Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Komentar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komentar. Papar semua catatan

Pemimpin jatuh angkara nasihat kaki ampu

by
Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Sudah menjadi tabiat manusia, kita lebih suka mendengar pujian dan kata-kata yang baik mengenai diri sendiri. Tidak mudah untuk telinga kita menerima kritikan, apatah lagi celaan, makian atau cercaan.

Begitu jugalah dengan pemimpin. Seorang yang diberi kuasa oleh Allah SWT sering dikelilingi manusia oportunis. Mereka selalu datang dengan pelbagai cerita enak untuk didengar pemimpin berserta kata pujian melangit sama ada untuk mendapatkan ganjaran atau takut dengan tindakan pemerintah.
Namun, orang yang sama juga yang pertama akan meminggirkan diri, bahkan mula mengeji dan menghina apabila pemimpin yang diampu hilang pengaruh, apatah lagi jika sudah tidak bertakhta.

    Allah SWT bersabda: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan daripada kalangan kamu menjadi penasihat (orang yang dipercayai). Mereka tidak akan henti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya,” (Ali-Imran:118)


Justeru, pemimpin harus sentiasa berwaspada dengan manusia pengampu di sekelilingnya kerana golongan inilah yang selalunya akan menarik diri apabila pemimpin sudah tiada kuasa. Dalam Islam, penasihat pimpinan, adalah golongan yang perlu sentiasa diperhatikan, bimbang tersalah pilih sehingga membawa rebah.

Allah SWT memberikan penegasan ini yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan daripada kalangan kamu menjadi penasihat (orang yang dipercayai). Mereka tidak akan henti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya,” (Ali-Imran:118)

Dua sifat penasihat

Nabi Muhammad SAW turut menjelaskan ciri penasihat yang sering melingkari pemerintah seperti Baginda SAW: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. (Riwayat al-Bukhari 6/2438 dan al-Nasai 7/158).
Ternyata amaran dan peringatan Allah dan Rasul-Nya cukup tepat menggambarkan fenomena jatuh bangun seorang pemimpin sejak berzaman.

Kalau disingkap kembali sejarah kebangkitan dan kejatuhan setiap zaman khalifah Islam, kita akan dapati bagaimana kekuatan dan kelemahan kepemimpinan Islam amat tergantung kepada siapa penasihat yang dipilih dan dilantik.

Apabila yang dilantik adalah mereka yang hanya tahu mengampu, membodek dan mengangkat ego pemimpin sehingga didiamkan kebenaran serta dizahirkan kepalsuan, pada waktu itu kita dapat menyaksikan bagaimana permulaan kejatuhan pemerintah.

Saidina Ali Abi Talib pernah menggambarkan fenomena ini menerusi kata-kata hikmahnya: “Sesungguhnya binasa manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ia terpaksa dibeli. Mereka pula membentangkan kezaliman sehingga ia terpaksa ditebus.” (Ibnu Muflih, Al-Adab Asy-Syari'yyah, 1/201)

Islam tetapkan ciri penasihat

Sebab itu pemimpin Islam mesti sentiasa memastikan penasihat di sekeliling mereka adalah kalangan orang yang jujur dan benar-benar memberikan berita berasaskan denyut nadi umat.

Penasihat yang jujur akan sentiasa mengkhabarkan hakikat yang benar walaupun pahit agar sampai ke telinga pemimpin. Penasihat yang jujur dan beriman seperti digambarkan dalam ayat 118 Surah Ali-Imran juga sentiasa memastikan pemimpin tunduk dan patuh kepada syariat Allah SWT kerana ia amat faham implikasi pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT kelak.

Sedangkan penasihat yang berwatak pengampu hanya menjadi penglipur lara kepada pemimpin kerana apa yang disampaikannya hanyalah cerita indah penuh dongeng agar pemimpin mampu tidur nyenyak dibuai mimpi indah tanpa rasa takut atau gundah untuk bertemu Allah SWT.

Manusia pengampu seperti ini tidak memikirkan masa depan pemimpin, jauh sekali nasib rakyat yang dipimpin. Sebaliknya siang malam memikirkan bagaimana untuk terus mengisi tembolok dan kantung kekayaan yang tidak pernah puas.

Justeru, pemimpin perlu memastikan penasihat mereka ialah orang yang beriman dan bukan yang menyesatkan. Mudah-mudahan kita semua diberikan hidayah untuk memimpin umat ke arah kebaikan.

- BERITA HARIAN

Apakah itu memang pilihan kita? - Dr Maza

by
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

 Beberapa orang Melayu yang kurang biasa dengan makanan Jepun memasuki sebuah restoran makanan Jepun untuk mencuba. Pelayan restoran Jepun itu datang dan memberikan menu makanan yang ada di restoran berkenaan.

Nama-nama makanan semuanya berbunyi Jepun. Semua bunyi itu agak asing bagi pelanggan-pelanggan Melayu berkenaan.

"Sila pilih menu yang tuan-tuan mahukan", kata pelayan.

Oleh kerana mereka tiada pengalaman merasai makanan Jepun mereka kata: "Kami mahu menu yang sedap."

Pelayan itu pun mula membuat cadangan yang sedap pada pendapat beliau. Mereka pun setuju dan memesan makanan berdasarkan cadangan tersebut. Setelah makanan dihidangkan, para pelanggan melayu berkenaan mendapati ia tidak sedap seperti yang diharapkan.

Kata mereka: "Ini tidak sedap! Kami minta yang sedap! Sudahlah harganya pula mahal, kita tertipu!"

Pelayan menjawab: "Saya berikan berdasarkan pilihan tuan-tuan. Saya tidak bersalah. Tuan-tuan telah membuat pilihan tadi tanpa sebarang paksaan".

Pilihan yang terhad

Saya mulakan sketch di atas sebagai gambaran bagaimana manusia kemungkinan memilih apa yang bukan menjadi hasratnya sekalipun dia diberikan kebebasan memilih.

Hal ini juga dibincangkan oleh ahli-ahli teologi, falsafah dan kerohanian tentang sejauh manakah manusia benar-benar memilih apa yang dia benar-benar mahukan.

Who decides? Do I choose for myself? Am I really free to decide?

Namun saya tidak mahu tenggelam dalam perbahasan mereka. Saya ingin membahaskan perkara ini dengan lebih muda terutamanya di musim pilihan raya ini.

Kegagalan para pelanggan tadi memilih apa yang mereka benar-benar mahukan iaitu makanan yang sedap adalah disebabkan beberapa perkara. Antaranya, mungkin makanan yang sedap yang mengikut selera Melayu mereka tidak wujud di restoran berkenaan.

Maka, walaupun hak memilih diberikan, namun pilihan mereka terbatas dan apa yang dihajati tidak wujud dalam senarai pemilihan.

Ini juga berlaku dalam hidup kita di mana kita kadang-kala walaupun mempunyai ruangan memilih tetapi apa yang menjadi pilihan kita tiada dalam senarai yang boleh kita pilih.

Ini telah membataskan kebebasan pemilihan yang ada. Sehingga seseorang mungkin terpaksa memilih yang terbaik antara yang buruk-buruk.

Ini disebut dalam qawaid fiqhiyyah "Yukhtar Ahwan al-Syarrain" atau "Akhaf al-Dararain" iaitu dipilih keburukan ataupun kemudaratan yang paling ringan dibandingkan yang lain.

Ertinya jika tiada pilihan kita disuruh memilih bahaya yang paling kurang dibandingkan yang lain.

Pengetahuan 'tikam ekor'

Kedua, kebebasan pemilihan tidak memberikan apa-apa makna jika kita tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita pilih. Ini seperti kaki ‘tikam ekor' yang sekalipun dia memilih nombor yang dia mahu, tetapi semuanya tidak berasaskan ilmu pengetahuan.

Kejahilan! Ya kejahilan akan mensia-siakan kebebasan memilih sesuatu. Para pelanggan restoran Jepun tadi jahil tentang makanan Jepun. Sekalipun mereka diberikan peluang memilih, tetapi memilih dalam kejahilan.

Oleh kerana mereka jahil, maka terpaksa bergantung kepada pihak lain yang belum tentu tahu apakah maksud ‘sedap' yang sebenarnya menjadi hasrat mereka. Ataupun, mereka tertipu kerana mereka mudah ditipu sebab tidak tahu.

Mereka terdedah untuk ditipu atas nama pilihan sendiri. Padahal pilihan mereka ditentukan oleh pihak lain disebabkan kegagalan ilmu untuk menentukan pilihan yang benar-benar dikehendaki.

Justeru, memberikan kebebasan memilih tetapi tidak memberikan ilmu mengenai pilihan yang ada hanya mensia-siakan hak pemilihan. Akhirnya, walaupun seseorang mempunyai hak memilih tetapi pilihannya ditentukan oleh pihak lain yang mengambil kesempatan atas kejahilan.

Dalam kata lain, memberikan kebebasan memilih, tapi tidak diberikan ruang ilmu untuk mengetahui senarai pilihan dengan adil dan betul adalah satu penipuan.

Kesempatan atas kejahilan

Manusia hari ini banyak yang tertipu oleh iklan palsu. Dunia pengiklanan mempunyai seni yang tersendiri untuk mempengaruhi pelanggan sehingga mereka membeli apa yang bukan sebenarnya hasrat mereka.

Media-massa demikian juga. Manusia akhirnya mempercayai apa yang bukan sebenarnya mereka patut percayai. Kedangkalan pengetahuan boleh diambil kesempatan oleh pihak lain untuk menipu pilihan seseorang.

Dalam pilihan raya, jika kebebasan memilih diberikan tetapi peluang untuk rakyat mengenali setiap calon dan parti secara adil tidak diberikan maka itu mensia-siakan hak memilih.

Jika ada pihak yang menghalang rakyat mengetahui latar senarai pilihan secara adil dan saksama bererti pihak itu adalah penipu dan perosak kepada hak memilih yang sebenar rakyat.

Islam melarang kita mengikut ataupun memilih sesuatu tanpa ilmu yang cukup.

Firman Allah: (maksudnya): "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya." (Surah al-Isra: 36).

Al-Quran menyuruh untuk kita mendengar dari pelbagai maklumat dan mengikut yang terbaik. Inilah yang dipanggil Ulul Albab. (maksudnya):

"...oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab." (al-Zumar: 17-18).

Ertinya, untuk seseorang dapat menjadi insan yang baik dia hendaklah mendengar pelbagai maklumat kemudian mengikut yang terbaik dari apa yang didengari dan dipelajari.

Jika ada pihak yang menghalang rakyat dari ruang mendapat maklumat yang seimbang, maka itu satu usaha untuk menyesatkan rakyat dari pilihan yang betul sama ada dalam pemikiran ataupun politik.

Tariq Ramadan dalam The Quest For Meaning menyebut: "..any society that does not guarantee the conditions for survival and life of all, education for all and rule of law to defend individual freedom (in the handling of interpersonal relationships) is a society that fails to respect basic human rights. It deprives its members of their potential and their powers, and, at best, encourages their illusions as to the immensity of power offered by the virtuality of their will, their dreams and their imagination." (57-58. Penguin Books, UK).

Penipu bukan umat Nabi Muhammad

Menipu dengan cara mengelirukan pemilihan orang lain adalah satu kesalahan. Penipuan bererti mengaburkan pengetahuan pihak yang memilih sehingga dia memilih apa yang bukan pilihannya.

Justeru itu suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah.

Baginda pun bersabda: "Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?"

Dia menjawab: "Terkena hujan, wahai Rasulullah!"

Baginda bersabda: "Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak? Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku." (Riwayat Muslim).

Jika dilihat dalam konteks pilihan raya, ramai yang menyembunyikan hakikat dan menzahirkan yang baik sehingga orang ramai tertipu. Mereka menyangka mereka membeli barangan yang baik, padahal itu sebenarnya buruk.

Mereka sangka mereka undi pihak yang baik, sebenarnya mereka memilih yang buruk. Namun, kempen yang bohong telah merosakkan hasrat pemilihan mereka yang sebenar.

Sesiapa yang terlibat dalam kempen yang sedemikian, dia bukan dalam pengikut umat Nabi SAW.

Kita impikan kerajaan dan pemimpin yang menjamin hak-hak rakyat memilih dengan cara yang adil dan saksama.

Pemberian hak mengundi secara bebas tidak bermakna jika ruang mengetahui apa yang hendak dipilih secara adil tidak bebas dan diberikan secara yang adil juga.

Keadilan media awam amatlah penting dalam proses pilihanraya yang adil. Jika tidak, kita memilih apa yang bukan pilihan kita kerana kita tertipu.

- MALAYSIAKINI

Parti politik perlu atur strategi pujuk pengundi baru

by
Oleh Jeniri Amir
Pensyarah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Golongan pengundi muda dan pengundi baru akan menjadi antara faktor penentu calon dan parti yang bakal memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Tujuh negeri menyaksikan peningkatan ketara dari segi pengundi baru berdaftar. Selangor mengalami peningkatan ketara sebanyak 29.06 peratus dari 1,565,498 pada 2008 kepada 2,020,500 pada tahun lalu. Peningkatan di Johor sebanyak 267,757 orang; Perak (201,117); Sabah sebanyak 161,635; Sarawak 157,204; Kelantan 154,604; dan Kedah seramai 152,262 orang. Mereka adalah antara 2.4 juta pengundi muda dan pengundi baru, yang bakal menentukan keputusan PRU nanti.
Berbanding pada 2008 yang mempunyai sebanyak 10.9 pengundi berdaftar, kali ini sejumlah 13.3 juta telah didaftarkan dan layak mengundi. Jumlah pengundi telah meningkat dari tahun ke tahun. Pada 1959, hanya terdapat 2.17 juta, 1964 sebanyak 2.76 juta dan 3.84 juta pada 1969. Jumlah itu terus meningkat kepada 4.48 juta pada 1974, kemudian mengukuh menjadi 5.06 juta pada 1978, 6.08 juta (1982), 6.96 juta (1986), 7.96 juta (1990), 9.1 juta (1995), 9.6 juta (1999) sebelum mencecah 10.28 juta pada 2004. Peningkatan yang ketara dari 2008 hingga tahun lalu mencerminkan kesedaran rakyat untuk membabitkan diri dalam pengundian. Mereka ini ikut serta dalam menentukan masa depan negara.

Dengan kesedaran politik yang semakin meningkat terutama selepas berlaku tsunami politik 2008, semakin ramai yang mahu mendaftar sebagai pengundi. Mereka bukan saja golongan muda dan baru mencecah usia 21 tahun, tetapi juga mereka yang bersikap endah tak endah selama ini. Selepas menyedari perubahan dalam PRU-12, mereka bagai tersedar daripada mimpi bahawa rupa-rupanya, satu undi begitu bermakna dalam menentukan nasib calon dan parti.

Tindakan pragmatik SPR

Selain itu, tindakan pragmatik yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan membenarkan parti politik mendaftar pengundi juga turut memainkan peranan dalam menyaksikan peningkatan ketara jumlah pengundi.

Persoalannya, parti manakah yang paling berjaya mendaftar undi? Adakah parti komponen Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang?
Perubahan sikap golongan ini merupakan berita baik untuk masa depan politik negara. Peningkatan kesedaran rakyat terutama dalam kalangan generasi muda mencerminkan keinginan mereka untuk ikut serta secara bermakna dalam menentukan mereka yang bakal memimpin negara ini. Golongan muda merupakan golongan yang terpelajar, kritis, malah bersikap sinis dan skeptis terhadap pihak berkuasa. Sebahagian daripada mereka cenderung mencabar dan meragui tindakan kerajaan. Mereka mempunyai keinginan untuk melihat negara dapat terus bergerak ke hadapan. Untuk memahami aspirasi dan kekecewaan mereka, baca saja media baru seperti Facebook.

Program dekati orang muda

Kerajaan BN sedar akan hakikat ini. Justeru, banyak transformasi dan program dilaksanakan untuk mendekati golongan ini. Kerisauan utama golongan muda adalah dari segi ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan perumahan. Mereka ingin memastikan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran, seterusnya berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan. Apabila sudah bekerja, mereka ingin membeli kereta dan rumah. Sebenarnya, semua kerisauan dan keinginan mereka itu cuba ditangani oleh kerajaan BN melalui pelbagai program.

Benarkah sebahagian besar golongan muda dikatakan tidak memihak kepada BN dalam PRU nanti? Jika benar, mengapakah hal ini berlaku?
Bagi golongan muda dan pengundi baru, sebahagian pemimpin politik tidak lagi menjadi suri teladan. Mereka melihat sesetengah pemimpin politik lebih mengutamakan kepentingan diri, keluarga dan anak. Mereka melihat pemimpin politik tidak bersih tetapi mengamalkan rasuah, nepotisme dan kronisme. Sesetengah pemimpin politik dipersepsi sebagai rakus dan membolot kekayaan negeri.

Pemimpin negara sememangnya sedar pengaruh dan kesan kehadiran golongan ini. Justeru, golongan muda dan pengundi baru perlu memanfaatkan sebaik mungkin hak mengundi mereka dalam pilihan raya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa golongan muda adalah penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang. Jadi, parti politik bertanggungjawab untuk mendekati mereka secara bersungguh-sungguh melalui pelbagai mekanisme, strategi dan pendekatan sesuai. Selain menggunakan strategi dan pendekatan tradisional melalui kempen bersemuka dari rumah ke rumah serta melalui kegiatan sukan dan kebudayaan, media baru perlu digunakan dengan aktif.

Hal ini dibuktikan daripada bancian akhbar ini sehingga kelmarin apabila didapati hampir 40 peratus pembaca menyatakan bahawa media baru, iaitu blog, portal dan media sosial berupaya mempengaruhi pengundi berbanding media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio sebanyak 23.8 peratus.

Parti politik perlu menggunakan sayap pemuda mereka untuk memujuk golongan ini agar berbuat sesuatu sebelum terlewat. Jangan hairan, jika sayap pemuda parti bijak memujuk mereka, golongan ini akan akhirnya memihak kepada parti yang membantu mereka dalam pendaftaran.

- BERITA HARIAN

Sektor hartanah kukuh 20 tahun

by
KUALA LUMPUR 9 Dis. 2012 - Sektor hartanah tempatan mempunyai prospek yang sangat kukuh bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang didorong antaranya oleh peningkatan populasi serta pertambahan golongan berpendapatan sederhana tinggi dan kaya.

Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama PropertyGuru, Steve Melhuish berkata, ekonomi Malaysia yang mengukuh serta pelbagai inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor tersebut memberi impak positif yang signifikan.

"Ini merupakan pemacu utama kepada pengukuhan sektor hartanah Malaysia dalam tempoh jangka panjang, lebih ramai rakyat Malaysia yang akan membeli hartanah seiring dengan peningkatan gaya hidup dan sebagai pelaburan masa depan.

"Sejak beberapa tahun lalu, sektor hartanah Malaysia melalui fasa yang baik walaupun terpaksa mengharungi ketidaktentuan ekonomi global, ia hanya mencatat pertumbuhan mendatar dan ia sudah mencukupi di dalam situasi seperti ini," katanya Utusan Malaysia di sini.

Katanya, bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang akan terus mendapat perhatian pembeli dan pelabur kerana lokasinya yang strategik.

Tambah beliau, permintaan terhadap hartanah seperti kondominium dan ruang pejabat akan kekal tinggi di Kuala Lumpur manakala Pulau Pinang lebih diminati oleh golongan pesara.

Pembangunan bandar baharu seperti Iskandar Malaysia yang terletak di Johor Bharu katanya, amat diminati oleh rakyat Singapura dan ekspatriat yang bekerja di republik tersebut kerana faktor lokasi yang berhampiran.

Malah harga rumah yang tinggi di negara tersebut memberi kelebihan kepada Malaysia.

" Penduduk Singapura amat berminat dengan projek-projek di Iskandar Malaysia kerana mereka dapat memiliki rumah yang lebih luas pada harga yang kompetitif.

"Kecenderungan mereka adalah kediaman bertanah berbanding strata kerana ia lebih selesa dan berbeza dengan apa yang ditawarkan di Singapura, " ujar beliau.

Bagaimanapun, Melhuish realistik dengan unjuran pertumbuhan sektor hartanah jangka pendek tempatan, terutama pada suku pertama tahun depan yang terpaksa menerima kesan daripada kesuraman persekitaran ekonomi global.

Beliau meramalkan sektor hartanah tempatan mengalami kelembapan yang menyebabkan kadar sewaan kondominium serta pembukaan ruang pejabat baharu merosot.

Namun begitu, situasi tersebut katanya, adalah bersifat sementara dan dijangka pulih semula seiring dengan pemulihan ekonomi global.

- UTUSAN

Mandat rakyat 2008 berbaki 10 bulan, menghampiri tempoh lima tahun

by
Oleh Hassan Mohd. Noor

TIGA, empat atau lima. Itulah angka yang turut menjadi bualan ketika ini. Adakah sesuatu pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan setelah genap lima tahun selepas sesebuah kerajaan mendapat mandat rakyat?

Atau perlukah ia kekal seperti sekarang iaitu diadakan pada bila-bila masa menjelang genap lima tahun mandat yang diberikan rakyat kepada sesebuah kerajaan? Mungkin selepas tiga atau empat tahun. Isu ini tiba-tiba muncul selepas banyak ramalan atau telahan pelbagai pihak mengenai tarikh PRU Ke-13 meleset dan ramai yang ‘membuang’ masa mencongak bilakah tarikh keramat itu akan datang.

Dalam keadaan tertentu, PRU perlu diadakan walaupun tempoh pembubaran sebenarnya masih jauh. Mungkin ketika kedudukan sesebuah kerajaan dalam keadaan goyah, tidak cukup stabil untuk memerintah dengan baik.

Bagaimanapun jika diselak sejarah PRU yang lalu, tempoh paling awal pembubaran Dewan Rakyat tidak sampai dua tahun, sekitar 17 bulan sahaja. Maknanya PRU diadakan setelah mandat sesuatu penggal Parlimen melepasi usia tiga tahun. Kini setelah Jun berakhir, tidak ada sebarang petanda PRU. Kini timbul pula ramalan yang dikaitkan dengan pembubaran pada bulan September. Maka tercetuslah isu jika PRU berlangsung pada bulan September atau Oktober, Pas mahu anggota partinya menangguhkan pemergian mereka ke Mekah. Pas mahu kerajaan menangguhkan PRU pada musim haji. Seolah-olah pada musim haji, hanya orang Pas yang ke Mekah, tidak ada orang UMNO atau Barisan Nasional (BN). Timbul juga ura-ura, PRU hanya akan berlangsung ketika ia benar-benar menghampiri berakhirnya ‘idah’ menjelang 28 April 2013. Mungkin jika tidak diadakan tahun ini, ia dijangka berlangsung pada Mac 2013. Kita selak kembali dua kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak sebelum ini mengenai pilihan raya yang ada kaitan dengan ‘angka’ atau tempoh mandat ini.

Pertama, pada 22 Jun selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PRU hendak diadakan selepas tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi. Ketika ini tiada apa-apa yang menyekat kerajaan untuk mengadakan PRU lebih awal kerana Perlembagaan membenarkan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen tetapi tidak lewat dari tempoh lima tahun.

Kedua, pada 29 Jun, selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Beliau berkata, tidak timbul soal BN kurang yakin menghadapi PRU berikutan dakwaan pembangkang yang beliau sengaja melambatkan tarikh itu. Katanya BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk tempoh lima tahun bagi memperlihatkan kemampuan memimpin dan mentadbir negara serta membawa kemajuan untuk membela untung nasib rakyat. Kalau PRU terlalu awal, bererti memendekkan tempoh yang rakyat telah berikan.

Maka teka-teki mengenai tarikh PRU ini tentunya bukan disebabkan Najib belum mendapat ilham atau bukan juga BN tidak yakin. Di sebalik faktor yang diberikan oleh Najib, sudah tentu BN mahu memenuhi hasrat pembangkang yang memerintah beberapa negeri yang sebelum ini menegaskan tidak akan mengadakan PRU lebih awal. Ada negeri di bawah pakatan 3P (PKR-Pas-DAP) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan lebih awal. BN juga tentunya mahu mencipta keputusan 14-0 iaitu menang di semua negeri termasuk mendapat mandat rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (serta Sarawak yang sudah mengadakan PRU DUN).

Najib juga tentunya mengambil kira wang rakyat yang akan digunakan setelah ada hasrat pakatan 3P tidak akan membubarkan beberapa negeri yang dimenangi pada PRU lalu.

Jika diselak kembali kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 November tahun lalu, kira-kira RM40 juta akan dibazirkan jika kerajaan PKR Selangor berkeras mahu mengadakan pilihan raya berasingan. Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, walaupun hak kerajaan negeri membubarkan DUN tetapi banyak perkara perlu dilihat termasuk kepentingan rakyat, pembaziran wang dan tenaga kerja yang bertambah apabila PRU berasingan diadakan.

Justeru, Najib turut mengambil kira untuk menyelamatkan wang rakyat daripada mengalir kepada tujuan yang sepatutnya boleh dielakkan.

Dengan melewatkan PRU sehingga menghampiri tempoh akhir, ia juga membantu kerajaan negeri di bawah pakatan 3P berpeluang menunaikan janji yang belum ditepati selepas menabur janji pada kempen atau manifesto PRU lalu. Menjelang pembubaran Dewan Rakyat atau DUN, biar sedikit atau sekadar ada tetapi apa yang penting bagi mereka ialah menunaikan janji. Sama ada ia sesuatu yang menyeluruh atau sekadar memenuhi kehendak kroni/penyokong tegar mereka, eloklah pengundi yang menentukan pada PRU akan datang.

Mungkin jika sebelum ini kata-kata jika hari ini menang pilihan raya, esok juga ‘itu dan ini’ dilakukan akan bertukar kepada jika esok pilihan raya hari ini juga janji 2008 dilaksanakan. Tidak mustahil, semua janji akan ditunaikan pada saat-saat akhir walaupun risikonya amat besar.

Dengan memasuki Julai, bulan yang akan bermulanya puasa Ramadan kemudian Hari Raya Aidilfitri, kita sebenarnya semakin menghampiri usia lima tahun penggal Dewan Rakyat dan DUN selepas PRU lalu. Kebanyakan usia penggal DUN sudah pun genap empat tahun pada bulan April lalu manakala Terengganu, Kedah, Pahang dan Selangor mencapai tempoh itu pada Mei lalu. Maka tidak ada sebab bagi kerajaan negeri di bawah pakatan 3P mahu mengadakan PRU DUN secara berasingan.

Dan menyelak kembali tempoh mandat pentadbiran kerajaan sebelum ini, ternyata tidak ada yang benar-benar mencukupi lima tahun. Paling hampir pun pada 1969 apabila PRU diadakan kira-kira dua bulan sebelum tempohnya berakhir. Pada 1974, 1978 dan 1982, PRU diadakan kira-kira 17 bulan lebih awal daripada tempoh mandat berakhir.

Pada 1999, mandat yang diperoleh pada 1995 sepatutnya berakhir pada 6 Jun 2000 tetapi Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 November 1999, kira-kira enam bulan lebih awal. Begitu juga pada 2004, mandat selepas PRU Ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999 sepatutnya berakhir 20 Disember 2004 tetapi dibubarkan pada 4 Mac 2004 untuk membolehkan PRU Ke-11 diadakan. Manakala mandat yang diperoleh pada PRU Ke-11 sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2009 tetapi PRU diadakan 8 Mac 2008 selepas dibubarkan pada 13 Februari 2008.

Begitulah bagaimana mandat sesuatu PRU berakhir, tanpa mencapai tempoh lima tahun tetapi melepasi tiga tahun iaitu tempoh yang tidak membenarkan sebarang pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan.

- UTUSAN

Mana 'Talking Quran' kita? - Dr MAZA

by
Oleh PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford.

Saya sering juga menghadiri program-program yang dianjurkan oleh pelbagai gereja di persekitaran tempat tinggal saya di Bandar Oxford ini. Saya ingin melihat dan mendengar cara mereka.

Ternyata gereja itu telah jauh berubah dari apa yang tercatat dalam sejarah mereka. Dahulunya, hukuman dan penyeksaan ke atas mereka yang dianggap tidak sealiran menjadi amalan gereja.

Betapa ramai yang dibakar hidup-hidup, diseksa dengan dengan pelbagai seksaan yang kejam, dimalukan dan pelbagai lagi penindasan. Kesemuanya atas nama Jesus.

Bukan sedikit Yahudi dan Muslim yang dibunuh di Eropah dengan cara yang begitu dahsyat. Bahkan bukan sedikit golongan pembaharuan Kristian sendiri yang berbeza mazhab seperti Protestan yang dibakar hidup-hidup.

Bumi Oxford turut menyaksikan kekejaman itu dalam sejarahnya. Betapa ramai juga saintis yang dibakar dan dibunuh. Kesemuanya atas nama Tuhan.

Kononnya mereka menghukum penentang Tuhan, ataupun yang berbeza dengan Tuhan yang ditafsirkan oleh mereka.

Berubah

Hari ini, pendekatan gereja sudah jauh berubah. Sangat lunak. Sekularisasi yang memisahkan agama dari kuasa politik telah membawa gereja kepada keadaan yang lebih tabii dan rasional.

Bicaranya penuh dengan keterbukaan dan kasih sayang. Mereka sering mengulangi ayat bahawa kita hanya ingin berkongsi pendapat, dan menyebarkan mesej yang baik. Kita tidak ingin memaksa orang lain menjadi kristian tetapi ingin berkongsi dengan mereka.

Bertukar pandangan tentang Tuhan dan berkongsi isu-isu kemanusiaan. Di Gereja St Aldates diperuntukkan pagi Hari Selasa ‘Prayer for the Muslim World'.

Juga, banyak pula aktiviti gereja yang menarik untuk pelbagai pihak. Kelas tarian, kelas bahasa Inggeris, sejarah, lawatan dan perjumpaan mingguan. Ramai orang dari pelbagai agama hadir untuk bersosial.

Tiada penekanan untuk menerima agama Kristian, sebaliknya sekadar memberikan khidmat. Ramai mereka yang mengendalikan program itu sendiri tidak mendalam dari segi ilmu teologi itu sendiri.

Banyak persoalan yang ditanya, sukar gagal dijawab dengan jawapan yang memuaskan. Namun, walaupun mereka tidak menawan dengan hujah, tetapi dengan menambat hati dan jiwa.

Banyak aktiviti kebajikan yang mereka lakukan di seluruh dunia menarik perhatian manusia.

Saya melihat ramai sekali orang-orang Cina yang terlibat dengan pelbagai aktiviti gereja di sini dan di seluruh UK. Ramai yang menjadi petugas dan pendakwah. Mereka sangat aktif.

Bahkan ada gereja yang memberikan tumpuan khas untuk mereka. Saya percaya bahawa ajaran Kristian akan mendapat tempat di hati rakyat China. Bahkan tidak mustahil satu hari China akan menjadi negara yang terbesar penduduk Kristiannya.

Dalam adat dunia, sesiapa yang bekerja dia mendapat hasilnya. Demikianlah pihak gereja. Mereka amat bijak apabila melihat perkembangan China hari ini.

Mereka mengambil peluang yang ada. Jika masa depan China seperti yang diramalkan, sekali lagi Kristian berada di puncak.

Malang

Malang sekali umat Islam. Agama yang dianugerahkan Allah sebagai rahmat untuk sekalian alam tidak disebarkan dengan kesungguhan. Jika disebarkan pun, ramai yang menggunakan pendekatan yang salah.

Orang Islam bukan tidak ada wang. Namun mereka telah bazirkan kepada perkara-perkara yang tidak kena tempatnya. Pergilah lihat kepada surau-surau yang dibina oleh jabatan-jabatan agama untuk Orang Asli di Malaysia, sebahagiannya menjadi tempat binatang-binatang bersolat.

Tiada petugas yang menjaga. Bukan sahaja kebajikan Orang Asli, tetapi surau yang dibelanjakan oleh wang zakat itu pun dibiarkan begitu sahaja. Jangan tanya kosnya yang mungkin melebihi harga patut.

Namun jika kita ke kawasan pedalaman Thailand umpamanya, kita akan dapati ramai pendakwah muda Kristian yang berasal dari Barat yang sanggup tinggal beberapa tahun untuk menyebarkan agama mereka.

Saya pernah melihat mereka ketika suatu masa dahulu saya menyertai aktiviti dakwah kawasan pedalaman Thailand.

Akal Dan Jiwa

Islam agama yang berbicara kepada akal dan jiwa manusia. Nas-nas Islam berhujah dengan akal manusia, dan dalam masa yang sama memujuk mereka. Inilah asas pendekatan dakwah Islam.

Islam tidak pernah kenal kegiatan ganas dalam dakwah, sama ada pada tindakan ataupun perkataan yang jelek. Allah mengarahkan Muslim. dalam firman-Nya (maksudnya):

"Dan berbicaralah kepada manusia dengan baik" (Surah al-Baqarah 83).

Ayat ini menyatakan "berbicaralah kepada manusia" bukan sekadar berbicara kepada orang Muslim sahaja.

Dalam Tafsir at-Tabari, ketika mengulas ayat ini dinukilkan kata-kata Hasan al-Basri: "Maksud ayat ini; perkataan yang lunak, adab yang baik, akhlak yang mulia."

Banyak nas al-Quran dan hadis yang mengajar kita untuk melakukan pendekatan yang lunak dalam menyeru orang lain kepada kebenaran. Bukan melalui paksaan. Bukan dengan kekerasan. Bukan dengan cercaan.

Firman Allah (maksudnya): "Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin (polytheist) meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)." (Surah at-Taubah, ayat 6).

Dalam ayat di atas golongan bukan Islam yang meminta bantuan dilindungi dan dihantar ke tempat yang aman sekalipun mereka enggan menerima Islam setelah mendengar hujah yang benar.

Dalam Surah al-Nisa, ayat 36, Allah berfirman (maksudnya): "Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri".

Kata at-Tabari: "Maksud al-jar bil-janb dalam ayat ini ialah jiran yang jauh dan asing. Ia merangkumi Muslim, musyrik (polytheist) Yahudi dan Kristian."

Mazhab yang empat bersepakat bahawa harus kita Muslim mengucapkan takziah kepada non-Muslim.

Ibn Qudamah dalam al-Mughni menyebut bahawa antara ucapan Muslim apabila memberikan takziah kepada Non-muslim ialah:
"Moga Allah memberikan ganti musibah yang menimpamu dengan yang terbaik dalam kalangan keluargamu."

Politik

Hubungan indah yang Islam gariskan antara Muslim dan Non-Muslim telah bertukar menjadi isu politik dalam banyak keadaan.

Ajaran-ajaran agama ini yang dibuat oleh sesetengah pihak hanya memilih nas-nas yang ungkapkan oleh al-Quran dan hadis dalam suasana peperangan tapi cuba dilaksanakan dalam suasana aman dan manusia mencapai tahap perubahan yang seperti ini.

Sedangkan nas semasa aman dan nas semasa perang tidak sama. Hasilnya, ramai bukan Muslim gagal melihat wajah Islam yang asal. Allah yang Maha Rahmat itu sering dilukis dalam gambaran Allah yang maha bengis.

Jika gereja berubah daripada negatif kepada positif, kita juga patut kepada kepada positif yang jelas termaktub dalam nas-nas kita.

Isu hubungan Muslim dan Non-muslim kadang-kala dimainkan oleh mereka yang berkepentingan politik.

Kerja Muslim sepatutnya berdakwah dan berdiolag dengan cara yang baik, bertukar menjadi bercoleteh dan merepek dalam perkara yang selekeh.

Kita asyik merungut dakwah orang, kita tidak buat dakwah kita. Kita bising ‘Talking Bible' orang lain, kita tidak sediakan pun ‘Talking Quran' kita.

Hari ini dunia persaingan. Pasaran dakwah dan pemikiran sangat terbuka. Ia boleh sampai kepada manusia melalui pelbagai cara. Jika kita hendak menawan manusia, tawanlah akal dan jiwanya.

Maka, nanti ajaran ini akan meresap ke dalam dirinya. Namun, sekarang berleter sebab orang berdakwah ataupun berkempen, tidak akan memberi apa-apa kekuatan untuk orang menerima kita.

- MALAYSIAKINI

Kriteria Personaliti calon pilihanraya

by
Oleh Kisho Kumari Sucedaram

Berwajah menarik, sentiasa berpakaian kemas dan tampan sememangnya menjadi keutamaan bagi kebanyakan orang, terutamanya yang bergelar pemimpin.

Namun sejauh manakah semua itu diambil kira untuk meraih undi dalam pilihan raya? Sehingga kini, belum ada kajian yang dijalankan tentang perkara ini namun topik ini sesekali muncul tatkala pilihan raya umum semakin menghampiri.

Timbul perdebatan baru-baru ini ketika parti-parti politik sedang sibuk memperkatakan tentang pemilihan bakal calon bagi pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan sedikit masa lagi. Patutkah rupa paras dijadikan antara kriteria dalam menentukan calon boleh menang?

Baru-baru ini Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel berkata menjadi satu kelebihan bagi parti itu untuk menawarkan calon yang memiliki rupa paras dengan harapan mereka dapat menarik minat pengundi untuk memilih parti itu.

Palanivel, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata selain itu, yang pastinya ahli politik mesti memiliki nilai penting yang lain misalnya kepimpinan yang baik, bebas daripada skandal dan sangat dihormati dalam lingkungan parti serta masyarakat India.

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian berkata dengan memiliki rupa paras yang elok, setidak-tidaknya akan menjadi ciri nilai tambah dalam meraih populariti, namun tarikan itu bukanlah menjadi keutamaan semata-mata.

Beliau berkata kriteria lain yang lebih relevan bagi pengundi dalam menentukan wakil rakyat pilihan mereka adalah kejujuran, bakat, kecerdasan, baik hati dan penyayang terhadap pengundi di kawasannya.

"Mungkin ahli politik yang kacak dan cantik lebih menarik perhatian berbanding pengundi di negara lain misalnya Amerika Syarikat, dengan Presiden Barack Obama yang tinggi, bergaya dan menarik orangnya. Satu lagi contoh ialah Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra yang cantik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau percaya bagi Malaysia, pengundi lebih cenderung dan berharap untuk memberi sokongan kepada wakil atau parti politik yang bertanggungjawab yang dapat memberi khidmat terbaik berbanding dengan mereka yang hanya bersandarkan kepada rupa paras menarik sahaja.

"Apa gunanya jika kesudahannya nanti wakil-wakil rakyat yang berwajah menarik itu tidak dapat menunaikan janji dan memenuhi aspirasi rakyat? Tidak apa jika beliau memiliki rupa paras elok selain dapat pula menyentuh hati nurani rakyat," katanya.

Sementara itu, bekas orang kuat MIC, DP Vijandran berkata rupa paras fizikal ahli-ahli politik hendaklah dilihat dari segi karisma dan kepimpinan mereka.

"Memang benar, pada peringkat tertentu rupa paras yang menarik memang sering dikagumi seperti Presiden Obama. Walhal, karisma memain peranan yang penting. Seseorang ahli politik itu perlu merupakan gandingan sifat intelektual, integriti dan iltizam berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Mengambil contoh Tan Sri Lee Lam Thye, seorang bekas pemimpin DAP yang meninggalkan partinya, Vijandran berkata Lee memiliki semua nilai yang diharapkan oleh rakyat.

"Beliau cekap mengusahakan perdamaian, sentiasa mendekati rakyat dan menjadi pemimpin yang ternama. Beliau malah terus memberi khidmat sosial kepada semua orang. Inilah sepatutnya ada pada seseorang pemimpin. Semuanya bergantung pada gambaran yang kita tunjukkan," katanya.

Bagi pemandu bas sekolah Mohd Kamarul Ishak, 50, dari Tapah, Perak, rupa paras yang menarik pastinya memberi tanggapan awal yang baik dan rakyat mudah tertarik untuk lebih mengenali seseorang itu, tetapi penilaian rakyat akan berdasarkan lebih kepada khidmat penyampaiannya.

"Sekiranya beliau tidak dapat memenuhi keperluan kami di sini, saya pasti seorang pun tidak akan mengundinya dalam pilihan raya umum yang akan datang. Beliau mestilah baik hati dan penyayang," katanya.

Bagi suri rumah Fatimah Yahya, dari Klang, rupa paras yang baik dapat membantu dalam memberi tanggapan pertama namun hanya bagi tempoh yang singkat memandangkan tanggapan sebenar akan terbentuk hasil daripada usaha, masa dan sumbangan khidmat melebihi kepentingan diri yang ditunjukkan oleh wakil rakyat tersebut.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna pemimpin yang kacak dan cantik tidak dapat memenangi hati rakyat, jika pada masa sama mereka juga ikhlas, bekerja keras dan dapat memahami kawasan pilihan rayanya dengan baik," katanya.

Ahli psikologi, Prof Madya Dr Arifin Zainal menyetujui kebanyakan pendapat yang disuarakan, sambil berkata rupa paras memainkan peranan tertentu terutamanya dalam membentuk persepsi dan kesediaan masyarakat untuk memberi ruang supaya berasa lebih selesa bersama pemimpin mereka.

"Faktor rupa paras sentiasa menarik perhatian rakyat dan mereka akan berasakan bahawa seseorang wakil rakyat itu dari satu segi akan lebih mudah untuk didekati," kata beliau yang bertugas sebagai Dekan Fakulti Sains Gunaan Sosial di Universiti Terbuka Malaysia.

Bagaimanapun, Arifin berkata ini tidak bermakna mempunyai rupa paras menarik boleh mengatasi kualiti dalaman yang perlu ada pada seseorang pemimpin apabila yang lebih mustahak adalah untuk mewujudkan tanggapan baik bagi jangka panjang di kalangan rakyat.

"Mereka juga seharusnya memberi tanggapan yang baik di hati orang ramai dengan menjaga kebajikan mereka terus menerus dan yang pastinya dapat memuaskan hati rakyat pada setiap masa. Wakil rakyat yang dipilih seharusnya menjadi satu penghormatan dan kegembiraan rakyat," kata Arifin.

- BERNAMA

Pelajar sains di persimpangan?

by
Oleh AZIZ BASIR,
Kuala Lumpur

SAYA terpanggil untuk memberikan komen berhubung isu mengenai peratusan kekurangan pelajar sains yang semakin amat kritikal ini. Sebenarnya isu ini telah lama berlaku cuma sekarang menjadi semakin teruk dan perlu ditangani segera oleh kerajaan.

Perlu ditegaskan jika kita ingin menuju negara yang maju dan dihormati ia mestilah mempunyai tenaga manusia atau rakyatnya yang berpendidikan sains dan teknologi secara menyeluruh. Sebenarnya kita kena lihat dari pelbagai aspek untuk mencari sebab dan puncanya.

Punca yang sering kita berikan ialah kerana bidang atau jurusan sains ini cukup susah dan mencabar kepada pelajar, baik semasa di peringkat sekolah mahupun di peringkat universiti.

Namun statistik tersebut perlu tepat, sama ada bidang yang dimaksudkan untuk sains tulen atau sains gunaan. Pelajar kurang berminat adalah bidang sains tulen berbanding sains gunaan.

Bidang sains gunaan seperti sains kesihatan dan kejuruteraan memang tiada masalah kerana bidang ini cukup diminati dan mendapat permintaan tinggi daripada pelajar aliran sains atau teknik.

Bidang-bidang sains tulen seperti matematik, fizik, kimia dan biologi memang semakin kurang diminati disebabkan peluang tawaran di pasaran kerja begitu kurang sedangkan pelajarannya sukar.

Kerana itu ada pelajar lulusan sains tulen ini akan mengikuti Kursus PerguruanLepasan Ijazah (KPLI) di Institut Perguruan Guru (IPG) selama setahun untuk bertukar menjadi seorang guru, bukan mempraktikkan dirinya sebagai seorang pegawai sains, penyelidik atau saintis. Ini pun satu masalah dan memberi kesan kepada kekurangan pegawai sains tulen dalam industri sains negara.

Kita lihat seolah-olah pelajar jurusan sains berada dalam persimpangan dan dilema. Kerana itu hanya mereka yang cukup minat dan cintakan jurusan ini akan pasti memilih kursus perubatan, farmasi dan kejuruteraan sebagai kursus yang paling popular.

Mereka inilah pelajar yang biasanya cukup cemerlang dan dianggap berani untuk memilih kursus yang lebih mencabar, sukar dan lebih mahal kosnya.

Jika lulus, mereka akan menjadi seorang doktor atau jurutera yang dianggap lebih berprestij dan hebat di mata masyarakat. Ramai juga yang gagal dan bertukar kursus.

Terbukti mereka memang pintar kerana mampu lulus cemerlang dalam kursus lain sekalipun pelajar itu gagal dalam sains sebelumnya. Lagi pun kedua-dua bidang ini bertaraf lebih profesional daripada jurusan sains tulen tadi.

Kerana itu saya ingin bertanya bidang sains mana yang dimaksudkan menjadi kritikal kepada negara? Hakikatnya pelajar ini masih ramai belajar bidang sains ketika di peringkat sekolah tetapi mula mengurang atau bertukar haluan bila belajar di universiti.

Ini masalah yang berbangkit dan perlu ditangani oleh kerajaan. Lihat sahaja iklan akhbar dan beberapa pameran kerjaya. Kebanyakan jawatan kosong lebih kepada bidang kejuruteraan, perakaunan, perniagaan, pemasaran dan perubatan. Jarang yang hendakkan mereka daripada aliran sains tulen.

Bagi saya selaku bekas pelajar aliran sains tulen dan kejuruteraan, saya rasa kerajaan perlu memberikan sesuatu yang lebih besar dan bermakna kepada pelajar sains ini. Sebagai contoh pelajar sains (tulen atau gunaan) patut diberikan kemudahan biasiswa yang lebih besar dan banyak dari pelajar jurusan lain.

Bagi yang ingin memohon pinjaman PTPTN pula kita harapkan agar mereka daripada jurusan sains diberikan lebih merit dan terutamanya tanpa mengira latar belakang keluarga mereka. Dengan ini pelajar akan lebih bersemangat dan suka untuk memilih bidang sains kerana adanya keistimewaan dan penghargaan seperti ini.

- UTUSAN

Integriti dan generasi muda

by
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

SAMBUTAN Hari Integriti Nasional 2011 yang diamanahkan kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) adalah bertemakan Agenda Integriti Nasional: Peranan Generasi Muda.

Dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial tanah air kini; isu integriti merupakan antara elemen utama yang sering menjadi tumpuan oleh kesemua lapisan anggota masyarakat termasuk kepimpinan kerajaan, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau pernah menyatakan bahawa untuk memulihkan keyakinan ke atas kerajaan; sikap telus, bercakap benar dan keterbukaan menjadi agenda beliau.

Ini kerana banyak kepimpinan mahupun empayar besar dunia dirobek oleh isu integriti yang tidak kukuh bukan sahaja antara penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar sesuatu dasar tetapi lebih daripada itu, ia ketara dalam kalangan pemimpin dan rakyat terutamanya generasi muda yang seolah-olah mewujudkan satu lompong besar atau jurang komunikasi sesama mereka mengenai peri pentingnya isu ini.

Tanpa ada integriti, tidak akan berlaku sebarang transformasi nasional termasuk ke atas Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Pelan Transformasi Ekonomi (PTE), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Ke-10 (RM Ke-10) dan Bajet 2012 yang turut mempengaruhi kependudukan dan hubungan antara etnik di negara ini.

Titik keseimbangan 'masa depan bersama' bergantung kepada kekuatan setiap individu termasuk 'generasi muda'. Sudah pasti, generasi muda dalam konteks hari ini menjadi 'ejen transformasi' yang akan memain peranan serta mempunyai fungsi tertentu dalam memberi maksud dan makna kepada integriti. Ia adalah tanggungjawab bersama.

Generasi muda mahu difahami dan sudah pasti yang mudah memahami mereka adalah pemimpin muda sendiri. Generasi muda menjadi benteng kekuatan negara dan harus terus diiktiraf, dihormati dan diberikan penghargaan sewajarnya atas kedudukan tersebut kerana tanpa sumbangan mereka, negara ini tidak akan kemana-mana.

Integriti generasi muda perlu diperhebatkan secara pembudayaan berterusan. Integriti berpaksikan kepada nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, kebertanggungjawaban, telus, cekap dan bijaksana. Ia bermula dalam diri setiap individu yang subur dalam hati, minda dan emosi yang memberi roh dan jasadnya kepada karakter.

Melihat kepada kepentingan integriti, Pelan Integriti Nasional (PIN) dilaksana pada tahun 2004 dan pendefinisian integriti individu dirujuk kepada - 'keselarasan antara apa yang dikata dan dikota, antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang, kepentingan diri dan umum'.

Isunya adalah sikap dan mindset generasi muda; sejauh manakah mereka merungkai, meneliti dan menggarap nilai integriti sebagai sebahagian amalan kehidupan? Adakah proses modenisasi, industrilisasi dan pertumbuhan dan pembangunan negara seiring dengan nilai integriti generasi hari ini?

Sebagai ejen transformasi yang menyumbang kepada perkembangan negara bangsa, adakah generasi hari ini proaktif sebagai penyuntik, penjana ataupun pemangkin kepada pembudayaan integriti?

Isunya juga tertumpu kepada faktor dalaman dan luaran; bagaimanakah nilai kendiri dipertingkatkan dalam mencari keselarasan dengan faktor luaran yang semakin mendesak terutama keinginan bersifat materialistik dan dunia individualistik?

Bagaimana pula peluang yang diberikan kepada generasi ini; adakah memadai untuk mereka memperlihatkan elemen kreatif, inovatif dan melahirkan nilai kualiti yang tinggi untuk menyalurkan maklumat integriti kepada umum dengan pendekatan sendiri?

Sejauh manakah generasi muda dibenar untuk terbabit dalam 'pengisian' ke atas isu integriti walhal sering dipertanggungjawabkan dengan kepincangan struktur sosial termasuk isu mat rempit, bohsia, hamil luar nikah, seks bebas, keruntuhan akhlak, penagihan dadah, jenayah remaja, pembunuhan, kecurian, gangsterisme.

Cabaran besar hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan integriti dalam diri generasi muda ini melalui aktiviti, program serta diri masing-masing. Pembudayaan integriti memerlukan komitmen dan tanggungjawab besar dari segala lapisan masyarakat.

Begitu juga untuk menangani persepsi ke atas generasi muda yang dilabel sebagai bersikap kompetitif dalam era individualistik dan materialistik. Hari ini stereotaip 5C sudah berubah menjadi 5B dalam kalangan generasi muda.

Jika dahulu mereka dikaitkan dengan generasi Cash, Car, Credit Card, Condominium dan ahli Country Club; hari ini ia berubah kepada Billions, Bunglow, Benz, Brain dan Body.

Saya khuatir cabaran akan datang akan berpusat kepada pertembungan isu kelas; kemelut inter-etnik yang cuba ditangani kerajaan akan menjadi pertembungan inter dan intra kelas yang akhirnya membawa kepada gejala sosial kerana sukar berhadapan dengan persaingan mempertingkatkan gaya dan kualiti kehidupan semasa.

Pengumuman Laporan Audit Negara baru-baru ini menunjukkan bagaimana usaha berterusan merendahkan nilai integriti, misalnya nilai teropong Bushnell Binocular yang harga asal adalah RM2,827 boleh berubah kepada 56,350; peningkatan 1,893%.

Generasi muda memerhati tingkah laku seperti ini dan jika golongan lain tidak mengamalkan integriti sebenar, wajarkah generasi ini dikatakan memiliki motivasi rendah ke atas integriti, termasuk integriti politik dalam kalangan pembesar politik negara?

Sebagai ejen transformasi negara, maka penguasaan dan pemahaman ke atas isu integriti sangat penting. Perlu ada kesedaran dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Dalam mahu keperluan dan kemahuan dipenuhi, mereka juga perlu mengubah mindset atau pemikiran agar seiring dengan norma pembangunan pendidikan negara.

Cabaran ke atas persaingan kelas perlu diteliti secara menyeluruh terutama jurang antara etnik; jurang dalam etnik; jurang bandar dan luar bandar yang turut menyumbang kepada darjah dalam dan luaran integriti seseorang.

Di peringkat sistem penyampaian dan tadbir-urus, perlu ada rombakan cara kerja. Kod etika dan amalan baik perlu diusahakan secara terancang; diperkuatkan dengan latihan dan didikan berterusan yang boleh diterjemah dalam bentuk praktis dan amalan.

Pemantauan berterusan akan membolehkan jati diri diawasi dan sentiasa diperiksa diri sendiri agar tidak bertindak di luar kawalan.

Yang penting, generasi muda harus disediakan saluran untuk dilibat sama dalam proses penjanaan nilai integriti, barangkali ada elemen konsultansi yang boleh diperkasa agar ia dimanfaat untuk meneruskan benteng kesinambungan kepimpinan kepada golongan yang berwibawa dan mampu melahirkan legitimasi politik.

Transformasi integriti dalam kalangan generasi muda akan berlaku dengan lebih besar jika ada mindset positif dan perkongsian ilmu mengenainya dengan pelbagai kumpulan dan ejen sosialisasi lain seperti keluarga, media, guru, rakan sebaya, pemimpin dan diri sendiri mengambil iktibar untuk mengetahuinya.

Sumbangan dalam menyulam kegemilangan ketamadunan negara bangsa dari generasi muda tidak boleh dinafikan. Mereka sebenarnya boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara bangsa.

Segala inisiatif dan intensif kerajaan hanya akan berjaya sepenuhnya dengan kehadiran golongan muda untuk turut memikul beban tersebut untuk memastikan output dan outcome yang positif dalam komitmen bersifat resiprokal kerana kerajaan tidak boleh keseorangan untuk merealisasikan kesemua gagasan besar di bawah kepimpinan hari ini untuk kepentingan generasi muda sebenarnya.

Golongan muda adalah tulang belakang negara ini yang harus diiktiraf, diberikan penghormatan dan penghargaan sewajarnya agar dapat memobilisasi rasa tanggungjawab holistik untuk memperkasakan agenda integriti demi mempertahankan kehidupan berukun dan kesejahteraan yang perlu diwarisi dari generasi ke generasi.

- UTUSAN

Keselamatan negara tugas semua

by
Oleh Datuk Ibrahim Ali
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

Berkait rapat dengan soal ekonomi, dasar-dasar afirmatif dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan adalah soal kemajuan pendidikan dan biasiswa bagi anak- anak Melayu dan Bumiputera.

Dalam aspek ini, terlebih dulu Perkasa mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan fokus kepada kebajikan para pelajar tanah air dalam Belanjawan 2012.

Seluruh program kewangan membabitkan pelajar dan pendidikan dalam belanjawan ini membuktikan bahawa pemerintah cukup prihatin terhadap masa depan anak- anak Malaysia semua bangsa.

Dalam pada itu, Perkasa akan terus menyuarakan hasrat dan kehendak orang Melayu dan Bumiputera mengenai biasiswa yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam berdasarkan semangat dan roh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut sejarahnya, biasiswa ini dianugerahkan mengikut kuota 90 peratus Melayu serta Bumiputera dan 10 peratus bukan Melayu. Kemudiannya, kuota ini bertukar kepada kadar 80:20.

Pada hari ini, kuotanya adalah 51:49. Penurunan kadar kuota bagi pelajar Melayu dan Bumiputera ini adalah penghakisan kepada hak mereka yang dijamin oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu, penghakisan kuota biasiswa ini wajar dikaji semula. Hakikatnya demikian "kerana daripada 40 peratus jumlah penduduk miskin" di Malaysia "80 peratus daripadanya adalah kaum Melayu dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan."

Maka, oleh kerana pendidikan adalah satu-satunya mekanisme untuk meningkatkan taraf sosioekonomi Melayu dan Bumiputera, soal penghakisan kuota biasiswa ini perlulah dipandang serius dan diatasi dengan sewajar-wajarnya.

Tetapi, jika pemerintah berani bertindak radikal, ambillah pandangan saya sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2011. Dalam ucapan tersebut, saya mencadangkan supaya pemerintah memansuhkan pemberian dan tajaan biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam kepada para pelajar yang melanjutkan pelajaran ke seberang laut. Sebagai gantinya, mereka yang berhasrat belajar di luar negara hanya perlu diberikan bantuan menerusi dana pinjaman.

Dengan cara ini, dana sejumlah RM1.4 bilion yang dikhaskan untuk pendidikan di negara asing ini boleh digunakan untuk menaja lebih ramai pelajar mengaji di universiti-universiti tempatan.

Ini kerana IPTA dan IPTS di Malaysia yang tumbuh seperti cendawan, kini mempunyai mutu pendidikan serta tahap kecemerlangan akademik yang membanggakan. Saya membuat cadangan ini kerana penajaan pelajar ke seberang laut melibatkan jumlah wang besar.

Contohnya, pemerintah terpaksa membiayai sejumlah RM 1.2 juta bagi seorang pelajar di bidang perubatan di Britain. Jumlah ini boleh menaja tiga orang pelajar jurusan perubatan di dalam negara.

Selain itu, pemerintah juga kerugian jika pelajar ini enggan pulang ke tanah air atas sebab-sebab tertentu. Lantaran itu, pertimbangkanlah cadangan ini secara serius.

Seterusnya, Perkasa juga mencadangkan supaya seluruh lapisan pelajar Malaysia, dari sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi, diberikan pendedahan mengenai sejarah negara dan Perlembagaan Persekutuan dengan secukup-cukupnya.

Pendedahan ini perlu untuk membolehkan generasi muda Malaysia mengenal, menginsafi serta menghayati sejarah negara kita yang majmuk, dan pada waktu yang sama, mereka menjadi warganegara yang sentiasa memelihara keluhuran Perlembagaan negara.

Selain itu, Perkasa juga mengingatkan pemerintah bahawa tuntutan pihak tertentu agar kelulusan sijil UEC boleh diterima sebagai kelulusan untuk memasuki IPTA di Malaysia hendaklah ditolak dan tidak perlu dilayani. Ini kerana ia bertentangan dengan dasar pendidikan negara.

Sehubungan dengan ini, Perkasa juga mengulangi pendiriannya menyokong pemansuhan PPSMI supaya mata pelajaran Sains dan Matematik terus diajar kepada pelajar hanya dalam Bahasa Melayu.

Namun demikian, oleh kerana Perkasa tidak menafikan pentingnya rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, pemerintah perlulah meningkatkan penguasaan bahasa ini menerusi kaedah lain, termasuk memanjangkan waktu pembelajaran untuk mata pelajaran ini.

Perkasa menggesa pemerintah menambahkan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat yang mendaftar dengan Kementerian Pelajaran dan juga Maktab Rendah Sains Mara. Ini kerana jumlah RM100 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2012 kepada Sekolah Agama Rakyat dan MRSM ini adalah kecil dan tidak mencukupi.

Apa yang saya huraikan ini, segala-galanya adalah menjurus kepada soal keselamatan rakyat, keselamatan pemerintah, keselamatan ekonomi dan akhirnya, keselamatan negara.

Ini kerana konsep keselamatan mutakhir ini sudah banyak berubah. Konsep keselamatan pada hari ini lebih banyak memfokus kepada aspek keselamatan masyarakat, keselamatan insan dan lain-lain cabang keselamatan bukan tradisional. Inilah sebabnya dikatakan bahawa keselamatan adalah mengenai survival atau kelangsungan sesebuah negara dan rakyat jelatanya.

Dalam konteks ini, Perkasa menentang seluruh tindakan yang boleh mengancam ketenteraman awam. Oleh sebab itulah Perkasa di seluruh negara, baru-baru ini menentang perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011.

Perkasa tidak menganjurkan demontrasinya pada hari yang sama, sebab Perkasa tidak mahu membebankan pihak keselamatan dan juga tidak mahu mengeruhkan lagi suasana ketenteraman awam pada hari tersebut, apatah lagi bergaduh sesama Melayu.

Negara Malaysia yang majmuk tidak boleh dihuru-harakan menerusi tindakan jalanan. Dalam konteks ini, Perkasa sebagai pemangkin perpaduan, menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengambil iktibar daripada peristiwa ini.

Oleh itu, hentikanlah apa jua bentuk politik yang membabitkan Islam, menghina Raja-Raja Melayu dan yang mengeksploitasikan kematian mana-mana individu yang terbabit dalam siasah.

Perkasa menyeru pihak-pihak ini, hentikanlah semua ini. Malaysia yang kucar-kacir tidak akan membawa apa-apa faedah kepada kita semua, terutamanya keturunan Cina yang hidup dengan berdagang dan berniaga di seluruh pelosok Malaysia yang aman, damai, makmur dan sejahtera.

Seterusnya, Perkasa juga menyeru seluruh orang Melayu dan umat Islam supaya kembali bersatu. Ini kerana perpaduan Melayu dan Islam adalah teras kepada perpaduan seluruh bangsa di Malaysia.

Hakikatnya demikian kerana perpecahan Melayu dan Islam tidak dapat menjamin kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia. Lantaran itu, ayuh kita tentang sesiapa sahaja yang menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara untuk mendapatkan sokongan politik dalam keadaan mereka sedang ketandusan isu.

Insaflah, keselamatan negara adalah milik semua rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, sesiapa yang cuba untuk menghuru-harakan keselamatan negara mestilah kita tentang habis-habisan menerusi kaedah yang demokratik.

Lantaran itu, seluruh rakyat Malaysia yang majmuk perlu sentiasa berganding bahu, untuk mengelakkan tragedi 13 Mei daripada berulang.

Dalam konteks ini, Perkasa mendesak supaya pemerintah menggunakan undang-undang preventif atau pencegahan ke atas pihak yang bertindak untuk mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara. Ini termasuklah sesiapa sahaja yang berusaha memperlekehkan Islam, menyemarakkan sentimen perkauman, menghina Raja-Raja Melayu, atau menghasut rakyat membenci pemerintah.

Tetapi, oleh kerana baru-baru ini pemerintah telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, dan berjanji akan menggantikannya dengan undang-undang yang baru, maka Perkasa berharap supaya undang-undang gantian ini akan meneruskan semangat dan roh ISA yang telah dibentuk berdasarkan Perkara 149 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam aspek ini, walaupun Perkasa terkejut dengan tindakan memansuhkan ISA, Perkasa telah menyampaikan satu memorandum kepada Menteri Dalam Negeri mengenai bentuk serta kandungan undang-undang gentian ISA.

Ini kerana undang-undang yang meneruskan semangat dan roh ISA ini masih diperlukan di Malaysia. Oleh itu, pemerintah tidak perlu takut dan gentar terhadap apa jua reaksi alternatif mengenai undang-undang gantian kepada ISA ini.

Perkasa meminta pemerintah menggubal serta melaksanakan undang-undang gantian ISA ini secara bijaksana supaya ia turut mencakupi aspek keselamatan masyarakat, keselamatan insan, keselamatan pemerintah, keselamatan nasional dan juga kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa perjuangan Perkasa adalah untuk memangkin perpaduan. Untuk membolehkan seluruh rakyat Malaysia bersatu padu, mereka mesti terselamat daripada sebarang ancaman dan terbebas daripada ganggu-gugat.

Untuk mereka terselamat daripada ancaman dan gugatan, kita semua perlu memelihara dan melindungi keluhuran undang-undang utama kita, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Pada waktu yang sama, ingin saya tegaskan bahawa Perkasa bukannya pertubuhan politik. Sebaliknya, Perkasa adalah pertubuhan bukan kerajaan. Oleh sebab itu, Perkasa tidak akan menyertai mana-mana pilihan raya. Biar pun begitu, Perkasa dan seluruh ahli-ahlinya boleh turut mencorakkan politik tanah air, jika Perkasa terus dikecam, dihina dan diperlekehkan.

Paling tidak, Perkasa boleh mengenal pasti calon-calon yang perlu kita nyahkan kerana menghina agama dan bangsa kita serta tidak mendaulatkan Perlembagaan negara.

Akhir sekali, keberkesanan serta kejayaan Perkasa sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan dalam meneruskan perjuangan membentengi Alif (agama) Ba (bangsa) dan Ta (tanah air), adalah memerlukan jemaah kepimpinan yang komited, berdedikasi, ikhlas dan jujur.

- UTUSAN

Haram cetak rompak jadi modal perniagaan

by
Oleh Ustaz Zaharuddin A.Rahman

Sehingga hari ini, boleh dikatakan masih ramai tertanya-tanya atau ragu dengan isu bahan ciplak atau nama lainnya barangan cetak rompak yang kini semakin banyak disalin secara tidak sah.

Walaupun ada halaman buku yang ingin disalin cetak tertulis perkataan ‘Hakcipta Terpelihara’ serta ‘Tidak Dibenar Ulang Cetak’, masih ramai tidak mengendahkannya dan terus membuat salinan, khususnya membabitkan salinan fotostat.

Kita lihat hari ini, perkara ini terlalu biasa dalam kehidupan seharian umat Islam. Sehingga ada yang menjadikan cara ini sebagai modal perniagaan mereka.

Terutama pada musim harga minyak dan barangan semakin meningkat, semua perkara yang dikira mampu menjimatkan kos akan menjadi pilihan ramai hingga kerap melupakan pandangan Islam atau hukumnya.


Bagaimanakah sebenarnya pendirian Islam dalam hal ini? Adakah terus mengharamkannya tanpa bicara?

Sampai kepada saya satu soalan seperti berikut: “Ustaz, saya menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan di sebuah universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian Windows dan Microsoft Office yang cetak rompak. Saya tahu tindakan saya salah, tetapi harga tulen terlalu mahal.

“Saya harap dapat ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini.”

Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila orang yang bertanya itu sendiri mengerti bahawa ia salah. Ini kerana, harta intelek diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan ulama sedunia sebagai harta persendirian yang terpelihara.

Justeru, kita tidak boleh mengambil dan menggunakan produk cetak rompak, khususnya apabila perisian itu digunakan untuk diniagakan, sebagai contoh dibuat salinan demi salinan dan dijual pada harga rendah.

Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, perniagaan itu adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, iaitu yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram).” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban)

Rasulullah SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain yang haram bagi umat Islam, mereka (Yahudi) membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu, baginda terus berkata: “Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini, apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hasil daripada kumpulan hadis ini, bentuk tindakan dilakukan yang ingin saya tekankan adalah, ia sama seperti cetak rompak kerana haram daripada sudut hukum Islam.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi.

Mungkin ada yang berhujah bahawa perisian Windows itu adalah milik seorang kafir yang merujuk kepada Bill Gates dan tiada masalah untuk menggunakan yang cetak rompak selain ada juga yang menyatakan beliau terlalu kaya, oleh itu penggunaan bahan berkenaan tidak memberi apa juga kesan pada kekayaannya.

Sebenarnya, hujah ini meleset dan tertolak dalam fiqh Islam kerana Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika di Iraq).

Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, perisian Windows harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa saja dicerobohi sesuka hati.

Dalilnya terlalu banyak, iaitu paling mudah apabila Rasulullah SAW dan sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi dan mesti membelinya dengan cara halal.

Namun begitu, menurut sebahagian ulama, jika pelajar ingin menggunakan perisian untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan, terutama jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang tulen.

Sedangkan dia memerlukan komputer dan sesuatu perisian khas untuk tujuan pembelajarannya, tatkala itu, ada ulama mengharuskan atas asas:

‘Hajat Mendesak’ dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh: Ertinya: “Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak, sama ada ia berbentuk umum atau khusus.” (Al-Ashbah Wa An-Nazair)

Hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersial

Bertempoh. Ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, dia perlu membeli yang tulen

Demikian juga halnya keadaan pelajar di universiti. Sebagai contoh, ada pensyarah menjadikan buku tertentu sebagai ‘silibus’ dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga lima atau enam buku digunakan.

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli buku yang mungkin tebal dengan harga tinggi.

Lalu tatkala itu, pelajar dibenarkan membuat salinan fotostat halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya. Maka, pada waktu itu ia diharuskan.

Kembali kepada keadaan seperti dinyatakan, jika benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang (hanya beliau dan Allah yang tahu) untuk membeli perisian tulen yang mahal harganya berbanding kemampuannya, maka ada keringanan untuk beliau menggunakan produk tiruan itu dulu buat sementara waktu.

Ketika perniagaan seseorang itu sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil serta tiada lagi keperluan mendesak, tatkala itu wajib untuk bertukar dan membeli yang tulen.

- HARIAN METRO

Mengetahui kesihatan melalui Google

by
Oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai ialah Menteri Kesihatan Malaysia. (www.liowtionglai.com/blog) atau Twitter (@liowtionglai)

Baru-baru ini saya terjumpa dengan satu perkataan yang menarik iaitu ‘cyberchondria’. Menurut huraiannya bermaksud orang yang melayari internet untuk mengetahui mengenai penyakit dan simptomnya sebagai jawapan terhadap masalah kesihatan yang kononnya mereka hadapi, tetapi sebenarnya hanya dalam khayalan mereka.

Memandangkan masyarakat kini lebih celik teknologi dan mahu menjaga kesihatan, cyberchondria sering berlaku. Ini digalakkan lagi dengan informasi tanpa batasan yang boleh diperoleh melalui internet, walaupun tidak semua maklumat itu berguna atau tepat.

Saya yakin kita sendiri pernah mencari maklumat melalui Google mengenai simptom penyakit seperti sakit kepala yang berlarutan atau gatal kulit atau mencari diagnosa serta mencetak maklumat diperoleh itu dan menyerahkannya kepada doktor mengenai kemungkinan mengubatinya.

Sungguhpun usaha untuk mengetahui mengenai kesihatan anda dan memperoleh pengetahuan sedalam yang mungkin itu memang baik, tetapi langkah ini juga boleh merosak dan mengelirukan sekiranya anda mendapat maklumat salah.

Secara umumnya, doktor mempunyai pendapat berbelah-bahagi mengenai trend yang berleluasa di kalangan pesakit mereka. Pada satu pihak, pendirian autokratik ‘Saya lebih tahu’ yang diamalkan dalam bidang perubatan semakin berkurangan dan doktor menghargai apabila pesakit mereka mengambil berat mengenai kesihatan mereka.

Sementara itu, pada satu pihak yang lain pula doktor mengakui keadaan menjadi lebih rumit apabila pesakit mereka dikelirukan dengan maklumat yang salah yang diperoleh daripada internet.
Cubaan mendiagnosa sendiri adalah kesilapan yang sering berlaku sekiranya anda cuba menjadi ‘Dr Google’. Contohnya, anda mula mencari maklumat mengenai ‘sakit kepala berpanjangan’ dan anda akan dapat pelbagai penjelasan akan puncanya seperti stres hinggakan ketumbuhan atau tumor otak. Lebih mendalam anda membaca maklumat itu, anda mungkin terpengaruh dan menyangka yang anda menghidap penyakit yang tidak boleh diubati.

Ada bahaya cara mendiagnosa sendiri kerana ia mengambil masa, membabitkan kos dan menjadikan anda amat risau hingga sanggup pergi bertemu pakar perubatan dan menjalani pemeriksaan dan ujian kesihatan yang berisiko. Pada akhirnya, anda mendapati masalah kesihatan anda itu sebenarnya terlalu kecil dan boleh dirawat oleh doktor keluarga saja!

Satu kajian dijalankan oleh Microsoft pada 2008 mendapati bahawa satu pertiga daripada 250,000 pengguna laman web yang melayari isu berhubung dengan kesihatan melalui fungsi pencarian Windows Live, mendalami pencarian untuk memberikan fokus terhadap keadaan penyakit yang lebih serius dan luar biasa.

Kita lupa bahawa internet bukanlah doktor, sebaliknya sekadar mengandungi pelbagai maklumat yang tidak mempunyai kepakaran dimiliki oleh doktor sebenar yang boleh mengkaji sejarah kesihatan anda, memberikan pemeriksaan kesihatan secara fizikal dan membuat keputusan selepas menimbangkan semua kemungkinan.

Lebih membimbangkan doktor ialah selepas membuat diagnosa sendiri, pesakit mungkin mencari ubat sendiri tanpa nasihat dan panduan pakar. Jika keadaan ini berlaku, mereka mungkin gagal mengubati pesakit sebenar yang dihadapi, sebaliknya memburukkan lagi keadaan dengan mengambil ubat yang salah. Malahan, ubat yang dibeli di kaunter farmasi boleh memudaratkan sekiranya diambil dengan cara yang salah, manakala perubatan alternatif dan terapi tambahan kebanyakannya belum terbukti kemujarabannya.

Tiada salahnya anda cuba mendapatkan maklumat daripada internet. Tetapi kita harus ingat bahawa bagi setiap laman web lengkap yang kita layari, ada banyak lagi diwujudkan oleh mereka yang tidak mempunyai kepakaran dan mempunyai muslihat yang diragui.

Oleh itu, bagaimanakah anda boleh menilai kesahihan laman itu.

Satu caranya ialah dengan melihat siapakah yang mewujudkan laman web itu, adakah ia mempunyai kredibiliti dan sumber yang layak untuk memberikan anda maklumat? Anda seharusnya mengikuti laman web dibangunkan oleh agensi kesihatan kerajaan (iaitu laman .gov), universiti (edu) atau pertubuhan profesional (org).

Satu kajian dijalankan penyelidik Universiti Nottingham pada 2010 mencari jenis maklumat yang diperoleh daripada pencarian Google bagi lima soalan biasa mengenai kesihatan kanak-kanak. Hasilnya mendapati bahawa laman dibangunkan oleh agensi kerajaan memberikan nasihat yang sama, manakala laman berita (seperti BBC) memberikan nasihat yang betul dalam separuh kes. Bagaimanapun, penasihat mendapati laman yang ditaja tidak memberikan nasihat yang betul.

Sebahagian daripada laman yang ditaja juga boleh memberikan sumber yang baik, walaupun ia disertai dengan kepentingan komersial. Satu cara untuk memastikan kesahihannya ialah dengan melihat sama ada laman itu menyediakan senarai ahli lembaga penasihat atau konsultan.

Anda perlu melihat sama ada pakar ini adalah doktor daripada hospital yang diiktiraf. Persatuan Perpustakaan Perubatan AS mempunyai paduan baik untuk menilai maklumat mengenai kesihatan daripada atas talian (www.mlanet.org/resources/userguide).

Persoalannya, bukan sama ada harus menggunakan Google atau sebaliknya. Khidmat internet amat berharga dan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita. Tetapi ingat bahawa ia hanya sekadar tambahan bagi nasihat yang anda dapati daripada doktor anda. Tiada sesuatu yang boleh menggantikan seni sebenar atau sains perubatan. Oleh itu, terus gunakan pencarian Google, tetapi lakukanlah dengan bijak.

- BERITA HARIAN

Perihal barang naik, barang turun

by
Oleh ABDUL JALIL ALI

Sehari dua ini ada yang naik, ada yang turun. Baik naik atau turun, terbukti kedua-duanya menyusahkan kita. Sebelum menyentuh yang naik, saya hendak bercakap mengenai yang turun.

Ada pun yang turun ialah kualiti udara. Menurut Jabatan Alam Sekitar cuaca panas dan jerebu menyebabkan indeks kualiti udara kita menurun 17 peratus Isnin lalu, iaitu dari 61 peratus menjadi 44 peratus.

Dalam waktu sama Jabatan Meteorologi merekodkan 19 kawasan di seluruh negara teruk dilanda jerebu termasuk Melaka, Kuantan, Kuching, Kota Kinabalu, Sepang, Ipoh dan Petaling Jaya.

Apabila kualiti udara menurun tentu sekali menimbulkan kesusahan. Pandangan menjadi kabur, kerja-kerja mengintip pun tergendala sebab banyak benda terlindung. Agaknya jika jerebu melanda Abbotabad minggu lalu, pasti tentera elit Amerika Syarikat tidak dapat mengesan Osama.

Menurut pihak berkuasa, jerebu melanda akibat cuaca panas dari ribut Tropika Aere yang dikesan di utara Filipina, dan melonjakkan suhu di tempat kita 36.2 darjah Celsius. Sudahlah pandangan kabur, tidur pun tidak selesa sebab jam 12 dini hari, dalam bilik panas membahang macam 12 tengah hari.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr David Quek menasihatkan orang ramai minum banyak air dalam cuaca panas begini untuk elak ‘dehydration’ yang memungkinkan kesukaran bernafas, pening dan lain-lain masalah.

Selain minum banyak air, saya suka mengingatkan kawan-kawan – terutama wanita, juga suami isteri – supaya jangan mendedahkan tubuh ketika tidur malam. Tidak kira panas macam mana, tubuh mesti ditutup dan tidurlah dengan gaya paling sopan.

Sebab, walaupun panas, dalam bilik tidak ada jerebu. Apabila tidak berjerebu, pandangan menjadi jelas lagi nyata. Almaklumlah sekarang musim video, takut-takut gelagat anda di katil tiba-tiba muncul di YouTube.

Demikianlah apabila kualiti udara menurun, kehidupan menjadi tidak selesa. Sekarang saya hendak cerita benda naik pula, iaitu perihal gula. Mulai Selasa lalu harga bahan pemanis itu naik 20 sen menjadi RM2.30 sekilogram.

Seperti biasa apabila ada barang naik harga, kita akan mendengar nyanyian dengan lirik sama, sengaja didendangkan untuk menyedapkan hati. Apakah kita masih suka dan terhibur dengan lagu ini?

Seperti ‘nyanyian’ Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zin Mohd Dom: “Harga runcit (gula) di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia (RM3.80), Singapura (RM3.61), Thailand (RM2.31) dan Filipina (RM4.50).”

Juga lirik sama: “Dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun, iaitu kadar subsidi 20 sen sekilogram.

"Langkah ini selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat, dan kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun. Penjimatan ini boleh digunakan untuk membiayai projek kemudahan rakyat, termasuk pengangkutan awam.”

Harap-harap selepas beberapa kenaikan dan penjimatan ini sistem pengangkutan awam kita akan menjadi lebih baik – komuter dan LRT betul-betul menepati masa, bas yang sesak nafas lagi nyawa-nyawa ikan itu dinyahkan dari jalan raya kita. Marilah sama-sama kita berdoa, dan bertaruh.

Adalah diharapkan dengan kenaikan harga ini orang kita akan mengurangkan pengambilan gula seharian. Saya menyokong kenaikan harga gula, memandangkan kita adalah antara masyarakat termanis di dunia. Orang kita mengambil antara 17 hingga 26 sudu gula setiap hari, sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan hanya 10 sudu.

Akibat terlalu bergula-gula, air kencing kita pun manis tidak terkira. Berdasarkan kajian Persatuan Diabetes Malaysia bilangan pesakit diabetes di negara ini kini berjumlah 1.2 juta orang, dan dijangka meningkat sehingga 2.5 juta orang menjelang 2030.

Tetapi, lebih ramai yang kencing tawar dan berasa resah dengan kenaikan harga gula 20 sen. Ada satu lagi lirik lagu yang sama setiap kali harga barang naik: “Kenaikan ini tidak akan membebankan pengguna.”

Untuk sehari dua ini lirik itu mungkin relevan. Sekurang-kurangnya 3,700 ahli Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) berjanji tidak akan menaikkan harga minuman.

Harap-harap janji itu tidak akan dimungkiri. Muslim tidak boleh mungkir janji! Demikianlah perihal barang naik dan barang turun yang terjadi sehari dua ini. Seyogia diingat dulu, kini dan selamanya, ada juga barang yang sekejap naik sekejap turun. Malah, ada yang naik tidak kira masa, di mana sahaja. Ini kita kena hati-hati juga!

- SINAR HARIAN

Komentar - Pelihara aib orang lain

by
Oleh Harussani Zakaria

Sejenak merenung di dada akhbar mahupun coretan di laman sesawang, membuatkan saya beristighfar panjang bila menyelusuri bahan berita, coretan mahupun komentar dari pihak yang rata-ratanya agak kritis dan kadangkala memualkan.

Setiap bahan berita, coretan dan komentar lebih banyak menyentuh hal-hal bersangkutan diri seseorang yang bukan sahaja boleh menjatuhkan maruahnya, malah lebih dari itu sehingga menghinakan diri dan keluarganya.

Adakalanya komentar dan catatan yang dipaparkan sarat dengan fitnah, umpatan dan cacian daripada sesuatu pernyataan yang membina. Saya menyedari hakikat umat Melayu ini yang pandai berbahasa dan berkias, namun sejak mutakhir ini gaya bahasanya sudah tidak berlapik dan beralas lantas menerjah maruah diri seseorang sehingga menusuk ke tulang putihnya.

Malah, bukan sekadar menerusi penulisan, pelbagai medium digunakan termasuklah menggunakan kehebatan berkata-kata, berpidato dan berjenaka bagi menyampaikan hasrat menjatuhkan maruah dan membuka keaiban orang lain. Apakah kita sudah lupa pesanan agung Rasullullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Al Imam Ahmad dari Anas Ibnu Malik r.a, bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Tidak akan lurus keimanan seorang hamba sehingga lurus pula hatinya, dan tidak lurus hatinya, hingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.”

Anggota lidah seperti mana yang telah disebutkan oleh Imam Al-Ghazali adalah antara sebesar nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan lidah kita berzikir, tilawah Al-Quran dan berkata-kata dengan perkataan yang baik. Menerusi lidah juga dakwah Islam disebar siarkan di serata alam, dengannya juga terlaksana proses saling ingat-mengingati antara satu sama lain supaya hati sentiasa dekat dengan Allah dan Rasul-Nya.

Namun sebesar nikmat itu, maka besar juga tanggungjawab untuk menjaganya. Dengan lidah jugalah manusia boleh terjerumus ke dalam kehancuran, malah boleh mengundang ke lembah neraka Allah SWT. Hal ini mengingatkan saya bahawa Al Marhum Said Hawwa pernah menyatakan besarnya bahaya lidah hingga tiada siapa yang mampu selamat darinya kecuali dengan diam. Bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al Imam Al Bukhari dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa beriman dengan Allah dan hari qiamat, maka berkatalah yang baik atau pun berdiam saja.”

Teringat saya bagaimana sejarah menaqalkan bahawa Saidina Abu Bakar r.a pernah satu ketika meletakkan batu kerikil di mulutnya, semata-mata mencegah dirinya dari berbicara.

Lalu ditanya mengapa beliau berkelakuan begitu, ia menunjukkan kepada lidahnya seraya berkata, “Inilah yang menjerumuskan aku ke dalam kehancuran.” Al Imam Al Bukhari meriwayatkan dari Sahl bin Sa‘ad bahwa Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa yang menjamin untukku apa yang ada di antara janggutnya dan dua pahanya maka aku menjamin untuknya syurga.” Dalam hal ini juga, apakah umat Melayu sudah lupa pepatah yang berbunyi “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Bahaya fitnah

Al-Quran yang diturunkan Allah SWT sebagai manual yang memandu hidup manusia telah mencatatkan bahawa di dalam surah Al-Hujurat ayat 12, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengumpat setengah yang yang lain. Adakah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.” Imam Al-Qurtubi ketika membahaskan ayat di atas menukilkan sebuah hadis tentang erti ghibah (mengumpat) seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Mengumpat itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan suatu yang di bencinya.”

Ibnu Abi Dunya meriwayatkan dari Al-Barra beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami hingga terdengar oleh kaum wanita di rumah-rumah mereka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak beriman dengan hatinya, janganlah kalian mengumpat orang-orang muslim dan mencari keaibannya. Sesungguhnya orang yang mencari-cari keaiban saudaranya, maka Allah akan mencari-cari keaibannya. Dan siapa yang keaibannya di cari-cari Allah, maka pasti Allah akan membongkarnya di tengah rumahnya.”

Biarpun sekian banyaknya peringatan al-Quran dan hadis tentang telatah buruk ini, namun umat ini seakan-akan tidak pernah mendengar dan mengambil tahu. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya masyarakat kita dipenuhi dengan tingkahlaku yang “jelek” ini, dipenuhi saban hari dengan sikap fitnah memfitnah dan mencerca sesama kita. Hanya ilmu dan penghayatannya sahaja mampu mengekang penularan sikap keji ini sepert imana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abu Umamah dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akan muncul berbagai fitnah, di pagi hari seseorang dalam keadaan mukmin lalu kafir di petang harinya, kecuali orang yang dihidupkan Allah dengan ilmu.”

Tentang keburukan orang lain.

Seringkali kita mendengar pihak-pihak beralasan dengan menyatakan “Saya tidak mengumpat atau memfitnahnya, saya berkata yang benar! Saya punya bukti itu dan ini!. Pernyataan yang seolah-olah ingin menghalalkan perbuatan mereka. Al Marhum Sa‘id Hawa menyebutkan bahawa Al-Hassan berkata yang bermaksud, “Mengatakan tentang hal orang lain itu terbahagi kepada tiga : (1) ghibah : iaitu kamu menyatakan apa yang ada pada dirinya; (2) buhtan :iaitu kamu menyatakan apa yang tiada pada dirinya; (3) ifkun : iaitu kamu menyatakan apa yang kamu dengar tentang dirinya.”

Biar dalam situasi apapun, menyembunyikan kelemahan dan keaiban seseorang adalah lebih utama dari menzahirkannya. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah taala akan menutup keaibaannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah taala sentiasa menolong seseorang hamba, selama dia menolong hambanya.”

Walau bagaimanapun, Imam Al Ghazali menyebut bahawa menyatakan keburukan seseorang dibenarkan di dalam beberapa keadaan yang diperlukan sahaja dengan syarat yang tertentu. Antaranya seperti aduan seorang yang dizalimi oleh seorang yang lain kepada seorang hakim, meminta suatu hukum dalam satu perbuatan atau perkara, berniat untuk memberi peringatan kepada masyarakat atas seseorang yang terang-terangan dan bermegah-megah dengan melakukan maksiat dan beberapa perkara lain.

Politik, umpat dan fitnah

Akhir-akhir ini, politik, umpat dan fitnah seolah-olah suatu perkataan yang tidak mungkin dipisahkan. Baik pihak manapun, ia seolah-olah dibolehkan dengan beralaskan hujah-hujah yang tertentu. Segala keburukan pihak lawan didedahkan untuk pengetahuan umum. Lebih mendukacitakan, saya melihat medium penting bagi membincangkan isu dan kebajikan rakyat seperti sidang Dewan Rakyat dan sidang DUN hari ini sudah menjadi medan umpatan, tuduh-menuduh dan fitnah memfitnah berkait dengan isu-isu peribadi. Apakah kita tidak menyedari betapa terlalu banyak masa dan ruang telah kita habiskan bagi memenuhi selera buruk ini, sedangkan di hadapan kita terlalu banyak isu dan perkara yang perlu dilangsaikan. Apabila ini terjadi, fokus utama ke arah mengutamakan kepentingan rakyat terpaksa dikesampingkan bagi memberi ruang menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.

Ledakan ICT

Ledakan sumber maklumat pada abad ke-21 ini menyaksikan era baru dunia maklumat. Menerusi e-mel, SMS, blog, facebook, twitter dan sekarang era wikileaks, maklumat disampaikan dengan begitu mudah dan pantas. Kebebasan bersuara dalam menyampaikan kritikan, penyebaran maklumat kontroversi mahupun khabar-khabar angin menjadikan dunia maklumat ICT berjaya menarik jutaan penggemar. Menurut sumber internetworldstats.com menyatakan bahawa pengguna Internet hari ini sudah mencapai 1.9 billion dan Asia sahaja mencapai 110 juta pengguna.

Manakala pengguna facebook di Asia sudah mencapai 93.5 juta. Namun apa yang merisaukan saya hari ini, kecanggihan memindah maklumat hari ini telah dicemari dengan medan menabur fitnah dan umpatan. Adakah ini termasuk dalam apa yang kita bincangkan di atas. Imam Al-Ghazali menyatakan mengumpat itu sebenarnya bukanlah semata-mata dengan lidah, namun merangkumi isyarat-isyarat dan tulisan. Tidak keberatan saya katakan bahawa penggunaan medium ini bukan lagi semata-mata menyebarkan berita mahupun maklumat yang bermanfaat, tetapi terselit agenda-agenda tersembunyi yang didokongi oleh mereka yang punya niat untuk membobrokkan orang lain.

Jika amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan ia ke dalam neraka.”

Maruah manusia terlalu berharga hingga menyebabkan setiap manusia perlu memeliharanya. Kemakmuran beragama, bermasyarakat dan bernegara sukar dikecapi melainkan setiap warga menghormati antara satu sama lain.

- MINGGUAN MALAYSIA

Ya Allah, hapuskan ego diriku

by
Oleh SRI DIAH

Tiada nikmat lain yang lebih besar bagi saya sepanjang 2010 dan mungkin juga selamanya, melainkan mendapat jemputan menjadi tetamu Allah baru-baru ini. Berada selama lebih 40 hari dalam lingkungan umat Islam dari seluruh pelosok dunia dengan pelbagai bangsa dan adat, merupakan momen paling bahagia.

Keberangkatan ke Tanah Suci sudah pasti memberi keinsafan tersendiri apatah lagi bagi jemaah yang mungkin pengalaman pertama ke Makkah dan Madinah. Selama di tanah suci pelbagai pengorbanan perlu dilalui oleh tetamu Allah termasuk wang ringgit, meninggalkan keluarga, pekerjaan selain memastikan kesihatan sentiasa pada tahap terbaik.

Golongan lelaki dan makcik Tibet yang kental tubuhnya, keturunan Negro yang bertubuh tegap, lasak, nona-nona Indonesia yang mantap licik dan kami dari Malaysia yang sopan-santun mewarna hari-hari kami bermula di Madinah, hingga ke Makkah, Arafah, Mudzalifah, Mina dan balik ke Makkah semula sebelum berangkat ke Jeddah untuk kembali ke tanah air tercinta.

Sesungguhnya perjalanan menguji iman ini amat besar impaknya. Bersyukurlah kepada yang telah melalui dan merasainya; hanya yang telah pergi dan mengalaminya sahaja tahu.

Oleh itu kepada yang sedang ternanti-nanti jemputan paling istimewa ini teruskanlah berdoa, bersolat hajat dan berzikir sementara menanti jemputan itu benar-benar datang.

Bayangkan tatkala bersolat di Masjid Nabawi di Madinah, tiba-tiba nafas jadi sesak dan sebak tanpa disangka-sangka. Wajah-wajah mereka yang telah pergi lebih dahulu ke alam barzakh muncul satu persatu.

Wajah-wajah itu tersenyum manis, bersih bersinar-sinar rupa mereka. Segera air mata jatuh berderai. Rindu menggamit rasa. Hiba menunda-nunda dalam dada. Apa yang boleh dilakukan? Wajah dan tubuh itu menghilang apabila ingin disentuh...

Kemudian pada hari lain pula ketika menanti giliran berziarah ke makan Nabi, telah dikejutkan dengan panggilan kuat, ”Hajah! Hajah! Mari sini! Solat sini! Di sini!” Hah? Dan saya terpinga-pinga seketika. Tangan wanita berpurdah itu melambai-lambai dengan cepat.

Rasa terkejut itu tambah menggetarkan perasaan apabila sedar-sedar sahaja kaki sudah hampir ke kawasan Raudah. Mudahnya Allah SWT lorongkan laluan. Mudahnya mendapat saf di hadapan sekali untuk solat sunat melawat makam Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya Abu Bakar dan Umar.

Sebagai tetamu Allah, ia adalah satu perjalanan yang begitu hebat. Bermula sahaja 10 Zulhijjah, umat Islam tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status akan bersama-sama memulakan ‘misi’ penting melakukan satu persatu ibadat tertentu bagi membuktikan mereka hamba yang kerdil kepada pencipta-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barang siapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam).”

Padang Arafah yang luas terbentang memang sukar diduga. Begitu juga godaan bermalam di Mudzalifah. Paling mengesankan ialah pengalaman tiga hari tiga malam di Mina... apalah daya kita sebagai insan yang kerdil di bumi Tuhan ini apabila berada dalam lautan jutaan umat Islam dari seluruh dunia?

Tatkala berada di ketiga-tiga jamrah, janganlah kita menidakkan ketentuan Allah. Ada yang gementar kakinya mahu melangkah menuju ke jamrah. Ada yang tersesat jauh hingga ke Makkah sebaik habis melontar. Malah ada yang tidak jumpa langsung Terowong Muassim untuk kembali ke khemah.

Di dalam Masjidil Haram, air mata menitik ketika melihat Kaabah buat pertama kali, memang dibiarkan sahaja meluncur laju, hangat menimpa pipi. Dikesat dan ia turun lebih lebat lagi. Biarkan.

Saat melakukan tawaf dan tangan melambai ke Multazam, kemudian selepas itu memandang batu keras di Safa diikuti dengan memijak batu hitam di Marwah, sebanyak tujuh pusingan, semua aktiviti itu menguji ego, meruntun iman.

Di sini doa saya ketika bertahalul: ”Ya Allah Ya Tuhan, inilah ubun-ubunku, di dalam genggamanmu. Maka jadikanlah tiap-tiap sehelai rambutku ini cahaya bagiku di hari kiamat dan ampunilah dosa-dosaku wahai Tuhan yang amat luas pengampunan... amin”

Dan pandangan ke Masjidil Haram menjadi kelam dek air mata....

- SINAR HARIAN

Ramadan Bulan Kemerdekaan

by
Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Tanpa disedari bulan Ramadan menjanjikan seribu kemerdekaan dan kebebasan untuk umat Islam. Apatah lagi bagi yang berusaha bermati-matian untuk memperoleh kurniaan itu. Bahkan mereka yang sedar akan keistimewaan Ramadan bercita-cita pula agar Ramadan berlaku sepanjang tahun. Tidak lain kerana sekolah Ramadan mendidik manusia akan erti kemerdekaan yang sebenar yang dapat diperhatikan melalui proses pentarbiyahan ilahi sepanjang bulan al-Mubarak ini.

Kesempatan syaitan dibelenggu merupakan peluang terbaik untuk meraih cinta hakiki. Ini bermakna manusia kini merdeka daripada cengkaman musuh iaitu Iblis yang dilaknat oleh Allah SWT. Sayugianya peluang sebegini tidak dibiarkan pergi tanpa berbuat kebajikan semaksimum yang termampu. Oleh itu belajarlah mengurus nafsu dengan baik agar setelah tamat Ramadan, dunia yang penuh pancaroba boleh berjaya diharungi dengan pedoman wahyu ilahi.

Di dalam bulan ini juga umat Islam dikehendaki sentiasa memelihara segenap pancaindera daripada kutukan dosa. Semuanya bertujuan membentuk puasa yang berkualiti dan diterima dengan sempurna. Secara tidak langsung masyarakat Islam merdeka daripada sifat mazmumah seperti mengumpat, bergosip dan mencela individu lain.

Ramadan juga adalah bulan untuk menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT dengan mengeluarkan zakat fitrah dan bersedekah. Oleh itu para Muslimin diseru untuk bersegera menunaikan kewajipan ini agar bantuan dapat disampaikan kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan sebelum menjelang hari raya.

Amalan sunat seperti bersedekah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan yang mengharapkan bantuan juga tidak patut diabaikan, berikutan ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan.

Malahan dengan kaedah ini manusia boleh memerdekakan diri daripada sifat bakhil dan tamakkan harta kemewahan dunia yang sementara. Walau bagaimanapun niatnya mesti ikhlas dan diharapkan agar berterusan bukan sempena Ramadan dan sambutan hari raya sahaja.

Apatah lagi tiada siapa yang sanggup menanggung derita kembali ke alam baqa' dengan bekalan dosa yang bertimbun-timbun. Inilah masa untuk setiap insan, menjernihkan jiwa dan memerdekakan diri daripada dosa dengan dengan bertaubat nasuha dan beramal saleh dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya amalan-amalan yang saleh mampu menghapuskan dosa ibarat air memadamkan api.

Selain itu Ramadan adalah bulan mustajab doa. Peluang keemasan untuk diperkenankan segala doa adalah lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain. Seolah-olah Ramadan dan doa tidak dapat dipisahkan.

Malah bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53 yang jatuhnya dalam bulan Ramadan ini setiap warga 1 Malaysia terutama yang beragama Islam patut merenung dan menilai akan tingginya nilai kebebasan sesebuah negara daripada unsur-unsur penjajahan.

Sedarilah tanpa nikmat kemerdekaan itu peluang untuk solat tarawih dan qiamullail di masjid dengan sebebasnya mungkin tidak akan dapat dirasai jika tanahair masih dijajah.

Oleh itu bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan negara yang diwarisi daripada titisan darah perwira terdahulu dengan mengelak daripada dipengaruhi oleh pemikiran negatif, budaya songsang dan amalan tidak berperikemanusiaan seperti membuang dan membunuh bayi yang tidak berdosa.

- UTUSAN

Terperangkap pemikiran sendiri

by
Oleh Tan Sri Dr. Nordin Kardi
Profesor di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia

Apabila membaca pelbagai blog melalui internet saya terasa dunia begitu sempit. Bukan sahaja di Malaysia, di mana-mana juga suara-suara kasar tidak berpuas hati dengan itu dan ini dituliskan secara tali-menali.

Di negara Malaysia juga demikian. Blog-blog anak-anak muda terpancar suara-suara pemberontakan, rungutan, kekesalan dan pelbagai lagi yang seolah-olah dunia di keliling menzalimi mereka tidak henti-henti.

Terbaru rakan saya, Datuk Azman Ujang, mengirim e-mel tentang seorang bekas warganegara Malaysia keturunan Cina yang menyuarakan kebenciannya kepada kerajaan UMNO dan secara sinis menyimpulkan usaha menyeru warga profesional di luar negara untuk pulang hanya suatu bahan jenaka.

Mengapa jadi demikian. Benarkah dunia kemanusiaan semakin zalim sama seperti alam semula jadi yang sedang memberontak terhadap manusia kerana manusia merosakkan mereka, lalu bumi pun memuntahkan lahar gunung berapi, angin mengamuk menjadi taufan, lautan merempuh daratan dan matahari membakar bumi?

Dalam konteks ini, pada tahun 1980-an saya telah menulis bahawa sama ada manusia sedang merosakkan bumi atau tidak hanyalah suatu 'makna' yang dicipta oleh segolongan manusia itu sendiri. Sementara pada makna sains fizik, hal itu hanyalah penukaran suatu bentuk kepada suatu bentuk yang lain.

Maklumlah, sebagai contoh, sains fizik thermodinamik mengatakan 'tenaga itu tidak boleh dicipta atau ditambah dan tenaga hanya boleh diubah bentuknya'. Fizik thermodinamik tidak akan mengatakan manusia zalim kerana mengubah air menjadi tenaga penggerak enjin.

Apa yang saya cuba utarakan di sini ialah, yang disuarakan oleh segolongan orang yang saya sebutkan awal-awal tadi merupakan 'makna' yang diberikan oleh terhadap perkara, kejadian atau fenomena yang mereka rasakan berkaitan dengan diri mereka.

Mereka sememangnya mempunyai banyak pilihan untuk memberi 'makna' namun mereka telah memilih satu makna sahaja. Oleh hanya pilih satu makna sahaja itulah orang Yahudi memilih untuk berperang dengan orang Palestin, orang India dan Pakistan memilih untuk berkonfrantasi berterusan, Bosnia dan Serbia bermusuhan, Korea Utara dan Korea Selatan menunjuk lengan masing-masing walaupun mereka asalnya mungkin serumpun - nenek moyang mereka sama.

Demikianlah, Melayu, Cina dan India di Malaysia mula belajar menunjukkan otot masing-masing walaupun dulunya pada tahun 1955 pernah berjanji setia sehingga tercapainya peristiwa 1957.

Dalam himpunan Melayu pula UMNO, Pas, PKR masing-masing berlumba-lumba mempamer personaliti siapa yang lebih menarik dan menggoda supaya golongan bukan Melayu akan tertarik untuk 'berpacaran' dengan mereka. Padahal, UMNO, Pas dan PKR itu asal sejarahnya satu.

Patutlah pementasan cerita-cerita bangsawan tahun 1950-an dan 1960-an dan cerita-cerita filem Shaolin Cina selalu memaparkan tema bagaimana sengketa dua pahlawan yang saling bermusuhan asalnya datang dari gelanggang perguruan persilatan yang sama, walaupun telah dibekalkan dengan nasihat secukupnya supaya menjaga nama baik guru atau temple yang satu dengan tidak bersengketa sesama sendiri. Itulah suatu paparan budaya.

Dengan memilih makna persaingan: persaingan dengan alam, persaingan dengan mesin atau persaingan sesama manusia, orang itu sentiasa melihat dirinya berada dalam keadaan terancam.

Satu komuniti merasa diancam oleh komuniti yang lain, ketua terasa diancam oleh anak buahnya, kawan rasa diancam oleh kawan yang lain sehingga keseluruhan makna kehidupan adalah dalam bentuk memenangi suatu persengketaan.

Tersembunyi dalam diri adalah rasa ketakutan. Walaupun keberanian adalah lawan kepada ketakutan namun segalanya adalah bermula daripada rasa ketakutan - takut kekurangan, takut kehilangan dan akhirnya takutkan kematian.

Makna yang diberikan orang yang tidak takut akan berbunyi, 'yang kurang diusahakan untuk ditambah; yang hilang dicari; dan kematian adalah melengkapkan kehidupan'. Mereka tidak melihat setiap dualisme adalah persaingan.

Manusia yang tidak melihat segala-galanya persaingan adalah manusia yang tidak takut. Manusia yang tidak takut ialah manusia yang memberi nilai tinggi kepada 'autonomi'. Warganegara yang menilai tinggi kepada autonomi ialah warganegara yang mengatakan maju-mundur dirinya adalah tanggungjawab dirinya sendiri. Dia tidak akan memaksa orang lain mesti memihak atau memenuhi kehendaknya dan jika terjadi keadaan orang memihak kepadanya, itu hanya suatu kebetulan.

Seorang guru tidak memaksa murid untuk taat kepadanya. Seorang ketua tidak menagih kesetiaan daripada yang diketuainya. Seorang bapa tidak meminta-minta anak dan isteri menghormatinya. Jika semua itu diperolehinya, juga adalah suatu kebetulan.

Demikianlah jika anak-anak muda di Malaysia menuntut autonomi daripada orang tua-tua, mereka juga hendaklah membenarkan orang tua mentafsirkan keadaan dan kuasa mengikut makna mereka. Orang tua pula hendaklah tidak memaksa anak muda memberi makna kepada sesuatu perkara, kejadian atau fenomena dengan makna yang sama dengan mereka. Berilah makna kepada zaman masing-masing dan jika kebetulan makna itu sama, ia adalah satu 'hadiah'.

Kembali kita kepada e-mel kiriman Azman Ujang tentang bekas warganegara Malaysia yang nampaknya tidak sudi untuk pulang, setelah semenjak umur 18 tahun berada di Amerika Syarikat. Ini kerana katanya, tidak adanya keadilan di Malaysia, tidak berautonomilah kiranya saya seorang Melayu memaksa beliau mengubah pendirian beliau.

Saya menghormati pendiriannya kerana saya tahu, beliau memilih untuk memberi satu makna sahaja kepada kehidupan di Malaysia. Beliau tidak mendapat biasiswa dari kerajaan Malaysia sebaliknya memperolehi biasiswa dari negara beliau sekarang melalui program Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE) walaupun beliau mengatakan pencapaian peperiksaan beliau amat cemerlang.

Juga, tidak sesuailah saya yang sangat menghormati 'autonomi' manusia mengungkit bahawa MACEE berada di Malaysia kerana kerajaan Malaysia menyediakan suasana yang kondusif kepada agensi Amerika Syarikat itu beroperasi di sini sehingga peluang untuk penulis e-mel itu terbuka.

Pendirian ini samalah dengan pendirian Obama, yang didesak untuk tidak menyokong masjid berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan berkata 'Ini Amerika Syarikat'. Tentulah jika Najib berkata 'Ini Malaysia', sama ada bersetuju atau tidak, sempadan 'autonomi' beliau hendaklah dihormati oleh orang yang menyanjung tinggi falsafah 'autonomi'.

Sama seperti saya tidak akan menganjurkan ramai-ramai berdemonstrasi meluahkan rasa hati saya terhadap seorang bekas warganegara yang tak mahu pulang ke Malaysia dan demikianlah, beliau juga hendaklah tidak mengajak orang lain menyertai beliau semata-mata oleh 'makna' peribadi yang beliau pilih terhadap seruan pulang ke Malaysia.

Kesimpulannya, diam-diam saya ingin membisikkan ke telinga isteri saya bahawa, 'saya tidak akan hidup di dunia ini untuk memenuhi kehendak anda, dan saya juga tidak meminta supaya anda hidup untuk memenuhi kehendak saya. Jika kehendak anda dan kehendak saya serbasama, itu adalah suatu kebetulan yang sangat indah.'

- UTUSAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90