.

Dicipta sebagai rangkaian sosial "persendirian" pada tahun lalu, Ello (www.ello.co) membuka pintunya kepada umum baru-baru ini menerusi undangan.

Permintaan tinggi berbanding bekalan menyebabkan undangan Ello dijual di laman lelongan eBay pada harga mencecah AS$500 (RM1,629).

Menurut beberapa laporan, Ello menerima sehingga 35,000 permintaan keahlian pada setiap jam selepas popularitinya melonjak di internet sejak seminggu lalu.

Ello popular antara lain kerana ia menolak ciri-ciri yang tidak digemari oleh pengguna Facebook.

"Ello tidak menjual iklan. Kami juga tidak menjual data anda kepada pihak ketiga," menurut syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.

Beribu pejabat di Vermont, Amerika Syarikat, Ello dilancarkan oleh sekumpulan artis dan pengatur cara komputer diketuai oleh Paul Budnitz.

Beliau sebelum ini mempunyai pengalaman termasuk mereka bentuk basikal dan robot.

"Ello direka supaya ia ringkas, cantik dan bebas iklan," kata Budnitz di laman jaringan sosial berkenaan.

Sumber : AFP

 

Rebat Telefon Pintar RM200 Disambung 3 September 2013

by
Kerajaan akan menyambung semula pemberian rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G kepada golongan belia bermula 3 September ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata sebelum ini program itu dihentikan sementara untuk memantau keberkesanannya.

"Kita akan agih semula baki pada 3 September ini," katanya kepada pemberita ketika mengagihkan Jalur Gemilang di Manir dekat Kuala Terengganu semalam.

Katanya kerajaan sudah membelanjakan RM1.42 juta sejak program itu bermula Mac lepas.

Kerajaan menganggarkan seramai 1.5 juta belia berumur antara 21 dan 30 tahu yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan berpeluang menikmati kemudahan itu.

- BERNAMA


Celcom perkenal Escape

by
CELCOM Axiata Bhd memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan oleh Escape Axiata Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Celcom.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shazalli Ramly berkata, Escape direka khusus untuk pengguna Celcom seperti Xpax dan Celcom First dan rakan usaha sama MVNO (Operator Rangkaian Maya Mudah Alih).

“Buat permulaan, kami menyasarkan semua pengguna Celcom dapat menggunakan perisian ini bermula 1 September,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, selain Malaysia, Escape juga akan dilancarkan untuk anak syarikat Axiata Group di Asia, bermula di Sri Lanka pada akhir tahun ini.

Katanya, Escape membolehkan pelanggan menikmati pelbagai bentuk kandungan, menerbitkan, menghasilkan dan menyediakan pakej barisan gaya hidup mudah alih digital.

Kandungannya meliputi format kandungan jangka panjang dan pendek bagi memenuhi kehendak hiburan pengguna mudah alih moden, dan pengguna boleh menyaksikan dan membeli filem dan kandungan lain menerusi mana-mana peranti yang mempunyai sambungan internet.

Celcom turut membelanjakan RM420 juta daripada perbelanjaan modal syarikat untuk meningkatkan rangkaian di seluruh negara untuk penggunaan LTE.

Perkhidmatan itu turut boleh didapati menerusi semua peranti Android dan iOS secara percuma. Untuk maklumat lanjut layari www.escnow.com


HyppTV di seluruh negara mulai Ogos 2013

by

Telekom Malaysia Bhd. (TM) menyasarkan peningkatan pengguna perkhidmatan Streamyx dan UniFi dengan pelancaran perkhidmatan HyppTV yang boleh didapati di seluruh negara bermula 1 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, HyppTV yang sebelum ini dikuasakan oleh perkhidmatan jalur lebar kelajuan tinggi UniFi kini boleh didapati menerusi Streamyx dan pada skrin pelbagai peranti melalui HyppTV Everywhere.

Katanya, perkhidmatan IPTV TM itu boleh kini dinikmati oleh pelanggan Streamyx 4Mbps dan 8Mbps baharu mahupun pelanggan sedia ada.

"Dengan adanya perkhidmatan HyppTV di seluruh negara, semua pengguna Streamyx kini memperoleh pengalaman dan menikmati perkhidmatan HyppTV seperti pengguna UniFi yang lain.

"Kami merasakan selepas ini lebih ramai pengguna Streamyx dengan kelajuan 1Mbps atau 2Mbps akan menambah kelajuan kepada 4Mbps atau 8Mbps," katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan itu di Menara TM, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi TM, Datuk Seri Halim Shafie.

TM kini mempunyai lebih 580,000 pelanggan UniFi yang juga merupakan pelanggan HyppTV serta 1.6 juta pelanggan Streamyx.

Menurut Zamzamzairani, bagi pelanggan Streamyx 8Mbps sedia ada dan baharu, HyppTV akan ditawarkan sebagai sebahagian daripada pakej perkhidmatan tiga serangkai iaitu suara, internet dan IPTV pada harga RM160 sebulan dengan 17 saluran percuma serta mempunyai pilihan melanggani HyppTV Platinum Pack.

Sementara itu, pelanggan Streamyx 4Mbps yang baharu dan sedia ada yang pada masa ini menikmati perkhidmatan dua serangkai iaitu suara dan internet, HyppTV ditawarkan sebagai pilihan tambahan pada kadar RM30 sebulan dengan 17 saluran percuma serta pilihan melanggan pek HyppTV.

Dalam pada itu, HyppTV Everywhere pula merupakan penawaran pelbagai skrin pertama yang membolehkan pelanggan UniFi dan Streamyx menonton HyppTV di mana sahaja, pada bila-bila masa melalui peranti mereka.

Tambahnya, aplikasi tersebut merentasi pelbagai platform seperti telefon pintar, tablet, komputer peribadi serta riba dan hanya boleh didapati untuk pengguna Andriod dan Apple iOS.

- UTUSAN

 

Portal Berita Tidak Akan Dilesenkan - PM

by
Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita di negara ini sebagaimana yang dilakukan oleh -negara jiran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau bagaimanapun berkata, bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan bahawa mana-mana pihak yang cuba menanam kebencian menggunakan elemen kaum, agama dan bangsa.

“Atau pun memperkecilkan institusi raja dan berperlembagaan, mahu pun cuba ‘subvert’ (menjatuhkan) sistem demokrasi berparlimen boleh diambil tindakan undang-undang yang sedia ada,” katanya pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013, di sini malam Rabu.

Baru-baru ini, Singapura menerusi Lesen Pembangunan Media di negara itu mengumumkan peraturan pelesenan bagi laman web berita seperti dikenakan terhadap media tradisional.

Najib berkata, landskap media dan organisasi berita di negara ini mengalami perubahan yang amat pesat, di mana media cetak dan elektronik dilengkapi dengan kehadiran media dalam talian.

Katanya, kepelbagaian dan perbezaan pendapat yang wujud di negara ini sebenarnya harus berakar kepada identiti dan jati diri Malaysia.

“Kebebasan bersuara Malaysia yang membesar daripada akar tradisi jati akan memiliki kebijaksanaan untuk menghakis ketidakpercayaan dan perasaan syak wasangka yang melampau,” katanya.

Beliau menambah, tidak salah untuk berlainan pendapat namun adakah perbezaan pendapat itu membuak-buak sehingga wujudnya ketidakpercayaan dan syak wasangka melampau yang sebenarnya asing daripada budaya Malaysia.

“Untuk demokrasi benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang mahu pun menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, bagi menangani ‘cabaran kematangan’ sebagai sebuah negara bangsa yang semakin dewasa, perjalanan media sosial tidak terus disalahgunakan dan rakyat seharusnya berpegang kepada prinsip dan nilai tanggungjawab terhadap apa jua maklumat yang disiarkan.

"Untuk itu saya ingin lontarkan kepada rakyat dan kalangan pengguna media sosial untuk mencadangkan apakah bentuk kawalan positif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan nilai kebertanggungjawaban itu, dan maklumat yang disampaikan tidak melanggar undang-undang.

“Cadangan yang dikemukakan itu biarlah tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia yang menegaskan tiada tapisan terhadap internet," katanya.

Malam Kewartawanan Malaysia menyaksikan 264 bahan penyertaan dari 26 organisasi media cetak dan elektronik yang diadili oleh barisan panel hakim, dan 13 pemenang pelbagai kategori disenaraikan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012.

Wartawan Berita Harian, Sophia Ahmad dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai HKM menerima hadiah berupa wang tunai RM30,000 serta sekeping syiling emas seberat 100 gram bernilai RM16,000.

Wartawan The Star, Isabelle Lai turut merupakan antara penerima anugerah menerusi kategori Kewartawan Alam Sekitar Cemerlang-Petronas, yang menerima hadiah wang tunai RM15,000.

- mSTAR


E-Sentral Portal e-Book Pertama di Malaysia

by


Penggunaan buku elektronik atau e-Book masih kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini memandangkan tidak ramai yang mahu mengambil inisiatif untuk mencubanya.

Buku elektronik merupakan sejenis medium penyampaian maklumat yang merujuk kepada penggunaan data elektronik sebagai buku, namun rakyat di negara ini dilihat lebih gemar membaca buku fizikal atas faktor kepuasan.

Begitupun, perkara itu tidak menghalang Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn. Bhd., Faiz Al-Shahab, 33, melancarkan laman web, portal www.e-sentral.com.my pada tahun lalu.

Portal berkenaan menawarkan pelbagai jenis buku dalam bentuk e-Book. Lebih menarik, bahan bacaan itu boleh dibaca terus menerusi telefon pintar dan komputer.

Mengulas lanjut mengenai e-Book, Faiz memberitahu, portal berkenaan menyediakan lebih 15,000 judul buku dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Perancis dan Sepanyol.

Namun, fokus utama portal tersebut adalah untuk mempromosikan buku tempatan.

Kebanyakan buku berkisar tentang perniagaan, biografi, komik, teknologi maklumat, novel cinta dan penyiasatan.

Kesemua buku itu pada asalnya merupakan buku yang dicetak oleh syarikat penerbitan tempatan selain bahan daripada penulis bebas.

Akses e-Sentral

Menyentuh mengenai cara untuk membaca buku-buku tersebut, anak jati Selangor itu memberitahu, pembaca perlu melayari laman web di www.e-sentral.com.my menerusi telefon pintar, tablet, komputer dan komputer riba.

Seterusnya, pengguna perlu mendaftarkan nama dan kata laluan. Sebaik selesai berbuat demikian, pengguna berkenaan boleh terus membuat pembelian buku.

Setelah membuat pilihan, pengguna akan dimaklumkan mengenai penerbit, saiz fail, kategori buku dan format selain sinopsis buku berkenaan.

Selain itu, pembaca akan ditanya sama ada mereka mahu membaca menerusi komputer, tablet, iPad, iPhone, atau Android.

Justeru, pembaca dikehendaki mengisi kata laluan dalam e-mel yang terkandung dalam gajet canggih. Sebaik selesai, pengguna akan dikehendaki mengisi semula nama pengguna dan kata laluan yang didaftarkan melalui portal itu.

"Tidak sampai tujuh minit, anda sudah boleh membaca judul buku yang dipilih menerusi telefon atau komputer," katanya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Cyberjaya, Selangor.

Malahan, pembaca akan diberikan beberapa judul buku secara percuma sebagai percubaan sebelum membuat pembelian namun, bukan semua judul buku.

 Sistem operasi

Mengenai sistem operasi, aplikasi e-Sentral menggunakan sistem operasi IOS, Android, Cloud dan komputer.

Beliau memberitahu, format operasi aplikasi tersebut ialah e-pub dan ia merupakan format yang berbeza.

Pada kebiasaan, format yang digunakan pada e-Book adalah dokumen mudah alih (PDF).

"Bagaimanapun, kita tidak menggunakan PDF kerana apabila aplikasi menggunakan format itu ia akan melambatkan kerja-kerja memuat turun sekali gus fail tersebut akan menjadi berat.

"Jadi, kami menggunakan format e-pub kerana ia bukan sahaja melindungi setiap e-Book daripada digodam, malah format tersebut lebih ringan berbanding PDF," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengguna tidak perlu risau mengenai langkah-langkah perlindungan pada aplikasi itu.

Seseorang pengguna boleh menggunakan tiga akaun berbeza pada tiga gajet berbeza milik mereka sama ada iPad, komputer atau telefon bimbit memandangkan ia menggunakan teknologi pengkomputeran awan atau lebih dikenali cloud computing.

Pelbagai aplikasi

Teknologi itu membenarkan pelbagai aplikasi dijalankan pada variasi jenis platform. Ia tidak lagi tertakluk kepada satu-satu sistem operasi tertentu sahaja.

Ia turut membolehkan pengguna menggunakan sesuatu perisian tanpa perlu melakukan instalasi pada komputer yang ingin digunakan.

"Pengguna cuma perlu menggunakan pelayar internet terkini bagi mengakses e-Book," ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai harga, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, ia dijual pada harga yang murah berbanding buku yang dicetak.

"Kami menjual buku serendah RM2.99 tetapi ia mengikut bab-bab dalam buku itu iaitu setiap bab dijual berasingan.

"Malah, kami juga menjual buku yang berharga RM5. Ia seperti buku cerita yang tidak mengandungi bab," jelasnya sambil memberitahu pihaknya menjual buku dari harga RM2.99 sehingga RM30.

Harga rendah

Buku-buku dijual pada harga rendah disebabkan ia tidak memerlukan kos pencetakan dan pemasaran.

Walaupun ditawarkan pada kos murah, beliau mengakui hanya sekitar 30 peratus pembaca yang berminat terhadap e-Book dan selebihnya masih lagi mengamalkan buku fizikal.

Hakikatnya, peratusan itu menunjukkan rakyat Malaysia tidak menyedari kewujudan dan kecanggihan teknologi e-Book.

"Banyak kelebihan menggunakan e-Book, antara yang menarik contohnya, anda boleh mengeluarkan penanda buku atau bookmark yang membenarkan pengguna terus kepada muka surat yang ditandai apabila membuka buku tersebut," ujarnya lagi sambil memberitahu, pembaca kini tidak perlu lagi berulang-alik ke kedai buku untuk mendapatkan bahan bacaan.

Bukan itu sahaja, jika pengguna ingin membeli buku berkaitan senaman, menerusi e-Book pembaca boleh melihat cara bersenam secara realistik berbanding buku fizikal yang hanya meletakkan gambar mengikut turutan langkah.

Lebih menarik, portal itu memberi peluang kepada penulis-penulis bebas untuk menghasilkan karya mereka melalui e-Book.

Penulis bebas tidak perlu mengeluarkan modal untuk pencetakan.

Langkah itu dilihat salah satu cara untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penulisan untuk dipromosikan melalui portal tersebut.

- KOSMO!

http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

 

TV Kabel Baru ABNxcess

by

Asian Broadcasting Network (M) Sdn Bhd, atau ABN, pengendali rangkaian TV kabel digital pertama di Malaysia di bawah jenama ‘ABNxcess ‘ mengumumkan penyertaannya ke dalam industri Internet Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dengan menawarkan khidmat servis internet pada harga rendah dan terpantas untuk kegunaan rumah.

Didatangkan dalam pakej 10, 30 dan 50 mbps, perkhidmatan HSBB ini amat berpatutan dengan kadar serendah RM129.00, RM219.00 dan RM369.00 sebulan.

Ini meletakkan ABNxcess bukan sekadar penydia khidmat HSBB terpantas di negara ini, malah ia juga amat berpatutan. Ia turut disertakan dengan pakej khidmat TV berbayar ABNxcess dengan kadar tambahan sebanyak RM29.90 untuk 50 saluran (pakej xcess 50) dengan saluran TV  dan radio biasa (free to air) dan lima aplikasi permainan dengan jumlah kos RM158.99 sebulan untuk saluran TV  berbayar dan pakej internet 10 MBPS.

ABN menggunakan Motorola Mobiliti Home (kini dikendalikan oleh Arris) yang memberi produk dan perkhidmatan berkualiti termasuk kabel modem untuk menyalurkan khidmat HSBB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ABN, Sreedhar Subramaniam berkata, kerjasama antara Arris dan Motorola merupakan satu kelebihan kepada ABN.

“Arris dan Motorola merupakan satu nama besar yang memiliki pengalaman luas dan peneraju industri video serta jalur lebar dan ia adalah satu kelebihan kepada ABN untuk memberi khidmat terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Di samping khidmat internet berkelajuan tinggi, penggunaan kabel yang sama turut membolehkan ABN menyediakan khidmat video.

Perkhidmatan TV Berbayar ABNxcess menggunakan teknologi kelas dunia yang tidak akan mendatangkan masalah apabila berhadapan dengan gangguan seperti hujan, ribut petir dan kilat.

Khidmat TV berbayar ABNxcess  menggunakan set top box, daripada Motorola yang menyokong fungsi video MPEG 4, TV berdefinisi tinggi, port USB untuk khidmat PVR di masa akan datang, aplikasi permainan dan khidmat informasi.

Pelaburan yang dibuat oleh ABN pasti akan mengubah landskap sosial, persekitaran dan ekonomi negara. Daripada pelajar yang membuat kerja rumah hinggalah ke media sosial, e-dagang dan hiburan, pengguna kini boleh mengakses, bermain dan berkongsi sebarang data dalam kelajuan yang tinggi.

“Ini merupakan era baru yang ingin dibawa oleh ABN kepada negara . Dengan pengumuman ini, ABN akan merealisasikan ‘akses untuk semua’.

“Kami ingin memastikan semua peringkat masyarakat mendapat akses yang baik kepada pelajaran, maklumat dan hiburan bagi merapatkan jurang digital dan memperkukuhkan  ekonomi berdasarkan pengetahuan,” katanya.

Pendaftaran untuk khidmat HSBB dan TV Berbayar ABN kini dibuka di kawasan berikut dengan pemasangan dalam tempoh 6 bulan:

Lembah Klang:
  • Sri Damansara
  • Bandar Manjalara
  • Kepong
  • Selayang
  • Subang Jaya
  • Bandar Sunway
  • Puchong
  • Taman Desa
  • Kuchai Lama
  • Ampang
  • Taman Pandan Perdana
  • Taman Bukit Pandan
  • Pandan Indah
  • Taman Maluri
  • Desa Pandan
  • Taman Segar
  • Taman Nirwana
  • Bandar Baru Ampang
Johor Bharu:
  • Stulang Laut
  • Taman Pelangi
  • Taman Sentosa
  • Taman Maju
  • Permas Jaya
  • Johor Jaya
Dalam masa lima tahun akan datang, ABN menyasarkan untuk liputan lebih meluas ke seluruh negara.
Sebarang pertanyaan untuk perkhidmatan ini boleh menghubungi ABNxcess di talian 1300-22-3399 atau daftar secara online di laman web : www.abnxcess.com.

Pelanggan yang telah membuat tempahan awal akan dihubungi untuk menentukan tarikh pemasangan.


 

Video menjadi viral di internet

by
Video-video yang dimuatnaik di internet mudah menular atau lebih dikenali sebagai viral dalam kalangan pengguna laman sosial.

Video-video ini menjadi pilihan pengguna untuk dikongsikan bersama rakan mereka melalui laman sosial terutamanya Facebook.

Ada di antara video itu mendapat komen yang baik dan ada juga sebaliknya. Namun apa pun keadaannya, mereka kian dikenali apabila berlakunya perkongsian dalam kalangan pengguna.

Bermula dengan video klip artis dari Korea, Psy dengan lagunya Gangnam Style, yang menjadikan tarian artis itu sebagai ikutan dengan adanya pelbagai video parodi untuk meniru gayanya menari.

Kemudian, teknik tarian pergerakan kepala dan badan Harlem Shake pula menjadi viral dalam kalangan pengguna laman sosial sehinggakan terdapat ribuan video yang dimuat naik mengenai tarian itu di YouTube.

Selepas itu, teknik tarian parodi oleh Bobo dengan lagu berjudul Sayang dari Shea pula mendapat tempat kerana tarian yang dilakukan mempunyai ciri-ciri yang agak unik.

Teknik itu semakin popular apabila Johan Raja Lawak turut mempromosikan tarian yang sama dalam satu majlis anugerah, selain membincangkannya ketika menjadi tetamu undangan di sebuah stesen radio tempatan.

Kini dan terbaharu yang menjadi kegilaan pengguna laman sosial Facebook adalah tarian Gwiyomi dari Korea.

Teknik tarian itu dikatakan ‘sangat comel’ dengan penggunaan tangan dan ekspresi muka yang memberi impak kepada perkongsian video di laman sosial tersebut.

Cuba anda klik di ruangan carian YouTube, sudah pasti ribuan video yang memaparkan teknik-teknik tarian tersebut telah dimuat naik, sekali gus menjadi ikutan dalam kalangan remaja di serata dunia.


Jadi, untuk menjadi popular atau menarik ramai pengikut, anda boleh mencuba teknik berkongsi video di internet.

- UTUSAN

Maxis lancar pelan prabayar edisi media sosial

by

Maxis Bhd menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi pertama negara ini yang menawarkan pakej data percuma tanpa had bagi menggunakan laman web dan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp.

Ia susulan pelancaran pelan prabayar edisi media sosial, Hotlink Social Edition yang menawarkan kos panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) serta perkhidmatan internet laman sosial media tanpa had pada harga kompetitif.
Ketua Pegawai Operasi Bersamanya, Suren J Amarasekera, berkata pelan itu diperkenal selaras arah aliran penggunaan data mudah alih di negara ini yang tertumpu kepada media sosial.

Yakin terima sambutan

“Kami yakin bahawa pelan prabayar ini akan menerima sambutan memberangsangkan daripada pasaran pelan telekomunikasi prabayar di negara ini berikutan pelbagai manfaat yang akan diperoleh pengguna.

“Dalam masa terdekat, kami menjangkakan pengukuhan jenama Hotlink dan akan memerhatikan maklum balas pemain telekomunikasi lain dalam memastikan penawaran kami kekal relevan dengan pelancaran lebih banyak perkhidmatan inovatif pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Hotlink Social Edition di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Ketua Produk Mudah Alih dan Perkhidmatan Antarabangsa, Jeff Chong dan Ketua Wilayah Tengah Maxis Berhad, Christopher Chua.
Pelan prabayar baru itu turut menawarkan kuota data 1GB daripada jam 2 pagi hingga 7 pagi menerusi Hot Ticket berharga RM10.

“Bagi panggilan dan SMS, pelan ini menawarkannya harga rendah terutama mulai jam 2 pagi hingga 7 pagi, sesuai dengan trend generasi muda kini yang gemar berbual dengan teman pada lewat malam,” kata Chong.

Secara purata, setiap rakyat Malaysia menghabiskan satu pertiga daripada masa mereka untuk berhubung teman menerusi laman atau aplikasi sosial, menjadikan Malaysia antara senarai teratas penggunaan media sosial di dunia.

Kini, 46.9 peratus daripada 28.5 juta rakyat negara ini mempunyai akaun Facebook dan dua juta mempunyai Twitter daripada hanya 3,000 akaun pada 2008.

Suren berkata, pakej kad sim prabayar itu sudah berada di pasaran mulai hari ini dan pengguna pelan prabayar Hotlink sedia ada hanya perlu membeli Hot Ticket untuk memanfaatkan pelan baru itu.

- BERITA HARIAN

 

Maybank lancar Maybank2u Pay untuk Peniaga Bisnes Internet

by

Maybank mempelbagaikan lagi kemudahan transaksi dalam taliannya menerusi pelancaran Maybank2u Pay, sekali gus menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya lima peratus daripada 3,000 peniaga yang menggunakan laman blog di seluruh Malaysia tahun ini dengan nilai transaksi sebanyak RM5 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, Maybank2u Pay menawarkan pemilik kedai blog keupayaan menguruskan urus niaga mereka dengan cara profesional dan bersistematik. Katanya, perkhidmatan baru ini juga adalah sistem yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan peniaga boleh melihat maklumat terperinci transaksi jualan seperti tarikh dan masa transaksi itu dibuat, nama pembeli dan alamat e-mel serta jumlah wang yang dipindahkan.

“Maybank mendapati terdapat peningkatan dagangan dalam laman sosial yang menggunakan Maybank2u sebagai kemudahan pembayaran dan bagi permulaan ini kami juga menyasarkan 108,000 transaksi urus niaga.
“Bilangan pelanggan juga dijangka meningkat lagi kepada 30 peratus dengan anggaran transaksi berjumlah RM105 juta dalam tempoh lima tahun,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Maybank2u Pay.

Menurutnya, pembelian dalam talian kini semakin popular di Malaysia dan perangkaan menunjukkan terdapat lebih daripada 1.1 juta rakyat Malaysia berbelanja RM1.8 bilion pada 2010.

Abdul Wahid berkata, nilai itu dijangka berkembang kepada RM5 bilion tahun depan dan daripada jumlah pelanggan pula, terdapat 2.3 juta pengguna aktif yang membuat lebih daripada 2.5 juta transaksi beli-belah dalam talian dengan nilai RM675 juta tahun lalu.

“Menjadi tanggungjawab Maybank sebagai bank yang mementingkan masyarakat untuk mendorong pertumbuhan ini dengan menawarkan kemudahan dan kepelbagaian dalam dunia e-dagang,” katanya.

Beliau berkata, Maybank telah menjadi peneraju dalam perbankan Internet sejak memperkenalkan perkhidmatan Maybank2u di Malaysia pada 2000 dan sehingga kini, Maybank menguasai hampir 50 peratus pengguna berdaftar di pasaran.

Maybank2u Pay adalah inisiatif berterusan kami untuk meneroka pasaran baru menerusi inovasi dan dengan sistem baru ini, kami bukan saja mampu mengukuhkan kedudukan kami dalam perbankan dalam talian, tetapi juga menjadikannya lebih mudah dan selesa untuk digunakan pelanggan dan pada masa sama membolehkan komuniti yang memberi kesan kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Maybank juga menawarkan rebat tunai kepada pencadang perniagaan blog dan peniaga yang mendaftar di Maybank2u Pay serta berpeluang mendapat publisiti percuma di laman web Maybank2u. Promosi berakhir pada 31 Mei 2013.

- HARIAN METRO

Freelancer.com tarik 7 juta pengguna

by

Freelancer.com, portal pasaran pekerja bebas terbesar dunia dijangka memudahkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain menjana pendapatan lebih tinggi bagi pekerja bebas di negara ini dengan  mengembangkan pangkalan data pengguna di Malaysia.

Naib Presiden Pembangunan Freelancer.com, Willix Halim berkata, pemilik PKS sentiasa mencari cara berjimat semasa menjalankan perniagaan dan melalui Freelancer.com, PKS mempunyai cara yang cekap dan berkesan dari segi penjimatan kos dalam menguatkan potensi sumber manusia dalam kalangan pengguna Internet.

"Sebagai peneraju dunia dalam pasaran pekerja bebas, berdasarkan jumlah trafik (Alexa.com), Freelancer.com kini mempunyai lebih daripada tujuh juta pengguna dari 234 negara.

"Di peringkat antarabangsa pula, laman ini menarik lebih daripada 4,500 pengguna baru setiap hari," katanya.

PKS adalah bahagian penting yang melengkapi ekonomi Malaysia, merangkumi 97.3 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan dan menyumbang 32.5 peratus kepada ekonomi pada 2011. Industri itu juga merupakan sumber pekerjaan utama negara, di mana lebih daripada 645,000 syarikat PKS menggaji 4.5 juta pekerja.

Menurut Halim, di seluruh dunia, PKS telah menggunakan Internet untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan dari segi penjualan barangan, kos pentadbiran serta operasi.

“Pasaran terbuka pekerjaan bebas yang didorong oleh Freelancer.com sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadi sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Selain memupuk, menarik, dan mengekalkan bakat, Freelancer.com turut menawarkan peluang mendekati pasaran dunia dengan memanfaatkan kebolehan berkomunikasi dalam berbilang bahasa,” katanya.

Dunia peluang pekerjaan tanpa sempadan itu dijangka memberi impak hebat kerana statistik  menunjukkan 17.5 juta daripada 29 juta penduduk negara ini adalah pengguna Internet, termasuk 5 juta pengguna jalur lebar, 2.5 juta pengguna jalur lebar tanpa wayar dan 10 juta pelanggan 3G.

Malaysia juga negara ke-15 mempunyai paling ramai pengguna Freelancer.com iaitu 6,724 majikan dan 39,084 pekerja bebas.

- SINAR HARIAN

 

 

Kedai Online Pakaian Lawa-Lawa

by

Apabila nama Stylo Queen dirasakan tidak sesuai dengan konsep dan produk yang dijual, Wan Rizazurina Abdul Rahim, 34, mula mencari-cari nama yang lebih bersesuaian.

Stylo Queen itu kata Wan Rizazurina nampak terlalu besar dan gagah. Beliau bimbang jika pelanggan takut untuk memasuki butiknya kerana disangka terlalu eksklusif dan mahal.

Beliau mahukan nama yang lebih mudah disebut dan diingati oleh pelanggan. Lantas nama Lawa-Lawa terlintas di fikiran dan nama itulah yang dipilih untuk butiknya yang terletak di Ukay Boulevard, Jalan Hulu Klang, Kuala Lumpur.

Ditemui di butik yang ringkas namun cukup selesa bagi setiap pengunjung, Wan Rizazurina berkata, butik yang dibuka pada September 2011 itu sebenarnya bermula dengan perniagaan secara dalam talian sejak tahun 2008.

''Saya bermula dengan RM500 dan waktu itu saya masih bekerja. Bagaimanapun saya tidak pernah merasakan kepuasan diri kerana minat saya lebih kepada berniaga pakaian dan fesyen.

''Tidak mahu menipu diri dan berlaku tidak jujur semasa menjalankan tugas kerana sambil bekerja melayan pesanan pelanggan melalui Internet, saya mengambil keputusan meletakkan jawatan.

''Waktu itu saya baharu sahaja habis tempoh berpantang. Nekad dengan keputusan, saya menghantar surat berhenti kerja biarpun sudah lapan tahun bekerja makan gaji,'' kata bekas pengurus akaun sebuah syarikat telekomunikasi tempatan itu.

Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, kini masanya begitu fleksibel dan boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan.

Pun begitu, beliau tetap mengutamakan keluarga dan anak-anak yang masih memerlukan perhatian dan tumpuannya.

Tambah Wan Rizazurina, koleksi pakaian yang terdapat di butiknya diperoleh dari Bangkok kerana trend fesyen di sana lebih cepat bertukar dan setiap tiga minggu pasti terdapat fesyen terbaru.

Begitu juga dengan baju-baju yang terdapat di Lawa-Lawa. Setiap tiga atau empat minggu pasti terdapat koleksi terbaru yang lebih cantik dan menarik.

''Biasanya setiap tiga atau empat minggu saya akan ke Bangkok bagi membeli pakaian untuk butik saya. Sekali pergi, saya akan membeli sehingga 800 helai baju.

''Sebelum ke sana, saya akan membuat kajian dahulu pasaran yang disukai di Malaysia. Saya banyak mendapatkan idea daripada majalah tempatan dan luar negara tentang fesyen-fesyen terkini.

''Bagaimanapun saya banyak mendapatkan koleksi fesyen yang ringkas dan tidak keterlaluan kerana lebih mudah dijual.

''Selain itu rekaan yang trendy turut digemari kerana mudah disuai-padan,'' ujar isteri kepada Hazree Hashim ini.

Wan Rizazurina berkata, warna hitam putih, warna terang atau neon, corak polka dot dan belang dilihat amat disukai oleh pelanggan yang datang ke butiknya.

Namun demikian warna-warna blok masih lagi menjadi ikutan pada hari ini.

Daripada segi harga, tambahnya, koleksi pakaian Lawa-Lawa dijual pada harga yang amat berpatutan. Paling mahal pun berharga RM90 bagi sehelai dres labuh sementara bagi sehelai baju berharga di bawah RM70.

Kini Lawa-Lawa sudah pun menambahkan koleksi bajunya untuk wanita yang berbadan besar kerana mendapat permintaan ramai. Turut disediakan ialah sudut untuk baju muslimah.

Selain pakaian, dia turut melengkapkan butiknya dengan koleksi aksesori, beg kain dan sebagainya.

Beliau turut membantu rakan-rakan niaga dengan meletakkan produk mereka seperti tudung, selendang, lukisan dan baju muslimah.

Jika anda ingin melihat koleksi terbaru Lawa-Lawa boleh layari facebook www.facebook.com/lawalawalah
 
 

Penduduk Malaysia belanja RM1,074 beli dalam talian secara online

by
Kajian yang dilakukan oleh laman sesawang e-dagang Jepun, Rakuten, mendapati perbelanjaan purata rakyat Malaysia yang membeli belah secara dalam talian sepanjang tahun lalu berjumlah RM1,074.

Nilai itu adalah lebih tinggi berbanding perbelanjaan purata di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia iaitu sekitar AS$239 (RM746).

Namun, menurut Rakuten, perbelanjaan purata itu lebih kurang berbanding United Kingdom (UK) yang mencatatkan perbelanjaan purata sebanyak AS$1,700 (RM5,308).

Perbelanjaan purata global bagi 2012 adalah sebanyak AS$725 (RM2,263)

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Online Shopping, Masaya Ueno berkata, hasil kajian itu menunjukkan rakyat Malaysia tidak ketinggalan di dalam industri perniagaan menerusi talian seperti negara-negara lain.

"Kadar itu meningkat berbanding dua tahun lalu. Hal itu disumbangkan oleh rangkaian Internet yang baik serta bilangan pengguna laman-laman sosial seperti Facebook dan pelbagai jenama lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kajian itu juga mendapati rakyat negara ini masih selesa menggunakan komputer peribadi jika mahu membeli belah secara talian, daripada menggunakan telefon pintar atau tablet.

Sumber : UTUSAN



Jakim Lancar Aplikasi Telefon Pintar 'Halal Square' dan 'Halal Inside' Boleh Kesan Premis Makanan Halal

by
Umat Islam kini boleh mengesan premis yang memiliki sijil halal menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi 'Halal Square' dan 'Halal Inside'.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sistem itu memaparkan carian status halal syarikat, produk, premis makanan dan menu yang tersenarai dalam direktori Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)serta lengkap dengan tarikh luput sijil halal.

"Ia mampu memberikan maklumat dimana nak cari restoran dan juga premis makanan yang bukan sekadar halal tetapi ada sijil halal dari JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu di sini, Selasa.

Pengguna telefon pintar berasaskan Android, ios dan Windows Phone 8 boleh memuat turun aplikasi itu secara percuma bermula Selasa.

Aplikasi itu dibangunkan dengan kerjasama strategik antara JAKIM dan syarikat reka bentuk litar elektronik, Malaysia Microelectronic Solutions Sdn Bhd (My-MS).

Jamil Khir berkata pelaksanaan aplikasi itu dilihat dapat merancakkan industri halal dalam negara.

"Siapa yang dapat sijil halal ia semacam diiklankan pula dalam telefon bimbit yang ada aplikasi Halal Square dan Halal Inside dan ini merupakan satu peluang tambahan kepada peniaga," katanya, sambil berharap My-Ms dapat memperluaskan penggunaan aplikasi itu meliputi produk farmaseutikal dan barangan kecantikan wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif My-MS Sdn Bhd Amirul Syafiq Ali berkata aplikasi Halal Square adalah berasaskan teknologi 'near field communication' dan 'geo location' yang berupaya menunjukkan arah dan jarak perjalanan ke premis makanan halal terbabit.

"Manakala Halal Inside pula membolehkan pengguna mengemas kini status dan berinteraksi sesama rakan mengenai premis halal terbabit secara 'real time'," katanya.

Amirul Syafiq menambah pengguna aplikasi terbabit boleh menggunakannya di seluruh dunia bagi mencari premis makanan halal yang disahkan oleh badan atau agensi Islam yang mempunyai hubungan dengan JAKIM.

- BERNAMA



Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90